Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, Januari 02, 2018

Debat Populisme di Forum Sedunia Mengenai Demokrasi


Oleh: JUFITRI JOHA

Awal November 2017 penulis berada di Strasbourg Perancis selain membuat lawatan kerja mencari jaringan belia dan bertemu pelajar Malaysia di sana, kesempatan diambil untuk menghadiri salah satu program penting World Forum for Democracy anjuran Council of Europe. Forum yang penting ini membincangkan tentang satu tajuk yang sedang hangat diperkatakan iaitu populisme khususnya di Amerika dan Eropah. Strasbourg merupakan ibu kota kepada Parlimen Eropah dan tempat yang meraikan kepelbagaian bangsa dan agama.

Secara lebih spesifik, populisme merujuk kepada kes kemenangan Trump di Amerika dan isu Brexit yang berlaku di United Kingdom. Trump memainkan isu yang bersifat populisme seperti menakut-nakutkan pengundi kulit putih dengan ancaman terrorisme dan immigran muslim. Hasilnya Trump mendapat 53% undi pengundi kulit putih sekaligus memenangi pilihanraya Presiden Amerika mengalahkan Clinton. Sementara golongan pro kepada Brexit memainkan isu yang hampir sama berkaitan ancaman immigran jika terus bersama Kesatuan Eropah (EU). Ternyata rakyat UK mengundi untuk keluar daripada EU. Sebelum forum ini, majalah Foreign Affairs sudah pun menyiarkan tulisan berkaitan kemunculan populisme pasca kemenangan Trump.

Forum ini cuba mencari jawapan berkenaan populisme dalam ruang demokrasi sama ada ianya adalah satu masalah yang perlu ditangani atau satu perkara yang boleh terus diamalkan di kalangan ahli politik.

Tiada definisi yang kelihatan standard dan tepat dapat ditakrifkan untuk populisme namun apa yang dapat disimpulkan oleh penulis ialah ia merupakan pendekatan yang digunakan oleh ahli politik bagi meraih undi dengan memainkan isu-isu yang popular dan menakutkan walaupun ianya tidak mempunyai kebenaran dan belum lagi dapat dibuktikan dengan asas-asas yang kukuh. Dalam masa yang sama, pengundi atau rakyat terus mempercayai persepsi tersebut tanpa menyemak kebenaran faktanya. Hasilnya pengundi atau rakyat akan menterjemahkan kepercayaan tersebut dalam bentuk pangkahan undi sekaligus menyebabkan kemenangan kepada ahli politik yang memainkan isu-isu tersebut.

Kelihatan definisi populisme lebih bersifat negatif namun sebagai perbandingan kamus Cambridge mentakrifkan populisme sebagai “political ideas and activities that are intended to get the support of ordinary people by giving them what they want”. Definisi ini seolah-olah bersifat positif kerana dalam konteks ini, ahli politik akan memberikan sesuatu yang rakyat mahukan seperti pemotongan cukai dan peningkatan gaji.

Berdasarkan perbincangan di forum dan juga pemerhatian peribadi, penulis berkesimpulan bahawa populisme lebih membawa konotasi negatif berbanding positif dan ia merupakan ancaman besar kepada kesuburan demokrasi.

Populisme lebih dikaitkan dengan konotasi negatif kerana kebanyakannya berhujah populisme menafikan kemajmukan atau multiculturisme. Populisme juga bersandarkan emosi dan bermain dengan perasaan semata-mata dan tidak kepada rasional dan fakta. Kebangkitan populisme biasa dikaitkan dengan golongan aliran keras kanan atau far right di Eropah yang membenci pendatang dan muslim serta menebal perasaan nasionalismenya. Elemen kebencian merupakan senjata yang ampuh bagi menarik sokongan rakyat.

Kemenangan Emmanuel Macron di Perancis ke atas pemimpin berhaluan far right Parti National Front Marine Le Pin sedikit melegakan rakyat Perancis kerana pergerakan populismenya tidak mendatangkan kebaikan kepada kemajmukan rakyatnya. Kemenangan Le Pin akan membawa Perancis mundur ke belakang berbanding keterbukaan Perancis sebelum ini menerima dan meraikan multiculturisme. Jerman juga bernasib baik kerana Angela Merkel masih lagi terus memenangi kerusi Canselor yang terkenal membuka ruang yang luas kepada pelarian Syria untuk mencari perlindungan dan penghidupan baru. Agak ironi di Austria apabila Sebatian Kurz memenangi kerusi Canselor Austria baru baru ini atas sentimen anti immigran di Eropah khususnya kebanjiran pelarian Syria.

Menariknya lagi forum turut membincangkan tokoh tokoh politik yang dianggap mengamalkan populisme seperti Maduro di Venezuela, Morales di Bolivia, Hassan Nasrallah di Lubnan bahkan Erdogan di Turki turut tersenarai. Kehadiran Kemal Kilicdaroglu pimpinan parti secular CHP Turki ke forum World Forum for Democracy sebagai panelis kelihatan cuba meyakinkan audien untuk menyenaraikan Erdogan sebagai pimpinan yang mengamalkan populisme untuk terus kekal berkuasa. Erdogan dikaitkan menggunakan sentimen agama dan legasi Turki Uthmaniyyah yang amat dekat di hati rakyat bagi memastikan majoriti rakyat Turki terus memberikan sokongan dan undi kepada Erdogan dan partinya AKP. Erdogan juga didakwa cuba menggunakan demokrasi bagi kepentingannya, merosakkan institusi demokrasi dan memenjarakan pihak-pihak ahli politik dan media yang cuba menentangnya. Namun pada hakikatnya Erdogan adalah pemimpin terbaik Dunia Islam yang berjaya dilahirkan dengan kejayaan memulihkan ekonomi dan legasi warisan Turki Uthmaniyyah. Erdogan bahkan berjaya memperlihatkan pembelaannya terhadap Dunia Islam termasuk etnik Rohingya yang menderita.

Secara hakikatnya populisme banyak digunakan oleh ahli politik bagi meraih sokongan rakyat walaupun tidak bersandarkan fakta yang sahih. Kehadiran media sosial tambah memudahkan lagi idea populisme ini tersebar cepat di kalangan rakyat di era post-truth society ini. Kebanyakkan ahli politik di dunia cenderung menggunakan populisme bagi mencari jalan pintas memenangi pilihanraya tanpa menghiraukan kesan buruknya. Ahli politik sememangnya memerlukan populariti tapi bukannya populisme.

Bagi menangani gejala populisme ini, rakyat harus dididik agar tidak cepat mempercayai sesuatu persepsi dan wajib membuat semakan fakta bagi memastikan kesahihan. Jika rakyat dibekalkan dengan pendidikan sebegini maka ahli politik tapi mudah sewenang-wenang menyebarkan idea populisme ini di kalangan rakyat. Di satu pihak yang lain juga, ahli politik wajar menangani isu-isu yang mendatangkan kebimbangan di kalangan rakyat sebagai contoh ancaman imigran yang dikatakan akan mencuri dan mengambil alih peluang pekerjaan rakyat tempatan. Ahli politik atau Kerajaan wajar menangani segera isu ini dengan memberikan solusi yang tuntas dan berkesan kepada rakyat bagi meredakan kebimbangan yang tidak berasa tersebut.

Secara kesimpulannya, idea populisme yang seperti yang diterangkan di atas sebenarnya tidak banyak mendatangkan kebaikan kepada kesuburan demokrasi kepada sesebuah Negara bahkan mendatangkan banyak keburukan kepada rakyat dan Negara kerana kepentingan peribadi ahli politik tersebut melebihi kepentingan umum. Populisme justeru tidak harus berlaku dalam dunia Islam. Namun perdebatan dan wacana berkenaan populisme harus diteruskan demi mencari jawapan yang lebih tuntas khususnya dalam konteks Dunia Islam dan Malaysia. Istilah-istilah berkaitan seperti persepsi, vox populi, propaganda dan partisipatif demokrasi harus terus diperdebatkan.








Tiada ulasan: