Majlis Belia Malaysia (MBM) bakal mengadakan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) kali ke 67 minggu ini di Sepang. Turut bakal berlangsung ialah pemilihan kepimpinan baru MBM bagi sesi 2018-2020 yang bakal menyaksikan pendekatan baru yang bakal diambil bagi mendakapi suasana era Malaysia baharu pasca Pilihanraya Umum (PRU) ke-14. Sudah tentu MPAT kali teramat penting bagi mencorak arah dan strategi baharu bagi memastikan relevensi MBM untuk terus menjadi suara rasmi belia Malaysia, pembuat dasar dan rakan strategik pembangunan Negara.
MBM sebagai pergerakan yang sentiasa menjadi suara dan denyut nadi belia dan masyarakat semenjak 1948 memerlukan lonjakan dan pendekatan baru bagi memacu pembangunan belia negara dengan mengambil kira beberapa premis penting semasa seperti change is certain, era Malaysia baharu dan aspirasi generasi muda terkini.
Bagi merealisasikan lonjakan tersebut beberapa manifesto perubahan perlu difikir dan ditawarkan berasaskan motto yang sentiasa malar bagi MBM iaitu bertindak demi keadilan dan kebenaran. Pemimpin baharu yang bakal mengemudi MBM wajar memahami fungsi dan tugas sebenar sebagai pemimpin majlis selaras dengan Perlembagaan MBM. Mereka bukan hanya sekadar memimpin badan gabungan yang mereka wakili, namun mereka diamanahkan untuk memimpin dan mengkoordinasi 39 badan gabungan pertubuhan belia merentas agama, bangsa dan fahaman politik. Selain itu, MBM memikul amanah besar mewakili sebahagian besar 70 peratus suara kelompok belia akar umbi yang tidak menyertai pergerakan belia namun lebih bersifat interest base seperti kelompok belia bagpackers, peminat drone dan skateboard. MBM Untuk Semua (MUS).
MBM seperti yang disarankan oleh mantan Presidennya iaitu YB Dato’ Shamsul Anuar Nasarah bersempena temuramah 7 Dekad MBM wajar memikirkan mengembangkan keahlian badan gabungan baru sama ada ahli penuh mahupun bersekutu seperti Guru Muda Malaysia (GMM) dan pertubuhan belia berkemahiran memandangkan MBM konsisten memperjuangkan isu pendidikan dan TVET serta mendekati golongan rentan seperti pertubuhan belia kerdil dan belia kelainan upaya (OKU). Suatu ketika dahulu, MBM juga menaungi dan sinonim dengan persatuan-persatuan mahasiswa yang berbasiskan universiti seperti Persatuan Mahasiswa UKM dan Persatuan Mahasiswa UM kerana mahasiswa juga sebahagian komponen terpenting belia di menara gading. Naungan sebegini harus direjunevasi bahkan diperluaskan sehingga persatuan pelajar di luar Negara yang dikategorikan sebagai Belia Malaysia Antarabangsa. MBM sudah pun mengorak langkah dengan mendekati para pemimpin mahasiswa di universiti dan mendekati para pelajar di luar Negara dengan menghadiri Bosphorus Summit di Istanbul yang turut dihadiri oleh persatuan pelajar di lebih 10 buah Negara.
Dengan keterangkuman yang bersifat inklusif ini memungkinkan MBM mendapatkan mandat dan legitimasi secukupnya mewakili seramai mungkin suara kelompok belia akar umbi untuk dibawa ke wahana perundingan dan pembuatan dasar Negara seperti Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), Majlis Konsultasi Bajet Negara, Majlis Sosial Negara dan JK Kabinet Pembangunan Belia. Dengan mandat besar ini, MBM harus terus melobi dan mengadvokasi isu-isu belia dengan berada di semua wahana dan medium pembuatan dasar Negara. Pemimpin-pemimpin belia wajar ditempatkan di lembaga-lembaga atau board agensi-agensi Kerajaan dan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) bagi memberi peluang mereka menimba ilmu dan pengalaman serta terlibat dalam proses pembuatan dasar. Mengambil contoh terkini perlantikan Lembaga Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di mana Kerajaan wajar mempertimbangkan pada masa hadapan wakil pemimpin belia di dalam lembaga tersebut.
Kerajaan harus memandangkan MBM sebagai rakan utama pembuatan dasar agar partisipasi belia mencapai tahap adult-youth decision making. Ini juga semangat yang terkandung dalam pendekatan berkesan pembangunan belia yang dikenali sebagai Youth-Adult Partnership (Y-AP) dan bagi memastikan penghasilan inclusive policy untuk semua lapisan kelompok belia. Pendekatan menyantuni semua lapisan strata belia ini mengambil semangat no one left behind seperti yang digariskan Sustainable Development Goal (SDG). Untuk memenangi hati Kerajaan agar tidak sekadar terpaksa melantik wakil belia memenuhi kuota, maka MBM dan pemimpinnya harus kelihatan berkretampilan dan smart agar wakil belia yang dicadangkan untuk dilantik benar-benar mempunyai kelayakan dan dihormati oleh Kerajaan dan masyarakat umum.
Sebagai pergerakan belia yang inklusif, MBM mampu menjadi melting pot yang menjadi platform penyatu kepada semua kelompok belia pelbagai ideologi politik. MBM memang terkenal melahirkan pemimpin pelapis Negara sama ada akhirnya berada dalam Kerajaan, pembangkang mahupun institusi-instusi masyarakat yang penting. Sebagai wahana penyatuan belia, maka MBM harus mengambil pendekatan kolektif yang bersifat non-partisan dan hanya berpihak kepada kebenaran dan keadilan. Walaupun begitu, MBM meraikan dan menghormati pendirian politik ahli-ahlinya selama mana ia dibina berasakan idealisme yang benar. MBM menjadi medan latihan berkesan untuk bakal pemimpin Negara namun tidak wajar dijadikan hanya semata-mata stepping stone untuk memenuhi cita-cita peribadi politik, Inilah kritikan yang acapkali diterima oleh MBM kerana sering dijadikan batu locatan oleh pemimpin belia untuk mendaki tangga politik. Tidak salah punyai cita-cita politik namun MBM merupakan medan terbaik untuk mereka melatih dan mengasah bakat kepimpinan dan pengurusan dengan penuh rasa tanggungjawab dan meletakkan maslahah belia dan Negara didepan. Jika pemimpin MBM yang dilatih sebaiknya dengan penanaman idealisme dan pemasakan keikhlasan dan integriti yang jitu maka tidak mustahil MBM akan terus menjadi kilang utama yang didambakan bagi menghasilkan pemimpin Negara bahkan MBM manjadi pembekal utama kepimpinan pelapis yang berkualiti kepada parti-parti politik dan pertubuhan masyarakat madani yang sedia ada mewarnai kanvas demokrasi Negara.
Penanaman idealisme atau prinsip perjuangan yang jitu menjadi keutamaan Presiden MBM ke-21 saudara Mua’amar Ghadafi Jamal dalam siri ucapan dasar beliau dan juga agenda yang sering dilaung-laungkan oleh mantan Presiden MBM, YB Dato’ Saifuddin Abdullah yang kini merupakan Menteri Luar. Tanpa idealisme maka belia dan masyarakat menjadi statik dan beku menurut pemikir Algeria Malek Bennabi. Idealisme pemimpin MBM yang mantap memandu hala tuju dan prinsip perjuangan yang mengutamakan kepentingan belia dan Negara mengatasi kepentingan perbadi. Idealisme juga mampu menjadikan pemimpin belia menjadi penggerak keihklasan yang sentiasa cakna dan prihatin kepada isu dan permasalahan belia dan Negara. Selain daripada rujukan umum daripada agama, Rukun Negara dan nilai-nilai Asia, idealisme pemimpin belia tidak lari daripada asas-asas utama seperti yang terkandung di dalam dokumen falsafah pembangunan belia Negara iaitu Dasar Belia Malaysia 2015 – 2035.
Dengan keterangkuman dan ramuan-ramuan di atas mampu menjadikan MBM sebagai grup pendesak, pressure group yang berkesan untuk mengimbangi tindak tanduk dan polisi Kerajaan mahupun pembangkang. Hasrat ini juga yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia (TPM) Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika merasmikan sambutan 7 Dekad MBM di Bangi pada 23 Julai 2018. MBM akan terus mampu menjadi the conscience of the society meneruskan tradisi membela nasib belia dan rakyat untuk kekal releven sebagai pemegang taruh pembangunan belia dan Negara.
Untuk menjayakan kepimpinan yang berkesan, MBM juga harus melahirkan lebih ramai kepimpinan beliawanis yang sama-sama menjadi tiang seri dan tonggak MBM dalam menggerakkan agenda pembangunan belia dan Negara. Beliawanis juga wajar diberikan tempat dalam saf kepimpinan baharu bersesuaian dengan polisi Kerajaan dan hasrat TPM yang mahu melihat penglibatan kepimpinan wanita di semua peringkat pembuat dasar dan organisasi tidak terkecuali MBM.
Seperkara lagi ialah bagi mendepani cabaran generasi muda ekstrem pada masa hadapan, MBM berdepan dengan cabaran besar menyediakan future smart youth dan bukannya future frustrated youth. MBM wajar fokus mencari punca utama dan menyelesaikan masalah-masalah dan isu-isu yang membelenggu belia seperti dadah, muflis, gangguan mental dan pengukuhan ekonomi. Untuk mempersiapkan belia menjadi future smart youth, fokus harus ditumpukan kepada pembudayaan ilmu yang kukuh, penganjuran siri-siri latihan pembinaan kapasiti (capacity building) dan pembentukan dasar pengantarabangsaan belia yang jelas untuk memperlengkapkan belia dengan ilmu dan kemahiran insaniah agar mereka terus mampu bersaing dan bersedia dengan masa depan yang mencabar.
Bagi benar-benar mengembalikan jiwa keinsanan dan melahirkan aset Negara yang seimbang maka MBM wajar terus memperjuangakan profesionalisme kerja belia yang sama-sama turut dijayakan bersama Kementerian Belia dan Sukan semenjak 2015. Profesionalisme kerja belia seperti yang termaktub sebagai bidang keutamaan belia di dalam Dasar Belia Malaysia 2015-2035, mampu melahirkan profesyen baru iaitu pekerja belia profesional yang terlatih yang mampu memberikan sepenuh perhatian untuk mendidik dan membangunkan bakat generasi muda Malaysia. Sesungguhnya aset yang paling berharga di dalam sesuatu Negara adalah generasi mudanya dan generasi muda akan membesar secara baik di tangan-tangan pekerja belia profesional yang dedikasi dan mempunyai nyalarasa yang tinggi untuk melihat generasi muda berjaya di dunia dan akhirat.
Seperkara lagi ialah fokus kepada kemandirian dan penghakupayaan MBM dan persatuan belia harus dititiberatkan. Ia bagi memastikan untuk mengurangkan kebergantungan kepada dana Kerajaan sekaligus mempunyai idea-idea kreatif bagi memastikan kemandirian ekonomi dan menjana pendapatan yang sustain untuk menampung belanja pentadbiran dan aktiviti.
Sesungguhnya kepimpinan MBM era Malaysia baharu mempunyai amanah dan tanggungjawab yang lebih berat dan mencabar ditambah dengan keadaan senario politik dan ekonomi yang tidak menentu. Kepimpinan bukanlah suatu kemuliaan semata-mata bahkan ianya adalah bebanan taklif untuk dipikul dan perkara yang akan dikesali di akhirat kelak. MBM memerlukan pemimpin credible, capable dan available yang mampu memimpin sebuah platform yang majmuk dari segi agama, budaya, bangsa dan etnik.
Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Penyayang, rasa rendah hati dan penuh keinsafan, kami menawarkan diri untuk menerajui kepimpinan MBM sesi 2018 – 2020 sebagai Presiden MBM yang ke-21 bersesuaian dengan kata-kata Pendeta Zaaba, “Kiranya Kabul Allah memberi, dirimu jadi pemulih negeri”.
Rakaman ucapan penghargaan kepada kepimpinan Presiden MBM ke-20, saudara Mua'amar Ghadafi Jamal bersama gandingannya saudara Mohd Zaidi Aziz, saudara Ahmad Saparudin Yusup dan saudara Mohd Rizan Hassan serta barisan Exco MBM 2016-2018. Selamat Maju Jaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan