Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Januari 26, 2015

Deraf Cadangan kepada Ucapan Dasar Presiden Majlis Belia Malaysia 16 Januari 2015 / 25 Rabiulawwal 1436 H


Cabaran MBM di Persada Antarabangsa
Penderaf: Jufitri bin Joha


Dunia pada saat ini berhadapan dengan situasi tidak menentu. Kebencian, keganasan dan penindasan terus berlaku di segenap pelusuk dunia. Dunia dikejutkan dengan kejadian pembunuhan lima kartunis majalah satira Charlie Hebdo minggu lepas kesan daripada tidak sensitif, provokasi dan kebencian. Sesuatu keganasan tidak akan berlaku jika ‘root cause’ nya tidak berlaku. Apa yang dilihat hanyalah simpton tetapi punca sebenarnya ialah kerana sudah hilang rasa sensitiviti, hormat menghormati lintas agama dan ras, kasih sayang dan suburnya rasa kebencian yang tidak ditangani secara bijaksana.

Begitu juga apabila munculnya kumpulan Islamic State of Iraq and Syria (IS). Kemunculan IS adalah simpton atau respon terhadap penindasan dan ketidakadilan yang berlaku di Iraq dan Syria. IS muncul kerana ketidakasilan polisi luar Negara Barat yang sering kelihatan menindas Negara Negara umat Islam di Asia Barat dan kezaliman pemerintah autokratik seperti keluarga al-Assad. Al-Assad telah menindas rakyatnya sendiri semenjak mengambil alih pemerintahan Syria semenjak 1969. Respon penindasan di Iraq dan Syria ini menyebabkan sebahagian kecil rakyatnya mengambil keputusan untuk memberikan respon secara keganasan sebagai mesej membalas dendam atas apa telah berlaku selama ini. Lebih malang kumpulan yang mengambil keputusan untuk respon secara keganasan ini bertindak lebih ganas dan membunuh orang tidak sehaluan dengan mereka dan orang yang tidak berdosa.

Justeru kemunculan IS adalah respon kepada penindasan dan ideologi kumpulan itu sendiri yang berpegang kepada ideologi ekstremisme. Walaupun IS bersalah dan dikutuk namun kesalahan IS harus dikongsi oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab memprovokasi kemunculannya.

Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila sekumpulan rakyat Malaysia daripada 39 rakyat Malaysia yang berjuang di Syria terlibat dalam kumpulan IS. Sebahagiannya besarnya adalah belia yang tidak berilmu, tidak memahami keutamaan bahkan bertindak melulu dengan mengambil keputusan berjuang di Syria. Jika pun mereka berjuang bersama rakyat Syria di medan pertempuran untuk menyatakan dan menzahirkan rasa simpati atas penindasan namun ia bukanlah keutamaan dan cara terbaik. Itu bukanlah keutamaan rakyat Malaysia khususnya belia kerana keutamaan mereka ialah membantu Negara membangunkan kekuatan ilmu dan teknologi supaya Malaysia menjadi sebuah Negara kuasa besar dunia yang membawa keamanan terhadap dunia keseluruhannya. Apabila Malaysia menjadi sebuah Negara kuat maka Malaysia akan dihormati dan mesej keamanannya akan dihormati dan didengari.

Walaubagaimanapun MBM mengambil kesempatan ini untuk menggesa Kerajaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015 dan Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015-2016 menggunakan pengaruhnya bagi melobi dan mengajak masyarakat dunia agar peperangan di Syria dihentikan segera bagi menyelamatkan lebih ramai nyawa manusia tidak berdosa terkorban sebagaimana peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin dan perdamaian di Selatan Filipina. Selain itu Kerajaan telah pun membentangkan Kertas Putih di Parlimen pada 26 November 2014 yang lalu bagi menangani ancaman kumpulan IS dan menyelamatkan belia Malaysia daripada terus terlibat dalam kumpulan yang salah ini. MBM yakin walaupun Malaysia Negara yang kecil dan terdedah kepada ancaman tetapi Malaysia mampu memainkan peranan signifikan dalam mempromosikan keamanan dan kesederhanaan sehingga setiap inci bumi dunia ini serta etnik-etnik yang tertindas seperti di Myanmar, Irian Jaya, Xinjiang dan Afrika Tengah.

Bagi MBM, cabaran yang menanti ialah bagaimana memperkasakan pertubuhan belia seluruh Negara bagi menyediakan program-program yang menarik dan bermanfaat untuk belia Malaysia daripada terlibat dengan anasir-anasir jahat dan ganas yang sentiasa mahu menggoda belia kita. MBM akan terus mempromosikan elemen wasatiyyah atau kesederhanaan kepada belia Malaysia agar mereka hidup secara sihat dan seimbang serta menyumbang kepada keamanan sejagat.

Tiada ulasan: