Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Selasa, Mei 26, 2015

Fenomena Kepemudaan dan Kebangkitan Islam


Oleh: Jufitri bin Joha (Youth Reader)

Fenomena Ahmad Ammar bukan sekadar berkongsi kisah keperibadian dan kehebatan peribadi, tetapi ia adalah simbol dan manifestasi kebangkitan kepemudaan dan Islam yang sinonim semenjak permulaan Nubuwwah ar Rasul S.A.W.

Ia juga merupakan kisah anak muda yang memilih jalan ‘extra ordinary’ yang jarang-jarang dilalui oleh anak-anak muda yang lain. Beliau mengulangi watak-watak kepemudaan dalam lembaran sejarah. Benar kata-kata Pak Hamka ketika beliau ditanya oleh anakandanya sama ada sejarah mengulangi dirinya, lantas Hamka menjawab tidak bahkan perangai dan perilaku manusia di setiap zaman akan menentukan. Namun perangai dan perilaku di sini ialah perangai dan perilaku baik yang menjadi teladan dan qudwah sepanjang zaman. Golongan muda yang membuat perubahan dan revolusi iman seperti yang dipuji oleh Allah Ta’ala dalam ayat surah Kahfi adalah sedikit. Dr. Rumaizuddin Ghazali, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyebut bahawa ayat ini menggunakan terma ‘jam;ul qillah’ yang menggambarkan betapa sedikitnya golongan pemuda yang berani dan mempunyai iltizam yang tinggi untuk melakukan perubahan. Dr. Mahmud Rushdan, pengasas International Institute of Islamic Thought (IIIT) pula meletakkan kepercayaan kepada bilangan yang sedikit dan berkualiti untuk melakukan reformasi sosial.

Justeru tidak hairanlah pemuda seperti Ammar tidak ramai namun dengan kematiannya yang menghidupkan ini berjaya meniupkan obor semangat dan kesedaran kepada lebih ramai pemuda-pemudi dan masyarakat luar tentang tujuan, hakikat serta makna kehidupan yang singkat ini. Mereka tersentak daripada lamunan panjang lagi melalaikan dan bermula berfikir adakah penciptaan mereka ini hanya sia-sia tanpa tujuan utama. Tugasan sebagai hamba, khalifah dan pembangun masyarakat harus digalas sebagai suatu amanah berat yang akan dipertanggungjawab kelak.

Ammar seorang anak muda yang telah diprogram dan diagendakan oleh ayahanda yang berwawasan tinggi dan yang lebih mengkagumkan ketaatan dan kesabaran central processing unit (CPU) Ammar untuk menerima program dan agenda demi kebaikan masa depan beliau secara khususnya dan ummah secara amnya. Tidak mudah membentuk anak muda sepanjang zaman kerana zaman remaja adalah zaman mencabar seperti kata Stanley Hall, ‘storm and stress’.

Pada fasa perubahan dan transisi ke alam dewasa ini, remaja sedang berhadapan dengan cabaran dan tekanan sekitar identiti, seksualiti, religiosity dan lain-lain. Para ahli sosiologi mendapati the word ‘youth’ has become problematic in that its definition appears to be negative, applying to a phase of life that is neither childhood nor adulthood. Ditambah pula dengan label negatif diletakkan oleh masyarakat dan pihak media yang rakus mengaut keuntungan kepada belia dan remaja menyebabkan terhasilnya tembok sosial yang memisahkan mereka dengan masyarakat yang akhirnya mereka memberontak dan memprotes dengan melakukan perkara-perkara dan terlibat dalam gejala haram dan maksiat. Golongan remaja dan belia akan sentiasa berasa tertekan berhadapan dengan situasi dan keadaan sekeliling yang tidak menentu. Keadaan akan bertambah buruk jika panduan dan sokongan sewajarnya tidak diberikan oleh keluarga, golongan dewasa dan masyarakat.

Di usia mencecah 20an, Ammar berjaya menghadapi fasa ini dengan baik dan beliau beruntung mempunyai ibubapa dan keluarga perjuangan yang sentiasa menyuntik agenda dan semangat perjuangan. Paling signifikan apabila modul membangunkan Ammar ini dirumuskan oleh ayahandanya seperti berikut:

1. Nama yang terpuji;
2. Penerapan wawasan ummatik;
3. Pendidikan adab;
4. Penghayatan Al-Quran;
5. Kekuatan mendirikan solat tahajud;
6. Penguasaan ilmu srategik; dan
7. Penguasaan pelbagai bahasa.

Modul ini amat baik untuk keluarga Muslim mengaplikasikannya agar lahir lebih ramai tokoh-tokoh muda yang dipersiapkan untuk memimpin umat. Kesempatan bertemu dan berbincang dengan ayahandanya Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman yang juga merupakan mentor saya amat mengujakan dan menyegarkan. Beliau menyebut agenda pembangunan Ammar bukan agenda kecil-kecil anak kerana cita-cita beliau ialah untuk melahirkan pemimpin Islam bertaraf dunia dan lima bintang.

Beliau mengambil contoh perjalanan hidup Presiden Republik Turki Dr. Ahmad Davutoglu yang kini menjadi pemimpin dunia Islam yang ‘smart’ dan bertaqwa. Beliau dikenali sebagai arkitek dasar luar Turki terbaik ketika menjadi Menteri Luar Turki. Beliau yang saya ingat amat sinonim dengan dasar luar ‘zero problem with neighbours’ yang menjadikan Turki makmur dan menjadi ‘role player’ terpenting di rantau Asia Barat dan Dunia Islam. Pernah mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum berpencak di pentas politik Turki dan Antarabangsa sebagai ahli politik yang bijak dan berkarisma tinggi.

Tuan Haji Azam banyak terinspirasi dengan Erdogan, Abdullah Gul, Davutoglu, Sultan Muhammad al-Fateh serta Empayar Turki Uthmaniyyah yang pernah memimpin dua pertiga dunia dan membawa keamanan dan kemakmuran sejagat. Tidak hairanlah Ammar dihantar ke Turki bagi menyambung pelajaran dan mengasah kepimpinan ummatik.
Takdir Allah telah mendahului segalanya, kematian Ammar membuka ruang yang lebih besar buat Tuan Haji Azam untuk merangka ‘roadmap’ dan ‘grand design’ untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang memimpin dunia. Tuan Haji Azam sedar bahawa inilah hikmah sebuah kematian dan kehilangan yang merintis jalan yang lebih besar buat dirinya menyumbang untuk umat. Remaja, belia dan masyarakat mendapat tempias manfaat daripadanya melalui ‘roadshow’ dan terbaru projek latihan Kem Ammar Al-Fatih.

Umat dan generasi muda kemarau dengan teladan. Kematian Ammar membuka mata masyarakat bahawa masih wujud anak muda yang baik dan berwawasan di sebalik imej negatif belia. Mesej kematian Ammar amat jelas bagi mendidik belia dan masyarakat bahawa hidup ini terlalu singkat maka berbuatlah amal dengan meninggalkan legasi dan kesan abadi buat umat seperti idea Bapak Tenas Effendy dari Riau ketika berbicara soal jatidiri dan nilai-nilai luhur belia dalam tamadun Melayu menyebut tentang Sifat Dua Puluh Lima yang perlu ada pada belia. Antara lain beliau menyebutkan “Sifat tahu hidup meningalkan, tahu mati mewariskan”.
Pak Tenas mensyarahkan pepatah dan pepitih tersebut sebagai,

“Yakni sifat yang menyadarkan orang untuk berkarya, berbuat kebajikan, berbuat budi dan jasa selama hidupnya, serta mewariskan nilai-nilai luhur agama dan budaya, mewariskan karya dan jasa, mewariskan nama baik, memberi faedah dan manfaat yang sebesar-besarnya bagi masyarakat bangsa dan negaranya. Ungkapan menyebutkan,

“yang disebut hidup meninggalkan
meninggalkan syarak tempat berpijak
meninggalkan adat tempat menempat
meninggalkan lembaga tempat berjaga
meninggalkan budi yang terpuji
meninggalkan contoh yang senonoh
meninggalkan teladan yang sepadan
meninggalkan nama yang mulia
meninggalkan petuah yang berfaedah
meninggalkan kaji yang berisi
meninggalkan pusaka yang berhargai
meninggalkan anak yang dipinak
meninggalkan harta yang berguna
meninggalkan dengan bekalnya.


Semoga sebuah kematian ini akan terus memberikan inspirasi kepada umat melahirkan lebih ramai pemimpin muda berkarisma yang akan meneruskan perjuangan anak-anak muda yang mendokongi Sayyiduna Muhammad al-Musatafa seperti Mus’ab ibn Umair, As’ad ibn Zurarah, Saad Ibn Muadz dan lain-lain yang sentiasa ‘evergreen’ dan fenomena kebangkitan Islam sepanjang zaman. Ianya bukan segala-galanya tentang Ahmad Ammar tetapi ‘concern’ kita adalah pada pembinaan generasi masa depan yang bakal kita wariskan adalah generasi yang seharusnya kuat untuk manfaat umat. Firman Allah Ta’ala,


“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar”. (An Nisaa’, 4:9)

Wallahua’lam.

Nilai, 1.36 tenghari
18 Februari 2015 / 28 Rabiulakhir 1436 H







Catatan: Mumtazah Sanusi

~ "New world order" muncul atas banyak faktor:-
1) Kemerosotan kuasa besar Amerika
2) Peperangan Ukraine vs Rusia
3) Krisis di Arakan ( Rohingya )
4) 'The aging society' di Eropah dll

~ Dalam kerangka Islam, Islam dilihat sebagai kuasa yang memenuhi new world order - bukan sebagai penjajah tetapi meraikan kepelbagaian seperti istilah pada buku 'Kepelbagaian & Khilaf dalam Bingkai Kesatuan'....
~ Menaikkan Islam sebagai 'the only solution/alternative' kepada sistem kapatalis yang semakin bobrok adalah agenda utama kita...
2108- masa Islam akan bangkit. Bagaimana kita mahu mempersiapkan anak muda ke arah kebangkitan tersebut? --> Anak muda perlu berada di tengah tapi radikal!
~ Kekeliruan pada IS - adakah ia mewakili dunia Islam atau tidak?. Kajian dibuat & mendapati khilafah yang diperjuangkan IS adalah dakwaan batil! Keseluruhan kelompok utama yang ada di tengah menolak! Idea 'new khawarij' pada IS yang mengkafirkan bukan ideologi kita! IS menenggelamkan hero sebenar iaitu para mujahidin (majoriti rakyat Syria)
~ Rakyat Malaysia tidak perlu ke sana. Memperkukuhkan ekonomi, teknologi & semua bidang perlu dibuat. Ia proses jangka panjang & tidak melulu melalui jalan pintas seperti yang berlaku sekarang. Strategic action penting untuk mempersiapkan anak muda dengan kepakaran ilmu agar mampu menjadi kuasa besar di tengah.
Contoh:-
Buku Dr Majid Irsan - alQuds dibebaskan oleh madrasah ilmu & madrasah rohaniah --> ini adalah proses puluhan tahun sebelumnya...
~ Apa yang perlu?
# ILMU
# KEMAHIRAN termasuk:
(1) Contemporary thinking
(2) Futuristic thinking
(3) Critical thinking
# MENTOR
(membangunkan anak muda perlu ada belia & orang dewasa yang memimpin belia)
Sdra. Jufitri Bin Joha - Forum Anak Muda "Orde Baru Ummah: Benarkah Dunia Islam Menolak Ekstrimisme & Isis"
— at Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam.

Khamis, Mei 21, 2015

Forum 27 April 2015 / 8 Rejab 1436 H @ Kolej Kediaman ke-8 UM

Jufitri Joha @ Analisis Awani: Inovasi Sosial Teras Kelangsungan Pembangunan Belia 11 Mei 2015 / 22 Rejab 1436 H

TERUS TERANG MBM



Kuala lumpur, 29 April 2015: Forum “Terus Terang- Jangan Sembang Kosong, Terus Selesaikan” siri dua berjalan dengan lancarnya. Bertempat di Bilik Seminar, Tingkat 2 Wisma Majlis Belia Malaysia. Sebuah inisiatif Jawatankuasa Penerangan MBM sebagai pendedahan dan percambahan ilmu kepada golongan belia.
Forum pada kali ini telah membincangkan topik berkenaan “Akta Pencegahan Keganasan (POTA) Suatu Penindasan?

Panel pada kali ini ialah Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman. Beliau adalah Mantan Majistret, Presiden Mahkamah Seksyen, Penasihat Pesekutuan dan Pembantu Pendraf Undang-undang parlimen dan beliau telah bersara dari perkhidmatan kerajaan sebagai Pegawai Undang-undang MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) ketika zaman Darurat pada tahun 1969. Beliau adalah seorang yang sangat berpengaruh dalam hal dan bidang undang-undang.
Antara isu yang dibincangkan adalah seperti perkaitan dengan undang-undang lama iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan sebelum ini, kredibiliti Akta POTA, kredibiliti penguatkuasaan, perbezaan POTA dan ISA dan lain-lain.

Saudara Hasnul Hanif Harun, Ahli Jawatankuasa MBM telah dipertanggungjawabkan sebagai moderator pada forum kali ini. Antara peserta yang hadir pada forum ini seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Permuafakatan Siswa Siswi FELDA UiTM (PERSADA UiTM) dan barisan kepimpina Majlis Belia Malaysia antaranya saudara Zaidi Aziz, Timbalan Presiden MBM, saudara Khairul Annuar Mansor, Naib Presiden MBM, saudara Ahmad Saparudin Yusof, Setiausaha Agung MBM, Mohammad Rizan Hassan, Ketua Penerangan MBM, dan exco Majlis Belia Malaysia saudara Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz dan saudara Thai Ming Yeow.

Forum ini telah diakhiri dengan penyerahan cenderamata kepada panel dan sesi bergambar bersama para peserta yang hadir.
Nantikan Siri Terus Terang yang berikutnya, “Jangan Sembang Kosong, Terus Selesaikan”.

NARA SUMBER: http://belia.org.my/wp/?p=7367

Ucapan Aluan di Seminar Pemikiran Sheikh Muhammad Abduh




Dalam ucapan aluan saya menekankan peranan guru sebagai reformis masyarakat dengan mengambil semangat pemikiran pendidikan Sheikh Abduh. Peranan guru amat besar dalam membuat perubahan kerana pendidikan adalah elemen yang ampuh untuk mencapai tujuan ini. Pelajar yang mahu dilahirkan adalan insan yang seimbang yang berilmu, beradab dan berpendidikan. Saya secara peribadi semakin kuat kepercayaan bahawa pendidikan adalah cara terbaik untuk membuat perubahan dalam masyarakat. Lebih spesifik saya semakin yakin pendidikan tidak formal melalui pertubuhan belia lebih besar kesannya daripada pendidikan formal walaupun tidak menafikan kepentingan pendidikan formal. Menurut Gibb dalam Modern Trends in Islam, menjelaskan empat agenda pembaharuan pendidikan menurut Sheikh Abduh iaitu:

a.) Pemurniaan ajaran Islam dan kehidupan umat Islam daripada bid'ah dan khuafat;
b.) Mereformasi pendidikan tinggi universiti dengan integrasi antara pendidikan tradisi dan moden dan fardhu ain dan fardhu kifayah;
c.) Mempertahan jati diri Islam dan menolak ideologi yang merosakkan umat dan ini terjelma dalam Risalah Tauhidnya; dan
d.) Membuka semula pintu ijtihad bagi melenyapkan kejumudan dan membangkitkan kekuatan daya fikir.

Sheikh Abduh jelas mahukan perubahan yang seimbang antara hati dan akal. Akal yang cerdas dan hati yang bersih. Jika agenda ini yang dibawa oleh para guru maka saya meyakini kesan perubahan yang besar akan berlaku di dasar bawah strata masyarakat.

JUFITRI JOHA
Pengerusi AIM




Golongan Belia Adalah "Aset" Yang Paling Berharga Di Dunia:- Jufitri Joha



25 April 2015;- Golongan Belia Adalah "Aset" Yang Paling Berharga Di Dunia! Begitulah penegasan yang dikemukakan Jufitri Joha, Naib Presiden ABIM, ketika menjadi perantara salah satu slot Youth Awards, Convention & Exhibition (YOuth Ace) 2015, Di Dewan PKKSSAS, Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini diketengahkan berdasarkan idea yang dikemukakan oleh Saudara Numan Saadan, bekas brainstormer LangitIlahi, yang kini sedang menyambung pengajian di luar negara. Youth Ace adalah penjenamaan semula dari Teen ACE yang dianjurkan pada tahun 2013.

Selaku moderator, Jufitri telah mengetengahkan hakikat dan realiti masa kini bahawa banyak graduan yang dilahirkan tetapi tidak berilmu, perlu diatasi kerana belia mempunyai potensi untuk mengangkat serta mencorak gagasan ketamadunan yang lebih segar untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Beliau merupakan merupakan merupakan moderator kepada slot yang membariskan Saudara Muhammad Zahid, Dr Wan Amani, serta Saudara Wan Ahmad Faysal sebagai panelisnya. Youth Ace dianjurkan secara bersama oleh Langit Illahi, K-Fiqh, ABIM, SPKB, dan Projek Ahad.

Sumber Laporan: http://www.abim.org.my/berita-program/abim-pusat/item/685-youth-ace.html

Rabu, Mei 20, 2015



Saya sebutkan di hadapan Belia Perlis bahawa Belia Pewaris Sunnah ada 3 ciri:

1.) Ma'rifah Sunnah (Mempelajari dan Memahami Sunnah)
2.) Mahabbah Sunnah (Cinta Sunnah)
3.) Ta'dhiyyah Sunnah (Bekorban untuk laksanakan Sunnah)

Kuliah Maghrib @ Masjid Teras Jernang



KULIAH MAGHRIB
Tajuk: Konsep Jihad dalam Islam & Pencerahan Isu IS
Penceramah: Sdr Jufitri Bin Joha, Naib Presiden ABIM
29 April 2015, Masjid Teras Jernang, Bangi


CATATAN

* IS (Islamic State) telah memburukkan imej Islam.
* Islam membawa misi: merubah, membebaskan dan memberikan pencerahan.
* Ramai yang mengikut IS adalah atas rasa simpati dan semangat yang tidak terkawal, melangkaui nilai ilmu.
* Mereka salah faham berkenaan konsep jihad yang sebenar. Mereka berpegang dan salah tafsiran terhadap hadith "panji hitam".
* Jumhur ulama telah membuat keputusan bahawa tindakan IS adalah batil, menyalahi konsep Islam yang sebenar.
* Dr Yusof al-Qaradhawi telah menyatakan bahawa mengistiharkan daulah Islamiah iaitu khilafah Islam adalah hak ummah, bukannya hak mana-mana kumpulan.
* IS bersedia membunuh sesiapa saja hatta orang Islam sendiri yang tidak sehaluan dengan pemikiran mereka. Ini merupakan pemahaman keras kumpulan khawarij di alaf baru.
* Abu Bakar Al-Baghdadi, pemimpin IS telah mengisyiharkan dirinya sebagai khalifah pada tahun 2014.
* Beliau pernah ditindas, dipenjarakan banyak tahun oleh tentera Amerika di Afghanistan.
* Dasar luar Amerika melaksanakan penindasan ke atas umat Islam di seluruh dunia merupakan antara faktor penyumbang kepada kekasaran yang berlaku dalam IS.
* IS ini asalnya daripada kumpulan Al-Qaeda yang kemudiannya mufarakah, iaitu keluar daripada Al-Qaeda dengan membuat kumpulan sendiri.
* IS ramai foreign fighters. Dari UK sahaja hampir 600 orang anak muda menyertai IS. Ini sebagai protes terhadap UK yang bersengkongkol dengan Amerika menindas umat Islam.
* Anak-anak muda ini bertindak secara emosional, bukan secara rasional dan bukan dengan ilmu.
* Ikutlah ulama yang ada 2 ciri berikut:
1) Ulama yang muktabar - yang diiktiraf, sebagai tempat kita merujuk.
2) Ulama yang mengambil pendekatan wasatiyah, yang berfikiran sederhana.
* Malangnya aktivis IS menolak ulama-ulama muktabar ini.
* Kisah Salahuddin Al-Ayyubi membebaskan Baitul Muqaddis setelah membuat persiapan selama hampir 20 tahun. Tiada jalan pintas! Begitulah beliau menyiapkan anak muda yang berjihad di jalan Allah.
* Formula mencapai kejayaan dengan adanya ciri-ciri berikut:
1) Pendekatan Imam Al-Ghazali dengan kekuatan ilmu.
2) Pendekatan Abdul Kadir Jalani dengan kekuatan kerohanian.
3) Kekuatan sains dan teknologi.
* Kesan daripada kesalahan perjuangan IS, menyebabkan salah faham terhadap Islam makin meningkat. Mereka di dalam IS dengan mudah mengkafirkan orang dan sanggup menyembelih umat Islam yang tidak sehaluan dengan mereka.
* Kesatuan Ulama menyatakan bahawa mengangkat senjata merupakan pilihan yang terakhir dalam konsep jihad.
* Di Syria ketika ini, keadaan makin tidak terkawal, pertempuran antara 3 puak: Tentera Bashar, Kumpulan IS dan Kumpulan Mujahidin.
* Kini lebih daripada 8 juta penduduk Syria telah menjadi pelarian di dalam negara dan di luar negara.
* ABIM telah menubuhkan Life Line for Syria untuk membantu pelarian ini.
* Tidak perlu pemuda-pemuda Malaysia datang ke bumi Syria untuk berperang tetapi lebih utama ialah memberi bantuan kemanusiaan kepada warga Syam.
* Malah HAMAS sendiri memprotes IS kerana IS telah membunuh pelarian-pelarian Palestin di Kem Yarmouk baru-baru ini.
* Pembangunan sesuatu generasi: semangat anak muda yang digabungkan dengan ilmu hikmah orang tua.
* Mustahil agama Islam akan terpadam, namun kekuatiran kita ialah anak-anak muda bangkit semata-mata dengan semangat tanpa ilmu. Ibu bapa yang membenarkan anak muda mereka untuk menyertai IS juga amat merunsingkan. Inilah salah faham atas kejahilan umat yang berlaku.
* Darul Ifta' Mesir: Menyertai kumpulan Da'ish atau ISIL atau IS adalah haram pada hukum Islam.
* Majlis Fatwa Kebangsaan pada 21 - 22 Oktober 2014: Perjuangan IS adalah bertentangan dengan syarak.

KESIMPULAN:
* Dr Wahbah Al-Zuhayli: Jihad adalah salah satu wasilah atau jalan untuk mencapai maqasid (objektif). Jika maqasid boleh dicapai tanpa menumpahkan darah wajarlah ia menjadi keutamaan.
* Jihad yang utama dalam konteks isu di Syria dan Iraq ialah berjihad melalui bantuan kemanusiaan dengan memberikan bantuan makanan dan ubat-ubatan kepada masyarakat di negara-negara bergolak tersebut.
* Umat Islam di Malaysia harus menghindarkan diri daripada terlibat dalam konflik pelbagai puak dan pertempuran berlaku sesama sendiri di negara-negara bergolak tersebut.
* Umat Islam hendaklah menimba ilmu dan menguasai diri dalam pelbagai bidang dan cabangan ilmu bagi menyelesaikan isu kecelaruan pemikiran.

Dicatat oleh: Shirajuddin Sirat (+6019-233 6611; shirajuddin@gmail.com)

Forum Mengurus Perkauman di Karpal Singh Learning Centre Penang 19 Mei 2015 / 1 Syaaban 1436 H



Jufitri Joha @ Channel 8 Documentary Singapore

Can be watched here : http://www.channel8news.sg/news8/ca/focus/episodes/20150423-fotx/1804118.html

Asean People Forum 2015 @ Kuala Lumpur

NGAUMAN EKONOMI TURKI: DARI CHP KE AKP



Oleh: JUFITRI BIN JOHA

Ekonomi Turki kelihatan lesu ketika puluhan tahun Parti Sekular CHP memerintah Turki dengan membawa legasi sekularisme Kamal Ataturk. Semasa awal dekad 1990an keadaan politik yang tidak stabil di Turki meninggalkan kesan negatif yang teruk kepada hutang awam dan asing disebabkan inflasi yang tinggi, defisit belanjawan dan akaun semasa yang tinggi. Kerajaan campuran pada ketika itu gagal menanganinya sehingga Turki mengalami kemunduran dan kelembapan ekonomi sehingga datang fajar Turki Baru atau New Turkey yang dipelopori Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) membawa satu dimensi dan perspektif baru dalam politik, ekonomi dan dasar luar negara.

Kerajaan AKP pimpinan Erdogan menekankan disiplin fiskal, transformasi struktur dan penswastaan. Dalam tempoh fajar baru ini, Turki berjaya keluar daripada era kelembapan ekonomi bahkan mencapai pertumbuhan ekonomi yang stabil. Turki juga survive dalam krisis kewangan global pada 2008 dengan kesan kemusnahan yang minimum. Kerajaan AKP yang berbasiskan aliran konservatif demokrat yang dipimpin oleh gandingan Democrat Islamist Erdogan-Davutoglu-Gul berjaya membuktikan kualiti kepimpinan dunia Islam dalam membangunkan sebuah negara iaitu professional (al-qawiyy) dan amanah (al-amin) sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Qasas ayat 28,

“Salah seorang daripada kedua-duanya berkata: “ Wahai ayah, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat, lagi amanah”.

Masalah yang membelenggu dunia Islam selain daripada kekeliruan ilmu ialah kelemahan kepimpinan daripada sudut penegakan demokrasi, tata kelola atau governan yang lemah, rasuah dan hak asasi manusia namun Turki berjaya keluar daripada persepsi buruk ini bahkan memberikan imej yang baik kepada dunia Islam. Kepimpinan AKP yang cerdas mengambil strategi mengenyangkan perut rakyat dahulu atau memperkukuhkan ekonomi negara sebelum menerapkan dan mengembalikan semula nilai-nilai dan ajaran Islam setelah puluhan tahun ajaran sekularisme mendominasi jiwa dan pemikiran rakyat Turki. Kepimpinan AKP berjaya mendapat kepercayaan majoriti rakyat dengan membuktikan kecekapan mentadbir negara dan ekonomi sebelum secara perlahan-lahan atau tadarruj mengembalikan pengamalan Islam ke dalam nurani rakyat Turki.


Pelajar sarjana di Universiti Necmeetin Erbakan iaitu saudara Syafiq Shafii menulis,

“Keputusan pilihan raya tempatan pada 30 April telah berpihak ErdoÄŸan dan partinya. AKP telah memenangi pilihanraya dengan 46% berbanding hanya 39% pada pilihanraya 2008. Semenjak 1950, belum ada satu parti yang mampu mencapai jumlah 40% daripada undi kecuali AKP yang telah memenangi 49 bandar daripada 81 bandar yang ada di Turkey. Jumlah keluar mengundi juga mencatat satu angka yang tinggi iaitu 80% atau 52 Juta penduduk. Dengan kemenangan besar ini, sekali lagi membuka pintu kepada ErdoÄŸan bersama kerajaannya untuk terus berkhidmat membangunkan negaranya”.

Kemenangan dan kepercayaan ini melonjakkan keyakinan lagi Erdogan dan AKP untuk meneruskan agenda Islamisasi selepas ekonomi ditambah pula dengan kekuatan 52 peratus undi Pilihanraya Presiden 2014 yang lalu, Erdogan sudah mula menzahirkan usaha-usaha Islamisasi dan Ottomanisasi setelah beberapa tahun bersabar dengan suasana sekularisme yang mencengkam kuat dan membangun ekonomi Turki yang bermula dengan defisit dan inflasi yang tinggi. Paling membanggakan ialah yang terbaru Erdogan telah menggantikan gambar rasmi kebanggaan Kerajaan Turki selama puluhan tahun iaitu wajah Kamal Attaturk kepada wajah Sultan Muhammad al-Fatih. Erdogan mula memulihara semula tinggalan Ottoman yang terbiar selama ini termasuk merenovasi Masjid yang menempatkan maqam Sultan Muhammad al-Fatih.
Dunia kagum dengan pencapaian Turki. Penganalis politik Turki seperti Vildan Serin dan Filiz Kadi (2013) menulis satu makalah yang baik bertajuk An Analysis of The Emerging Economies in the Global Governance: A Case Study of Turkey menganalisis kemakmuran, formula dan strategi Turki membangun ekonomi khususnya di bawah AKP.

Serin dan Kadi menyebut strategi politik Turki yang mengutamakan kebebasan dan patisipasi politik, dasar ekonomi yang mampan serta dasar luar yang proaktif dan peace oriented menjadi formula kepada kejayaan ekonomi Turki. Turki mempromosikan pasaran bebas dan mengintegrasikan ekonomi ke dalam pasaran dunia. Turki turut menukar strategi yang hanya banyak mengimport kepada industri eksport dan kesannya nilai eksport Turki telah melonjak daripada 2.3 bilion dollar pada 1979 kepada 134.9 bilion pada 2011. Jumlah negara yang mempunyai nilai eskport dari Turki melebihi 1 bilion dollar meningkat daripada 5 negara pada tahun 2000 kepada 30 negara pada 2008.

Ekonomi Turki telah mencapai pertumbuhan ekonomi yang kuat dengan 11 peratus pada suku tahun yang pertama 2011menjadikan ianya antara negara yang paling kompetetif dalam ranking dunia. Turki turut mempunyai sistem perbankan yang kukuh dengan beberapa usaha reformasi selama beberapa tahun sehingga Turki menjadi satu-satunya negara anggota OECD yang tidak campur tangan dalam sector perbankan ketika krisis ekonomi melanda pada tahun 2008.

Dasar luar Turki yang diterajui arkitek genius Dr. Ahmed Davutoglu memperkukuhkan lagi kedudukan ekonomi Turki. Davutoglu yang pernah menjadi pensyarah UIAM Gombak, telah memformulasikan dasar mesra Barat dan polisi “zero problem with neighbours” khususnya dengan negara-negara jiran di rantau Asia Barat.

Turki telah memanfaatkan hubungan mesra dengan Barat khususnya dengan Kesatuan Eropah (EU) untuk meningkatkan pasaran eksport ke sana. Eksport Turki ke EU meningkat pantas daripada import sehingga ratio eskport-import Turki meningkat daripada 66 peratus pada 1995 kepada 77 peratus pada 2003. Laporan Parlimen Eropah menyebut bahawa hubungan dagang EU dengan Turki pada tahap yang advance. Laporan tersebut turut mencadangkan agar hubungan dagang yang sedia terjalin ini dipertingkatkan untuk mengatasi kesan krisis ekonomi, kedudukan geo-strategik Turki serta Turki sebagai sebuah populasi muda yang berpotensi dalam pembangunan ekonomi. Di mata EU, Turki merupakan sebuah negara Islam yang tidak dapat dielakkan bahkan mereka terpaksa akur dengan kehandalan ekonomi Turki sehingga menempati kuasa ekonomi keenam terbesar di Eropah dan kelima belas di pentas global. Turki menjadi rakan dagang EU ketujuh terbesar dan EU menjadi rakan dagang terpenting Turki. Kedua-duanya saling perlu memerlukan.

Bagi penulis ini merupakan suatu dakwah dan jihad ekonomi Turki bagi menawan dan merobohkan keangkuhan EU-Centric yang lama mendominasi ekonomi dunia. Ketika krisis ekonomi melanda, EU terpaksa berhempas pulas di mana beberapa negara anggotanya termasuk dalam senarai muflis atau hampir muflis seperti Greece, Sepanyol dan Ireland.

Dengan kestabilan politik yang ada, Turki terus melebarkan sayap dagangannya ke rantau Asia Barat, Iran dan Rusia. Rusia sebagai contoh menjadi pasaran eksport ketiga terbesar selepas Jerman dan Amerika Syarikat. Hubungan dagangan yang baik dengan Rusia turut menyumbang peningkatan kemasukan pelancong Rusia ke Turki sebanyak 3.1 juta pada tahun 2010.

Turki telah mengaum dan menampakkan suatu pencapaian yang membanggakan dunia Islam. Ini merupakan ‘dakwah’ sebuah negara Islam kepada dunia bahawa Turki yang dipimpin oleh pimpinan yang komited dengan Islam kelihatan kompeten dan cekap dalam mentadbir negara dan menguruskan kemakmuran ekonomi untuk 73.7 juta rakyatnya. Sebagai anggota grup ekonomi G-20, Turki sebagai ‘middle power’ diharap dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam memimpin mencorakkan masa depan sistem kewangan antarabangsa yang lebih baik serta membawa keluar dunia Islam daripada kemelut kemunduran dan kemiskinan. Dengan kestabilan politik dan ekonomi, Turki mempunyai kekuatan untuk terus membantu mengembalikan dunia Islam seperti mana zaman kegemilangan Ottoman memimpin dunia pada suatu ketika dahulu.

Sabtu, April 18, 2015

Diskusi Meja Bulat: Belia dan Sakit Mental

Saya akan mempengerusikan Diskusi Meja Bulat: Belia dan Sakit Mental ini. Jemput hadir dan sebarkan.

Anugerah Pendakwah Muda


Sebulan telah berlalu, baru sempat mencoret berkenaan Anugerah yang telah diinisiatifkan oleh Kerajaan melalui Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Saya dimaklumkan nama saya dicalonkan oleh sebuah Jabatan Agama. Namun melihat calon-calonnya saya berasa sedikit kurang selesa apabila tersenarai bersama selebriti-selebriti yang mana mereka mempunyai dunia dakwah mereka yang tersendiri. Atas nasihat beberapa senior saya terus berada dalam senarai calon dan saya menghormati serta mengucapkan terima kasih atas pencalonan. InsyaAllah saya berazam untuk terus melakukan kerja-kerja dakwah. Tahniah Imam Muda Asyraf!

Selasa, April 14, 2015

CABARAN BELIA DAN MASYARAKAT ISLAM DALAM MENANGANI ISU UNISLAMIC STATE OF IRAQ AND SYAM (ISIS) DAN BUDAYA K-POP



* Sedutan Kertas Kerja Bertajuk CABARAN BELIA DAN MASYARAKAT ISLAM DALAM MENANGANI ISU UNISLAMIC STATE OF IRAQ AND SYAM (ISIS) DAN BUDAYA K-POP yang Dibentangkan oleh Jufitri Joha dalam 1st National Conference on Communication Research & Exhibition 2015 (1st NCCRE) pada 4 Mac 2015 / 13 Jamadilawwal 1436 H Anjuran Pusat Pembangunan Penyelidikan, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS)

K-Pop, Budaya Popular dan Hedonisme.

Beberapa tahun ini juga Malaysia telah ‘terjajah’ dengan budaya K-Pop yang menjadi fenomena dunia. Ia semakin memuncak dengan meletusnya video lagu Gangnam Style oleh Psy dan ditonton dalam youtube sehingga mencecah 2 billion viewer semenjak 2013. Daripada Individu seperti Psy, Jay Park, Yoon Mi-Rae, Boa, Rain dan IU kepada kumpulan wanita seperti 2Net, Wonder Girls, Brown Eyed Girls dan Sistar dan kumpulan lelaki seperti Big Bang, Beast, Busker Busker dan Shinee menjadi kegilaan dan obses ramai sehingga seorang anak muda Brazil berusia 25 tahun sanggup membuat pembedahan plastik semata-mata mahu kelihatan seperti artis K-Pop. Kegilaan itu turut menjangkiti Malaysia apabila sekumpulan gadis Islam bertudung membiarkan sahaja diri mereka dipeluk dan dicium oleh kumpulan K-Pop B1A4 tanpa segan silu di atas pentas terbuka. Malaysia juga digemparkan dengan kehadiran artis berkumpulan K-Pop semasa Festival Belia Putrajaya 2012 semata-mata katanya untuk menarik kehadiran belia remaja bukan Islam ke Festival. Namun adakah ianya berfaedah untuk belia remaja bukan Islam?.

K-Pop merupakan sebahagian budaya popular atau ‘budaya pop’ yang menjadi ikutan dan kegilaan anak muda hasil ledakan maklumat dan akses media sosial yang meluas. Menurut Zulkiple (2014) budaya popular di Barat dikaitkan dengan budaya yang disebarkan secara meluas dalam masyarakat. Budaya popular juga dikenali sebagai budaya massa yang sinonim dengan media massa seperti radio, surat khabar, majalah, filem dan media sosial. Budaya massa pula terkait rapat dengan ‘mass consumerism’ yang mendasari ekonomi kapitalis yang bertujuan mengeksploitasi budaya popular dan belia remaja demi keuntungan berlipat kali ganda tanpa sedikit memikirkan kesan buruk yang bakal merosakkan generasi pewaris masa hadapan.

Lebih menyedihkan apabila budaya pop turut melanda umat Islam dan lebih memburukkan apabila ianya melibatkan dakwah yang telah dikomersilkan atas alasan untuk menyampaikan Islam dalam bentuk yang santai dan mudah diterima oleh masyarakat awam. Di Indonesia pula menurut Ken Miichi (2014) kandungan berunsur Islam menjadi highly competitive media market yang menguntungkan pengamal media dan industri perfileman bagi memenuhi kehendak umat Islam Indonesia di kawasan urban. Content Islam dan dakwah telah dimanipulasi demi keuntungan dan ruh sebenar Islam tidak dijiwai secara telus oleh pemain industri. Inilah cabaran yang dilontarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Astro Oasis ketika penulis sempat bermesyuarat dengan beliau tentang bagaimana melahirkan pengamal media yang benar-benar memahami intipati Islam dan dakwah secara gambaran syumul bagi menghasilkan produk media dan filem yang benar-benar memenuhi ajaran Islam secara fizikal dan ruh dan dalam konteks terkini adakah ia benar-benar memenuhi standard Indeks Syariah yang diperkenalkan Kerajaan.
Hong (2014) dalam bukunya The Birth of Korean Cool jelas menyebut sejarah kemunculan K-Pop sebagai,

“Korea looked to pop culture as a way to create new sources of revenue, unite people, and generate an exportable product that would help spread Korean culture globally”.

Kenyataan Hong jelas menggambarkan dua elemen iaitu konsumerisme dan juga ‘penjajahan budaya’ ke seluruh dunia termasuk Malaysia. Ia akan menyebabkan belia remaja Malaysia turut menjadi bahan esksploitasi keuntungan dan budaya yang seolah-olah dipaksakan. Sebagai natijahnya belia remaja akan berasa bangga berbudayakan budaya yang datang dari negara maju seperti Korea sekaligus melunturkan keyakinan terhadap budaya Islam dan tempatan yang mempunyai nilai integrasi fizikal dan spiritual yang tinggi. Ia mewujudkan suasana seperti yang disebutkan oleh Malek Bennabi sebagai penyakit ‘colonizebility’ atau minda tertawan yang melanda sebahagian dunai Islam yang mundur.

Sementelah itu, budaya konsumerisme pula terkait rapat dengan hedonisme. Budaya konsumerisme menurut Cray (1998) is a polite and unquestioned form of hedonism. Kamus Dewan mendefinasikan hedonisme sebagai pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Pengertian ini secara jelasnya lebih cenderung membawa kepada konotasi negatif berbanding positif.
Encyclopedia of Philosophy (2000) sebaliknya mentakrifkan hedonisme sebagai, “…the doctrine that pleasure is the good. There are three varieties of hedonism. Psychological hedonists hold that we can pursue only pleasure; evaluative hedonists that pleasure is what we ought to pursue; reflective hedonists that it is what on reflection gives values to any pursuit”.

Takrifan yang dikemukakan daripada sudut kaca mata ahli falsafah barat ini pula cenderung membawa kepada konotasi positif. Namun hedonisme yang dimaksudkan di sini ialah budaya hiburan yang melampau yang tidak mempunyai matlamat, agenda dan manfaat yang baik untuk diri dan agama.
Budaya K-Pop adalah sebahagian daripada budaya hedonisme yang tergolong dalam bentuk hiburan yang tidak mempunyai matlamat dan agenda yang merapatkan diri dengan Sang Pencipta mahupun nilai-nilai positif pembentukan kendiri belia remaja. Hiburan adalah diharuskan dalam Islam kecuali yang bercampur dengan perkara yang diharamkan syarak dan yang membawa kerosakan yang jelas dan pasti (al-Qaradhawi, 2014). Setiap insan perlukan hiburan hatta Rasulullah Sallallahualaihiwasallam dan para sahabat memerlukan hiburan tapi hiburan mereka mempunyai matlamat dan manfaat yang baik seperti kata Saidina Ali Abi Talib, “Hiburkanlah hati dan carilah untuknya hikmah-hikmah yang menarik kerana hati juga berasa bosan seperti badan yang keletihan”.

Pengerusi Akademi Intelektual Muda (AIM) Menjemput Anda Semua ke:

Isnin, April 13, 2015

Mesir Selepas 4 Tahun Revolusi dlm Majalah al-Ustaz Volume 04 No 36



Mesir Selepas 4 Tahun Revolusi.
Oleh: Jufitri bin Joha
Felo Global Movement of Moderates (GMM)


Selepas kali pertama dan terakhir menjejakkan kaki ke Mesir pada Ogos 2003, saya kembali semula ke Mesir pada awal Februari 2015 yang lepas. Kata pepatah orang tua-tua, sesiapa yang pernah minum air Sungai Nil maka ia pasti kembali semula ke bumi lembangan Sungai Nil mengalir ini. Saya kembali semula ke Mesir dan masih amat ingat secara fizikalnya Mesir tidak banyak berubah sejak 13 tahun dulu kecuali yang saya perasaan ialah pembinaan lapangan terbang baru. Lebih signifikan, saya tiba 10 hari selepas sambutan ulangtahun ke-4 Revolusi Mesir yang menyaksikan beberapa kematian di kalangan para pendemonstran menentang As Sisi.

Mesir masih tetap kotor dan kusam serta perangai orang Mesir yang menyesakkan dada apabila berurusan secara langsung dengan mereka. Pemerintahan tentera di bawah pentadbiran Jeneral Abdul Fatah As Sisi menggambarkan seolah-olahnya Mesir memilih untuk kembali pada zaman sebelum revolusinya pre-25 January 2011 Revolution iaitu ‘the police state’. Kalau tidak kerana untuk mengisi Simposisum Mahasiswa Timur Tengah, melawat Pesta Buku Antarabangsa Cairo kedua terbesar selepas Frankfurt, Al-Azhar dan para masyayikh maka tidak sudi saya ke sana.

Rakyat Mesir walaupun tidak semua seolah-olah memilih untuk kekal pada takuk lama lama dan enggan menerima perubahan. Benarlah kata-kata pemikir Islam tersohor Mesir Muhammad Imarah bahawa kudeta ini membawa Mesir 60 tahun ke belakang semula dan kelihatan Mesir akan melalui fasa-fasa mendung yang tidak tahu bila kesudahannya. Ketika awal kemenangan Dr. Morsi, Kerajaan Turki telah menghantar beberapa buah lori sampah bagi membantu Kerajaan Morsi memulakan perubahan kepada landskap kebersihan Mesir namun selepas kejatuhan Morsi agenda kebersihan itu seolah-olah tinggal impian bahkan logo Kerajaan Turki pada badan-badan lori tersebut dipadamkan. Rakyat Mesir lebih suka hidup dalam kekotoran daripada memilih kebersihan dan tabiat tidak bertamadun membuang najis dan kencing di tempat-tempat awam masih berlaku.

Namun begitu, ada juga rakyat Mesir yang mahukan perubahan tapi hak dan pilihan demokrasi terhadap Morsi dinafikan. Saya amat bersetuju ketika bersembang dengan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dato’ Irmohizam Ibrahim yang sempat berbincang dengan delegasi Mesir baru-baru ini bahawa dosa dan sebab utama Morsi diguling hanyalah satu iaitu perjuangan beliau bagi membela rakyat Palestin di Gaza dengan membuka semula akses keluar masuk antara Mesir dengan Gaza. Sebab itulah Kerajaan Haram Zionis antara pihak yang gembira dengan kejatuhan Morsi dan senang dengan gaya pentadbiran Mubarak dan As Sisi. Jeremy Bowen dalam The Arab Uprisings menyebut,

“One of Israel’s leading political analysts told me once, only partly joking, that the first job every morning in the foreign ministry in Jerusalem was to say a prayer for Hosni Mubarak’s health”.

Walaupun nampak ianya hanya jenaka namun ia adalah realiti dan sudah tentu doa itu sekarang ini ditujukan pula kepada kesejahteraan As Sisi.
Dr. Morsi dan pimpinan Ikhwanul Muslimin terus dibicara dan dijatuhkan hukuman dengan pertuduhan yang tidak munasabah oleh Mahkamah Kanggaroo Mesir yang kelihatan terus berfikiran konservatif. Masalahnya dahulu ialah, kepimpinan tertinggi Mesir berubah selepas revolusi dan pilihanraya dengan naiknya Dr. Morsi namun sayangnya jentera Kerajaan Mesir masih pro-Mubarak dan berfikiran jumud. Benarlah kata-kata Profesor Tariq Ramadan bahawa, perubahan yang berlaku di Mesir bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan revolusi kerana revolusi bermakna keseluruhan orang dan sistem berubah. Dalam kes Mesir sistem dan jentera kerajaan tidak berubah. Bak kata pelajar sarjana kedoktoran Georgetown University Hesham Sallam, walaupun Dr. Morsi memerintah peranan ‘deep state’ yang masih berkuasa di lubuk pemerintahan Kerajaan Mesir yang menjadi nadi penentu kepada segala-galanya dalam politik dan pemerintahan kerajaan.

Ikhwanul Muslimin diharamkan dan sebahagian pimpinan Ikhwan yang lolos terpaksa melarikan diri ke negara-negara lain untuk mencari suaka politik. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi turut menjadi mangsa As Sisi dengan notis merah penangkapan yang dikeluarkan oleh Interpol atas kesalahan kononya menghasut rakyat Mesir. Mubarak dibebaskan dan dikatakan anak-anak Mubarak iaitu Alaa dan Gamal pun turut diarahkan oleh Mahkamah Mesir untuk dibebaskan. Paling menggusarkan ialah terdapat usaha-usaha mengembalikan Mubarak ke tampuk pemerintahan sejurus pembebasan beliau dari penjara. Tiada lagi protes besar-besaran kecuali 25 Januari 2015 yang lepas serta demonstrasi pro As Sisi sahaja yang masih dibenarkan berterusan di Dataran Tahrir.

Saya teringat ketika berkesempatan bersemuka dengan Mantan Menteri Kabinet Morsi Sheikh Solah sangat memberikan kesegaran dan kemaskini perkembangan pasca kejatuhan Morsi 3 Julai 2013.

Sheikh Solah menegaskan bahawa Dr. Morsi dipilih secara demokrasi dan pilihanraya bebas (madaniyy al muntakhob) dan mengangkat sumpah Presiden di hadapan pihak tentera, Al Azhar dan Mahkamah Tinggi.

Solah memperihalkan Dr. Morsi sebagai sakhsiyyah yang menghafal al Quran, pemegang PhD, melazimi solat jamaah khususnya solat Subuh di kawasan perumahannya, berjalan di pasar, dan makan seperti orang kebiasaan. Beliau enggan tinggal di Istana Presiden bahkan membayar sewa rumahnya sendiri. Bidang kajian sarjana (master) beliau ialah dalam sel tenaga solar yang digunakan di Amerika.

Dr. Morsi bercita-cita mendirikan kilang senjata, makanan dan ubat-ubatan sendiri dan 3 perkara ini juga menjadi keutamaan pemerintahan beliau iaitu makanan asasi, senjata dan ubat-ubatan. Dr. Morsi membina jaringan persahabatan dan diplomasi dengan China, Rusia, Brazil, Amerika Selatan, Iran, Arab Saudi, Ethopia, Sudan, Qatar dan lain-lain. Turut dalam senarai yang telah dilawatinya ialah India, Pakistan dan Jerman bagi membina kerjasama membangunkan Mesir yang sudah lama ketinggalan dan mundur. Dr. Morsi juga membuka pusat aduan di Istana bagi membolehkan rakyat membuat aduan. Namun segala-gala ini tidak ditonjolkan bahkan pihak media membuat pelbagai tohmahan jahat menjatuhkan imej baik Dr. Morsi. Beratus juta dollar diperuntukkan bagi membiayai kempen memburukkan Dr. Morsi dan Kerajaannya.

Dr. Morsi prihatin yang amat terhadap isu umat. Beliau sentiasa berkongsi derita dengan penduduk Palestin. Beliau memastikan laluan bantuan kemanusiaan mudah memasuki Gaza. Pimpinan Hamas juga berpeluang menjejaki kaki ke Istana Presiden Mesir buat kali pertama dalam sejarah bagi memperkukuhkan hubungan Mesir-Palestin. Dr. Morsi tegas menolak sekatan terhadap Gaza dan menegur keras serangan Zionis terhadap Gaza bahkan menghantar Perdana Menteri Mesir Dr. Hesham Qandil melawat dan membantu Gaza selepas serangan Zionis. Speaker Parlimen Mesir Dr Mohamed Saad El Katatny mengusahakan jet khas untuk membawa terbang langsung Ahli Parlimen ke Gaza untuk memberikan sokongan pada rakyat Gaza dan Palestin.

Semenjak kudeta ganas pimpinan Jeneral as Sisi telah menyebabkan lebih 5000 orang terkorban, lebih 23 000 jiwa ditahan termasuk wanita dan kanak-kanak. Sebahagian mereka ada yang dinafikan ubat-ubatan dalam penjara sehingga menemui ajal. Sebahagian mereka dituduh tanpa asas kukuh dan dinafikan akses pada pihak pembelaan. Tuduhan yang kadang-kadang tidak masuk akal termasuk seseorang individu yang dikenakan 30 tuduhan serentak. 683 jiwa dihukum bunuh di mana hukuman dibuat dalam masa beberapa minit sahaja dan paling malang ada yang tidak sempat pun mendengar pertuduhan. Solah mengibaratkan Mahkamah Mesir umpama memberikan gula-gula ketika menjatuhkan hukuman berat ini.

As Sisi dianggap wira bahkan Duta Israel ke Mesir mengangkat as Sisi sebagai pahlawan Negara orang-orang Yahudi sambil pernah berkata bahawa Ikhwan harus dijatuhkan dan apa yang berlaku di Medan Tahrir mempunyai kesan pada Zionis. Zaman kegelapan rakyat Palestin bermula semula dengan terowong-terowong ke Gaza dimusnahkan manakala Hamas dikaitkan dengan kejadian keganasan di Sinai sejurus selepas kejatuhan Dr. Morsi. Sementera itu, Menteri Pertahanan Zionis dilaporkan berkata bahawa pertuduhan terhadap Dr. Morsi amat menggembirakan mereka manakala Menteri Kewangan Zionis berkata kejatuhan Dr. Morsi membuka fasa baru kerjasama erat Mesir-Zionis. Maka mencurahlah bantuan kewangan Zionis terhadap tentera Mesir.

Kita tidak dapat menjangkakan masa depan yang lebih baik Mesir. As Sisi yang akan terus berkuasa dan dengan khabarnya Rusia dan Putin sudah meluaskan sayap pengaruhnya ke Mesir yang pastinya akan mengukuhkan lagi kedudukan As Sisi. Tidak banyak yang Dunia Islam boleh harapkan daripada Mesir buat waktu ini.