Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Ahad, Julai 15, 2007



"Penulis Di hadapan Masjid Umawi, Damsyik, Syria"

Kesempatan menjejakkan kaki ke bumi Syam baru – baru ini betul mengasyikkan dan memberikan pengalaman berbeza kepada penulis. Walaupun sudah banyak negara yang dilawati selain Mekah melalui projek di bawah Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD), ternyata bumi Syam memberikan satu kelainan yang tidak ternilai.

Bumi Syam atau nama modennya Syria merupakan antara tempat yang kaya dengan pelbagai khazanah ketamadunan dan keilmuwan. Syria turut digelar sebagai The Cradle of Civilization kerana terkandung pelbagai warisan ketamadunan meliputi tamadun awal manusia, tamadun rom byzantin dan tamadun Islam. Bumi Syam yang meliputi Syria, Jordan dan Palestin hari ini disebut dalam surah Al-Isra sebagai bumi yang termasuk dalam lingkungan yang diberkati oleh Allah dan pernah dipijak oleh kaki Baginda S.A.W yang mulia semasa peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj.

Selain menghadiri mesyuarat Rabitah Syabab Muassasah Al-Quds, sebagai penggerak utama Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD), penulis tidak melepaskan peluang menjalankan eksplorasi bagi mengutip mutiara-mutiara ilmu dan keberkatan dari bumi yang mulia ini.

Syria merupakan bumi yang pernah dan terus menerus mengumpulkan dan menampung sejumlah orang-orang yang soleh. Dari para sahabat r.a., para tabiin sehinggalah para ulama. Meraka ini berada di sini menjalankan tugasan agung sebagai khalifah Allah menyebarkan dan menuntut ilmu serta berdakwah yang mendekatkan diri manusia kepada Sang Pencipta Allah taala.

Bumi Syria pernah menyaksikan keagungan Tamadun Islam di bawah empayar agung Kerajaan Umayyah bermula semenjak sahabat mulia Nabi S.A.W., Muawiyyah bin Abi Sufyan menjadi Gabenor Syam. Di sini juga berdiri Masjid Suci Umawi yang menjadi kesan peninggalan silam yang menjadi kebanggaan umat. Di sini juga tertanam jasad-jasad mulia para sahabat yang berjumlah hampir 5 000 orang termasuk Saidina Bilal, Dihya’ alKalbi, Muawiyah dan lain-lain. Tidak kurang juga ulama dan solihin seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, Imam Nawawi dan lain-lain juga disemadikan di sini.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan at-Tirmizi daripada Ibnu Umar r.a. daripada Nabi S.A.W. diriwayatkan pernah berdoa untuk keberkatan bumi Syam. Ini menunjukkan bahawa bumi Syam bukan sahaja bumi yang diberkati oleh Allah bahkan ia mempunyai kedudukan istimewa di sisi Rasulullah S.A.W.

Sebagai salah seorang penggerak utama Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD), elemen mengkaji dan menghayati sejarah merupakan perkara utama yang diberikan penumpuan. Sejarah merupakan satu madah atau subjek yang harus dihargai oleh generasi muda yang sebenarnya banyak memberikan pengajaran berharga kepada mereka. Pengajaran ini akan menjadi pedoman kepada mereka dalam menyusun susur perjalanan hidup yang lebih bermakna.

Tiada ulasan: