Rayuan untuk Syria
Isnin, Mei 22, 2017
Kertas Nota Simposium
SIMPOSIUM KESUKARELAWANAN PERTUBUHAN BELIA 2017
Hotel Ixora, Seberang Perai 19 Mei 2017
Pengurusan Pertubuhan Belia : Mengurus dengan Minda, Ruh dan Jiwa
Jufitri bin Joha
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)
MUQADDIMAH:
1. Pengurusan merupakan suatu seni dan urusan terpenting dalam mengendalikan, mengelolakan dan mengatur sesuatu pertubuhan belia agar nampak tersusun, menarik dan memberikan impak yang besar dalam komuniti belia dan masyarakat.
2. Mengurus merupakan suatu kemahiran insaniah yang perlu dikuasai dan dipraktiskan oleh pemimpin belia untuk mengemudi pertubuhan belia agar mencapai matlamat utama iaitu melahirkan belia bercirikan insan kamil.
3. Kemahiran mengurus merupakan satu kerja yang mencabar kerana ianya bukan hanya melibatkan satu aspek sahaja tetapi melibatkan pengurusan holistik seperti mengurus:
a.) manusia b.) kepimpinan c.) kepengikutan d.) sumber e.) perubahan f.) komunikasi g.) prestasi h.) konflik.
4. Justeru mengurus pertubuhan belia merupakan suatu platform latihan dan action learning yang terbaik bagi mempersiapkan generasi muda memimpin masyarakat di lapangan sebenar dan jauh lebih mencabar.
CABARAN MEMIMPIN DAN MENGURUS:
5. Berhadapan dengan generasi Y yang dikenali sebagai generasi connected but disconnected ini menambahkan lagi cabaran kepada pemimpin persatuan belia untuk kelihatan mempunyai faktor “wow” dan terus kekal releven sebagai platform yang signifikan untuk mereka sekaligus menjadi pelapis kepada pertubuhan belia.
6. Pertubuhan belia sebagai platform fizikal yang sentiasa releven untuk melahirkan kepimpinan Negara dan pendidikan informal wajar dipimpin dan diuruskan oleh pemimpin belia yang berwawasan, berkarisma dan berintegriti dan mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi.
7. Justeru menurut mahaguru pengajian belia Universiti Puta Malaysia (UPM) Profesor Dr. Azimi Hamzah bahawa pertubuhan belia wajar melakukan anjakan paradigma bagi mengangkat martabat dan harakat perjuangannya.
8. Pertubuhan dan kepimpinan belia disaran untuk amalkan back to basic untuk mengurus dengan minda, ruh dan jiwa.
MENGURUS DENGAN MINDA, RUH & JIWA:
9. Anjakan paradigma boleh berlaku jika amalan mengurus dengan minda, ruh dan jiwa dihayati dan diamalkan sepenuhnya.
10. Mengurus dengan minda bermaksud mengurus berpandukan dokumen falsafah pembangunan belia iaitu Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015 – 2035.
11. Mengurus dengan minda juga bermaksud mengurus berdasarkan falsafah perjuangan dan fungsi penting pertubuhan belia. Profesor Azimi (2002) dalam buku Persatuan Belia di Malaysia menyenaraikan 9 kepentingan pertubuhan belia iaitu pembangunan kepimpinan, pemantapan imej belia, pusat pengajaran dan pembelajaran; pembangunan masyarakat; pusat sumber; perpaduan masyarakat; penyaluran suara belia; pembangunan program kesukarelawanan; dan pembangunan sukan dan rekreasi.
12. Mengurus dengan minda juga bermakna kita mengurus dengan apa yang disebutkan oleh John C. Maxwell sebagai pemikiran orang berjaya seperti big-picture thinking; realistic thinking; creative thinking; dan strategic thinking.
13. Mengurus dengan minda adalah mengurus dengan berpaksikan idealisme, budaya ilmu dan kemahiran agar output yang dihasilkan benar-benar mantap.
MENGURUS DENGAN RUH
14. Mengurus dengan ruh merupakan elemen yang penting agar pengurusan tersebut berlaku bukan sekadar dengan tubuh badan fizikal tetapi disertakan dengan ruh kerohanian yang jitu.
15. Mengurus pertubuhan belia merupakan satu ibadah dan amal kebajikan yang bermanfaat membantu menambahkan saham akhirat.
16. Mengurus pertubuhan belia juga membawa konotasi mengurus dengan penuh integriti dan ia merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hari akhirat kelak.
17. Mengurus dengan ruh disertakan dengan manajeman hati yang mempersatukan hati-hati pimpinan agar terus menjaga niat ikhlas dan kepentingan umum melebihi kepentingan peribadi. Pendeta Zaaba pernah menyarankan:
“Berbuat baik aduhai rakan,
Jika tidak dikenang insan
Dicampak ke laut, jika tidak dikenal ikan
Tuhan tahu iakah bukan”
18. Natijahnya, pemimpin belia akan menemui kepuasan dan makna kehidupan sebenarnya.
MENGURUS DENGAN JIWA
19. Mengurus jiwa adalah memimpin dan mengurus pertubuhan dengan penuh semangat kesukarelawanan dan semangat pengorbanan yang tinggi. Kesukarelawanan menurut Dr. Azizan Bahari (2016) dalam bukunya Kesukarelawanan ialah “suatu konsep dan amalan berkaitan dengan sumbangan atau perkongsian masa, sumber, pengetahuan, kemahiran, kebolehan, pengalaman, dan sebagainya yang dilaksanakan secara sukarela, yakni tanpa paksaan (oleh sesiapa) dan tanpa berbayar atau mengharapkan ganjaran kewangan”.
20. Dengan jiwa kesukarelawanan dan semangat nyalarasa (passion) yang tinggi maka pertubuhan belia akan diurus dengan tata kelola yang baik, cekap, kreatif dan profesional.
21. Pertubuhan belia yang sinonim dengan gerakan kesukarelaan inilah yang pernah menggegarkan persada tanahair sebagai gerakan menuntut kemerdekaan dan menjadi rakan strategik pembangunan Negara serta melahirkan gergasi-gergasi kepimpinan Negara dan Dunia.
22. Untuk mendapatkan aura dan inspirasi ini, lihatlah contoh contoh pertubuhan belia terbaik seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Belia Felda Tenggaroh 2 (MBFM) Mersing, Persatuan Beliawanis Seri Sepang dan Persatuan Belia Chekas Raub yang menjadikan pertubuhan belia mereka terbaik dan berperanan besar dalam masyarakat.
SEBUAH HARAPAN SEGUNUNG IMPIAN
23. Menjelang Negara Maju 2020 dan permulaan Bangsa Hebat 2050, pertubuhan belia wajib terus kekal releven dan berperanan membesar di persada tanahair sebagai landasan perjuangan pembangunan belia namun idealisme perjuangan harus dibugarkan dan pendekatan harus diinovasikan.
24. Semoga amalan kita mengangkat harakat generasi muda dan memperkasakan pertubuhan belia mendapat keberkatan daripada Ilahi.
Salam perjuangan!
20 Mei 2017 / 22 Syaaban 1438 H
2:02 pagi,
Nilai, Negeri Sembilan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan