Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Rabu, Mei 17, 2017

Majalah al-Ustaz Bilangan 61 / 2017


John Nixon dan Interogasi Saddam
Oleh : JUFITRI JOHA


Sir John Chilcot, Pengerusi Jawatankuasa Iraq Inquiry Britain telah memutuskan pada 6 Julai 2016 bahawa polisi luar Kerajaan Britain terhadap Iraq termasuk terlibat dalam menceroboh Iraq sepanjang 2001 sehingga 2009 adalah tidak tepat. Alasan kewujudan Senjata Pemusnah Besar-Besaran (WMD) di Iraq yang mendatangkan ancaman besar kepada dunia adalah “unjustified” dan ternyata Kerajaan Britain sewaktu itu yang dipimpin Tony Blair langsung tidak bersedia dengan pelan peralihan pacsa kejatuhan Saddam. Justeru Jawatankuasa Iraq Inquiry memutuskan Kerajaan GAGAL mencapai matlamatnya.

Laporan Jawatankuasa Iraq Inquiry ini jelas menunjukkan tindakan gandingan Bush-Blair untuk menyerang Iraq yang kononnya untuk mencari WMD adalah tindakan salah bahkan jenayah perang yang tidak dapat dimaafkan. Rakyat Iraq menerima kesan yang amat sadis, mendalam dan berpanjangan sehingga kini di mana Iraq sentiasa bergolak termasuk diancam IS. Malangnya penjenayah-penjenayah perang ini masih bebas dan tidak pun ditangkap untuk dibicarakan oleh masyarakat antarabangsa. Mujurlah usaha segelintir masyarakat dunia yang prihatin melalui Kuala Lumpur War Crimes Tribunal telah mengheret dan memutuskan Bush-Blair bersalah melakukan jenayah perang sebagai simbolik membela nasib rakyat Iraq yang teraniaya.

John Nixon melalui buku terbarunya Debriefing the President, The Interrogation of Saddam Hussein turut mendedahkan kepincangan Amerika terhadap dasar luar negara yang membawa petaka besar terhadap Iraq. Nixon menulis setebal 239 mukasurat terhadap pengalaman dan kekesalannya terhadap tindakan membabi buta Iraq bersekongkol dengan Amerika untuk menyerang Iraq. Nixon yang ditugaskan menyiasat dan menyoal lanjut Saddam sejurus beliau ditangkap oleh tentera Amerika menyimpulkan bahawa tiada kebaikan yang dilihat melainkan 3 kesan buruk utama iaitu kebergantungan tinggi rantau Timur Tengah kepada Amerika; pembaziran trillion dollar dan kehilangan nyawa yang menyebabkan Iraq jauh lebih buruk daripada zaman Saddam; dan kemunculan al-Qaeda dan IS yang jauh lebih berbahaya dan dahsyat sebelum berlakunya serangan di Iraq.

John Nixon merupakan penganalisis kepimpinan senior di Central Intelligence CIA Amerika daripada tahun 1998 sehingga 2011. Beliau melawat Iraq beberapa kali untuk tujuan intelijen dan menyoal siasat Saddam. Sepanjang di CIA beliau biasa memberikan taklimat intelijen kepada kepimpinan tertinggi Kerajaan Amerika sehingga beliau meninggalkan CIA pada tahun 2001.

Debriefing the President, The Interrogation of Saddam Hussein merupakan buku pertama beliau yang menyajikan paparan pengalaman menarik menyoal siasat Saddam dan kritikan halus beliau terhadap kegagalan besar dasar luar Amerika menyerang dan menceroboh Iraq. Penguasaan Nixon terhadap subjek Negara Iraq dan Saddam membolehkan beliau ‘berdialog’’ dengan baik dengan Saddam bagi mendapatkan jawapan kepada WMD yang dituduh kononnya Iraq memilikinya.

Nixon tidak percaya kepada penggunaan kekerasan sebaliknya beliau percaya kepada pendekatan dialog dan bersahaja bagi mendapatkan jawapan daripada Saddam. Ternyata Nixon yang kaget dan teruja dengan tugasan besar ini mendapat kerjasama, jawapan serta pendedahan yang unik daripada Saddam. Sesi interogasi yang berlangsung lama di tempat tahanan Saddam berlegar sekitar pentadbiran Kerajaan Iraq, kehidupan peribadi Saddam, WMD dan politik Asia Barat.

Nixon mendapati bahawa Saddam merupakan personaliti yang menarik. Berpeluang bersemuka dengan orang yang dikajinya semenjak bertahun lamanya daripada jauh merupakan suatu yang sukar beliau percayai bahkan Nixon merupakan agen intelijen pertama yang berpeluang menyoal siasat Saddam. Nixon jugalah orang mengesahkan identiti Saddam sejurus selepas ditangkap berdasarkan kajian tatoo kaum dan parut yang ada di kaki Saddam. Nixon percaya bahawa Saddam bukanlah ancaman besar Amerika apabila Saddam mendedahkan bahawa beliau mengharapkan agar berpeluang mengukuhkan hubungan dengan Amerika dan bersedia memerangi pengganas. Bahkan ketika Amerika bersiap sedia untuk berperang, Saddam baru sahaja menamatkan tulisan novelnya untuk dikritik oleh timbalannya Tariq Aziz. Ini menggambarkan bahawa Iraq tidak bersedia berperang dan bukannya ancaman kepada Amerika. Nixon tegas mengulangi bahawa ini merupakan sesuatu yang memalukan kepada pentadbiran Amerika.

Nixon berpeluang menelusuri sejarah perkembangan dan pembesaran Saddam semenjak kecil. Saddam dibesarkan sebagai anak yatim dan sering diejek oleh kanak-kanak lain di Bandar Tikrit kerana ketiadaan ayah dan emaknya yang seorang ahli mistik. Saddam membesar dengan bapa tirinya yang menyuruhnya berhijrah ke Baghdad untuk memenuhi impian dan potensinya dan Saddam bernasib baik kerana bapa saudaranya di Baghdad merupakan Datuk Bandar Baghdad dan jatuh hati pula dengan anak perempuan pakciknya itu, Sajida yang akhirnya menjadi suri hatinya. Itu merupakan permulaan kepada tangga pendakian Saddam ke arena politik. Antara fakta yang menarik daripada Nixon ialah Saddam amat berbangga dengan ketokohan Salahuddin al-Ayyubi yang berasal dari tempat yang sama dengannya iaitu Tikrit walaupun Salahuddin merupakan etnik Kurdish yang pernah dibunuhnya.

Banyak pendedahan-pendedahan menarik yang diceritakan semula Nixon dalam karyanya berkenaan Saddam namun di kesempatan yang terbatas ini yang mahu diperjelaskan dan dipertekankan ialah kekecewaan yang amat besar Nixon terhadap pentadbiran Bush yang membawa petaka besar terhadap rakyat Iraq khususnya selepas Nixon memberikan dua kali taklimat intelijen berkenaan Iraq dan Saddam kepada Bush. Nixon turut mengkritik CIA yang pada sesetengah keadaan kelihatan tidak ‘smart’ dan tidak bersedia berhadapan dengan kejatuhan Saddam.

Disebaliknya kebobrokan yang ada pada dunia intelijen, masih ada insan yang rasional seperti John Nixon yang mendedahkan penyelewangan dan pembohongan pemerintah yang zalim seperti Bush. Dunia tidak akan sekali kali lupa akan perbuatan terkutuk yang dilakukan Bush-Blair dan lambat laun pasti mereka berdua akan menerima pembalasan setimpal dan selayaknya dengan penderitaan rakyat Iraq.

Tiada ulasan: