Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, Oktober 13, 2015

MBM PASCA MAJLIS PERSIDANGAN AGUNG TAHUNAN (MPAT) KE 64.


Oleh: JUFITRI JOHA, Naib Presiden MBM

http://belia.org.my/wp/2015/08/23/mbm-pasca-majlis-persidangan-agung-tahunan-mpat-ke-64/


Majlis Belia Malaysia (MBM) baru sahaja selesai melaksanakan kewajipannya iaitu menganjurkan Majlis Persidangan Agung Tahunan (MPAT) kali ke-64 pada awal Ogos. Dalam masa yang sama MBM juga telah melintasi Sidang Dewan Tertinggi kali ke-100 sejurus sebelum bermulanya MPAT. MPAT berlangsung dalam suasana iklim politik Malaysia sedang bergelora dengan pelbagai isu yang sudah tentu mengundang keresahan sebahagian besar belia di luar sana.

Ucapan dasar Presiden MBM saudara Mua’amar Ghadafi Jamal bertemakan “Membina Belia untuk Masa Hadapan” jelas menggambarkan aspirasi pemimpin belia semasa yang komited untuk mempersiapkan belia hari ini menjadi tonggak utama Negara pada hari esok bersesuaian dengan kata-kata John F. Kennedy, Mantan Presiden Amerika Syarikat, “We cannot always build the future for the youth but we can always build the youth for the future”. Tema ini dipilih secara tidak langsung merupakan respon kepada Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015, sebuah dokumen penting hala tuju dan arah pembinaan generasi masa hadapan yang telah memberikan definisi baru kepada had umur belia 15-30 tahun.

Untuk mempersiapkan belia untuk masa hadapan memerlukan sebuah platform yang harus dianggap releven oleh anak muda dan platform itu tentunya adalah MBM. Dalam sub topik Releven, Presiden MBM telah menyentuh soal peranan MBM dan pergerakan belia menumpukan kepada usaha-usaha menyediakan ‘world ready youth’ yang mampu bersaing di arena tempatan dan antarabangsa.

Saya tertarik untuk mengulas lanjut soal relevensi MBM. MBM yang sudah berusia 67 tahun masih releven dan untuk terus kekal releven dan survive, MBM memerlukan idea-idea baru untuk maju ke hadapan sebagai platform terbaik mempersiapkan pemimpin belia dan belia untuk masa hadapan. Kishore Mahbubani penulis terkenal Can Asian Think? menulis dalam buku terbarunya Can Singapore Survive? menyebutkan bahawa untuk Singapura hanya boleh terus survive selaku bangsa maju dengan penghasilan idea-idea baru dan hebat. MBM juga begitu.

Justeru saya berhasrat memberikan beberapa sudut pandang idea memberikan makna releven kepada MBM. MBM akan dirasakan releven oleh belia dan masyarakat apabila:

Elemen inklusif diterapkan. MBM bukan hanya memimpin belia semenanjung tapi MBM turut memimpin belia Sabah dan Sarawak. Dalam kepimpinan MBM sekarang pun, pemimpinnya turut dipimpin oleh belia Dusun dari Sabah cuma MBM masih memikirkan formula untuk membawa pemimpin belia dari Sarawak. Selain itu, MBM turut harus memikirkan bagaimana kepimpinannya mampu untuk menyantuni lebih 80 etnik belia yang ada di Malaysia. Isu-isu ketidakpuasan hati belia di Sabah dan Sarawak wajar diberikan perhatian khusus agar tuntutan tidak munasabah yang digerakkan oleh kumpulan yang menggelarkan dirinya sebagai Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) dapat dipadamkan.

Selain itu, MBM bukan hanya eksklusif untuk pendokong parti politik tertentu tetapi MBM juga terbuka dan inklusif memperjuangkan nasib dan suara belia merentas kefahaman dan ideologi politik kerana MBM adalah untuk semua termasuk untuk belia yang tidak berparti atau istilah popularnya belia atas pagar yang merupakan majoriti terbanyak. MBM telah membuktikannya dengan berjaya menarik penyertaan wakil pemuda parti pemerintah dan pembangkang dalam Himpunan Bantah Ekstremisme dan Solidariti Kemanusiaan Syria pada 4 April 2015 yang lepas bagi menyediakan ruang pemimpin belia menyatakan bantahan terhadap kegiatan ekstremisme khususnya UnIslamic State of Iraq and Syam (IS) dan solidarity terhadap penderitaan rakyat Syria. Isu ini berjaya menjadi common factor belia Malaysia untuk bersatu hati dan suara.

Elemen berfikir minoriti diterapkan. Pemimpin MBM harus ada fikiran minoriti di mana mereka harus memikirkan nasib dan kebajikan belia yang tergolong dalam golongan rentan atau minoriti seperti belia OKU, LGBT, orang Asli dan lain-lain agar mereka tidak ras terpinggir. MBM sudah pun mengorak langkah dengan menganjurkan program induksi sukarelawan sokongan OKU. Program ini bertujuan melatih sukarelawan belia dengan skil spesifik untuk membantu belia OKU dalam bidang kemahiran asas agar mereka mampu berdikari dan mendapat peluang pekerjaan. Secara praktikalnya, MBM telah pun melancarkan Pasukan Sukarelawan Sokongan OKU (SOKU) pada 16 Ogos 2015 yang lalu di Murni International College Putrajaya.

Elemen suara dan badan konsultasi belia. MBM harus terus meningkatkan usaha menjadi suara dan badan konsultasi yang berada di platform-platform penting Negara. MBM harus dianggap badan terpenting yang mahu tidak mahu wajib diajak berunding oleh pihak-pihak berwajib dalam membuat keputusan dan dasa Negara. MBM telah pun terlibat dalam banyak platform-platform menyampaikan suara dan aspirasi belia seperti Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) dan Majlis Konsultasi Bajet Negara. Selain itu MBM secara proaktif telah meminta ruang untuk dimasukkan dalam Majlis Sosial Negara bagi memberikan ruang MBM menyampaikan pandangan belia dalam isu-isu sosial dan masalah belia. MBM juga turut lantang menyampaikan bantahan kepada Kementerian Belia dan Sukan apabila MBM tidak terpilih menjadi salah seorang daripada 2 wakil belia Malaysia yang diberikan ruang menyampaikan pandangan kepada pemimpin tertinggi ASEAN ketika Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN April 2015 lepas di Kuala Lumpur.

Elemen “Bertindak Demi Kebenaran dan Keadilan”. Dalam suasana Malaysia berhadapan dengan pelbagai kemelut politik seperti 1MDB, GST, kejatuhan nilai Ringgit dan integriti & good governance, MBM harus tegas dan berhikmah dalam menyampaikan keresahan dan kebimbangan belia kepada kepimpinan tertinggi Negara. MBM harus mengambil pendekatan munasohatul hukkam atau peranan menasihati pemerintah agar segera membuat perubahan politik bagi mengembalikan kepercayaan belia terhadap keupayaan Kerajaan mentadbir Negara. Suara MBM harus kelihatan neutral tanpa sebarang kepentingan dalam menyuarakan kebimbangan belia terhadap suasana yang berlaku sekarang.

Elemen jurubucara isu global. MBM dalam usaha memperkasakan Biro Antarabangsanya. MBM bukan hanya bicara soal belia dan nasional bahkan turut menangani isu-isu serantau dan global. Salah satu fungsi Biro Antarabangsa MBM menurut Perlembagaan MBM ialah menentukan dasar-dasar luar negeri. MBM telah pun mengambil kesempatan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Ahli Majlis Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk memberikan pandangan dan tindakan bagaimana untuk belia Malaysia membantu Malaysia memainkan peranan aktif di pentas antarabangsa khususnya menangani isu peperangan, geopolitik, konflik Laun China Selatan dan Komuniti Asean 2015. Isu-isu hangat seperti Perjanjian TPPA dan MRA ASEAN sedang diteliti oleh MBM bagi menyatakan pandangan belia terhadap Kerajaan berkenaan isu ini.

Elemen inovasi sosial. Menteri Belia YB Khairy Jamaluddin melontar cabaran agar MBM berjaya menaikkan peratusan belia yang terlibat dalam persatuan belia kepada 50 peratus. Belia yang terlibat dalam persatuan belia merupakan belia konservatif yang percaya kepada kepentingan persatuan untuk menyumbang kepada masyarakat. Untuk mendekati belia yang tidak berpersatuan ini, MBM dan persatuan belia harus mengadaptasi elemen inovasi sosial bagi menarik minat belia dengan pendekatan yang segar dan menarik. Inovasi sosial yang kita mahukan ialah “strategic change that create value”.

Kesemua elemen-elemen di atas jika diadun dengan baik akan menjadikan MBM terus releven bahkan boleh terus survive untuk menjadi pilihan utama belia sebagai platform untuk menyumbang kepada masyarakat, Negara dan dunia.

Tiada ulasan: