Rayuan untuk Syria
Selasa, Oktober 13, 2015
MENDEKATI BELIA MALAYSIA ANTARABANGSA (BMA)
Oleh: JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden MBM
Dalam Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015, Belia Malaysia Antarabangsa (BMA) merupakan salah satu daripada 8 kumpulan sasar belia. BMA merangkumi belia yang sedang bekerja dan belajar di luar Negara dan belia yang pernah bekerja dan belajar di luar Negara. Berdasarkan pengalaman lalu, kelihatan kumpulan BMA kurang diberikan perhatian dan didengari khususnya oleh pihak-pihak pemegang taruh berkaitan pembangunan belia seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM). Usaha-usaha pembangunan belia banyak tertumpu kepada belia dalam Negara memandangkan majoritinya berada dalam tanahair.
Secara amnya BMA ini merupakan golongan belia yang terpilih untuk belajar dan bekerja di luar Negara berdasarkan kepandaian dan kepakaran mereka selain memenuhi keperluan domestik Negara terhadap sesuatu bidang profesional. Ini menggambarkan betapa pentingnya untuk kelompok ini dibangunkan secara informal walaupun secara formalnya mereka telah terdidik dalam kelas-kelas di menara gading ternama di luar Negara. Ini adalah kerana terkadang pendidikan informal dalam pembangunan belia ini penting membentuk karakter keinsanan dan kewarganegaraan bagi mempersiapkan mereka berhadapan dengan realiti semasa di Malaysia dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan belia, agama, bangsa dan Negara. Kita bimbang gejala Excellent without Soul yang diungkapkan Bekas Dekan Harvard Business School, Herry Lewis menimpa mereka di mana kita banyak melahirkan graduan yang literate but uneducated.
Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corp Johan Merican pernah menyebut bahawa usaha Kerajaan membawa balik sebahagian besar rakyat Malaysia untuk balik berkhidmat dalam Negara belum mencapai tahap yang sepatutnya. Ini merupakan satu berita yang menyedihkan apabila Negara asing menerima brain gain dan Malaysia mengalami brain drain apabila bakat-bakat mudanya enggan pulang berkhidmat atas pelbagai alasan dan sebab. Namun tidak dinafikan bahawa ada sebahagian daripada mereka menangguhkan kepulangan untuk mencari pengalaman bekerja serta menambahkan kepakaran sebelum betul-betul bersedia untuk pulang berkhidmat membawa bersama kepakaran dan pengalaman yang dtimba untuk dipindahkan ke tanahair.
Teringat perbualan bersama seorang sahabat apabila beliau berkongsi kisah antara seorang rakyat Malaysia dan seorang residen Kanada di bumi Kanada. Residen Kanada itu bertanya kepada rakyat Malaysia itu tentang sebab penghijrahannya ke Kanada. Rakyat Malaysia tersebut menjawab tentang kepayahan hidup di Malaysia dengan gaji yang rendah, iklim politik yang membosankan, pengangkutan awam yang lemah dan pelbagai lagi alasan yang diberikannya. Residen Kanada itu membalas dengan penuh hikmah, “Kami dulu juga susah, apa yang kami kecapi hari ini di Kanada adalah berkat kesabaran kami untuk terus setia dan sabar berada dalam Negara bersama-sama membangunkan Negara daripada sekerap (scratch) ke sebuah Negara maju”.
BMA merupakan kelompok yang harus disantuni. Tidak dinafikan terdapat banyak pihak berkepentingan yang tekah merapati mereka meliputi Kementerian Pengajian Tinggi, MARA, Kelab Umno Luar Negara, GPMS, ISMA, IKRAM, ABIM, PAS dan pelbagai pihak lain namun teramatlah wajar dan terlebih afdhal KBS dan MBM memberikan perhatian kepada kelompok ini. Revisi DBM 2015 amat tepat apabila memasukkan BMA dalam 8 kumpulan sasar sekaligus memberikan penekanan khusus kepada pemegang taruh untuk turut menumpukan usaha pembangunan belia di kalangan kelompok BMA.
Penulis secara peribadi juga turut memberikan perhatian besar terhadap kelompok ini. Apabila penulis berada di luar Negara untuk menghadiri sesuatu program penting, pastinya pertemuan dengan para pelajar merupakan salah satu acara wajib selain berkunjung ke kedai buku dan cenderamata. Setakat ini penulis berpeluang berinteraksi dan berdialog dengan para pelajar Malaysia di Yaman, Syria, Amerika Syarikat, Australia, Mesir, Jordan, Arab Saudi, Perancis, United Kingdom, Republik Czech, Indonesia dan Maghribi. Apa yang penulis dapati daripada mereka adalah keperluan untuk merunding buah fikiran; menyelami permasalahan; menyalurkan maklumat-maklumat program pembangunan belia dan Negara; dan mempersiapakan mereka berhadapan cabaran yang lebih besar apabila mereka pulang berkhidmat di Malaysia. Penulis pernah menawarkan kepada pelajar Malaysia di Jordan untuk membawa suara dan pandangan mereka berkenaan pembangunan BMA ke dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) sebagai suatu komitmen membantu mewakili suara mereka ke peringkat kepimpinan tertinggi Negara.
Terdahulu pihak KBS telah pun memulakan langkah memberikan peluang BMA untuk menyertai program-programnya khususnya Felo Perdana. Ini merupakan usaha yang baik dan harus diperluaskan maklumatnya kepada kelompok BMA yang bertaburan di serata dunia agar tidak hanya sesetengah pihak sahaja yang berpeluang. Usaha mengumpul data dan kontak perhubungan mereka harus diselaraskan oleh sebuah sekretariat bagi melancarkan urusan yang amat penting ini. MBM boleh tampil bersama-sama membantu KBS untuk menjayakan sekretariat ini. MBM harus mengambil semangat rakan mereka Komite Pemuda Nasional Indonesia (KNPI) yang khabarnya mempunyai cawangannya di luar Negara khususnya di kalangan pelajar.
Jawatankuasa Pendidikan MBM turut telah memulakan langkah merapati dua segmen BMA dengan menganjurkan rundingan meja bulat dan pertemuan iaitu bersama Malaysian Youth Moderation Thought (MYMT) sebuah platform baru mahasiswa di Asia Barat dan United Kingdom & Eire Council (UKEC). Bersama MYMT di bawah pimpinan Mahasiswa Malaysia di Mafraq Jordan Ashraf Hadi dan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM), MBM telah menganjurkan rundingan meja bulat membincangkan peranan mahasiswa Asia Barat bagi membantu menyebarkan fahaman kesederhanaan di kalangan belia dan rakyat Malaysia. Ini bagi mengingatkan mereka peranan mahasiswa yang kebanyakkannya mengambil jurusan agama ataupun mengambil jurusan kedoktoran tapi berpeluang bertalaqqi (belajar) bersama para guru agama dan ulama bagi menggunakan kelebihan kefahaman agama bagi turun ke masyarakat membuat usaha-usaha penerangan dan pencerahan terhadap agenda kesederhanaan. Kefahaman mereka harus disebarkan secara tersusun dan penubuhan MYMT yang dicadangkan didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) amat tepat pada masanya. Belia dan masyarakat di akar umbi memerlukan mereka khususnya belia yang bersemangat memperjuangkan agama namun sayangnya tanpa bimbingan kepada kefahaman agama yang sebenarnya. Natijahnya ada yang terlibat dalam UnIslamic State of Iraq and Syam (IS) kerana terpesona dengan slogan kosong Negara Islam itu.
Pertemuan MBM bersama UKEC banyak membuka jalan bagi memahami situasi pelajar Malaysia di United Kingdom dan Ireland. UKEC merupakan Majlis Perwakilan Pelajar yang rasmi dan berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Britain dan Jabatan Penuntut Pelajar (EM) UK. UKEC diwakili oleh Presidennya Mikhail Rosli, Timbalan Presiden Aqil Abu Hassan Asaari dan Naib Presiden Ryan Chua Wei Quan. Pertemuan berlangsung baik dan banyak perkara yang dapat dibincangkan merangkumi pembangunan belia, senario pelajar di UK & Ireland dan hal ehwal Negara.
Saudara Mikhail turut berkongsi program-program utama UKEC termasuk Projek Amanat dan Sidang Kemuncak Tahunan UKEC di Kuala Lumpur. Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap sesetengah kelompok pelajar yang bersifat eksklusif dan tidak meraikan kemajmukan seperti yang tergambar dalam realiti kemajmukan Malaysia. Beliau mengalu-alukan kerjasama bersama MBM khususnya dalam mendidik pelajar di United Kingdom & Eire tentang aspek keilmuan, pembangunan belia, kesederhanaan dan keterbukaan. Beliau amat menggalakkan program dianjurkan di kawasan seperti Manchester yang dihuni oleh pelajar yang pelbagai dan rencam pemikirannya berbanding pelajar Malaysia di London yang sedikit berbeza cara pemikirannya.
Pertemuan dan diskusi sebegini mendekati BMA harus digandakan bagi menyelami pemikiran mereka. Namun yang paling penting adalah bagi mengenali bakat-bakat terbaik untuk digilap dan diasuh dalam pergerakan belia bagi melorongkan mereka menjadi pimpinan-pimpinan pergerakan belia dan Negara selaras dengan Agenda MBM in Business (MIB) untuk melahirkan 300 pimpinan menjelang penguatkuasakan definasi umur belia bawah 30 tahun pada 2018. BMA mempunyai ilmu, pengalaman dan idea yang unik untuk diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan polisi. Pergerakan belia wajar dipimpin oleh gabungan belia yang tidak terpelajar dan terpelajar di kalangan graduan kemahiran, graduan universiti tempatan dan graduan luar Negara bagi memastikan pergerakan belia terus relevan dengan idea-idea dan program-program segar demi pembangunan belia dan agama.
Dengan kudrat dan limitasi kos yang ada, MBM akan terus mendekati BMA dan berusaha menembusi sebanyak mungkin lokasi BMA berada termasuk sejauh New Zealand, Jamaica, Taiwan dan Korea.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan