Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Rabu, Mei 17, 2017

KENYATAAN MEDIA FEDERASI KEBANGSAAN PEKERJA BELIA (FKPB) 18 MEI 2017 / 21 SYAABAN 1438 H



KENYATAAN MEDIA
FEDERASI KEBANGSAAN PEKERJA BELIA (FKPB)
18 MEI 2017 / 21 SYAABAN 1438 H


Dasar Belia Malaysia (DBM) yang telah disemak dan dilancarkan pada tahun 2015 adalah sebuah dokumen falsafah pembangunan belia yang komprehensif dalam mempersiapkan belia sebagai aset berharga Negara mendepani masa hadapan dengan pendekatan pembangunan belia positif dan pembinaan aset luaran serta dalaman belia. DBM mengandungi empat komponen utama termasuklah komponen “Holistik dan Berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara”. Di bawah komponen ini memperuntukkan 9 bidang keutamaan belia termasuklah “Profesionalisme Kerja Belia”.

Menurut DBM 2015 – 2035 ini, Profesionalisme Kerja Belia merupakan bidang baru yang memberi fokus utama dalam membangunkan keupayaan dan kompetensi Kumpulan Pelaksana Belia dalam hal berkaitan belia. Ini bertujuan supaya pihak pelaksana pembangunan belia berkeupayaan memastikan segala pelaksanaan DBM sebenar-benarnya memenuhi keperluan pembangunan belia dan menyumbang kepada pembangunan strategik Negara di masa hadapan.
Daripada sudut yang lain pula, selaras dengan citra Wawasan 2020 dan aspirasi Transformasi Negara 2050, Malaysia akan menjadi sebuah Negara maju menjelang 2020 dan menjadi bangsa hebat menjelang 2050 dan sudah tentu kelompok belia merupakan tonggak utamanya. Belia adalah cerminan masa hadapan Negara dan nasib Negara bergantung kepada kesediaan dan kesiapsiagaan mereka.

Justeru kelompok belia atau generasi muda ini harus dipersiapkan dan diserlahkan potensi mereka bagi berhadapan dengan cabaran ini oleh sekelompok aktivis dan pekerja yang mempunyai nyalarasa dan elemen profesionalisme dalam bidang kerja belia.

Bagi menyahut seruan dan tanggungjawab ini, Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) telah ditubuhkan bagi memenuhi tuntutan dan keperluan profesionalisme kerja belia. FKPB telah pun digerakkan oleh sekumpulan pemimpin Majlis Belia Malaysia (MBM) semenjak akhir 2015 dan telah mengambil langkah proaktif mendaftarkannya ke Pendaftar Pertubuhan (ROS). FKPB telah pun diluluskan pada 10 April 2017 atas nama Federasi Kebangsaan Pekerja Belia Malaysia dengan nombor pendaftaran PPM-004-14-10042017.

FKPB juga telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pertamanya pada 15 Mei 2017 yang lepas di Marriot Putrajaya bersempena hari kebesaran belia yang signifikan iaitu Hari Belia Negara yang disambut pada setiap 15 Mei. FKPB akan memperlengkapkan senarai pemegang jawatan sedikit masa lagi.

Secara umumnya FKPB akan berperanan sebagai platform untuk pendidik informal (informal educator) iaitu pekerja belia ini bagi menjalankan agenda membangun dan mendidik belia secara lebih fokus dan profesional. Selaku pendidik informal, pekerja belia diyakini mampu memperlengkapkan lagi sistem pendidikan Negara menjadi feeder kepada pendidik formal iaitu para guru dan pensyarah di sekolah dan institut pengajian dan kemahiran. Pekerja belia berpotensi menjadi salah satu bidang kerjaya profesional setanding peguam, doktor dan arkitek kerana usaha membangun dan mendidik wajar dilakukan secara sepenuh masa dan profesional. FKPB merupakan platform terbuka untuk individu berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai minat mendalam dalam kerja belia. FKPB tidak terikat dengan takrifan umur belia 15 sehingga 30 tahun seperti terangkum di dalam DBM.

Buat masa ini, FKPB akan memfokuskan membangunkan aspek kerja belia manakala aspek profesionalisme kerja belia akan dibangunkan secara bersama dan rapat dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia. Aspek profesionalisme merangkumi pembangunan dan penyusunan sistem kelayakan akademik, latihan dan pengalaman dalam bidang kerja belia kaedah pengtauliahan atau certification.

Semoga kehadiran FKPB akan merancakkan lagi ekosistem pembangunan belia Negara sebaris dengan KBS dan MBM.
Di kesempatan ini, pihak FKPB memohon dokongan dan sokongan semua pihak khususnya pihak Kerajaan, belia dan masyarakat untuk sama-sama menjayakan agenda yang penting demi memartabatkan harakat dan perjuangan dalam membangunkan belia Negara.

Sebarang pertanyaan, pihak tuan boleh berhubung dengan Setiausaha FKPB Hasnul Haniff Harun di talian 013-2504920 atau Ketua Pegawai Eksekutif FKPB Mohammad Rizan Hassan di talian 013-7733676.

JUFITRI BIN JOHA
Pengerusi
Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB)






Tiada ulasan: