Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Jumaat, September 17, 2010

Ramadan di Stockholm

Oleh : Jufitri Joha 


Stockholm merupakan ibu kota Sweden terletak seolah-olah terapung di pertemuan dua air iaitu Laut Baltik dan Tasik Malaren. Panorama indah dan iklim yang sejuk membuatkan Stockholm sebuah bandar yang amat menarik untuk diterokai dan amat selesa untuk dihuni. Sweden merupakan sebahagian daripada negara Nordic atau Scandinavia yang menurut kajian ahli sosiologi David Martin sebagai “the most secularised in the world”. Namun begitu apa yang menarik ialah satu penemuan ketika berbincang dengan Setiausaha Agung Severiges Unga Muslimer (SUM) atau Angkatan Belia Muslim Sweden, Omar Mustafa di mana beliau menyatakan bahawa Kerajaan Sweden menganugerahkan geran bantuan kewangan tahunan kepada SUM bagi menguruskan pentadbiran persatuan dan menjalankan aktiviti harian. Saya kurang pasti berapa jumlah sebenar bantuan dalam matawang Swedish Krona tapi apa yang saya difahamkan bantuan kewangan tersebut membolehkan SUM mengagihkan bantuan kewangan tesebut kesemua cawangannya di seluruh Sweden. Sudah tentu banyak bukan? 


Tepat jam 1.15 petang 1 September, saya terpacak menunggu seseorang di depan Sveriges Riksdag atau Bangunan Parlimen Sweden. Jam 1.25 petang muncul orang yang saya tunggu iaitu Mehmet Kaplan, Ahli Parlimen Muslim Sweden. “Saya mohon maaf atas kelewatan kerana sekarang saya sedang sibuk berkempen untuk Pilihanraya Umum Sweden pada 19 September”, sapa Mehmet selepas memberikan salam perkenalan kepada saya. Mehmet yang berketurunan Turki merupakan Ahli Parlimen mewakili kawasan Stockholm. Beliau merupakan ahli ‘Green Party’ yang membentuk blok pakatan pembangkang yang amat kuat dan dinamik bersama Parti ‘Social Democratic Party’ dan ‘Left Party’. Menurut Mehmet, di Parlimen Sweden mempunyai 5 orang Ahli Parlimen Muslim daripada 349 jumlah keseluruhan kerusi Ahli Parlimen di Dewan. Mehmet yang kelihatan kepenatan kerana sibuk berkempen, masih sempat menjadi hos saya selama sehari sambil berseloroh bahawa beliau mempunyai peluang untuk bergelar Menteri Kabinet kerana blok kerjasama pembangkang berpeluang cerah untuk menang majoriti kerusi di Parlimen.


Di tengah- tengah kehangatan berkempen Pilihanraya Umum Sweden, saya dibawa melawat bangunan Parlimen dan juga Pejabat ‘Green Party’ yang bertempat di bahagian bawah dalam kompleks Parlimen. Lawatan ini membangkitkan semangat saya untuk mengkaji lebih lanjut tentang peranan ‘Green Party’ yang mempunyai gerakan global dan massa di seluruh dunia termasuk di negara sejauh Fiji di kawasan Oceania-Pasifik. Teringat saya kepada laporan Finnish Institute for International Affair yang mengesyorkan bahawa Kesatuan Eropah harus mendekati Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai rakan yang amat berpotensi untuk berdialog dan ‘engagement’ terutamanya dalam memasarkan idea demokrasi kepada dunia Islam. Sebagai Exco ABIM yang bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal antarabangsa, peluang keemasan ini saya ambil dengan sebaiknya untuk berkenalan dan bertukar kad bisnes dengan pimpinan ‘Green Party’ dan ‘Left Party’ daripada blok pembangkang dan juga ‘Christian Democrats’ daripada blok Kerajaan.


Mehmet seterusnya membawa saya menyelami kehidupan sebahagian umat Islam di Sweden yang berjumlah lebih kurang 500 000 orang daripada 9 juta keseluruhan penduduk Sweden. Mereka ini kebanyakannya menghuni di tiga bandar utama di Sweden merangkumi Stockholm di bahagian Timur, Gothenburg di bahagian Barat dan Malmo di bahagian Selatan. Sebahagian besar umat Islam di sini berketurunan Turki, Somalia, Iraq dan Bosnia. Apa yang mengkagumkan saya, negara yang terkenal dengan status ‘Welfare State’ ini pernah pada sekitar 2007 dan 2008 membawa masuk seramai 100 000 orang Iraq yang mendapat suaka politik untuk menetap di Sweden. Lantas timbul pertanyaan ke dalam benak saya, bagaimana sebuah negara sekular boleh bermurah hati menerima mereka yang kurang bernasib baik yang majoritinya umat Islam sedangkan negara umat Islam tidak banyak yang sudi berbuat demikian? Persoalan kritis ini harus kita fikirkan bersama.


Kesungguhan Mehmet menjadi hos saya sehingga beliau sanggup membatalkan sebahagian program beliau membuatkan saya rasa betul-betul dihormati dan diraikan sebagai seorang saudara Muslim. Ini menggambarkan keperibadian beliau yang baik dan merendah diri. Tambah menggembirakan saya lagi ialah Mehmet merupakan ahli jawatankuasa European Muslim Network (EMU) yang dipengerusikan oleh Profesor Tariq Ramadan, tokoh pemikir Islam yang beraliran sederhana dan progresif dalam memperjuangkan Islam dan nasib umatnya. Keramahan Mehmet membawa saya seterusnya ke Pejabat Severiges Unga Muslimer (SUM) atau Angkatan Belia Muslim Sweden. Di situ saya sempat berkenalan dan berbincang tentang kerjasama strategik antara ABIM dan SUM dalam membina rangkaian belia Muslim global serta menjalankan aktiviti kerjasama. 


Sebelah malamnya saya berkesempatan menemui Imam Masjid Aysha, Sheikh Mohamad Muslim. Masjid Aysha merupakan Masjid tertua di Stockholm. Seterusnya saya menghadiri Iftar anjuran ‘Swedish Muslims for Peace and Justice’ (SMPJ). Dalam iftar ini turut dihadiri oleh golongan bukan Islam merangkumi pelbagai latar belakang termasuk ahli politik, aktivis masyarakat, pimpinan agama dan Ngo. SMPJ berjaya menyelitkan penerangan tentang Ramadan dan bagi saya mesej tentang Islam telah berjaya disampaikan secara baik oleh SMPJ kepada golongan bukan Islam yang mempunyai peranan yang strategik dan pelbagai. Paling kurang mereka memahami Islam adalah agama yang amat indah dan dipenuhi oleh amalan yang amat unik serta menyihatkan. SMPJ dipimpin oleh seorang anak muda Malaysia dinamik bernama Yasri Khan yang berjaya menyatukan kepelbagaian etnik umat Islam di bawah satu payung perjuangan.


Ramadan terindah saya di 10 hari terakhir di Stockholm diakhiri dengan iktikaf dan ibadah di Masjid Utama Stockholm yang bakal menjadi saksi bahawa saya telah melaksanakan tugasan saya menyambungkan silaturahim sesama umat di antara Umat Islam Malaysia dan Sweden. 

Tersiar di Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 17 September 2010 / 8 Syawal :

Tiada ulasan: