Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, Oktober 02, 2018

Memantau Pilihanraya Cambodia 2018


29 Julai 2018 lepas, penulis dijemput menjadi pemerhati antarabangsa Pilihanraya Cambodia bersama hampir 70 pemerhati antarabangsa. Ini merupakan kali ke-6 Cambodia melalui pilihanraya umum bagi memilih 125 ahli parlimen atau lebih dikenali sebagai ahli himpunan nasional (NEC).

Cambodia merupakan negara di wilayah Cambodia-Myanmar-Laos-Vietnam (CMLV) yang agak terbuka selain Vietnam dan ibu negaranya pesat membangun hasil pelaburan asing (FDI) khususnya daripada negara China.


Sejak perjanjian damai Paris 1991 yang menamatkan konflik bersenjata, Cambodia menikmati peralihan yang aman dan rakyat dapat terus berpartisipasi dalam ruang demokrasi sebagai ahli parti politik dan pengundi. Umat Islam yang membentuk 1.6 peratus daripada jumlah penduduk Cambodia atau sekitar 236 000 jiwa turut menikmati demokrasi yang aman serta tiada perbalahan agama dengan majoriti penduduk yang beragama Buddha. Ia adalah mungkin daripada segi sejarah umat Islam dilindungi oleh Cambodia ketika Vietnam menjajah wilayah Champa dan umat Islam turut berhadapan masalah yang sama iaitu menangani regim Pol Pot yang membunuh hampir 3 juta rakyat Cambodia termasuk umat Islam yang dikategorikan sebagai cerdik dan berpelajaran sekitar 1975 sehingga 1979. Pol pot membunuh golongan dianggap terpelajar bagi memudahkan menyebarkan fahaman komunis pada anggapan beliau.

Myanmar mungkin boleh mempelajari model kehidupan harmoni di antara majoriti Buddha sebagai pemerintah dengan minoriti umat Islam yang sama-sama membangunkan Negara tercinta. Hun Sen yang telah berkuasa sebagai Perdana Menteri semenjak 1985 pada umur 33 tahun bahkan telah memberikan tempat dan ruang kepada pemimpin politik Islam untuk berada di dalam Kabinetnya bagi sama-sama memerintah dan membangunkan negara. Umat Islam hidup aman, berpartisipasi di dalam amalan demokrasi bahkan boleh menjawat beberapa jawatan penting di dalam jabatan kerajaan dan menjalankan perniagaan.


Di sebalik pemerintahan tiga dekad Hun Sen, beliau telah melalui pelbagai ranjau dan karenah politik bahkan kritikan antarabangsa terhadap tindakan politik yang dilakukan untuk terus berkuasa.

Dalam pilihanraya umum terbaru 2018 parti Hun Sen iaitu Cambodian People’s Party (CPP) telah menyapu bersih kesemua 125 kursi parlimen dengan peratusan yang keluar mengundi tinggi sekitar 82.89% daripada 8 380 217 pengundi berdaftar. Ini merupakan mesej pengundi yang mahukan kestabilan dan keamanan di bawah pemerintahan CPP. Hanya parti berbasiskan keluarga diraja iaitu Parti Funcinpec mampu menjadi pencabar namun undi popular yang diraih hanya sekitar 5.88% berbanding CPP 76.78%. 18 parti lain yang menyertai pilihanraya pada kali dilihat tidak berdaya dan hanya layak digelar parti nyamuk yang tidak berupaya memberikan tentangan kepada CPP dan mendapat sokongan rakyat.


Ini merupakan perkembangan yang sangat tidak sihat kepada Cambodia apabila tidak terdapat seorang pun pembangkang wujud di Parlimen untuk menjadi pihak yang melakukan semak dan imbang kepada Kerajaan pimpinan Hun Sen. Dengan kemenangan ini meneruskan hasrat Hun Sen untuk berkuasa sekurang-kurangnya 10 tahun lagi apabila beliau mengambil teladan Perdana Menteri Malaysia yang kembali berkuasa pada umur 92 tahun.

Parti yang menjadi pencabar terkuat pada 2013 iaitu Cambodia National Rescue Party (CNRP) pimpinan seteru politik Hun Sen iaitu Sam Rainsy telah dilemahkan dengan waran tangkap dikeluarkan terhadap Sam Rainsy dan beberapa pimpinan CNRP atas dakwaan menjadi pengkhianat negara. CNRP akhirnya telah diisytiharkan haram oleh Mahkamah Agung Cambodia.


Penulis sempat bertemu orang kanan kepercayaan Hun Sen iaitu anaknya sendiri Hun Many bagi memberikan beberapa cadangan dan pandangan selepas sehari kemenangan besar CPP bagi memastikan demokrasi terus subur di Cambodia. Di sebalik ketiadaan pembangkang di Parlimen, CPP harus terus menghakupayakan rakyat dengan mengadakan lebih banyak sesi pendengaran suara rakyat akar umbi. Dengan menyediakan platform pendengaran suara rakyat akan menjadi mekanisme semak imbang terhadap Kerajaan CPP.

Ternyata rakyat mengundi untuk kestabilan dan keamanan Cambodia. Mereka sudah tidak mahu kembali ke zaman Pol Pot mahupun zaman rampasan kuasa. Meraka mahu hidup secara aman dan damai bersama penganut agama Buddha dan Islam untuk membina Negara dan masa depan yang lebih baik.


Hun Many juga merupakan Presiden Union Youth Federations of Cambodia (UYFC) merupakan anak Hun Sen yang pintar dan menjadi pemimpin muda harapan kepada Cambodia. Beliau kelihatan berminat dengan cadangan penulis dan berusaha melaksanakan pembaharuan demokrasi demi kebaikan masa hadapan Cambodia.

Pengalaman tiga hari sebagai pemantau pilihanraya antarabangsa menyaksikan proses demokrasi Cambodia berjalan dengan baik. Rakyat Cambodia tanpa mengira agama dan bangsa diberikan peluang melaksanakan amanah mengundi dengan bebas dan aman. Di sebalik tohmahan terhadapa rekod hak asasi dan politik Hun Sen, Cambodia terus maju dan paling penting umat Islam Cambodia boleh terus hidup aman mengamalkan agama mereka. Di samping itu juga Kerajaan Hun Sen tidak pernah menghalang bantuan terus masuk ke Cambodia melalui Ngo-Ngo Islam Malaysia kepada umat Islam Champa. Semoga Cambodia terus maju menjadi negara yang meraikan kemajmukan.

Tiada ulasan: