Rayuan untuk Syria
Ahad, Februari 08, 2015
Intelektualisme Mahasiswa : Satu Monumental yang Perlu Difahami
Sedutan Kertas Kerja Yang Dibentangkan oleh Jufitri bin Joha Pada 4 Februari 2015 / 14 Rabiulakhir 1436 H di Dewan Malaysia Abassiah Kaherah
Muqaddimah
Seingat saya Muhammad Abu Bakar dalam adi karyanya menyebut bahawa mahasiswa sinonim dengan dua karakteristik iaitu muda dan mempunyai idealisme atau makna kehidupan dan perjuangan yang jelas. Novelis Jepun Haruki Murukami pula menyebutkan, ‘If you’re young and talented, it’s like you have wings’.
Muda, idealisme dan bakat merupakan tiga modal terpenting yang harus dibangun dan digilapkan sebaik mungkin oleh mahasiswa untuk membina personaliti dan kepimpinan unggul.
Mahasiswa membentuk golongan teras utama dalam kohort kelompok belia yang diberikan perhatian khusus dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (1997). Dalam Dasar Belia ini jelas mensasarkan strategi pembangunan ilmu sebagai strategi dan tunggak utama kepada pembangunan dan kemantapan generasi muda. Tumpuan khusus ini diberikan adalah kerana mahasiswa adalah kelompok belia yang sedang menjalani fasa transisi dalam kehidupan daripada childhood kepada adulthood. Fasa ini adalah fasa yang amat kritikal untuk mereka mencari identiti dan makna diri. Stanley Hall (1904) menyifatkan bahawa fasa ini adalah fasa “storm and stress” yang memerlukan perhatian dan bimbingan oleh generasi dewasa yang berilmu bagi membimbing mereka mencari jalan sebenar yang harus dipilih. Mereka dipenuhi dengan semangat yang berkobar-kobar yang sewajarnya dibimbing dengan ilmu dan ilmuwan yang benar. Jika benar-benar mereka dibimbang dan diserlahkan potensi mereka maka menurut Profesor Turiman Suandi (2009) mereka boleh membangun dengan sempurna.
“Belia sebenarnya bukanlah tanpa potensi tetapi kebanyakan mereka yang bermasalah adalah kerana tidak mendapat bimbingan sewajarnya bagi menyerlahkan potensi sebenar mereka”.
Perkataan ‘maha’ pada mahasiswa menurut Meredith L. Weiss, empunya buku Student Activism in Malaysia mempunyai maksud distinctive dan special. Mahasiswa menurut Weiss lagi mempunyai site untuk makan bersama, tidur bersama, belajar dan merancang bersama. Weiss menyebut,
“The descriptive term “student” not only defines a role, but offers a powerful collective identity to those who adopt it”. (Snow, 2011).
Kenyataan di atas jelas menggambarkan bahawa Mahasiswa bukan sahaja sepatutnya sinonim dengan kuliah-kafe-katil (3K) tetapi mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar dalam menjadi jurubicara dan pemimpin masyarakat. Justeru universiti merupakan pusat inkubator untuk pembangunan kepimpinan (Jamaliah & Krauss, 2010). Universiti bukan sekadar melahirkan graduan dengan segulung ijazah tetapi bakat-bakat kepimpinan yang melaburkan semula modal yang dimilikinya kepada masyarakat. Dalam erti kata lain, academic qualification dan talent harus seiring dan sejalan. Mahasiswa yang dicita-citakan untuk dilahirkan adalah mahasiswa yang mempunyai ciri-ciri ‘thought leader’ yang intellectually sound, spiritually vibrant, socially competent, emotionally stable dan physically strong.
Universiti dan Tradisi Intelektual
Mahasiswa yang berada dalam confinement selama 4-5 tahun dalam universiti harus melengkapkan dan diperlengkapkan dengan tradisi keintelektualan yang tinggi untuk keluar menjadi thought leader yang berperanan aktif dalam membangun dan menyelesaikan ummah dengan wagas yang jelas. Ia selaras dengan dengan definisi intelektual yang dilontarkan oleh Profesor Zaini Ujang dalam karyanya Mengangkasakan Pengajian Tinggi,
“…intelektual sebagai insan yang memusatkan dirinya untuk memikirkan idea, mekanisme, gagasan, masalah dan seumpamanya yang bersifat kebendaan serta bukan kebendaan dengan menggunakan unsur rohaniah yang membolehkan mengenal pasti dan membezakan antara kebenaran dengan kepalsuan”.
Profesor Zaini juga seperti Herry Lewis, penulis Excellent without Soul bimbang akan peranan dan tradisi intelektual yang sedikit merosot di taman ilmu dan budi ini. Beliau menyebut bahawa peranan universiti telah mengecil kepada sekadar menjalankan proses pengijazahan dan penyelidikan sahaja. Beliau bimbang aspek pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu di kampus tidak lagi menjadi trend dan aset penting. Universiti sepatutnya wahana melahirkan sarjana besar, profesional tersohor dan tokoh ilmuwan dengan prasyarat ekosistem budaya ilmu yang tinggi dalam kampus. Di akhir makalah Idealisme Universiti, Profesor Zaini sekali melontarkan kebimbangan universiti bersifat reaktif dan sekadar menjadi kilang ijazah dengan nilai-nilai inetelektualisme dan budaya ilmu yang luhur seperti kesukarelawan dan idealisme tidak lagi penting dalam proses pendidikan.
Profesor Awang Had Salleh menegaskan universiti sebagai taman minda yang sentiasa disirami dengan air mawar keilmuan yang menyegarkan minda pensyarah dan para mahasiswa. Mungkinkah kegerhanaan taman minda ini dapat dikembalikan semula rohnya di bawah kepimpinan Profesor Zaini Ujang selaku KSU 2 Kementerian Pendidikan dengan agenda Manajemen Qalbu serta semakan Pelan Induk Pengajian Tinggi? Wallahua’lam.
Sewajarnya mahasiswa mengambil inisiaitif untuk mengasah tradisi keintelektual di luar kebiasaan dengan menyertai universiti kedua terbuka di luar.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan