Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, November 24, 2014



OLEH: JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden ABIM
Majalah I Vol 145


Saat ini genap 3 tahun 6 bulan konflik dan perang saudara Syria berlarutan. Tiada tanda tanda bahawa perang ini akan tamat dan harapan rakyat Syria untuk kembali hidup ceria seperti sedia kala seakan-akan musnah. Masa depan yang tidak menentu dan dikhuatiri akan terus berlarutan sebagaimana drama perang saudara di Lubnan yang berterusan selama 15 tahun. 6.5 juta rakyat Syria menurut anggaran Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menghadapi nasib yang tidak menentu apabila terperangkap di dalam Syria semenjak perang meletus.

Perang saudara ini diburukkan lagi dengan kemunculan Islamic State in Iraq and Syria (ISIS) atau Islamic State of Iraq and Levant (ISIL) yang bukan sahaja memerangi tentera Bashar al-Assad bahkan memerangi kelompok yang tidak setuju dengan ideologi keras mereka termasuklah Free Syrian Army (FSA) yang berjuang semenjak awal konflik. Kemunculan ISIS secara mendadak di Syria khususnya menjadi a big question mark yang sebenarnya melambatkan kemenangan perjuangan tulen rakyat Syria yang dahagakan keamanan. Tiada siapa yang dapat menduga dengan tepat siapakah sebenarnya di sebalik kemunculan ISIS persis seperti kemunculan Taliban di Afghanistan ketika Mujahidin sudah di ambang kemenangan dan kuasa. ISIS bermula di Iraq menentang penjajahan Amerika di Iraq dan dominasi Syiah yang dianugerahkan kuasa memerintah oleh Amerika. Ketua ISIS Abu Bakr Baghdadi telah melebarkan sayap ISIS dengan mengisytiharkan penubuhan ISIS di Syria pada 8 April 2013 dan mengisytiharkan penubuhan khilafah pada 29 Jun 2014 dengan beliau bertindak sebagai khalihah.

Menurut Maszlee Malik dan Syarafuddin Sulaiman, ISIS beraliran salafi jihadi yang merupakan serpihan kumpulan radikal al-Qaeda yang berpengkalan di Afghanistan. ISIS merupakan kumpulan far right yang jauh lebih radikal dan ganas daripada al-Qaeda sendiri. Golongan takfiri ini sanggup mengkafirkan kumpulan mujahidin tulen yang lain di Syria. Ini mengingatkan kita kepada kemunculan kumpulan khawarij pada zaman khilafah sahabat yang terkeluar daripada aliran utama Islam iaitu Ahli as-Sunnah wal al-Jamaah yang sentiasa wasatiyyah iaitu adil dan tidak melampau. Masyarakat dunia Islam dan Malaysia harus sedar hakikat sebenar perjuangan yang di bawa oleh ISIS adalah bathil dan tidak mewakili pendirian majoriti umat Islam jika tidak akibatnya mereka akan terpedaya dengan ‘Islamic state’ yang disalahgunakan oleh mereka. Penulis setuju dengan Sughra Ahmad, Penyelidik di Markfield Institute of Islamic Foundation United Kingdom bahawa ISIS sewajarnya dijenamakan sebagai UnIslamic State kerana banyak mengelirukan masyarakat Islam.

Maka yang jahil atau menganut fahaman radikal, maka berbondong-bondonglah mereka yang mendokong dan mempertahankan ISIS secara melulu termasuk tindakan menyembelih tawanan dan memuatbaikkan dalam youtube dengan visual high definition yang menggemparkan dunia. Penulis juga amat bersetuju Dr. Hafidzi Md Noor ketika muncul bersama-sama penulis di rancangan Analisis Awani bahawa jika benar ISIS membawa ajaran Islam yang murni, maka tindakan mereka akan mengikut jejak langkah Nabi S.A.W dan Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang memelihara nyawa tawanan apatah lagi untuk menyembelih.

Namun begitu ISIS berjaya menarik minat sebahagian kecil anak muda khususnya dari Eropah, Arab Saudi termasuk Malaysia sendiri untuk mengangkat senjata di Syria!. ISIS dianggotai lebih ramai oleh warganegara luar berbanding rakyat Syria sendiri sedangkan jika mengikut perjuangan sebenarnya rakyat Syria bahawa mereka tidak perlukan pun bantuan tenaga luar cukup dengan mereka menyelesaikannya sendiri seperti mana yang ditegaskan oleh Ketua Ikhwanul Muslimin Syria Sheikh Muhammad Riyadh as-Saqfa. Pandangan ini juga amat sinonim dengan pergerakan HAMAS di Palestin yang turut tidak mengalu-alukan sebarang bantuan tenaga luar untuk menghadapi Zionis, cukup sekadar menghulurkan bantuan kemanusiaan dan membina semula Gaza yang sudah musnah. Dalam makalah Responding to the Islamic’s State Foreign Fighters: Retribution or Rehabilitation menyebut bahawa terdapat sekitar 12 000 pejuang asing bersama ISIS di mana turut melibatkan rakyat Britain. Bayangkan apabila perang tamat dan mereka pulang ke Negara masing-masing dengan ideologi ISIS, sudah tentu ianya mengancam ketenteraman awam.

Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia di bawah kepimpinan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dan Naibnya Sheikh Ahmad Raisuni telah mengisytiharkan Khilafah ISIS di Syria dan Iraq tidak sah malah bercanggah dengan prinsip agama. Pandangan Kesatuan Ulama ini adalah pandangan mu’tabar atau yang diiktiraf dalam dunia Islam sewajarnya tidak ditolak dan mahupun diperlecehakn oleh pendokong-pendokong ISIS. Sesunnguhnya dakwaan Khilafah ISIS adalah bathil dan tiada asas. Selain itu
Kesatuan Ulama berhujah bahawa tiada keperluan untuk menubuhkan Negara Islam yang baru kerana Negara-negara Islam sudah sedia tertubuh. Mengisytiharkan penubuhan sesuatu Negara adalah hak ummah dan bukannya oleh ISIS yang tidak pun mendapat mandat ummah. Selain itu Kesatuan Ulama berhujah bahawa Jihad bukan fiqh individu di mana seseorang itu boleh membuat keputusan sendiri untuk keluar mengangkat senjata di Syria tetapi ia merupakan fiqh jamaah di mana kerajaanlah yang bertanggungjawab mengsiytiharkan jihad dan menghantar pasukan tentera ke sesebuah medan pertempuran

Seorang lagi ulama mu’tabar Sheikh Ben Bayyah yang memimpin Majlis Hukama turut menolak dan menyanggah ISIS yang menyebut Islam mendokong keganasan dan penubuhan Khilafah secara paksaan. Sheikh Ben Bayyah turut menyeru agar idea dan hujah ISIS dipatahkan secara intelektual kerana jika gagal berbuat demikian maka idea yang sama akan terus muncul semula dengan jenama yang berbeza. Sheikh Ali Jumuah mantan Mufti Mesir turut bersepakat dalam hal menolak keabsahan ISIS.

Namun sayangnya sebahagian kecil masyarakat kita menolak pandangan para cendekiawan yang takutkan Allah ini atas pelbagai alasan sedangkan fatwa Kesatuan Ulama dan ulama tersebut dibuat berdasarkan manhaj ilmu dan fatwa yang benar.

Selain daripada faktor pembulian Barat terhadap dunia Islam, tidak dinafikan bahawa kewujudan ISIS adalah tindakbalas terhadap kelemahan Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) dan kegagalan Negara Arab untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin, Syria dan Iraq. Ramai Umat Islam yang kecewa dam tidak tahan melihat senario ini berterusan maka membuat keputusan sendiri tanpa berdasarkan ilmu dan fiqh keutamaan maka mereka terus masuk ke medan perang dan tersalah pula langkah dengan menyertai ISIS. Ini turut melibatkan sebahagian kecil belia Malaysia.

Keutamaan belia Malaysia ialah menuntut ilmu dan memperkasakan ekonomi dan teknologi bagi membuat persiapan jangka panjang bagi menamatkan segala kezaliman yang berlaku di dunia Islam dan dunia amnya dengan membawa kepimpinan keamanan. Tanggungjawab penting Belia dan rakyat Malaysia menurut Mufti Wilayah Sahibus Samahah Dr. Zulkifli al-Bakri ialah membantu meringankan beban rakyat, Internally Displaced People (IDP) dan pelarian Syria dengan bantuan kemanusiaan. Secara ringkas, belia dan masyarakat boleh menyatakan simpati dengan membantu rakyat Syria melalui usaha-usaha bantuan kemanusiaan.

Golongan belia kini amat terdedah kepada media sosial yang menjadi medium rekrut utama kepada kumpulan IS. Perbalahan dan juga provokasi di media massa juga turut meresahkan sehingga terkeluar daripada norma dan batas adab sebagai manusia yang bertamadun dan berakhlak. Kata-kata ancaman kepada institusi-institusi Negara dan juga sosok-sosok yang berpengaruh juga merupakan suatu perkara yang perlu dianggap serius serta perlu ditangani dengan segera.

Kewujudan ISIS secara dasarnya menyemarakkan lagi Islamophobia di kalangan masyarakat Barat. Ia turut juga merosakkan masa depan belia yang keutamaannya sepatutnya mempersiapkan diri dengan ilmu dan skil skala tinggi bagi membangun peradaban Negara sekaligus membebaskan seluruh dunia Islam daripada belenggu peperangan, kejahilan, kemiskinan dan kemunduran pada jangka masa panjang. Bila umat Islam menguasai ilmu dan teknologi serta memimpin dunia maka akan sirnalah kegelapan dan timbullah cahaya keamanan.

“One Man’s Terrorist Is another Man’s Freedom Fighter”



Oleh: Jufitri bin Joha, Naib Presiden ABIM
Majalah al-Ustaz Volume 03 Bilangan 30

“One man’s terrorist is another man’s freedom fighter” begitulah perbendaharaan daripada kata-kata lama dunia kewartawanan. Kata-kata ini jelas menerangkan bagaimana seseorang individu digambarkan atau dipersepsikan oleh pihak media khususnya para wartawan dan jawatankuasa editorial sesebuah media. Oleh itu, tidaklah menghairankan jika media Zionis dan media Barat pro-Zionis melaporkan aspek yang berat sebelah dan salah terhadap perjuangan rakyat Palestin. Ini adalah kerana media merupakan senjata yang amat ampuh untuk membentuk persepsi masyarakat dunia terhadap konflik Palestin-Israel. Kita sedia maklum bahawa persepsi dibina atas tanggapan yang salah dan tidak berdasarkan fakta sebenar.

Menurut Krishna, Nancy dan Douglas (1993) dalam lewat makalah mereka The Evil Empire Revisited menyebutkan bahawa media Barat khususnya di Amerika memainkan dua peranan besar iaitu pertamanya membentuk ‘public opinion’ dan keduanya mempengaruhi keputusan pembuat dasar berkaitan khusus dengan dasar luar Amerika. Justeru tidak hairanlah jika dasar luar Amerika banyak berpihak membela keganasan Zionis kerana salah satu penyumbang terhadap pendirian ini dibentuk oleh media-media utama Barat seperti CNN, FOX, CBS dan lain-lain. Media-media ini juga ternyata membentuk pendapat umum rakyat Amerika sebagai contoh di mana rakyatnya sekitar 80 peratus tidak pernah mengembara keluar negara bahkan ada yang tidak pernah keluar dari negeri mereka sendiri dan hanya bergantung kepada media-media tersebut untuk mendapatkan berita konflik Palestin-Israel. Dalam kes ini sudah tentu HAMAS telah dikambinghitamkan dan mendapat imej yang amat negatif di mata rakyat Amerika dan dunia. Namun dalam dunia media sosial yang berkembang pesat ini, persepsi tersebut ternyata berrjaya ditumpulkan.

Umum turut sedia maklum bahawa kebanyakkan konglomerat media utama dunia dikuasai sepenuhnya oleh puak Yahudi yang sebahagian besarnya amat pro-Zionis yang terus menerus memberikan imej yang negatif terhadap perjuangan menuntut kebebasan oleh rakyat Palestin. Mereka menjustifikasikan setiap serangan Zionis terhadap Gaza khususnya sebagai ‘self-defence’ dan ‘pre-emptive strike’ untuk mempertahankan ‘kedaulatan’ Negara haram mereka. Penganalisis politik Asia Barat Dr. Maszlee Malik mengumpamakan konflik Palestin-Israel ini seumpama seorang pencuri mencuri sebuah rumah lalu mengisytiharkan rumah tersebut sebagai rumah mereka dan menganggap tuan rumah sebagai perampas apabila tuan rumah menuntut rumah mereka semula. Dalam kes ini media Barat dan Israel berjaya memberikan imej rakyat Palestin sebagai perampas rumah. Pendirian dan peranan besar yang dimainkan oleh pemilik rangkaian konglomerat media terbesar dunia yang digelar sebagai ‘A Friend of Israel’ iaitu Rupert Murdoch banyak mempengaruhi gaya pelaporan media-media milik beliau di Australia, United Kingdom dan Australia yang cenderung membela Israel dan kejahatannya terhadap Palestin. Atas ‘jasa besar’ Murdoch ini, Komiti Yahudi Amerika (AJC) pernah menganugerahkan ‘National Human Relations Award’ selepas hanya seminggu 1400 rakyat Palestin terbunuh pada operasi Israel terhadap Gaza pada Mac 2009. Dalam ucapan penganugerahannya, beliau mempertahankan perjuangan Israel sambil menyifatkan rakyat Palestin sebagai ‘Cold-Blooded Killer’ yang menolak perdamaian dan kebebasan. Saya mengenali kehebatan legasi media Murdoch ketika menghadiri kursus kepimpinan di Australia kerana Murdoch lahir di Melbourne. Saya terfikir bagaimana Murdoch mampu meluaskan empayar perniagaan medianya dengan memiliki media-media penting seperti FoxTv, New York Post dan Wall Street Journal di Amerika, The Sun dan The Times di United Kingdom dan The Australian di Australia yang sudah tentu membawa fikrah fikrahnya yang pro-Zionis dan sarat dengan kebencian terhadap rakyat Palestin.

Menurut Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, Penolong Setiausaha Agung Union of Ngos in the Islamic World (UNIW), media pro-Zionis juga melabel pihak yang menyokong perjuangan Palestin dan anti Zionis sebagai anti semitisme yang seolah-oleh membawa kepada konotasi dan imej negatif.
Isu Palestin berkait rapat dengan perjuangan umat Islam. Di Palestin terletaknya tanah suci yang menjadi rebutan oleh tiga agama termasuk Islam, justeru penulis cuba menyorot ringkas tentang pandangan stereotype dan salah terhadap Islam itu sendiri. Ulasan berkenaan perkara ini oleh Noor Adzrah (2012) amat menarik dalam makalah beliau Covering Islam: Stereotypes and Misconceptions in the Media. Beliau menyorot pertembungan antara Islam dan Barat bermula sejak zaman Nabi dan berterusan pada zaman moden selepas insiden 911 di New York. Media media Amerika seperti The New York Times, The Washington Post , Time, Newsweek, CNN, NBC dan lain lain banyak melaporkan yang selalunya negatif terhadap dunia Islam. Selepas insiden 911, banyak pertubuhan Islam disenaraikan hitamkan termasuk HAMAS dan dipaparkan oleh media sebagai pertubuhan pengganas.Akibatnya pertubuhan-pertubuhan Islam disekat dan dibekukan aset-aset mereka diseluruh dunia. Pertubuhan-pertubuhan ini turut dilabel oleh media kebanyakkannya sebagai ‘Islamic Terrorist’, ‘Muslim fundamentalist’, ‘Wahabi zealots’, ‘Sunni bomber’ dan ‘Islamic suicide bomber’. Label-label yang dimainkan oleh media ini serba sedikit memberi kesan bagaimana masyarakat dunia memandang Islam dan perjuangan rakyat Palestin.

Noor Adzrah menambah lagi bahawa serangan terhadap keganasan Israel dipaparkan oleh media utama dunia sebagai golongan pengganas dan mengamalkan amalan terror. Jika seorang atau dua sahaja rakyat Israel yang tercedera atau terbunuh maka ia akan tersiar sebagai ‘headline’ di dada dada akhbar mereka berbanding hampir 2000 korban rakyat Palestin dalam perang terbaru 2014 hanya dianggap biasa bagi mereka. Bagi 2000 rakyat Palestin yang terbunuh baru baru ini tidak ada ‘headline’ dan tidak ada kenyataan media segera daripada pihak White House. Bagi mereka hanya nyawa mereka sahaja bernilai manakala nyawa selain yahudi dianggap tidak bernilai seperti binatang. Jika adapun wartawan media Barat yang melaporkan secara jujur seperti Jeremy Bowen, maka suara jujur wartawan BBC ini disenyapkan bahkan ditarik keluar daripada Gaza. Jeremy Bowen hanyalah melaporkan yang benar iaitu pihak Hamas tidak menjadikan orang awam Palestin sebagai perisai manusia apabila berhadapan dengan tentera Zionis. Seagresif mana usaha untuk menutup suara kebenaran seperti ini lambat laun kebenaran akan sirna jua.

Tun Mahathir Mohamad pernah dengan tegas menyifatkan media Barat dalam menyikap orang Islam sebagai “…perbuatan ‘simple’ mempertahankan diri oleh rakyat Palestin pun dipaparkan media Barat sebagai pengganas Muslim.” Justeru untuk melawan dakyah dan propaganda media Barat dan Israel dalam menjustifikasi tindakan harus ditentang secara berterusan oleh wartawan-wartawan rakyat di seluruh dunia dengan menyebarkan fakta yang sebenar melalui media media sosial yang amat luas sempadannya. Dunia sudah mula sedar dan usaha harus dipertingkatkan secara berterusan untuk memecahkan dominasi media Barat ini sekaligus memenangi sebahagian besar pandangan umum masyarakat dunia terhadap kekejaman Zionis.




Ucapan Aluan di Seminar Pemikiran Sheikh Muhammad Said Ramadan al-Buti 28 September 2014 / 3 Zulhijjah 1435 H

Assalamualaikum warahmatullah,

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam serta selawat dan salam ke atas junjungan al-Mustafa S.A.W.
Yang berusaha Tuan Pengerusi Majlis,
Yang berbahagia Sohibus Samahah Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan,
Yang berbahagia Dato’ Hussamuddin Yaacob, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf,
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Learning of the Wise
Justice of the Noble
Prayer of the Pious
and Valor of the Brave

Ungkapan di atas merupakan motto Universiti Islam Antarabangsa Eropah yang pertama di Cordoba Sepanyol (Kopanski, 2002) yang menggambarkan kepentingan komponen peranan cendekiawan atau ulama’ dalam memastikan kejayaan sebuah pembangunan Negara. Tidak syak bahawa besarnya peranan cendekiawan Islam dalam menyumbang secara aktif dalam memandu kepada sebuah kebangkitan kegemilangan Islam pada zaman Andalus. Cendekiawan Islam akan terus memainkan peranan besar pada setiap zaman dan sewajar diletakkan di tempat terpenting dalam mencorak sesebuah pentadbiran Negara Islam.

“…sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama…” (Faathir: 28). Said bin Jubair menyebut bahawa khasyyah adalah rasa takut kepada Allah yang menghalangi seseorang dari perbuatan dosa kepada-Nya (Ibn Kathir, 1997). Dr. Wahbah az-Zuhaili berkata, “Secara naluri, ulama adalah orang-orang yang mampu menganalisa alam fenomena untuk kepentingan hidup dunia dan akhirat serta takut ancaman Allah jika terjerumus ke dalam kenistaan. Orang yang maksiat hakikatnya bukan ulama. (az-Zuhaili, 1991 dlm Badrudin 1995).

Dalam riwayat Imam Ahmad, Nabi S.A.W bersabda bahawa Ulama adalah pewaris para Nabi dan para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham tetapi mewariskan ilmu (sebagai panduan hidup).


Takrifan di atas jelas menggambarkan kepentingan cendekiawan Islam atau ulama dalam strata kehidupan masyarakat dengan ciri-ciri istimewa seperti rasa takut kepada Allah, berilmu dan memahami realiti semasa berdasarkan nas-nas naqli.
Peranan cendekiawan Islam juga penting dalam memandu kebangkitan anak muda yang highly motivated untuk memperjuangkan Islam. Semangat anak muda pada tahap tertinggi harus diadun dan dipandu dengan hikmah para cendekiawan Islam seperti pepatah arab baina hamasatil syabab wa hikmah as syuyukh. Adunan ini mampu menangani generational gap antara generasi muda dengan generasi dewasa yang turut diwakili oleh para cendekiawan Islam dalam bergandingan bahu memperjuangkan agama. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi pernah menyentuh isu ini dalam kitabnya as-Sohwah al-Islamiyyah tentang sekumpulan anak muda yang bersemangat memperjuangkan Islam tapi tidak dipandu oleh ilmu dan hikmah para cendekiawan.

Pengalaman Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kaya dengan aktivis muda sentiasa menekankan kepada generasi muda tentang pendekatan untuk beriltizam dengan para cendekiawan Islam bagi mendapatkan panduan masa silam, kontemporari dan futuristik bagi memandu sebuah kebangkitan yang segar, bermatlamat dan terbaik pada zaman ini. ABIM meyakini pendapat Sheikh Abul Hasan Ali an-Nadwi bahawa sesuatu perubahan dan kebangkitan bermula dengan intelektualisme yang didokong sebahagian besarnya oleh para cendekiawan Islam. Oleh kerana itu, ABIM amat rapat dengan tokoh-tokoh cendekiawan Islam mu’tabar yang diiktiraf kejaguhan keilmuannya dalam dunia Islam seperti Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, Sheikh Ali al-Qurahdhagi, Profesor al-Attas, Sheikh Ahmad Raisuni, Dr. Jasser Auda, Profesor Tariq Ramadan, Sheikh Yusof Bakhur, Almarhum Sheikh Abul Hasan Ali an-Nadawi dan lain-lain.


Sheikh Muhammad Said Ramadan al-Buti turut tidak terkecuali menjadi rujukan ABIM dalam banyak keadaan berkaitan perjuangan umat. Menurut Dr. Rumaizuddin (2014), Sheikh Said pertama kali berkunjung ke Malaysia ketika menerima jemputan ABIM sempena Muktamar ABIM ke-23 di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyampaikan syarahan berkaitan ketamadunan. Kali kedua kunjungan pada 2005 atas jemputan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di mana saya turut berkesempatan bertemu bagi mendapatkan nasihat Sheikh di Hotel Nikko Ampang (sekarang Hotel Intercontinental). Saya akui bahawa Sheikh Said menggunakan laras bahasa yang tinggi yang agak sukar difahami bagi pengamal bahasa Arab komunikasi seperti saya, namun semangat untuk mengambil ilmu dan keberkatan tidak menghalang saya untuk kekal sehingga ke akhir perbincangan. Kali terakhir kunjungan sebelum Sheikh Said menghembuskan nafas terakhir pada 2010 di mana sekali lagi saya berkesempatan bersama mendengar kupasan beliau yang mana intinya beliau mempertegaskan kepentingan pendakwah di Malaysia mendalami ilmu Fiqh Sirah dan memperkukuhkan aspek kerohanian.

Oleh itu, pihak Akademi Intelektual Muda (AIM) yang baru sahaja ditubuhkan oleh sekumpulan aktivis ABIM tampil buat julung kalinya memperkenalkan dan mengenengahkan pemikiran Sheikh Said setelah pemergian Almarhum pada 21 Mac 2013 yang lalu. Usaha murni seumpama ini bertepatan dengan saranan Profesor Wan Mohd Nor (1989) sebagai salah satu strategi perlaksanaan budaya ilmu di Malaysia dan memperkenalkan para cedekiawan yang sepatutnya dirujuk dan didampingi oleh masyarakat khususnya generasi muda yang bersemangat untuk membangunkan agama, bangsa dan Negara. AIM komited untuk menganjurkan siri-siri Seminar Pemikiran Cendekiawan Islam seumpama ini bagi mempopularkan idea-idea dan pemikiran ulama silam dan kontemporari yang praktikal untuk menyelesaikan permasalahan umat selain memandu umat maju kehadapan. Selain itu, ia diyakini dapat memupuk generasi muda dan masyarakat mencintai ulama yang soleh seperti kata-kata hikmah Imam as-Syafie,

“Uhibbus as-solihin wa lastu minhum, la’alla an analu bihi as-syafa’ah…”
“Aku mencintai orang soleh walaupun aku bukan di kalangan mereka, aku berharap mendapatkan syafaat mereka..”


Sheikh Said Ramadan dipilih untuk siri Seminar Pemikiran Cendekiawan Islam yang pertama ini adalah kerana beliau merupakan tokoh intelektual awam atau public intellectual seperti yang istilah yang digunakan oleh Edward Said. Setelah satahun pemergian Sheikh Said, sumbangan besar beliau wajar diangkat agar warisan hebatnya dikenang dan dijadikan panduan oleh umat. Edward Said menyebut misi pencerahan intektual ialah to advance human freedom and knowledge. Peranan cendekiawan Islam seperti Sheikh Said adalah amat signifikan dalam membimbing umat memahami agama dan membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kekeliruan.

Peranan intelektual awam menurut Alan Lightman ialah,

“Speaking and writing for the public exclusively about your discipline and how it relates to the social, cultural and political world around it. Sometimes speak and write something far larger than the discipline about public issues”.
Sheikh Said yang berlatarbelakangkan pengajian formal syariah menulis secara menulis dan berbicara secara meluas bidangnya dan dikaitkan dengan suasana semasa umat daripada pelbagai aspek kehidupan. Sheikh Said juga turut menulis dan bersyarah di luar bidang kepakarannya sehingga menghasilkan hampir 70 karya ilmiah pelbagai disiplin ilmu Islam (Rashidi, 2014).

Seminar pada pagi ini dijangka akan mengupas fokus-fokus penting dalam kehidupan dan pemikiran Sheikh Said seperti kesan dan pengaruh Fiqh Sirah dalam perkembangan dakwah di Malaysia, isu pembinaan tamadun dan konsep jihad.

Sheikh Said turut tidak terlepas dengan kontroversi konflik perang saudara Syria sehingga mengundang kritikan ulama-ulama sezaman dengan beliau seperti Sheikh Ali as-Sabouni dan Sheikh Kurayyim Rajih berkenaan pendirian Sheikh Said yang kelihatan cenderung kepada pemerintah al-Assad. Sebagai insan yang lemah dan tidak berilmu, saya berpendirian untuk tawaqquf atau senyap dalam isu ini atas faktor sangka baik dan meyakini hikmah yang dipilih oleh Sheikh Said dalam isu ini. Penulis suka mengingatkan bahawa seperti kata-kata Imam Ahmad ibn Hanbal bahawa daging para ulama beracun dan sesiapa yang menghidunya akan mengalami sakit manakala sesiapa yang memakannya akan mati. Memadailah rijal-rijal sezaman dan sejaguh seperti Sheikh Ali as-Sabouni dan Sheikh Kurayyim yang memberikan kritikan-kritikan terhadap Sheikh Said dan yang paling penting masing-masing mempunyai hujah-hujah bersandarkan dalil-dalil dan mengambil kira faktor setempat yang lebih difahami oleh mereka sendiri. Namun begitu, dikatakan Sheikh Said telah menukarkan pendiriannya menyokong perjuangan rakyat Syria pada saat-saat sebelum beliau menemui Penciptanya, wallahua’lam.


AIM ditubuhkan bagi menyemarakkan kegiatan keilmuan dan keintelektualan di kalangan generasi muda dengan menumpukan kepada seminar pemikiran tokoh, penterjemahan karya-karya penting, penerbitan buku, bengkel aktivis intelektual, diskusi ilmiah dan menjadi hos kepada para cendekiawan Islam dan bukan Islam ke Malaysia bagi berkongsi idea-idea dan ilmu segara kepada masyarakat.

Pihak AIM dan ABIM ingin merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasam semua pihak seperti Karangkraf, Lembaga Zakat Selangor, Majalah I, Grup Tafaqquh Anak Muda Nilai, Al Ansar Group, Akademi Denai Hati, Malaysia Life Line for Syria, Sinar Harian dan Grup Penjejak Tamadun Dunia dalam menjayakan program penting seumpama ini.

Saya turut ingin menyampaikan salam Presiden ABIM Tuan Haji Amidi Abdul Manan yang tidak berkesempatan untuk hadir kerana mempunyai komitmen dalam program lain.

Terima kasih dan wassalamualaikum warahmatullah.

JUFITRI BIN JOHA
Pengerusi AIM & Naib Presiden ABIM

Dewan Kompleks Karangkraf, Shah Alam

Rujukan:

Alan Lightman (1999) The Role of the Public Intellectual, http://www.mit.edu/~saleem/ivory/epil.htm. (Diakses pada 26 September 2014).
Ataullah Bogdan Kopansky (2002) Religion & Walfare: The Earliest Period of Spread of Islam in Europe. Kuala Lumpur: Muzium Kesenian Islam.
Ibn Kathir (1997) Tafsir al-Quran al-Azim. Beirut: Dar Ihya’ at-Turath al-Arabiyy.
K.H. Badruddin Hsubky (1995) Dilema Ulama Dalam Perubahan Zaman. Jakarta: Gema Insani Press.
Koleksi Kertas Kerja Seminar Pemikiran Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti Anjuran Akademi Intelektual Muda (AIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) 2014. Belum diterbitkan.
Wan Mohd Nor Wan Daud (1989) Budaya Ilmu Konsep, Prasyarat dan Perlaksanaan di Malaysia. Kuala Lumpur:Nurin Enterprise.

Ahad, November 23, 2014


CCTV China



Di Sebalik Serangan Amerika dan Sekutunya ke atas Pergerakan ‘Negara Islam’ Iraq dan Syam (ISIS)


JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden ABIM

Majalah al-Ustaz Volume 03 No 32


Konflik berdarah di Syria sudah masuk tahun ketiga dan tidak pun nampak tanda-tanda reda. Syria semakin hancur dan terpecah kepada beberapa wilayah mengikut puak dan fahaman. Bumi Syria yang suatu ketika dahulu subur dengan kegiatan ilmu dan kecendekiawanan hari ini suram dan dibayangi dengan bunyi tembakan dan bom. Angka korban sehingga kini mencecah lebih 200 000 jiwa di mana kanak-kanak, wanita dan orang awam terus menerus menjadi mangsa utama. Puak Kurdis yang mendiami Utara Syria khususnya di Kobane turut terkena tempiasnya apabila terpaksa bertempur dengan Pergerakan ‘Negara Islam’ Iraq dan Syam (ISIS) yang tiba-tiba muncul di Syria memerangi Bashar al-Assad dan Free Syrian Army (FSA). Diburukkan lagi dengan serangan udara yang dilancarkan oleh Amerika dan sekutunya atas alasan memerangi keganasan ISIS.

ISIS muncul persis kemunculan Taliban pimpinan Mullah Omar di Afghanistan setalah Mujahidin berjaya mengalahkan dan mengusir keluar Beruang Merah USSR dari bumi Afghanistan. Taliban muncul menguasai Afghanistan setalah kegagalan Mujahidin berpakat dan menyelesaikan masalah dalaman mereka. ISIS muncul di Syria secara tiba-tiba dan seolah-olah mendapat liputan dan publisiti meluas di seluruh dunia khususnya oleh media pro-Barat. Sesetengah penganalisis Asia Barat dan gerakan Islam mengesahkan keabsahahan teori bahawa ISIS merupakan ciptaan dan mendapat dokongan Barat bagi melambatkan proses kemenangan Mujahidin FSA terhadap Bashar al-Assad sekaligus memastikan sekuriti Negara Israel tetap utuh.

Dr. Maszlee Malik dan Syarafuddin Sulaiman dalam bukunya Hamas dan Briged Al-Qassam sempat menyorot secara ringkas sejarah ISIS. ISIS berbasiskan fahaman salafi jihadi yang tertubuh di Iraq yang dulu hanya dikenali sebagai Islamic State of Iraq. Mereka juga merupakan pecahan al-Qaeda yang diasaskan oleh Usamah Laden. ISIS menganut fahaman mengkafirkan oleh lain atau takfiri yang tidak sehaluan dengan mereka dan ini mengingatkan kita kepada kumpulan khawarij yang muncul pada zaman Saidina Ali Abi Tolib yang mendatangkan masalah besar kepada umat Islam pada ketika itu.

Di Iraq mereka bermula dengan menentang penjajahan Amerika semenjak 2003 dan turut bertempur membunuh Syiah yang dianugerahkan kekuasaan oleh Amerika selepas kejatuhan Saddam Hussein. Setelah mewarisi legasi Mus’ab az-Zarqawi, Ketua ISIS Abu Bakr Baghdadi telah melebarkan sayap ISIS dengan mengisytiharkan penubuhan ISIS di Syria pada 8 April 2013 dan mengisytiharkan penubuhan khilafah pada 29 Jun 2014 dengan beliau bertindak sebagai khalihah. ISIS bukan hanya berperang dengan tentera Bashar al-Assad bahkan berperang dan membunuh FSA kerana tidak sehaluan dengan mereka. Situasi ini menyebabkan konflik Syria semakin kompleks dan akan menyebabkan perang akan terus berlarutan. Menurut Dr. Riduan Mohamad Nor, pengkaji aliran gerakan Islam, Ketua al-Qaeda Ayman az-Zarqawi pernah mengeluarkan arahan agar ISIS keluar dari Syria pada tahun 2013 bagi memberikan ruang kepada FSA untuk memfokuskan untuk menumbangkan Bashar namun tidak diendahkan oleh ISIS. Ini bermakna ideologi ISIS kelihatan lebih esktrem daripada al-Qaeda. Ini turut diakui oleh seorang aktivis Syrian Emergency Task Force yang ditemui penulis beberapa bulan lepas di Kuala Lumpur.

Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia di bawah kepimpinan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dan Naibnya Sheikh Ahmad Raisuni telah mengisytiharkan Khilafah ISIS di Syria dan Iraq tidak sah malah bercanggah dengan prinsip agama. Pandangan Kesatuan Ulama ini adalah pandangan mu’tabar atau yang diiktiraf dalam dunia Islam sewajarnya tidak ditolak dan mahupun diperlecehakn oleh pendokong-pendokong ISIS. Sesunnguhnya dakwaan Khilafah ISIS adalah bathil dan tiada asas. Selain itu Kesatuan Ulama berhujah bahawa tiada keperluan untuk menubuhkan Negara Islam yang baru kerana Negara-negara Islam sudah sedia tertubuh. Mengisytiharkan penubuhan sesuatu Negara adalah hak ummah dan bukannya oleh ISIS yang tidak pun mendapat mandat ummah. Selain itu Kesatuan Ulama berhujah bahawa Jihad bukan fiqh individu di mana seseorang itu boleh membuat keputusan sendiri untuk keluar mengangkat senjata di Syria tetapi ia merupakan fiqh jamaah di mana kerajaanlah yang bertanggungjawab mengsiytiharkan jihad dan menghantar pasukan tentera ke sesebuah medan pertempuran.

Seorang lagi ulama mu’tabar Sheikh Ben Bayyah yang memimpin Majlis Hukama turut menolak dan menyanggah ISIS yang menyebut Islam mendokong keganasan dan penubuhan Khilafah secara paksaan. Sheikh Ben Bayyah turut menyeru agar idea dan hujah ISIS dipatahkan secara intelektual kerana jika gagal berbuat demikian maka idea yang sama akan terus muncul semula dengan jenama yang berbeza. Sheikh Ali Jumuah mantan Mufti Mesir turut bersepakat dalam hal menolak keabsahan ISIS.

Namun sayangnya sebahagian kecil masyarakat kita menolak pandangan para cendekiawan yang takutkan Allah ini atas pelbagai alasan sedangkan fatwa Kesatuan Ulama dan ulama tersebut dibuat berdasarkan manhaj ilmu dan fatwa yang benar.
Berdasarkan alasan keganasan ISIS ini, Amerika bersama sekutunya khususnya Negara Arab seperti Arab Saudi, UAE, Qatar, Jordan dan Bahrain telah melancarkan siri serangan udara terhadap kedudukan ISIS di Syria dan Iraq. Ini menambahkan lagi simpati dan sokongan sebahagian pendokong ISIS di seluruh dunia sekaligus menenggelamkan FSA.

Menurut Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, Penolong Setiausaha Agung Union of Ngos in the Islamic World (UNIW), ISIS seperti Taliban dan al-Qaeda adalah ciptaan Barat bagi memecahkan kesatuan umat dan menguasai dunia Islam khususnya di Asia Barat. ISIS digunakan secara tidak langsung oleh Amerika untuk mengkucar-kacirkan FSA dan umat Islam di Syria dan apabilan matlamat tercapai maka tiba masanya untuk Amerika memusnahkan ISIS pula melalui siri serangan udara. Apabila ISIS dimusnahkan sebagaimana Taliban di Afghanistan maka pemimpin boneka pro Amerika akan dilantik bagi memastikan kepentingan Amerika dan Israel terpelihara di Asia Barat khususnya di Syria dan Iraq.

Turki pimpinan Erdogan walaupun didesak untuk turut serta dengan 20 negara sekutu Amerika menyerang ISIS kelihatan enggan menyertai serangan sebagaimana Negara-negara Arab Monarki yang kelihatan beria-ia mendokong serangan Amerika. Amerika mahu mengheret Turki agar turut berperang sesama Islam. Turki kelihatan bersendirian dalam menangani isu Syria dan ISIS dan seolah-olah dipencilkan oleh Negara-negara Arab lain. Turki cuba dilemahkan oleh Barat kerana kepimpinan karismatik Erdogan kelihatan memacu sebuah kebangkitan dunia Islam semula. Dalam isu serangan ISIS, Erdogan bijak agar tidak terperangkap dengan taktik licik Amerika untuk melemahkan Turki.

Amerika tidak berbuat apa-apa mahupun melancarkan serangan tentera ketika Bashar al-Assad mendera rakyatnya sendiri tetapi apabila ISIS bangkit mereka kononnya kelihatan mahu memerangi keganasan sedangkan ‘root cause’ keganasan sebenarnya tidak diperangi oleh Amerika. Faktor kemunculan FSA dan ISIS adalah kediktatoran pemerintah Arab, itu dibiarkan sahaja oleh Amerika.
Amerika hanya mahu dunia Islam terus berpecah agar polisi ‘devide and rule’ boleh terus diamalkan dan Israel akan terus ‘survive’. Itulah rahsia di sebalik serangan ini.


Khamis, November 13, 2014

Mengembara ke Kota Buku


Kota Buku di bawah pimpinan Kepala Kejobos (CEO) nya Sayed Munawar terletak di Tingkat 24 Maju Tower di Maju Junction. Kota Buku sedang menanti siapnya bangunan sendiri setinggi 15 tingkat berhampiran dengan Maju Tower sendiri.

Sayed Munawar bukanlah asing sebagai pengantara atau hos rancangan bual bicara terkenal di RTM satu dan sering muncul di rancangan Resensi Buku setiap Sabtu di rancangan Selamat Pagi 1 Malaysia. Beliau juga merupakan senior kami di PKPIM-ABIM dan khabarnya sudah memasuki ketumbukan Wadah (Wadah Pencerdasan Umat)
Pertemuan dan perbincangan bersama beliau sarat dengan info-info yang bertenaga tinggi yang menyebabkan otak tepu berkaitan dengan dunia buku, budaya ilmu dan perihal berkenaan operasi dan peranan Kota Buku sendiri.


Saya sebut dalam perbincangan tersebut bahawa aktivis Islam harus mengikuti perkembangan dunia buku yang amat sinonim dengan generasi muda yang telah mengubah gaya pembacaan semasa. Saudara Sayed telah menyebutkan bahawa gaya pembacaan semasa telah banyak berubah dengan kewujudan Blook (buku blog) dan Che Det.com merupakan yang pertama seumpamanya. Muncul juga Smook (buku adaptasi daripada kumpulan system pesanan ringkas (sms)) dengan Gelombang Raya. Turut muncul Twook iaitu buku adaptasi daripada tulisan-tulisan ringkas di Twitter. Semua ini adalah senario bentuk buku pada masa hadapan yang sudah pun muncul di kepala zaman ini. Satu lagi yang terlupa ialah Vook yakni buku berbentuk video yang amat ‘fimiliar’ dengan anak-anak kita. Nampaknya kita wajar membaca Mindset tulisan Naisbitt. Teringat juga kata-kata Ghannoushi, arkitek an-Nahdah Tunisa bahawa aktivis Islam harus berfikiran futuristik dan kontemporari dalam mendepani dan menangani zaman.

Kota Buku berbeza sedikit dengan Kampung Buku yang pernah wujud pada zaman pemerintahan Tan Sri Sanusi Junid di Kedah. Kampung Buku menurut Shaharom TM Sulaiman (2002) telah diilhamkan Tan Sri ketika terbaca artikel berkaitan Kampung Buku Redu di bawah kendalian Noel Anselot. Beliau melawat sendiri Redu lalu menjemput Anselot ke Langkawi untuk menubuhkan Kampung Buku Langkawi. Tan Sri Sanusi yang juga pengasas dan penaja penubuhan ABIM pada 1971 (Hussein, 2004) merupakan seorang ulat buku yang juga sinonim dengan budaya ABIM yang menerapkan budaya ilmu sebagai budaya asas yang 6 dalam pembudayaan ahli ABIM. Itulah aktivis ABIM yang sinonim dengan budaya ilmu dan buku sehingga saya ke Medan beberapa tahun lepas, salah seorang pelajar Malaysia di sana menyebut bahawa, “bang kalau orang ABIM turun Medan mesti cari kedai buku”!.


Menurut Shaharom lagi Kampung Buku ialah sebuah tempat yang khas hanya untuk buku-buku, tidak kira baru atau lama; termasuk buku-buku nadir dan buku terpakai dalam pelbagai bentuk, pelbagai bahasa dan pelbagai bidang yang mampu dibeli secara murah. Kampung buku di dunia yang terkenal adalah seperti Hay-On-Wye, Wales; Redu, Belgium; dan Miyagawa, Jepun. Namun sayangnya Kampung Buku Langkawi sudah terkubur sedang ianya merupakan entiti terpenting Negara bagi menggalakkan budaya ilmu. Mungkin ini boleh menjadi salah satu usaha yang harus dihidupkan semula oleh kita semua selain budaya buku jalanan yang diasaskan oleh anak-anak muda kita di akar umbi. Baru-baru ini saya jumpa saudari Najihah di Universiti Petronas ketika berkongsi aktiviti Buku Jalanan Teluk Intan yang mendidik masyarakat untuk membaca dengan menyediakan bentangan buku-buku percuma untuk di baca oleh ‘pedestrian’ di sebelah Menara Condong.

Kota Buku menurut saudara Sayed adalah beroperasi seumpama Matrade iaitu memasarkan buku-buku terbitan Malaysia ke luar Negara khususnya di pesta-pesta buku terbesar di Frankfurt dan Kaherah. Tajuk apa yang boleh laku? Saudara Sayed menyebutkan masyarakat dunia mahu tahu dan membaca dari Malaysia ialah tajuk-tajuk ‘sellable’ seperti kejayaan Felda. Sejarah dan kejayaan Felda harus dibukukan dan disebarkan. Tajuk-tajuk seperti Perbankan Islam, Halal dan Islamika Malaysiana antara tajuk-tajuk ‘world’ yang mahu dibaca oleh khalayak pembaca global. Penulis Malaysia yang mahu idea mereka dipasarkan ke luar harus memikirkan seputar tajuk-tajuk yang mahu dibaca oleh dunia luar.

Kota Buku melengkapi kewujudan ITBM, Perpustakaan Negara, MBKM, DBP dan MIBC dalam melengkapkan penyemarakan budaya ilmu dan dunia perbukuan di Malaysia.

Mengharapkan industri buku akan terus berkembang di Malaysia seiring dengan kemajuan fizikal Negara. Kalau di Indonesia ‘best seller’ menjangkau 16 000 naskhah namun di Malaysia hanya 3000. Mungkin kadar ‘best seller’ boleh meningkat jauh. Seiring juga dengan populasi penduduk Malaysia menjangkau 30 juta maka akan terbit 30 000 judul berkualiti setiap tahun.

JUFITRI JOHA
Pengerusi
Akademi Intelektual Muda (AIMs)

Rujukan:
1. Shaharom TM Sulaiman & Salasiah Abd Wahab (2002) Keanehan dan Keunggulan Buku. Kuala Lumpur, Utusan Publications
2. Hussein Mohamed (2004) Tinjauan Historis Pembangunan dan Perkembangan Gerakan Belia Malaysia dlm Siri Simposium Berkala II "Belia dan Kepimpinan".Sintok, Institut Pemikiran Tun. Dr. Mahathir Mohamed UUM.

Rabu, November 05, 2014

Sepetang bersama Aktivis Papua



Tak ramai yang tahu tentang isu Papua termasuk saya sebagaimana isu Pattani, Rohingya, Uyghur dan Cuba kerana tidak tersiar di dada-dada akhbar. Jika tahu pun mungkin tidak melalui sumber premier. Bertemu Pak Maurits Menufandu, aktivis Papua yang sekarang ni berada di bawah wilayah Indonesia memberikan peluang untuk mendengar sendiri daripada sumber utama tentang apa yang sebenarnya berlaku di sana. Etnik Papua merupakan satu rumpun keluarga besar yang menggabungkan dua wilayah Papua Timur dan Papu Barat (Papua New Guinea @ PNG). Namun PNG berjaya merdeka dari tangan Inggeris dan Australia namun tidak pada Papua Timur.

Majoriti hampir 95 peratus mahukan self determination untuk kemerdekaan kerana berasa daripada segi sejarahnya mereka berhak merdeka selepas dijajah oleh Belanda cuma mereka mendakwa bahawa mereka dipaksa masuk sebagai salah satu wilayah Indonesia. Penduduk Papua atau lebih tepat Papua Barat (untuk membezakan dengan Papua Timur aka Papua New Guinea) enggan menggunakan nama Irian Jaya kerana Irian adalah nama yang diberikan oleh Indonesia dengan jolokan ‘Ikut Republik Indonesia Hingga Netherland’ atau IRIAN. Indonesia memang terkenal dengan singkatan-singkatan mereka seperti DUBES untuk Duta Besar dan MASCIT untuk masaj dan picit.

Menurut Pak Maurits yang beragama Kristian Protestan, rakyat Papua sudah tertindas, diseksa, diculik dan dinafikan hak merdeka semenjak 1963 yang melibatkan angka korban menjangkau 100 000 jiwa selepas mereka mengisytiharkan kemerdekaan semenjak 1 Disember 1961.

Rakyat Papua dipaksakan polisi untuk hanya dibenarkan mempunyai dua orang anak agar etnik Papua tidak berkembang seterusnya melahirkan ‘freedom fighter’ yang lebih ramai. Walhal polisi sebegini tidak dipaksakan kepada wilayah-wilayah Indonesia yang lain. Khabarnya setiap ketika Indonesia menghantar beberapa buah kapal untuk membawa masuk penduduk Indonesia dari wilayah lain untuk mendiami bumi Papua agar peratusan etnik Papua menjadi minoriti. Khabarnya peratusan etnik Papua sebagai penduduk asal berkurang kepada hanya 47 peratus pada 2011. Jika benar berita ini, saya fikir ia persis strategi Kerajaan China membawa masuk etnik Han ke wilayah Muslim Turkestan Timur (Xinjiang) yang terletak di Barat China untuk mengurangkan peratusan majoriti etnik Muslim Hui yang menuntut kemerdekaan.



Saya bertanya, “Pak Maurits, adakah tuntutan kemerdekaan ini di kalangan orang Kristian Papua sahaja?” lantas jawabnya, “Tidak, majoriti rakyat Papua yang beragama Protestan, Katolik dan Islam sepakat menuntut kemerdekaan. Kami di sini hidup harmoni tanpa ada konflik agama”. Saya tegaskan kepada Pak Maurits bahawa ABIM selaku Ngo hanya ‘concern’ isu pelanggaran hak asasi dan kami tidak boleh dan tidak akan masuk campur urusan tuntutan kemerdekaan kerana ia isu sensitif dan melibatkan hubungan diplomatik. ABIM hanya prihatin isu hak asasi dan akan perjuangkannya walaupun Papua majoritinya adalah Kristian. Selagi mana ianya isu kemanusiaan, ABIM dan umat Islam wajib membantu dan mempertahankannya kerana ini isu ‘karamatul Insan’ yang dilaungkan ABIM melalui Presiden Cikgu Amidi Abdul Manan lewat ucapan dasarnya pada 2013.

Isu hak asasi tiada kompromi, cuma saya sebut pada Pak Maurits ialah kebetulan (takdir Allah) kami dunia Islam pada saat ini terlalu banyak terjadi isu perlanggaran hak asasi di Palestin, Syria, Afrika Tengah, Palestin dan lain-lain menyebabkan fokus tenaga dan gerak kerja banyak diarahkan terhadap isu-isu tersebut. Terkadang jika termampu dengan sisa-sisa kudrat kita meninjau dan menunjukkan solidariti kepada isu-isu penindasan di luar dunia Islam seperti di Cuba dan Venezuela. Itulah cabaran kita ialah melahirkan lebih ramai aktivis muda yang ‘passionate’ dengan isu-isu sebegini. Saya kata, saya harus mencari aktivis ABIM atau aktivis di luar lingkungan ABIM yang berminat fokus dan monitor isu Papua ini untuk diformulasikan gerak kerja dan tindakan penyelesaian.

Pak Maurits yang diberikan mandat oleh Komite Nasional Papua untuk membuat roadshow menerangkan isu sebenar perlanggaran hak asasi yang terjadi sehingga kini di Papua. Apa yang menarik ialah Papua berasa aman seketika zaman pemerintahan Gus Dur yang membenarkan bendera Papua dikibarkan bersama bendera Indonesia tapi dengan syarat bendera Papua harus lebih rendah dan sedikit kecil berbanding bendera Indonesia ketika dikibarkan.

Namun faktor utama Papua menjadi tumpuan adalah kerana kekayaan hasil buminya yang dipenuhi emas dan nikel. Papua merupakan 'gold reserve' terbesar di dunia. Syarikat dari Amerika telah mengaut kekayaan emas Papua yang dijual oleh Indonesia. Rakyat Papua hanya dapat sepuluh peratus daripada hasil bumi ini. (Mungkin fakta ini harus disemak agar lebih tepat). Ia adalah disebabkan perebutan hasil bumi dan ekonomi sebenarnya!

Isu-isu sebegini amat dekat dengan aktivis Islam seperti kita. Pelanggaran isu hak asasi harus ditangani namun soal menuntut kemerdekaan ini adalah soal mereka yang kita tidak campur sama sekali. Biarlah mereka selesaikan sendiri dengan aparat pemerintah Indonesia.

Namun elok kita dengar cerita dari pihak Indonesia pula agar maklumat yang kita dapat seimbang.