Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, Oktober 13, 2015


KENYATAAN MEDIA 5 OKTOBER 2015
SAMBUT BAIK PENERIMAAN PELARIAN SYRIA


Pecinta keamanan amenyambut baik cadangan Y.A.B. Perdana Menteri untuk menerima sejumlah 3000 pelarian Syria secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun seperti mana yang diumumkan beliau ketika berucap di Persidangan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) New York pada 2 Oktober 2015 yang lepas.

Walaupun jumlah 3000 ini kecil dan agak lewat, namun ia merupakan langkah permulaan yang baik bagi meringankan beban pelarian Syria yang sudah 4 tahun menderita selain memberikan dorongan kepada Negara-Negara lain khususnya Negara-Negara Islam untuk berkongsi pengambilan pelarian Syria. Buat masa ini pelarian Syria merupakan jumlah pelarian terbesar daripada 59.5 juta jumlah keseluruhan pelarian di dunia. Peranan Malaysia menerima pelarian Syria ini mengingatkan kita kepada peranan aktif Malaysia sebelum ini untuk melindungi pelarian Vietnam, Rohingya dan Bosnia.

Bagi pandangan saya , penerimaan pelarian Syria merupakan penyelesaian jangka pendek. Malaysia harus terus berperanan sebagai Ahli Tidak Tetap Majlis Keselematan PBB (UNSC) bagi menghentikan perang saudara di Syria agar krisis pelarian Syria dapat ditamatkan segera. Kegagalan usaha menghentikan perang, akan memberikan kesan jangka panjang apabila dunia termasuk Malaysia terpaksa menerima limpahan lebih ramai pelarian Syria dan ini akan mewujudkan krisis pelarian yang lebih parah. Ini akan terus mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia tentang kebanjiran pelarian dan penuntut suaka yang sekarang ini sahaja menurut Agensi PBB berkaitan Pelarian (UNHCR) sudah berjumlah 154 000 jiwa yang berada di Malaysia.
Oleh itu saya secara peribadi menyeru

1. Seluruh rakyat Malaysia bersama-sama dengan pihak Kerajaan untuk membantu menerima kehadiran pelarian ini atas semangat kemanusiaan dan memberikan sebarang bantuan keperluan untuk mereka hidup secara baik di Malaysia;

2. Rakyat Malaysia turut membantu pertubuhan Ngo seperti Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) yang berpengalaman dalam mengurus bantuan kemanusiaan untuk rakyat Syria untuk sama-sama menyantuni kehadiran pelarian Syria mendapatkan perlindungan sementara di Malaysia;

3. Kerajaan memberikan hak-hak asas kepada pelarian seperti tempat tinggal, makanan, pendidikan, kesihatan dan kebenaran bekerja bagi menjamin kehidupan yang baik. Pendidikan anak-anak pelarian harus diutamakan agar mereka mendapat pendidikan yang baik bagi mempersiapkan mereka untuk membangun semula Syria pasca perang.

4. Kerajaan mempunyai pelan yang jelas dan tersusun bagi menghantar mereka pulang semula apabila Negara Syria tamat perang bagi membolehkan mereka membina semula Negara yang sudah musnah dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang ditimba di Malaysia.

5. Kerajaan mempertimbangkan untuk mengkaji untuk menandatangani Konvensyen Pelarian PBB bagi membolehkan pelarian di Malaysia dilindungi secara baik dan mendapat hak-hak asas seperti pekerjaan bagi memastikan kesinambungan kehidupan mereka yang lebih baik.

Saya meyakini usaha Kerajaan dan rakyat Malaysia yang bermurah hati menerima pelarian tersebut akan menambahkan lagi kerberkatan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang prihatin terhadap isu-isu kemanusiaan sejagat.

Semoga Allah menambahkan lagi kesejahteraan dan kemakmuran Negara atas usaha yang murni ini.

JUFITRI BIN JOHA
Pengerusi
Malaysia Life Line for Syria (MLLFS)


Tiada ulasan: