Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, November 10, 2015

TRAGEDI AYLAN KURDI MENYENTAK KECULASAN MASYARAKAT DUNIA


Oleh: JUFITRI BIN JOHA

Sumber : Majalah al-Ustaz Bil 43


Dunia digemparkan dengan mayat kanak-kanak bernama Aylan Kurdi yang mati terdampar di pantai Mediterranean apabila dijumpa oleh Polis Turki. Aylan 3 tahun terkorban bersama abangnya yang berumur, ibunya dan beberapa lagi pelarian Syria yang mencuba nasib merentas laut Mediterranean untuk mencari penghidupan baharu di Negara Barat

Tragedi ini menyentap masyarakat dunia dan menggambarkan kegagalan masyarakat dunia untuk menyelesaikan konflik berdarah di Syria yang sudah masuk tahun ke-5. Keluarga Aylan Kurdi terpaksa meninggalkan tanahair untuk mencari penghidupan lebih baik dan cerah demi masa depan anak-anak. Khabarnya keluarga Aylan mahu berhijrah ke Kanada menyertai saudara-mara mereka di sana. Mereka terpaksa menaiki bot yang sarat dengan penumpang untuk ke Greece sebelum seterusnya ke Kanada. Namun perjalanan mereka berakhir dengan tragedi yang menyayat hati. Benarlah bahawa perjalanan mereka adalah perjalanan kematian dengan menaiki bot kematian menuju ke destinasi kematian. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tahun ini sahaja, 2600 jiwa telah terkorban dalam cubaan mereka merentas Laut Mediterranean.

Setiap hati yang melihat mayat Aylan yang terdampar di atas pantai Turki pastinya akan tersentuh dan meronta-ronta bagi melakukan sesuatu agar kejadian yang sama tidak berulang.

Tragedi Aylan jelas menggambarkan kegagalan kita semua untuk menghentikan perang serta membela nasib pelarian. Menurut Laporan Suruhanjaya Eropah, krisis Syria merupakan krisis kemanusiaan yang terbesar dalam sejarah peradaban dunia semenjak Perang Dunia kedua. Sejumlah 12.2 juta rakyat Syria di dalam Syria yang memerlukan bantuan kemanusiaan manakala sekitar 4 juta terpaksa lari meninggalkan Negara. Usaha-usaha yang dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Ngo-Ngo seluruh dunia termasuk Malaysia setakat ini masih jauh daripada mencukupi.
Negara-Negara jiran Syria seperti Lubnan, Turki, Jordan, Iraq dan Mesir sudah tidak mampu lagi menampung kebanjiran pelarian Syria bahkan Lubnan berpotensi untuk dilanda krisis apabila Negara sekecil itu terpaksa menampung seramai 1 172 753 pelarian Syria. Justeru, pelarian Syria tidak mempunyai pilihan lain kecuali mencari tempat yang lebih selamat walaupun terpaksa berjalan kaki ribuan kilometer dan merentas samudera ganas sejauh ke bumi Eropah. Kita tidak lagi menoleh ke belakang kerana Negara mereka telah munsah dan hangus sama sekali.

Eropah berhadapan dengan kebanjiran pelarian khususnya dari Syria, Afghanistan dan Eritrea. Eropah terpaksa menerima musibah kebanjiran pelarian ini kerana Eropah gagal untuk sama-sama membantu secara efektif menamatkan perang di Syria. Setakat Ogos 2015, seramai 350 000 imigran telah menyeberang sempadan Eropah bagi mencari penghidupan baru berbanding seramai 280 000 imigran sepanjang tahun 2014. Ini merupakan perkara yang tidak pernah belaku sebelum ini. Negara-Negara Kesatuan Eropah (EU) masih berbelah bagi untuk menerima jumlah kehadiran pelarian dan imigran yang terlalu ramai walaupun sebahagian rakyat Eropah mengalu-alukan kedatangan mereka atas semangat solidariti kemanusiaan. Namun di sesetengah Negara Eropah mereka dihalau dan dilarang untuk melaluinya.

Keterbukaan Jerman dengan menawarkan 800 000 tempat sedikit melegakan dan menggembirakan pelarian. Ia memberikan harapan baharu namun cabaran kepada pelarian Syria ialah cara untuk sampai dengan selamat ke Jerman. Canselor Jerman Angela Merkel turut menyeru Negara EU lain berbuat perkara yang sama. Selain prinsip hak asasi manusia yang dipegang oleh Jerman dan kekukuhan ekonomi, keperluan untuk mendapatkan tenaga buruh muda mendorong Jerman untuk membuka pintu Negaranya secara besar-besaran kepada pelarian dan imigran. Jerman mengalami aging population yang akan memberikan kesan jangka panjang kepada tenaga kerja jika tidak di atasi segera. Cuma kita berasa sedikit terharu dengan kesungguhan dan kemurahan Jerman sedangkan Negara-Negara Islam masih diam membisu khususnya Negara-Negara Teluk. Namun Malaysia telah memulakan langkah bijak apabila Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan kesediaan menerima 3000 pelarian Syria secara bertahap dalam tempoh tiga tahun di Persidangan PBB (UNGA) New York yang lepas. Jumlah 3000 walaupun sedikit namun ia adalah permulaan baik ke arah keterbukaan Malaysia menerima pelarian yang seagama dan seakidah.

Usaha Malaysia bersama Turki mengingatkan kita kepada Sultan Beyazid II, Khalifah Empayar Turki Uthmaniyyah yang mengalu-alukan pelarian Muslim dan Yahudi Sephardic yang terbuang dan dihalau oleh Kerajaan Isabella-Ferdinand di Andalusia pada 1492 Masihi. Sekurang-kurang Malaysia dan Turki menjadi tempat berlindung di mana kehadiran mereka dialu-alukan agar kejadian Aylan Kurdi tidak lagi berulang. Tragedi Aylan Kurdi terus mengingatkan kita tentang tanggungjawab untuk membantu golongan pelarian yang memerlukan.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Malaysia Life Line for Syria di : https://www.facebook.com/MLL4S/?fref=ts

Tiada ulasan: