Sedutan Sebahagian Kertas Kerja Seminar INSIDE Anjuran Pelajar Darul Quran Kuala Kubu Bharu
14 Februari 2015 / 24 Rabiulakhir 1436 H Jam 11.30 pagi - 1 tengahari
Mahasiswa Huffaz di antara Citra Intelektualisme dan Misi Rahmatan Lil’alamin
Oleh: JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)
& Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
MENELUSURI JEJAK MAHASISWA ISLAM DAN ANAK MUDA PERINTIS KEBANGKITAN ISLAM 70AN
Menelusuri tradisi keintelektualan dan kebaktian generasi awal gerakan Islam suatu yang mengkagumkan. Walaupun mereka menimba ilmu secara formal di menara gading namun mereka lebih banyak belajar erti kehidupan dan perjuangan dalam bulatan-bulatan gembira aka usrah. Generasi awal ABIM menurut Dr. Siddiq Fadzil (2014) sudah membincangkan karya-karya penting dan besar yang berjaya memberdayakan umat. Mereka membaca dan berdiskusi karya-karya bertenaga tinggi dari dunia Islam, Barat dan Melayu meliputi tema-tema besar seperti Islam sebagai cara hidup; Barat dan Orientalisme; Tamadun Islam; Ilmu dan pendidikan; Islam dan sekularisme; Ekonomi dan keadilan sosial; Kritik sosial dan public intellectual. Mereka bukan sekadar membaca karya wajib haraki al-Banna, Syed Qutb, Fathi Yakan dan Maududi bahkan karya-karya lain oleh Kurshid Ahmad, Muhammad Asad, al-Attas, an-Nadwi, Paolo Freire, al-Faruqi, Gunnar Myrdal, dan Senu Abdul Rahman, sekadar menyebut beberapa nama-nama besar.
Ini suatu iltizam dan kesungguhan yang mengkagumkan di kala zaman 70an yang serba kekurangan dan kekangan mendapat bahan-bahan bacaan bermutu. Qudwah inilah yang harus diteladani sehingga mereka menterjemahkan idea-idea besar intelektualisme ini kepada tindakan dan produk praktikal yang menyelesaikan permasalahan umat. Mereka membawa perubahan sosial yang menukar landskap dakwah negara dan wajah Islam masyarakat Malaysia. Kesatupaduan antara ilmu dan bakti berjaya membawa nama mereka tercatat dalam sejarah umat. Sejarawan menulis pencapaian mereka dengan tinta emas sebagai penerus risalah perjuangan nubuwwah sebaliknya kita risau jika sejarawan masa hadapan menulis sesuatu yang tidak dapat dibanggakan selaras dengan kata-kata yang terpahat di awal buku karya Weiss (2011),
“Let not a future historian writes of us: “They were an uninspired, convictionless generation; their only monuments are the used dance coupons, the cigarette stubs and the Week-enders.”
INTELEKTUALISME DALAM PERSPEKTIF ISLAM
Sebagai mahasiswa Islam lagi huffaz, amatlah wajar sekiranya dilihat dan dinilai intelektualisme daripada sudut kacamata Islam. Dalam istilah pemikiran Islam disebut sebagai pandangan alam Islam yang bersifat rabbani dan syumul. Dengan memahami intelektual daripada pandangan Islam menjadikan kita jelas bahawa ke arah mana mahu dibawa dan paling penting mahu mengelakkan sifat tercela ‘intellectual arrogance’.
Dr. Farid Shahran (2013) merumuskan intelektual daripada sudut pandangan Islam merujuk kepada seseorang yang menggunakan akalnya, dalam takrifan yang luas, dengan bersungguh-sungguh bagi memahami hakikat-hakikat ilmiah termasuk yang berkaitan dengan kebenaran-kebenaran yang berbentuk kerohanian. Tradisi keintelektualan Islam bukan sekadar membahas disiplin-disiplin saintifik dan rasional bahkan menjangkau aspek metafizik dan agama. Islam menyepadukan antara kedua-dua elemen ini yang membezakan pendekatan dualisme yang mendasari tradisi ilmu Barat moden.
Syarah Dr. Farid lagi golongan intelektual dalam al-Quran disebut sebagai ulu al-bab yang bermaksud golongan yang mempunyai aqal. Ali Syariati menyebutnya sebagai ‘men of wisdom’ (Sabri, 2009). Terdapat banyak tempat dalam al-Quran yang menyebut terma ulu al-bab. Antara lain Allah berfirman (al-Baqarah, 2:179),
“Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa”.
Dr. Farid mengenal pasti 3 tunjang intelektualisme Islam, iaitu berpaksikan pendekatan Tauhid; Wahyu sebagai asas pengkajian ilmiah; dan Sikap hormat dan kritis terhadap ilmu asing. Nah, sekarang kita amat tercerah bahawa intelektualisme yang ditunjangi aqal sambil dipandu dengan kukuh oleh wahyu Ilahi yang mengelakkan kita berintelektualisme secara anarki, liberal, agnostik, nisbi dan ekstrim. Al-Quran memuliakan dan menyanjung akal sambil membentuknya dengan penuh keimanan (Sheikh Salah, 2013). Kekuatan aqal amat terbatas lalu wajib al-Quran memandunya seumpama hubungan pengikut dan pemimpin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan