Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, Oktober 13, 2015

MBM DAN TANTANGAN GLOBAL


MBM DAN TANTANGAN GLOBAL
Catatan oleh : JUFITRI BIN JOHA, Naib Presiden MBM


Kita ditakdirkan hidup di suatu suasana global yang serba mencabar. Kita tidak mampu menolaknya namun kita mampu untuk menghadapinya dengan penuh strategi dan kebijaksanaan. Dunia terus bergolak dengan pelbagai peristiwa yang berlaku saban hari di sekililing kita. Tidak cukup dengan penderitaan yang dialami oleh Etnik Rohingya semenjak 1942 dan Rakyat Palestin semenjak 1948, kini memasuki senarai ialah Rakyat Syria yang terjerumus dalam kancah perang saudara semenjak 2011 dan Rakyat Yaman semenjak bulan Mac yang lepas. Masalah dunia tidak berkurang malah bertambah dan membuntukan.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) Antonio Guterres melaporkan bahawa jumlah pelarian di seluruh dunia mencecah kepada 59.5 juta dan pelarian Syria menjadi penyumbang terbesar kepada angka ini. Malaysia juga dikejutkan dengan kejadian ‘boat people’ iaitu pelarian dan pencari suaka politik daripada Etnik Rohingya yang terapung di perairan Malaysia menggadai nyawa diri dan keluarga bagi mencari penghidupan yang lebih baik di sini selepas ditendang keluar oleh Etnik Rakhine di Arakan. Tindakan Malaysia walaupun agak sedikit lambat wajar disokong bagi menyelamatkan ‘boat people’ ini atas solidariti kemanusiaan dan persaudaraan bagi mengelakkan lebih ramai yang terkorban ditelan gelombang ganas laut.

Dunia juga dilanda dengan krisis ekonomi yang gawat sehingga Negara-negara dalam zon Euro seperti Greece, Portugal, Sepanyol dan Ireland terpaksa bergelut bagi terjerumus dalam zon muflis. Malaysia juga menerima tempias tersebut sehingga nilai Ringgit jatuh ke paras terendah sejak Krisis Ekonomi Asia pada 1997. Krisis hutang Greece semenjak 2009 menyebabkan Greece jatuh muflis, kadar pengangguran yang tinggi, pendapatan rakyat Greece menurun dan pemimpin politik silih berganti sehingga Greece dipaksakan untuk di ‘bail out’ pada 86 billion euros.

Semua isu global yang berlaku di sekeliling kita, suka atau tidak pasti memberikan kesan langsung kepada Malaysia. Mengambil contoh seperti krisis kewangan dan juga tragedi MH 17 jelas memberikan gambaran tersebut yang memaksa Malaysia untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dan reaktif untuk mempromosikan agenda keamanan dan kesederhanaan. Malaysia harus mengambil kesempatan atau ‘seize the moment’ sebagai Pengerusi Asean dan Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) memanfaatkan segenap ruang untuk mengajak masyarakat dunia komited untuk mewujudkan dunia amnya dan rantau Asia Tenggara khususnya yang lebih stabil, sejahtera dan selamat dihuni oleh semua manusia. Justeru MBM berpandangan Kerajaan Malaysia perlu mempunyai seorang Menteri Luar yang lebih agresif dan progresif bagi mengemudi agenda yang amat penting dan besar ini.

Dunia Islam yang mewakili 57 negara Islam dalam Organization of Islamic Cooperation (OIC) juga turut meletakkan harapan yang tinggi terhadap Malaysia di samping Turki bagi membantu Dunia Islam yang dihantui oleh konflik seperti Israel-Palestin, Syria, Afrika Tengah, Somalia dan Turkestan Timur keluar daripada krisis tersebut.

Di peringkat Asean, kejayaan penganjuran Asean Regional Forum (ARF)ndan Persidangan Menteri-Menteri Luar Asean (AMM) 2015 menggambarkan peranan penting Malaysia ke arah menjayakan Komuniti Asean 2015 yang hanya berbaki 4 bulan sahaja lagi. Dengan agenda kesederhanaan yang dipelopori Malaysia dan telah diterima pakai oleh Asean dalam Langkawi Declaration on the Global of Moderates 2015 memberikan keyakinan terhadap kepimpinan Malaysia untuk lebih agresif menyelesaikan isu-isu sensitif seperti ‘Code of Conduct’ (COC) Laut China Salatan, pelarian Rohingya dan isu pemerdagangan manusia demi rantau Asia Tenggara yang lebih aman dan stabil untuk generasi masa depan. Malaysia wajar terus memainkan ‘leading role’ memandangkan Asia Tenggara akan menjadi rantau yang penting dan ASEAN bakal menjadi kuasa penting selepas Amerika, China dan Kesatuan Eropah.

Sebagai pertubuhan masyarakat sivil dan pertubuhan belia yang paling berpengaruh di Malaysia, MBM akan turut memainkan peranan yang lebih agresif di pentas Asia Tenggara dan Antarabangsa. Justeru, Biro Antarabangsa MBM di bawah pimpinan saya akan diperkasakan. MBM akan memanfaatkan peluang bersama Pusat Belia Antarabangsa (IYC) yang dipimpin oleh saudara Maliki selaku mantan Presiden MBM bagi memperkukuhkan jaringan antarabangsa melalui penubuhan Sekretariat Belia Antarabangsa. Selain itu, MBM akan memperkukuhkan semula hubungan langsung dengan PBB dan The United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (ESCAP). Selain itu, MBM turut komited untuk berperanan mengadvokasikan isu-isu antarabangsa seperti yang telah dilakukan beberapa bulan yang lepas seperti isu perang Yaman dan UnIslamic State of Iraq and Sham (IS) melalui penubuhan Kumpulan Think Tank MIB bersama Akademi Belia.

Di peringkat ASEAN, MBM akan bergandingan bersama Kementerian Belia dan Sukan untuk menjayakan ASEAN Young Leader Summit (AYLS) iaitu beberapa hari sebelum ASEAN Summit November ini selain terus memainkan peranan yang aktif dalam The Committee of ASEAN Youth Cooperation (CAYC). Sebagai nota akhir, MBM juga akan turut bertanding dalam pemilihan Commonwealth Youth Council (CYC) yang bakal berlangsung November ini di Malta bagi melebarkan lagi sayap kepimpinan MBM di pentas Komanwel. Semoga semua usaha ini akan mempertingkatkan lagi imej MBM di mata dunia.

Tiada ulasan: