Rayuan untuk Syria
Selasa, Oktober 13, 2015
Andalus Selepas 500 Tahun
Oleh: JUFITRI BIN JOHA
Seperti tersiar dalam Majalah Al-Ustaz Bilangan 42
Sepanyol pernah gemilang diperintah oleh Islam bermula 711 Masihi sehingga 1492 Masihi. Selepas itu, selama 500 tahun Islam hampir terpadam di bawah pemerintahan Reconquista Kristian yang menebus semula tanah mereka yang telah dibuka oleh Gabenor Musa an-Nusair dan Panglima Tariq ibn Ziyad. Tidak ramai yang cakna dan tahu apa yang berlaku pada umat Islam selepas 1492 Masihi.
Profesor Raghib Sirjani dalam bukunya Qissah al-Andalus menyebut bahawa bahawa pasca kejatuhan Islam di Andalus menyebabkan umat Islam Andalus terpaksa berhadapan dengan dengan 3 agenda pemerintah Kristian iaitu gerakan kristianisasi yang memaksakan umat Islam menukar agama kepada Kristian secara paksa; pengusiran keluar dari bumi Andalus jika enggan menukar agama; dan dibicarakan dan diseksa di Tribunal Inkuisisi jika berpura-pura menganut Kristian. Tragedi inkuisisi berlangasung selama hampir 250 tahun. Umat Islam yang terpaksa menukar agama digelar sebagai Moriscos dan menjelang 1614 Masihi bumi Andalus telah dibersihkan sepenuhnya daripada umat Islam.
Menghampiri 500 tahun terakhir selepas kejatuhan kita jarang mendengar apakah nasib sebenar umat Islam sehinggalah kita diberikan khabar gembira pembukaan semula Masjid Granada yang pertama di wilayah Andalusia pada 10 Julai 2003. Peristiwa bersejarah ini dirakam selepas 20 tahun umat Islam Granada bertahan dan berjuang untuk berhadapan dengan penentangan masyarakat sekeliling. Akhirnya Masjid Granada tersergam indah bertentangan dengan Istana Alhambra. Malaysia, UAE dan Maghribi menjadi antara penyumbang terpenting kepada terealisasinya projek yang penting ini. Selepas itu umat Islam Sepanyol tidak lagi menoleh ke belakang sehingga seluruh Sepanyol mempunyai 6 buah Masjid.
Syiar dan cahaya Islam kembali subur. Penulis dalam kunjungan ke Masjid Granada pada 8 tahun lalu sempat berbual dengan Imamnya iaitu Sheikh Mohamad al-Kasbi dan beliau menyatakan bahawa dalam keadaan umat Islam di Granada minoriti dan lemah, sekurang-kurangnya 2 orang seminggu mengucap syahadah di Masjid Granada. Itu berlaku 8 tahun lepas dan penulis percaya ianya semakin berkembang dan rancak berdasarkan fenomena Islam di Eropah.
Ramadhan 1436 Hijrah yang lepas, penulis sempat bertemu Ibrahim Hernandez, Naib Presiden Yayasan Masjid Seville di Kuala Lumpur. Beliau dalam kerangka berkempen untuk mengumpul dana bagi membina masjid ke-7 di Sepanyol iaitu Masjid Seville. Ibrahim merupakan bangsa Sepanyol yang mewarisi keIslaman daripada ibubapanya. Paling menarik menurut Ibrahim ialah umat Islam yang berjumlah hampir 25 000 orang daripada 700 000 jumlah keseluruhan penduduk Seville bersetuju untuk tidak menuntut Masjid Seville yang telah bertukar menjadi gereja ketika pasca 1492. Ini merupakan tindakan bijak bagi mengelakkan sebarang ketegangan awam. Umat Islam Seville sebaliknya berusaha keras membeli tanah private bagi membangunkan Masjid yang lebih besar dan selesa.
Namun begitu perjuangan umat Islam Seville tidak semudah yang disangka kerana ia merupakan sunnah orang berjuang.
Menyorot sejarah umat Islam Seville amat mengujakan. Seville mencatat sejarah apabila menyaksikan orang pertama Sepanyol mengucap syahadah pada 1970an. Seville pada tahun 1980 menjadi nadi pusat perkembangan Islam sebelum Granada mengambil alih. Umat Islam terus berkembang dengan dibantu oleh kehadiran imigran Muslim dari Morocco, Algeria, Senegal dan lain-lain. Tahun 2002 tertubuhnya Pusat Islam Seville dengan ruang yang agak kecil namun dengan kebesaran jiwa umat Islamnya menyebabkan mereka berjaya membeli ruang ini pada 2007 dengan derma pemain bolasepak handalan Kelab Bolasepak Seville Umar Kanoute. Sebagai membalas jasa Kanoute, Pusat Islam Seville telah membuat sumbangan bulanan kepada Yayasan Kanoute yang membuat kerja amal membantu anak-anak yatim dan kanak-kanak yang tidak bernasib baik di Bamako, Mali.
Dengan perkembangan pesat Islam di Seville, memaksa umat Islam untuk mendapatkan ruang yang lebih luas bagi menempatkan Masjid baru yang dapat menampung jamaah yang lebih besar. Bermulalah gerakan mengambil alih Gereja of Santa Lucia untuk dijadikan Masjid namun usaha tersebut dinafikan. Usaha dirancakkan lagi dengan penubuhan Yayasan Masjid Seville bagi merealisasikan hasrat yang tertangguh ini pada 2005. Perjuangan mereka melalui pelbagai onak berduri apabila pihak media dan penduduk tempatan melancarkan serangan dan penentangan terhadap projek pembinaan Masjid Seville.
Yayasan Masjid Seville hampir berjaya mendapatkan anugerah tanah awam bagi tujuan pembinaan Masjid namun usaha tersebut menemui kegagalan apabila Tribunal Superior de Justica de Andalucia membatalkan perjanjian Yayasan dengan Pihak Berkuasa Tempatan Seville dengan memutuskan larangan pemberian tanah untuk pembinaan sebarang entiti berkaitan agama. Semua ini tidak mematahkan semangat mereka sehingga mereka memutuskan membeli tanah private.
Kini Yayasan Masjid Seville di bawah pimpinan Malik A. Ruiz yang juga merupakan Presiden Komuniti Islam Sepanyol dan Ibrahim Hernandez giat mengembara ke serata dunia termasuk Malaysia menjana dana bagi merealisasikan hasrat yang murni ini. Kerajaan Malaysia telah mencatat sejarah sekali lagi mendermakan 1 juta Dollar Amerika untuk Yayasan Masjid Seville selepas membantu Masjid Granada.
Masa amat singkat namun Yayasan Masjid Seville memerlukan kos yang amat tinggi untuk membeli tanah persendirian tersebut serta menampung pembinaan Masjid Seville. Yayasan memerlukan sekitar 16 juta Euro untuk kos keseluruhan.
Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) Sepanyol sudah mengorak langkah berbincang dengan pihak Yayasan bagi membantu serba sedikit pengumpulan dana pembelian dan pembinaan. Pembaca yang budiman boleh turut berpartisipasi menderma dengan melayari laman web Yayasan di www.mezquitadeseville.com. Ini mungkin merupakan peluang keemasan kita bagi sama-sama mencatat sejarah melihat tertegak Masjid ke-7 di Sepanyol ini.
Jika terealisasi hasrat ini, Masjid Seville akan tertegak di lokasi yang amat strategik di tengah-tengah tapak bersejarah Seville, 500 meter dari stesyen bas utama dan hanya 30 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Seville. Namun yang paling penting, kita akan menyaksikan syiar dan Nur Islam akan terus bersinar dengan pengimarahan Masjid Seville dengan pelbagai aktiviti keilmuan, kebudayaan, dakwah dan ketamadunan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan