Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Mei 17, 2010

Wawancara Bersama Wartawan Berita Belia Islam


Wartawan Berita Belia Islam (WBBI) : Latar belakang penglibatan saudara dalam aktivisme belia?

Jufitri Joha (JJ) : Saya mula berkecimpung dalam perjuangan aktivisme belia semenjak diberi peluang oleh ABIM Negeri Sembilan menjawat jawatan Exco ABIM Negeri. Ia merupakan sesuatu yang amat sukar kerana dikelilingi oleh Exco-exco yang lebih berpengalaman dan berumur. Kemudian juga dilantik sebagai Exco Majlis Belia Negeri Sembilan pada 2003 ketika masih berada di tahun 4 pengajian Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Sebaik tamat pengajian ditawarkan berkhidmat sepenuh masa dalam ABIM oleh Presiden ABIM ke-5, Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman untuk jangka masa setahun namun ia berlarutan sehingga sekarang!

WBBI : Apakah acuan utama untuk membentuk generasi belia yang berkualiti terutama sekali dalam aspek intelektual, kerohanian, serta aktivisme?

JJ : Acuan atau ‘sibghah’ nya adalah dengan memantapkan kewujudan Masyarakat Madani atau diistilahkan oleh Almarhum Ismail Faruqi Ecumenical Community Par Exellance. ABIM sebagai sebahagian anggota tetap Masyarakat Madani memainkan peranan yang penting dalam usaha pemantapan ini kerana Masyarakat Madani harus bertunjangkan pendidikan dan ta’dib. Masyarakat Madani yang berteraskan keyakinan terhadap Allah mampu menjadi acuan yang ampuh dan terbaik dalam membentuk generasi belia yang berkualiti. Ini adalah kerana generasi belia yang berada dalam tempoh tarnsisi atau ‘transition period’ memerlukan sokongan kuat sekeliling dalam membantu mereka mencari identiti dan hala tuju hidup. Bagi menjayakan acuan ini, aktivis belia harus terus berperanan dalam masyarakat mendidik, membimbing, menjadi mentor, mengajar, memberi teladan dan menasihati golongan belia dan masyarakat.

WBBI : Bagaimana saudara menilai aktivisme belia di negara ini?

JJ : Aktivisme belia di Malaysia harus didasarkan kepada ilmu dan penyelidikan kerana segala tindak-tanduk dalam kita melaksanakan program dan menangani isu belia tidak sangat berdasarkan keperluan utama dan citarasa sebenar belia. Isu belia harus diselesaikan dengan mencari punca timbulnya isu atau masalah tersebut dan bukannya hanya menyelesaikan simptom-simptom sahaja. Aktivis harus lebih meningkatkan keikhlasan dan integriti bagi memastikan perjuangan membangunkan belia berhasil dan diredhoi Allah dan Rasul.

WBBI : Di United Kingdom pula bagaimana?

JJ : Aktivisme belia di UK amat meriah. Kelompok belia diberi perhatian utama malah banyak dasar-dasar strategik dirangka dan dilaksanakan oleh kerajaan UK sebagai contoh polisi kesukarelaan dengan mewujudkan Suruhanjaya Russel bagi menggalakkan belia terlibat dalam projek kesukarelaan yang mana bila belia terlibat dalam aktiviti kesukarelaan maka ia merupakan tanda atau simptom positif sebagai warganegara yang baik. Namun yang menyedihkan,belia di barat hidup dalam masyarakat secular yang sebenarnya pada satu ketika pernah mengisytiharkan kematian kepada tuhan! Pembangunan belia di UK bertopang di dinding yang rapuh yang bila-bila masa boleh runtuh menyembah bumi.

WBBI : Setelah selesai mengikuti kursus ini, apakah harapan serta perancangan yang saudara laksanakan setibanya di tanah air kelak?

JJ : Saya akan bertugas sepenuh masa semula dengan ABIM dengan menggunakan ilmu professional yang saya perolehi dalam jurusan Pengajian Komuniti dan Belia. Di samping itu akan menyertai kumpulan penyelidik isu belia Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyelami lebih dalam isu-isu belia secara lebih dekat. Jika ada rezeki dan ketentuan Allah, saya akan menyambung pelajaran ke peringkat PhD dalam bidang belia. Selain itu, saya terus membangunkan beberapa aspek pembangunan belia seperti pertukaran belia, kesukarelaan antarabangsa, pencelahan masalah belia dan kerja belia.

Tiada ulasan: