Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Khamis, Mac 28, 2013

Islamofobia berterusan di Myanmar : Tragedi Meikhtila



Oleh: JUFITRI JOHA
Naib Presiden Antarabangsa ABIM

Belum sampai setahun tragedi Arakan pada 24 Mei 2012 yang membunuh etnik Rohingya Muslim sekaligus mengusir mereka dari kampung mereka, dunia dikejutkan pula oleh tragedi yang berlaku di wilayah tengah Myanmar iaitu di Meikhtila. Belum reda dan belum sempat dunia Islam membantu menyelesaikan isu Rohingya sepenuhnya umat Islam terpaksa berhempas pulas untuk menghentikan keganasan terhadap umat Islam di Meikhtila bahkan lebih jauh daripada itu untuk menghentikan gelombang keganasan ini daripada terus merebak ke seluruh Negara Myanmar. Gelombang ini memberikan kebimbangan dan kegelisahan kepada 5 peratus umat Islam Myanmar yang sudah mula merasa bahangnya sehingga ke ibu kota Yangon.

Tragedi Meikhtila berpunca daripada pertengkaran di antara pemilik kedai emas beragama dengan pelanggannya yang beragama Buddha. Dalam masa yang sama tersebar dakwaan bahawa seorang Muslim telah membunuh sami Buddha di satu lokaliti yang berdekatan. Kedua-dua peristiwa berkaitan ini menyebabkan amukan penganut Buddha ekstremis di kejiranan Muslim dan berlaku di luar kawalan. Akibatnya puluhan terbunuh dan ribuan terpaksa menjadi pelarian di bumi sendiri dan sudah tentu kehidupan sering dihantui dengan ketakutan dan syak wasangka di antara Muslim dan Buddha.

Dalam kejadian 20 Mac 2013 yang lalu, amat menyedihkan penganut Buddha ekstremis turut membakar Masjid Thiri Mingala Ashae di bahagian timur Meikhtila sehingga musnah teruk, Turut musnah dua buah masjid lain yang berdekatan dan 8 buah rumah umat Islam. Kumpulan pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Generasi 88’ ini telah bertanggungjawab menyebabkan rusuhan dan mereka turut memukul Min Aung, penduduk Muslim yang cuba merakam tindakan ganas kumpulan pelajar ini. Ironinya, Min Aun telah dipenjara oleh polis dan bukannya grup pelajar samseng 88 yang telah memukulnya. Min Aun turut tidak diberikan rawatan bahkan dinafikan untuk bertemu sesiapa.

Menurut Dr Ko Ko Gyi, aktivis Muslim Myanmar di Malaysia yang juga merupakan sahabat penulis, setakat 27 Mac, fakta yang lebih terperinci menunjukkan bahawa tragedi ini telah mengorbankan 130 jiwa Muslim, 30 jiwa Buddha, 15 masjid dan 5 madrasah telah dimusnahkan. Keganasan telah merebak ke bandar-bandar lain dalam negeri Mandalay dan negeri-negeri lain termasuk Yangon.

Dakwaan yang belum disahkan kebenaran ini juga mengingatkan kita kepada tragedi Arakan pada tahun lepas di mana sekali lagi dakwaan yang belum ada bukti kukuh terhadap etnik Muslim Rohingya yang dikatakan telah merogol seorang wanita etnik Rakhine Buddha yang membawa kepada amukan etnik Rakhine Buddha ektrimis seperti yang kita maklumi. Dakwaan-dakwaan sebegini yang dijadikan khabar angin oleh mereka untuk menghalalkan darah umat Islam.

Dakwaan-dakwaan yang tidak berasas ini sebenarnya dibina atas dasar dan sikap Islamofobia. Islamofobia ialah ketakutan atau kebencian yang tidak rasional atau amat kuat terhadap Islam. Islamofobia turut menggabungkan kebencian kaum, sikap tidak bertoleransi, prejudis, diskriminasi dan stereotaip. Secara kesimpulan, Islamofobia adalah kebencian berasaskan agama atau lebih tepat prejudis terhadap Islam. Suruhanjaya Muslim British dan Islamofobia telah mengeluarkan laporan yang dikenali sebagai “Runnymede Trust Report Islamophobia: A Challenge for All of Us”. Laporan ini telah mengenal pasti tujuh komponen yang terkandung dalam Islamofobia, namun dalam ruang yang terbatas ini satu komponen sahaja yang hendak diutarakan di sini yang berkait dengan umat Islam Myanmar iaitu komponen keenam iaitu “Permusuhan terhadap Islam digunakan untuk menghalalkan amalan diskriminasi terhadap Muslim dan mengasingkan Muslim daripada khalayak ramai”.



Permusuhan penganut Buddha yang berhaluan kanan di Myanmar terhadap umat Islam telah menghalalkan tindakan mereka sehingga sanggup membunuh dan menyeksa mereka. Sebahagian penganut dan sami Buddha yang bersimpati terhadap umat Islam tidak berani bersuara kerana budaya ketakutan ini sudah tertanam selama 60 tahun junta tentera memerintah Myanmar. Kalau pun ada yang bersuara, mereka akan diberikan ancaman dan amaran. Win Htein sebagai contoh lain, Ahli Parlimen setempat daripada parti Suu Kyi yang cuba menghentikan pembunuhan terhadap umat Islam, namun beliau disergah oleh pembunuh dengan menuduh beliau sebagai cubaan melindungi Muslim. Aliran ektremis dan haluan kanan Buddha seperti ini amat memalukan agama Buddha sendiri yang menganjurkan perdamaian dan ketenangan sekaligus memalit imej sami-sami dan penganut agama Buddha lain yang cintakan keamanan.

Permusuhan dan kebencian buta ini adalah berdasarkan ketakutan yang tidak berasas dan dipendam daripada masa ke semasa sehingga prejudis dan stereotaip ini menebal dan terus menebal. Tidak hairanlan tragedi Meikhtila merupakan rentetan dan komplikasi daripada beberapa siri Islamofobia yang berlarutan semenjak berkurun lamanya di Myanmar. Mengambil contoh beberapa rentetan peristiwa yang berasaskan Islamofobia yang berlaku sebelum ini, antara lain pada 16 Mac 1997 di mana berikutan laporan cubaan merogol oleh lelaki Muslim menyebabkan seramai lebih 1000 sami Buddha dan orang ramai berkumpul di Mandalay dengan menyasarkan Masjid, kedai-kedai dan kenderaan Muslim dirosakkan. Pada Februari 2001, konflik sekali lagi tercetus apabila 7 orang sami Buddha dikatakan enggan membayar selepas makan di sebuah kedai milik Muslim yang membawa kepada pergaduhan yang seterusnya menjadi tidak terkawal sekaligus mencetuskan rusuhan. Seramai 20 jiwa terkorban dan lebih kurang 30 buah rumah dan kedai Muslim dibakar. Kejadian ini dilaporkan kepada pihak berkuasa polis dan tentera namun mereka hanya mendiamkan diri dan membenarkan keganasan terhadap umat Islam khususnya terus berlaku. Bahkan lebih teruk, pada tragedi Arakan yang lepas, pihak keselamatan turut bersekongkol membunuh etnik Rohingya Muslim.

Persoalannya mengapa pihak berkuasa dan Kerajaan Junta Tentera seolah-olah mendiamkan diri dan tidak serius untuk menamatkan keganasan. Adakah ini keganasan yang ditaja oleh pihak Junta sebagaimana yang terang-terang berlaku di Arakan di mana ia merupakan keganasan terhadap etnik Muslim Rohingya yang sememangnya ditaja oleh Kerajaan Negeri Rakhine. Mungkin ada benarnya dakwaan Dr Ko Ko Gyi di mana beliau menyatakan Kerajaan Junta sengaja membiarkan konflik etnik sebegini berlarutan sebagai alat atau ‘trump card’ untuk terus berkuasa. Ini merupakan kaedah kebiasaan dan murahan kepada pemerintah diktator di mana-mana ceruk dunia untuk terus berkuasa.

Pada tahun 2001 juga, risalah-risalah anti Muslim bertajuk Myo Pyauk Hmar Soe Kyauk Hla Tai, The Fear of Losing One’s Race dan banyak lagi disebarkan secara meluas menyebabkan ia menjadi alat propaganda yang ampuh untuk mencetuskan kebencian terhadap Muslim. Malaysia dan Indonesia, dua negara yang bertukar menjadi Negara umat Islam dijadikan contoh mengapa Islam harus ditentang dan dibendung daripada menular dan mendominasi Negara Myanmar. Selain itu, pemusnahan Patung Buddha di Bamiyan, Afghanistan oleh Taliban turut dijadikan contoh bagi terus menerus meniup api kebencian penganut Buddha untuk bangkit menentang Islam dan penganutnya.

Beberapa hari sebelum Tragedi Meikhtila berlaku, pada 8 Mac 2013 juga berlaku keganasan kecil dengan alatan-alatan seperti kerusi di kedai-kedai Muslim di Kyaike Htoo dirosakkan selepas berlangsungnya upacara keagamaan Buddha yang mengandungi ucapan-ucapan berunsur kebencian terhadap Islam. Kumpulan ekstremis Buddha yang menggelarkan grup ‘969’ ini diketuai oleh sami-sami dan aktif menganjurkan upacara seumpama itu dan diikuti dengan tindakan keganasan dan vandalisme terhadap kedai-kedai Muslim khususnya di Bee Lin, Negeri Mon. Grup ini biasanya memakai baju T putih tertera symbol anti Muslim ‘969’. Mereka menyebarkan jenayah kebencian dan mempromosikan anarki. Umat Islam telah membuat aduan kepada pihak berkuasa dan termasuk pertubuhan Islam sendiri seperti Islamic Religious Affairs Council dan Myanmar Muslim National Organization namun tidak banyak yang dapat dilakukan untuk menamatkan isu ini.

Api kebencian ini sebenarnya sudah lama merebak ke seluruh Myanmar dan juga ke ibu kota Yangon. Baru-baru ini sekumpulan Ngo Islam di peringkat kebangsaan telah mengutus surat aduan rasmi kepada Presiden Myanmar menggesa beliau untuk melindungi nyawa dan harta Muslim Myanmar dan menjamin perlindungan penuh di bawah undang-undang yang sedia ada. Aduan ini berikutan peningkatan insiden Islamofobia selepas tragedi Arakan 2012 berlaku di kejiranan Muslim di Yangon termasuk pemusnahan rumah-rumah, kedai-kedai, sekolah agama, masjid dan tanah perkuburan milik orang Islam. Nampaknya umat Islam di Yangon juga sudah mula tidak dapat hidup dengan aman dan tenteram.

Sudah sampai masanya Kerajaan Myanmar yang dilihat bergerak ke arah amalan demokrasi lebih serius untuk melindungi rakyat minoritinya khususnya umat Islam. Jika mereka tidak benar-benar serius dalam hal ini termasuk mengheret pengganas dan ektremis aliran kanan Buddha ini, maka masyarakat sivil Asean harus memobilasikan rakyat Asean yang prihatin untuk memboikot sukan Asean yang bakal berlangsung di Myanmar hujung tahun ini. Ia sebagai isyarat jelas dan tegas jika kamu gagal menyelesaikan isu konflik etnik tidak ada maknanya kamu bertungkus lumus menganjurkan sukan SEA sedangkan rakyat kamu sendiri mati dan menderita.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum, macam mana nak Kerajaan Myanmar nak melindungi rakyat Islam mereka kalau mereka sendiri dan majoriti penduduknya juga anti Islam? Sudah terang lagi bersuluh merek mahu menghapuskan Umat Islam dar negeri itu.

Kalau nak mobilise masyarakat ASEAN pulak macam mana? Saya rasa tak semua sepakat? saya ramai orang dariapda negara ASEAN bukan Islam seperti Thailand atau Filipina yang mengalu alukan kejadian di Myanmar, kerana mereka sendiri juga bermasalah dengan penduduk minorit Islam.