Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, November 10, 2015

SEDUTAN KERTAS KERJA: Konvensyen Al Islami Rahmatun Lil Alami @ Hotel Olive Tree Pulau Pinang 8 November 2015


LA CONVIVENCIA: KEGEMILANGAN KEHIDUPAN MULTI-BUDAYA ANDALUSIA
Oleh: JUFITRI BIN JOHA

LA CONVIVENCIA


Pada hemat penulis, terdapat tiga faktor yang membawa kepada kehidupan bersama yang harmoni atau yang dijenamakan sebagai La Convivencia atau peaceful co-existence iaitu ketinggian budaya ilmu, pembangunan fizikal yang pesat dan pemerintahan yang adil berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah. Sudah tentu kejayaan model Andalusia mewarisi asas-asas yang dibina oleh Rasulullah S.A.W. di Madinah al-Munawwarah (Khalif, 2011).

Ameer Ali (2010) ketika membincangkan idea asimilasi, integrasi atau Convivencia menjelaskan Convivencia sebagai,
“Convivencia is a Spanish word for coexistence. It means “not social equality…(but) tolerance secured by restrictions”, a model that evolved in Muslim Spain in the eighth century. Convivencia is neither a fruit juice nor a fruit salad but it is like the individual baskets of different fruits in a fruiterer’s shop.
Dalam erti kata lain Convivencia adalah situasi di mana penduduk pelbagai budaya dan agama hidup secara aman berkongsi wilayah dan bebas mengamalkan budaya masing-masing. Tidak cukup sekadar itu, penduduk bukan Islam diberikan kedudukan istimewa di sisi pemerintahan Islam seperti Musa Ibn Maymun atau Maimonides di Cordoba. Dikatakan Yahudi mencapai era kegemilangan pada zaman tersebut.

Walaupun pada sesetengah pemikir Barat seperti Dario Fernandez Morera dan Bernard Lewis menyatakan bahawa Convivencia sebagai mitos dan tidak boleh diterima, namun tidak kurang juga sarjana Barat yang mengiktiraf dan menghargai sumbangan besar gagasan yang penting ini.

Individu seperti Profesor Maria Rosa dari Univeriti Yale mengabadikan kejayaan pembinaan budaya toleransi dalam kalangan Islam, Kristian dan Yahudi di bawah pemerintahan umat Islam zaman pertengahan Andalus dalam lewat karyanya Ornament of the World. Ramai sejarawan termasuk Gibbon mengakui bahawa pada zaman Andalusia diperintah oleh orang Islam, orang Kristian dan Yahudi hidup dalam kedamaian dan keamanan (Khalif 2011).

Aidil Adha Sulaiman (2015) turut merumuskan bahawa Convivencia ini membawa maksud hidup bersefahaman antara satu sama lain dalam sebuah pemerintahan. Tambah beliau lagi, masyarakat Andalusia hidup dalam satu budaya dan bahasa yang sama namun terus bebas menganut dan mengamalkan agama masing-masing.
Interaksi harmonis antara penduduk Islam dan bukan Islam berlangsung dengan baik berasaskan aspek aspek seperti pemerintahan yang berintegriti dan berkebajikan; pembangunan ilmu dan kemajuan yang pesat; kesediaan bersama-sama mempertahankan Negara daripada ancaman luar; ketegasan para ilmuwan menasihati dan menegur pemerintah; dan partisipasi rakyat pelbagai agama dan budaya dalam pentadbiran Negara (Ahmad Zaki, 2011).

Secara ringkas model La Convivencia menggambarkan kegemilangan kehidupan multi agama dan budaya (multiculturism) yang memberikan inspirasi dan harapan kepada dunia yang dahagakan keamanan sejagat. Islam bakal mengakhiri lengkuk kejatuhan 100 tahun dan akan mula mendaki naik ke lengkuk kebangkitan bermula 2018 menurut Profesor Andullah Sheikh Abdul Majid az-Zindani.

Tiada ulasan: