Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Ahad, November 08, 2009

Dr. Asri dalam Sorotan dan Pandangan Sahabat Lama


PROLOG:
Saya mula mengenali Dr. Mohd Asri Zainul Abidin semenjak 1998 ketika menetap di Taman Pauh, Permatang Pauh Pulau Pinang. Saya duduk di Pulau Pinang selama 18 tahun kerana ayahanda saya bertugas di Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad di Butterworth. Saya gembira tinggal di nsitu dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Khir Johari Perai. Pulau Pinang banyak meninggalkan kenangan besar bagi saya.

Selepas menamatkan persekolahan di SMAP Kajang saya banyak menghabiskan masa di Pulau Pinang. Antara aktiviti yang saya amat minat adalah menghadiri ceramah-ceramah dan kuliah Maghrib dan Subuh di masjid-masjid sekitar Permatang Pauh termasuklah Masjid Batu, Masjid Permatang Janggus dan Masjid Jamek Jalan Baru. Antara pengajian yang saya ikuti adalah kuliah Ustaz Asri sendiri.

DI UIA:
Takdir Allah, saya dapat memasuki UIA selepas mendapat anugerah antara pelajar terbaik 6 agreget SMAP Kajang. Saya memasuki Pusat Matrikulasi UIA Lembah Pantai dan seterusnya ke UIA Kampus Utama Gombak. Di Gombak saya mula berkenalan dengan Ustaz Asri yang ketika itu menyambung pengajian di peringakat PhD. Dari hari ke hari saya semakin rapat dengan Ustaz Asri bermula dengan makan malam ketika pesta konvokesyen UIA.

Seingat saya Ustaz Asri banyak mengajar saya erti kehidupan, memperkenalkan ulama-ulama aliran tajdid dan tradisi dan yang paling saya ingat dan minat adalah Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (Ulama Syria) dan Sheikh Solah Abdul Fattah al-Kholidi (Ulama Jordan). Bila malam menjelang dalam seminggu sekali saya sering menjengah ke bilik Ustaz Asri (bilik postgraduate) untuk bertalaqqi Ilmu Mustolah Hadis dan pernah juga tidur di biliknya. Ini menggambarkan betapa akrabnya saya dengan beliau. Saya juga sehingga kini masih menyimpan dan membawa ke UK sebuah jubah sulaman warna kelabu yang amat cantik hadiah dari beliau kerana Ustaz Asri dah tak muat. Mungkin masa Ustaz Asri Jordan dia masih slim he he.

Saya masih ingat ketika cuti semestar saya ke rumah beliau di Mengkuang, Bukit Mertajam meneruskan pengajian dan beliau melatih saya berceramah di sana. Saya pernah dihantar ke Balik Pulau untuk menjadi panelis forum sebagai satu latihan berceramah di khalayak umum dan forum tersebut saya dimaklumkan dirakam dalam Radio 3 Pulau Pinang. Perkara paling saya ingat dari Ustaz Asri ialah bila berhujah tentang agama kita mesti bersandarkan dalil dan diketahui sumber di mana ianya diambil kerana Islam diasaskan atas dasar ilmu. Jadi bila saya ceramah di mana-mana saya sering ingat akan pesanan ini.

BERGURU DENGAN ALIRAN TRADISI:
Saya juga sempat berguru dengan ustaz-ustaz dari aliran tradisi seperti Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin dari Yayasan Sofa - http://yayasansofa.blogsome.com/, Ustaz Mahfuz Muhammad - http://alsubki2.blogspot.com/ , Ustaz Zamihan al-Ghari - http://www.al-ghari.blogspot.com/. Sekurang-kurangnya saya faham apa yang diperdebatkan oleh golongan tajdid dan tradisi ini. Namun begitu, hati saya amat dekat aliran tradisi. Cuma kita mesti ingat agar perdebatan harus dengan adab. Walaupun berbeza pendapat namun kita tetap sahabat dan saudara seIslam. Saya amat gembira kerana saya mempunyai dan memahami kedua-dua aliran fahaman.

PASCA UIA:
Selepas saya keluar dari UIA dan beliau meneruskan pengajaran di USM dan kemudian dilantik menjadi Mufti Perlis, saya jarang berhubung dengan beliau. Apabila beliau dilantik menjadi Mufti Perlis saya mengambil pendekatan untuk terus menjauhkan diri dari beliau kerana saya tidak gemar untuk mengambil kesempatan terutamanya apabila seseorang saya kenali telah terkenal dan memegang jawatan penting. Saya ingin agar persahabatan didasarkan atas dasar ikhlas kerana Allah. Saya terus mengikuti pandangan dan 'fatwa' beliau dari jauh sehingga ada beberapa pandangannya menimbulkan kontroversi.

DI UK:
Selepas beliau tidak menyambung jawatan sebagai Mufti Perlis dan pergi ke UK untuk sabatikal, saya terus mengikut perkembangan beliau dari jauh terutamanya melalui http://drmaza.com/home/ dan Mingguan Malaysia. Cuma beliau pergi ke Lempitar, UK awal setahun dari saya pergi. Apabila beliau balik daripada UK saya pula yang ke UK. Kami selisih selama dua bulan. Saya dimaklumkan Ustaz Asri juga pernah singgah di Durham ini untuk bermalam di rumah Ustaz Maszlee dan menyampaikan ceramah. Saya rasa rugi kerana tak sempat mengembalikan keakraban dengan beliau kerana hanya selisih dua bulan sebelum kedatangan saya ke Durham, UK. Saya yakin ini semua adalah ketentuan Allah. Setelah berada di UK, saya masih bertanyakan khabar Ustaz Asri melalui sahabat baiknya yang juga merupakan sahabat seperjuangan saya dari Jamaah Islah Malaysia (JIM) iaitu Ustaz Maszlee (sekarang ini membuat PhD di Durham dalam Governans). Setalah saya berada sebulan di Durham, UK maka tercetuslah isu Memorandum Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bantahan terhadap perlantikan Ustaz Asri.

PENDIRIAN RINGKAS SAYA SELAKU EXCO ABIM:
Selaku bekas anak murid Dr. Mohd Asri Zainal Abidin yang amat rapat dengan beliau satu ketika dahulu , walaupun banyak perkara yang saya tidak bersetuju dengan beliau namun tuduhan dalam memo PGSM itu ada yang berat dan tidak benar. Mungkin kita boleh tidak bersetuju atas perlantikkan beliau sebagai YDP YADIM tapi alasannya ada yang bagi saya tidak benar. Sepanjang saya mengikuti beliau termasuk belajar secara personal dengan beliau di bilik dan rumah beliau, beliau tidak pernah menghina ulama khususnya Imam Syafie dan Imam Ghazali dan lain lain walaupun beliau amat kuat dengan fahaman 'tajdid' (salafi).

Pandangan saya di atas telah saya ajukan kepada kepimpinan ABIM Pusat. Saya memahami situasi ABIM Pusat dan tak perlu saya komen apakah situasi tersebut kerana ianya sukar untuk dijelaskan di sini.

RESPON:
Saya juga mengenali PGSM dan memang amat rapat dengan YADIM ketika sama-sama berjuang dalam isu Islam di Malaysia. Saya faham isu ini amat sukar kerana ia melibatkan beberapa fakta yang tidak benar. Namun beberapa alasan lain dalam memorandum tersebut ada kebenarannya. Sebagai orang Islam saya gembira jika perkara ini diselesaikan secara baik tanpa mengutuk sesiapa. Jangan lupa kita berdoa agar isu ini selesai segera dengan harmoni.

PENUTUP:
Tanpa perlu memanjangkan polemik, Dr. Asri, PGSM, YADIM, ABIM, JIM dan lain-lain NGO masing-masing adalah tonggak agama dan besar jasa mereka dalam memperjuang dan mempertahankan Islam di Malaysia. Besar jasa-jasa mereka ini. Saya berdoa semoga agar semua kita disatukan dan menjadi saf kukuh dalam mempertahankan umat. Namun kebenaran pasti sirna! Terima kasih Ustaz Asri kerana pernah mengajar saya!

Tiada ulasan: