Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Januari 26, 2015

Menilai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)



Oleh: Jufitri bin Joha
Naib Presiden ABIM
Seperti yang tersiar dalam Majalah al-Ustaz Volume 03 No 34


Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) merupakan platform yang penulis berhasrat untuk lawati. Penulis terlepas untuk ke sana tahun ini melalui program anjuran Global Peace Festival (GPF) yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin muda seluruh dunia di Ibu Pejabat PBB di New York atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Penulis mahu mengetahui dan memahami dengan lebih dekat tentang peranan dan fungsi sebenar PBB dengan lebih dekat.

Penulis melihat PBB merupakan entiti antarabangsa terpenting untuk menegakkan keadilan sejagat seiring dengan falsafah penubuhannya pada 1945 sejurus selepas tamatnya Perang Dunia kedua seperti yang termaktub pada permulaan Piagam PBB to save succeeding generations from the scourge of war.

Hakikatnya selepas 69 tahun penubuhannya ternyata PBB gagal melindungi nyawa penduduk dunia bahkan lebih daripada 50 konflik berlaku di seluruh dunia. Semenjak itu lebih 22 juta penduduk dunia mati dalam lebih 300 peperangan menurut Holmes dalam makalahnya “Smart Multilateralism”. Ia menggambarkan sebuah kekecewaan yang nyata apabila PBB dilihat buntu dan gagal memainkan peranan utamanya menghentikan peperangan bagi menyelamatkan lebih ramai nyawa yang tidak berdosa termasuk lebih 200 000 jiwa rakyat Syria yang terkorban semenjak perang saudara meletus 4 tahun yang lalu.

Hakikat kegagalan ini turut disuarakan oleh tokoh berpengelaman dalam dunia geopolitik dunia, Tan Sri Jawhar Hasan, Pengerusi Institut Pengajian Antarabangsa dan Strategik dalam Forum Solidariti Palestin yang turut dibarisi penulis apabila menyatakan dengan jelas bahawa PBB sekali gagal mengembalikan keamanan dan keadilan sejagat. Tan Sri Jawhar merujuk kepada kegagalan PBB dalam menyelesaikan konflik Israel-Palestin semenjak 15 Mei 1948.

Pengalaman penulis ketika memimpin urusan antarabangsa ABIM pada tahun 2013 dalam menuntut keadilan dan hak asasi pemimpin politik Jamaati Islami Bangladesh yang dinafikan oleh Perdana Menteri Sheikh Hasina Wajid menguatkan hujah kepada sebuah kegagalan ini. Memorandum yang diserahkan penulis dan rakan-rakan melalui Pejabat PBB Malaysia, Jalan Dungun Kuala Lumpur seolah-olah tiada makna kerana kekejaman terus berlaku di Bangladesh. Pemimpin Jamaat terus dihukum dan digantung tanpa sebab kukuh bahkan hanya kerana dendam politik yang berpanjangan dan kerakusan terhadap kuasa. Mungkin usaha sekecil ini tidak mencukupi namun yang peliknya bantahan dan teguran turut datang daripada beberapa pimpinan dunia termasuk Amerika terhadap tindakan berat sebelah Sheikh Hasina. Namun tindakan susulannya menghampakan.

Namun ada yang berkata bahawa tanpa PBB mungkin lebih banyak nyawa yang tidak berdosa melayang. Mungkin angkanya akan menjangkau lebih 30 juta sekiranya PBB tidak wujud dan berperanan sebagai mana layaknya. Felo Institut Polisi Dunia, Swadesh Rana berhujah bahawa semenjak penubuhan PBB sekuarang-kurangnya tiada penggunaan senjata nuklear, biologi dan radiologi digunakan. Mungkin yang dimaksudkan oleh Rana ialah penggunaan secara besar-besaran namun kejadian di Ghouta, Syria pada 21 Ogos 2013 di mana penggunaan gas kimia beracun didakwa oleh Bashar al-Assad membunuh ratusan penduduk Ghouta mungkin menafikan kenyataan Rana selain kejadian penggunaan gas beracun semasa perang Iran-Iraq.

PBB juga berperanan besar dengan memberikan dan mengekalkan mandat kepada 16 operasi ‘peacekeeping’ untuk mengembali dan menjaga keamanan di 4 buah benua termasuk operasi keamanan khas di Afghanistan dan operasi yang terlama di sempadan Arab-Israel. Perbelanjaannya bukan sedikit bahkan menelan belanja 7 bilion USD setahun melibatkan 98 653 askar pengaman dari 115 buah Negara anggota PBB dengan 19 000 yang terkuat di Rebublik Demokratik Congo. Malaysia turut tidak ketinggalan menyertainya dengan rekod yang amat cemerlang. Namun sekali lagi persoalan yang timbul ialah sejauh mana operasi ini benar-benar berjaya melindungi nyawa orang awam dengan mengambil kes Palestin dan Syria.

Tindak tanduk PBB yang serba salah dan berat sebelah turut menyumbang kepada kegagalan ini. PBB yang terletak di Negara Uncle Sam dan biayaan yang datang daripada sumber utamanya iaitu Kerajaan Amerika memburukkan lagi keadaan. Newt Gingrich, bekas calon Presiden Republikan Amerika walaupun mendakwa PBB korup dan terlalu birokratik namun beliau menegaskan dengan jelas bahawa PBB hanya akan efektif jika selari dengan kepentingan Amerika. Justeru tidak hairanlah pengaruh dan dominasi besar Amerika terhadap segala keputusan dan tidak tanduk PBB termasuk menafikan kedaulatan Palestin dalam undian di PBB pada 2012 ketika 138 negara menyokong dan hanya 9 menentang. Hak Palestin untuk merdeka terus dinafikan dan ianya akan terus mengundang pertumpahan darah hasil pertembungan yang berlarutan 66 tahun lamanya. Berdal Aral dalam analisis beliau tahun 2013 bertajuk United Nations and International Inequality turut mengkritik Majlis Keselamatan PBB yang dimanipulasi oleh Amerika dan sekutu-sekutunya menyebabkan masyarakat dunia buntu dalam menyelesaikan konflik yang berlaku seperti kes Iraq menceroboh Kuwait dan dakwaan Libya menyokong keganasan global. Majlis Keselamatan kelihatan berdiam diri ketika Amerika menceroboh Iraq pada 2003 dan Afghanistan pada 2001. Aral lantang menegaskan Majlis Keselamatan gagal mewakili aspirasi majoriti penduduk dunia khususnya dunia Islam di sebelah Afrika dan Asia.

Penulis juga turut memahami situasi Ban Kin Moon selaku Setiausaha Agung. Tidak mudah jika berada di posisi beliau kerana PBB tidak benar-benar bebas dan berautoriti dalam menjalankan tugas dengan adil dan saksama ketika Negara kuasa besar hanya mementingkan dan menjaga kepentingan diri sendiri. Ketika sebelum pelantikan Ban Kin Moon bagi memenuhi giliran figura dari Asia untuk memegang jawatan panas tersebut, beberapa pimpinan gerakan Islam dunia berpandangan bahawa inilah masa yang terbaik bagi tokoh Islam berpengaruh di dunia Islam dan Barat yang tinggal di Benua Asia seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim atau Dr. Surin Pitsuwan dicadangkan untuk dicalonkan bagi mengisi jawatan tersebut. Mereka berpandangan inilah ketikanya seorang calon Muslim berwibawa untuk mengisi jawatan Setiausaha Agung PBB bagi membawa agenda perubahan dalam PBB dan secara tidak langsung membawa agenda pembelaan dan penegakan keadilan khususnya bagi menamatkan penderitaan dunia Islam. Namun sayangnya idea dan gerak kerja tersebut tidak termaqbul.

Kewujudan PBB pada pandangan penulis adalah signifikan namun harus direformasikan. Kejayaan proses reformasi dan perubahan ini bergantung buat masa ini kepada ‘political will’ kuasa besar yang menguasai Majlis Keselamatan PBB di samping kekuatan desakan advokasi oleh pertubuhan sivil dan madani seluruh dunia.
Terpilihnya Malaysia sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bersama Venezuela, Sepanyol, Angola dan New Zealand diharap dapat melakukan sesuatu untuk terus berperanan mewakili satu-satunya suara dunia Islam dalam Majlis Keselamatan selepas Turki kalah dalam pengundian bagi mengisi slot Eropah. Walau dilihat kecil namun Malaysia harus terus konsisten menegakkan keadilan dengan masa agak terbatas iaitu hanya selam dua tahun sehingga Disember 2016. Sudah tentu Palestin terus akan diperjuangkan seperti yang diikrarkan oleh Kerajaan Malaysia di samping rakyat Malaysia mendesak agar Kerajaan berusaha keras melobi dan mengadvokasi dunia untuk menamatkan perang di Syria, penindasan etnik Rohingya dan Uyghur. Rakyat Malaysia khususnya pertubuhan masyarakat Madani wajar berwacana dan berdiskusi menjelang I Januari 2015 untuk mengeluarkan saranan-saranan terbaik tentang peranan berkesan yang sepatutnya dimainkan oleh Malaysia sepanjang memegang kerusi di Majlis Keselamatan khususnya untuk mengembalikan peranan sebenar PBB.

PBB dan Majlis Keselamatannya harus direformasikan. Anggota tetap Majlis Keselamatan harus ditambah keahliannya bagi meraikan pluraliti ahlinya dan dunia Islam wajar diwakili oleh Malaysia dan Turki. Kuasa veto Majlis Keselamatan harus dimansuhkan dan segala resolusi yang diputuskan olehnya harus mendapat 2/3 undian persetujuan daripada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bagi memastikan keadilan sejagat ditegakkan untuk semua. Ini merupakan misi sukar sementara menunggu kemunculan semula kepimpinan dunia Islam untuk dunia yang lebih aman.

Tiada ulasan: