Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Khamis, November 13, 2008

Berani Berubah : Belia Terarah



Dalam buku “History of Muslim Spain” oleh Sahibzada Masud ul Hassan Khan Sabri, beliau telah mengajak pembaca berfikir mengapa Andalus boleh jatuh selepas hampir 100 peratus penduduknya telah menganut Islam (almost a hundred per cent Muslim Country) dan Andalus menjadi sebuah negara maju (highly developed one). Beliau telah menggariskan 9 faktor kejatuhan Andalus. Sikap kita selaku insan yang telah menyaksikan keruntuhan Andalus dan mengetahui sebab kejatuhannya adalah kita harus membuat perubahan khususnya kita sebagai golongan belia.

‘Sekali bah sekali pantai berubah’ , begitulah bunyi pepatah Melayu yang amat sinonim dalam kehidupan kita. Pepatah ini menggambarkan fenomena ‘perubahan’ sentiasa berlaku dalam beberapa detik dan ketika dalam kehidupan kita.

Perubahan merupakan satu fenomena yang positif dan sentiasa ditagih khususnya bagi orang yang inginkan kebaikan dalam kehidupan. Setiap insan inginkan perubahan bahkan amat memerlukan perubahan demi kebaikan masing-masing. Tidak terkecuali para pemimpin pertubuhan belia amat memerlukan hembusan angin ‘perubahan’ demi memastikan pertubuhan belia dan peranannya terus releven dalam menjadi jurubicara belia dan masyarakat. Sesungguhnya perubahan itu bak kata bijak pandai adalah tanda kehidupan.

Apabila Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Najib Tun Razak menggagaskan satu misi besar iaitu ‘Mengangkasakan Tamadun Bangsa’, para pemimpin belia harus menyambut misi ini dengan penuh rasa tanggungjawab. Secara ringkas, misi ini adalah untuk melahirkan ‘Bangsa Angkasa’ atau ‘Space Nation’ yang sentiasa mempunyai impian tertinggi. Bangsa Angkasa mempunyai tamadun yang hebat. Oleh itu, tamadun bangsa Melayu dan bangsa Malaysia akan terus kita angkasakan. Kita perlu menggali sains dan teknologi, memiliki pengetahuan dan kemahiran, menguasai pelbagai bahasa, menjana ilmu, mengukuhkan iman, berbudaya cemerlang dan bercita-cita setinggi angkasa.

Misi ini secara tersiratnya mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersedia melakukan perubahan dalam pelbagai aspek kerana Malaysia sudah pun memasuki satu dimensi baru apabila Dato’ Dr. Sheikh Muszafar Shukor meneroka ruang jagat raya. Perubahan ini akhirnya membawa kebaikan bukan sahaja kepada negara tapi kepada rakyat Malaysia.

Pemimpin belia khususnya di Negeri Sembilan ini, harus melihat misi ini sebagai satu misi yang besar. Sebagai pemimpin kepada warga belia, kita mempunyai tugasan berat untuk membawa perubahan kepada warga belia Negeri Sembilan. Dalam dunia globalisasi ini, yang lambat membuat perubahan atau anti kepada perubahan akan ketinggalan jauh ke belakang. Peranan kita secara jelasnya adalah membantu kerajaan untuk mempersiapkan diri sendiri dan seluruh warga belia agar bersedia menjadi ‘Bangsa Angkasa’ sebagaimana ciri-ciri yang telah disebutkan di atas.

Perubahan yang didambakan sudah tentu menyeluruh merangkumi aspek mental, emosi, fizikal dan sosial. Aspek ini diformulasikan oleh Datin Paduka Sharifah Mazlina, wanita pertama Asia ke Kutub sebagai ‘MEPS’. Aspek seterusnya yang tidak kurang pentingnya adalah aspek spiritual. Ini bermakna MEPS + Spiritual. Sebagai tambahan, Datin Paduka Sharifah Mazlina merumuskan bahawa perubahan bermakna anjakan paradigma, keluar dari zon selesa atau ‘comfort zone’ dan memupuk semangat berani mencuba sesuatu yang baru.

Ciri-ciri belia angkasa atau ‘Space Youth’ yang diadaptasi daripada ‘Bangsa Angkasa’ iaitu 1.) memiliki impian tertinggi iaitu setinggi angkasa 2.) menggali sains dan teknologi 3.) memiliki pengetahuan dan kemahiran 4.) menguasai pelbagai bahasa 5.) mengukuhkan iman dan 6.) berbudaya cemerlang. Ciri-ciri inilah yang harus dihayati dan dihadamkan oleh setiap pemimpin belia agar ciri-ciri tersebut tersemai dan tersemat erat dalam hati sanubari masing-masing sebelum dipindahkan kepada belia bawahan yang dipimpin. Ini adalah kerana perubahan yang berkesan adalah dimulai sendiri terlebih dahulu oleh orang yang berada di atas kemudian secara automatik akan diikuti oleh orang bawahan.

Perubahan yang dicetuskan berdasarkan 6 ciri di atas harus dilakukan dengan penuh keazaman dan keihklasan. Keazaman dan keikhlasan tersebut akan tergambar melalui tingkah laku dan terjelma melalui program-program belia yang dikendalikan dari masa ke semasa.

6 ciri tersebut adalah berkaitan dengan personaliti belia manakala bentuk program yang dianjurkan juga harus menerima perubahan agar program-program anjuran belia terus mendapat sambutan dan paling penting dapat membentuk jatidiri yang sebenar. Bentuk program tersebut juga harus menarik dan menepati citarasa orang muda tanpa melanggar batasan agama. Selain itu juga harus bersifat holistik dan juga menepati apa yang telah disarankan oleh Prof. Dr. Samsudin A. Rahim, mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia iaitu penawaran program pembangunan belia mestilah pelbagai. Tambah beliau lagi, pembangunan belia haruslah memberi perhatian kepada tiga kategori program iaitu yang berorientasikan aktiviti fizikal, kemahiran dan pengetahuan.

Selain itu, perubahan yang dilakukan daripara segi bentuk program harus juga mengambil kira saranan khusus Y.A.B. Menteri Besar Negeri Sembilan dalam Majlis Perundingan Belia Negeri Sembilan baru-baru ini. Di dalam ucap utama mahlis tersebut Y.A.B Dato’ Seri Utama menyarankan agar pemimpin belia mengupayakan persatuan belia agar menjadi tonggak melahirkan pemimpin belia, memupuk nilai murni, jatidiri, semangat patriotisme dan integrasi kaum dan terakhir sekali mempertingkatkan program keusahawanan dan kemahiran.

Segala formula dan saranan di atas menuntut agar pemimpin belia berani melakukan perubahan segera agar terus releven dalam menjadikan belia Negeri Sembilan terarah.

Tiada ulasan: