Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Rabu, Jun 24, 2015

Pemimpin Bergasak, Yaman Bergolak


JUFITRI JOHA
Naib Presiden MBM


Yaman menyertai Syria semula dalam senarai Negara Asia Barat yang bergolak. Ketika Dunia masih buntu dengan perang saudara di Syria yang sudah masuk tahun ke-4, Yaman menambahkan lagi duka dunia apabila perang saudara meletus pada Mac 2015 yang lepas akibat sengketa dan dendam. Yaman dan Syria (Syam) adalah dua tempat yang didoakan keberkatan oleh Nabi S.A.W. namun akibat kerakusan dan ketamakan kuasa rakyat kedua-dua Negara terpaksa membayar harga yang tinggi untuk menikmati harga keamanan.

Ali Abdullah Soleh, Presiden Yaman yang digulingkan pada fasa kebangkitan rakyat Yaman menyimpan dendam dan seolah-olah bersumpah akan memastikan penggantinya akan tidak akan dapat memerintah dengan aman. Kerana dendam kesumat yang meluap-luap menyebabkan peluang berkuasa selama 33 tahun dianggap tidak memadai. Pemerintahan selama 33 tahun tidak membawa Yaman kea rah yang lebih maju bahkan rakyat Yaman terus berada dalam takuk kemiskinan. Pengangguran amat tinggi di Yaman mencecah 18 peratis dan hanya lebih kurang 55 peratus mendapat akses kepada air bersih dan selamat. Ini meletakkan Yaman di tangga 154 dalam ranking Pembangunan Kemanusiaan Dunia.

Bacaan lanjut di: http://belia.org.my/wp/?p=7926

Jumaat, Jun 12, 2015

Majalah al-Ustaz 38 2015



Oleh : JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden ABIM


Saya teringat ketika berkesempatan bersemuka dengan Mantan Menteri Kabinet Morsi Sheikh Solah sangat memberikan kesegaran dan kemaskini perkembangan pasca kejatuhan Morsi 3 Julai 2013.

Sheikh Solah menegaskan bahawa Dr. Morsi dipilih secara demokrasi dan pilihanraya bebas (madaniyy al muntakhob) dan mengangkat sumpah Presiden di hadapan pihak tentera, Al Azhar dan Mahkamah Tinggi.

Solah memperihalkan Dr. Morsi sebagai sakhsiyyah yang menghafal al Quran, pemegang PhD, melazimi solat jamaah khususnya solat Subuh di kawasan perumahannya, berjalan di pasar, dan makan seperti orang kebiasaan. Beliau enggan tinggal di Istana Presiden bahkan membayar sewa rumahnya sendiri. Bidang kajian sarjana (master) beliau ialah dalam sel tenaga solar yang digunakan di Amerika.

Dr. Morsi bercita-cita mendirikan kilang senjata, makanan dan ubat-ubatan sendiri dan 3 perkara ini juga menjadi keutamaan pemerintahan beliau iaitu makanan asasi, senjata dan ubat-ubatan. Dr. Morsi membina jaringan persahabatan dan diplomasi dengan China, Rusia, Brazil, Amerika Selatan, Iran, Arab Saudi, Ethopia, Sudan, Qatar dan lain-lain. Turut dalam senarai yang telah dilawatinya ialah India, Pakistan dan Jerman bagi membina kerjasama membangunkan Mesir yang sudah lama ketinggalan dan mundur. Dr. Morsi juga membuka pusat aduan di Istana bagi membolehkan rakyat membuat aduan. Namun segala-gala ini tidak ditonjolkan bahkan pihak media membuat pelbagai tohmahan jahat menjatuhkan imej baik Dr. Morsi. Beratus juta dollar diperuntukkan bagi membiayai kempen memburukkan Dr. Morsi dan Kerajaannya.

Dr. Morsi prihatin yang amat terhadap isu umat. Beliau sentiasa berkongsi derita dengan penduduk Palestin. Beliau memastikan laluan bantuan kemanusiaan mudah memasuki Gaza. Pimpinan Hamas juga berpeluang menjejaki kaki ke Istana Presiden Mesir buat kali pertama dalam sejarah bagi memperkukuhkan hubungan Mesir-Palestin. Dr. Morsi tegas menolak sekatan terhadap Gaza dan menegur keras serangan Zionis terhadap Gaza bahkan menghantar Perdana Menteri Mesir Dr. Hesham Qandil melawat dan membantu Gaza selepas serangan Zionis. Speaker Parlimen Mesir Dr Mohamed Saad El Katatny mengusahakan jet khas untuk membawa terbang langsung Ahli Parlimen ke Gaza untuk memberikan sokongan pada rakyat Gaza dan Palestin.

Semenjak kudeta ganas pimpinan Jeneral as Sisi telah menyebabkan lebih 5000 orang terkorban, lebih 23 000 jiwa ditahan termasuk wanita dan kanak-kanak. Sebahagian mereka ada yang dinafikan ubat-ubatan dalam penjara sehingga menemui ajal. Sebahagian mereka dituduh tanpa asas kukuh dan dinafikan akses pada pihak pembelaan. Tuduhan yang kadang-kadang tidak masuk akal termasuk seseorang individu yang dikenakan 30 tuduhan serentak. 683 jiwa dihukum bunuh di mana hukuman dibuat dalam masa beberapa minit sahaja dan paling malang ada yang tidak sempat pun mendengar pertuduhan. Solah mengibaratkan Mahkamah Mesir umpama memberikan gula-gula ketika menjatuhkan hukuman berat ini.

As Sisi dianggap wira bahkan Duta Israel ke Mesir mengangkat as Sisi sebagai pahlawan Negara orang-orang Yahudi sambil pernah berkata bahawa Ikhwan harus dijatuhkan dan apa yang berlaku di Medan Tahrir mempunyai kesan pada Zionis. Zaman kegelapan rakyat Palestin bermula semula dengan terowong-terowong ke Gaza dimusnahkan manakala Hamas dikaitkan dengan kejadian keganasan di Sinai sejurus selepas kejatuhan Dr. Morsi. Sementera itu, Menteri Pertahanan Zionis dilaporkan berkata bahawa pertuduhan terhadap Dr. Morsi amat menggembirakan mereka manakala Menteri Kewangan Zionis berkata kejatuhan Dr. Morsi membuka fasa baru kerjasama erat Mesir-Zionis. Maka mencurahlah bantuan kewangan Zionis terhadap tentera Mesir.

Kita tidak dapat menjangkakan masa depan yang lebih baik Mesir. As Sisi yang akan terus berkuasa dan dengan khabarnya Rusia dan Putin sudah meluaskan sayap pengaruhnya ke Mesir yang pastinya akan mengukuhkan lagi kedudukan As Sisi. Tidak banyak yang Dunia Islam boleh harapkan daripada Mesir buat waktu ini.

Khamis, Jun 11, 2015

INOVASI SOSIAL DALAM PERTUBUHAN BELIA: PERUBAHAN STRATEGIK YANG MENCIPTA NILAI UNGGUL

Oleh: JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)




PENGENALAN

Majlis Belia Malaysia (MBM) merupakan pertubuhan utama yang menaungi 38 badan pertubuhan belia terbesar di Negara ini. MBM yang dulunya dikenali sebagai Majlis Belia Malaya telah bertapak di persada tanah air semenjak 23 Julai 1948 (Fawzi,1980). Walaupun pada asalnya penubuhan MBM adalah bertindak sebagai cawangan World Assembly of Youth (WAY) di Malaysia, namun MBM memainkan peranan dan agenda yang penting untuk membangun dan memajukan belia dalam semua aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, mental, fizikal, akhlak dan politik. Selain itu, MBM juga bertindak sebagai lidah rasmi belia untuk memperjuangkan segala isu belia dan masyarakat dan menjadi organisasi masyarakat madani yang berperanan penting dalam ruang demokrasi masyarakat Malaysia.

Begitulah penting dan besarnya peranan MBM dan pertubuhan belia naungannya yang lain seperti GPMS, ABIM, MAYC, 4B, PKPIM, GBB, SABERKAS dan HYO sebagai “conscience of society” atau degup jantung masyarakat (Mustaffa, 1998) yang bukan hanya terhad memperjuangkan isu belia tapi menjadi jurucakap masyarakat atau jurubicara umat. Inilah juga yang turut dipertegaskan oleh Menteri Belia dan Sukan Y.B. Khairy Jamaluddin tentang peranan besar pertubuhan belia dalam beberapa siri ucaptama beliau dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN).

MBM dan pertubuhan belia di Malaysia mempunyai sejarah gemilang yang panjang. Tinta dan warkah yang terbatas ini tidak mampu mencoret keseluruhannya cukup sekadar menggambarkan jasa organisasi besar ini dalam melahirkan ramai pimpinan negara dan insan seimbang (istilah yang diperbetulkan oleh Profesor Dzulkifli Razak) yang memberikan sumbangan dan impak yang besar kepada Agama, Bangsa dan Negara. Inilah antara ‘core business’ MBM sebagaiaman disebut sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia tentang peranan MBM,

“In Malaysia, the existence of the Malaysian Youth Council (MYC) as a Non-Governmental Organization (NGOs) to coordinate youth and student organizations reflect the importance and the interest in developing the quality of youth leadership” (Haslinda, 2013).


PENGIKTIRAFAN DAN CABARAN PERTUBUHAN BELIA

Kehadiran Dasar Pembangunan Belia Negara (1997) dan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (2007) memperkukuhkan lagi peranan MBM dan pertubuhan belia dalam pembangunan belia negara. Bertitik tolak daripada Akta 668 ini maka bercambahlah persatuan belia tunggal yang merancakkan lagi pembangunan belia negara. Namun selepas beberapa tahun, percambahan ini bersifat fenomena sementara yang menyaksikan sebahagian pertubuhan belia tunggal ini tidak dapat terus bertahan di namun pertubuhan belia yang mempunyai induk terus bertahan walaupun menghadapi cabaran mendapatkan ahli dan penggerak yang komited memimpin pertubuhan belia.

Pertubuhan belia sebagai platform konservatif untuk beraksi secara kolektif dalam membangunkan belia masih relevan dan akan terus relevan di masa hadapan. terbesar MBM mahupun pertubuhan belia yang lain ialah menangani perubahan semasa dalam menyantuni kehendak, citarasa, nyalarasa dan aspirasi tersendiri generasi muda akan kekal relevan sepanjang masa.

MBM sebagai agen penggerak perubahan (Azimi & Turiman, 1997) harus terlebih dahulu berubah dan menyesuaikan diri dengan suasana dan trend semasa barulah berupaya untuk menangani, mengurus dan memimpin perubahan.



MBM dan pertubuhan belia sedang dan akan berhadapan dengan cabaran generasi Y dan startup serta kemunculan generasi Z yang sedang membesar. Generasi startup disifatkan oleh Ahmad Naim Jaafar, Pengasas Young Innovator Studio sebagai ‘invent themselves’. Mereka menentukan cara hidup dan masa depan mereka sendiri dan tidak lagi percaya kepada sistem arus perdana yang tidak meraikan bakat mereka kerana amalan ‘standardization’ oleh sistem pendidikan nasional. Di sinilah datangnya peranan MBM dan pertubuhan belia sebagai ‘informal educator’ dalam kerangka kerja belia sebagai alternatif kepada sistem pendidikan formal. Namun MBM dan pertubuhan belia harus mengambil pendekatan baru yang lebih mesra generasi muda, cool, happening, funky dan hip dengan mengekalkan nilai lama yang baik seperti keilmuan, bekerja secara kolektif, beragama dan kepedulian sosial bak kata slogan ulama Hindi terkenal Maulana Abu Hasan `Ali al-Nadwi iaitu al-Jam`u baina al-Qadim al-Salih wa al-Jadid al-Nafi’, iaitu menghimpunkan antara tradisi lama yang baik dan perkara baru yang bermanfaat.

Generasi muda pada masa hadapan dijangkakan mempunyai sikap ‘narcissism’ yang lebih mementingkan diri dan individualistik seperti mana yang dirumuskan dalam Bengkel Foresight anjuran MIGHT (sebuah Think Tank Kerajaan Malaysia) pada suatu ketika dahulu. Sudah tentu kepentingan terlibat dalam pertubuhan belia sudah tidak dianggap releven.

Di tambah pula dengan kelesuan dan kebuntuan sesetengah pertubuhan belia yang kering idea untuk menampilkan program-program menarik dan segar (Azimi, Turiman & Ezhar, 2002). Inilah permasalahan evergreen yang berlaku sepanjang masa. Namun tidak dinafikan ada pertubuhan belia yang berjaya menampilkan wajah dan substance segara yang berjaya menarik penyertaan belia. Contoh jelas kita boleh lihat dalam Anugerah Belia Negara di mana setiap tahun kelihatan pemenang-pemenang di kalangan pertubuhan belia di peringkat akar umbi.


INOVASI DALAM PERTUBUHAN BELIA DAN KERJA BELIA

Dengan mengambil semangat zaman atau zeitgeist maka sudah tiba masanya pertubuhan belia yang dipelopori oleh MBM serta kerja belia yang bakal diperluaskan selepas semakan Dasar Belia Negara untuk mengadaptasi elemen inovasi sosial agar terus kekal releven dan elegen. Inovasi sosial sinonim dalam dunia perniagaan namun teramat wajar jika pertubuhan belia dan kerja belia memanfaatkannya. Perlu diperjelas bahawa perubahan dalam pertubuhan belia dan kerja belia yang didambakan adalah perubahan pendekatan yang menghasilkan dan mempertahankan nilai-nilai baik. Ini bersesuaian dengan definisi inovasi yang dilontarkan oleh Azim dan Dr. Suraya (2010) sebagai strategic change that creates value. Kita mahukan perubahan tapi perubahan yang mengekalkan tradisi dan nilai yang baik.

Inovasi dalam konteks pertubuhan belia dan kerja belia pula bermaksud,Develops the capacity of youth and youth workers for original ideas and action and foster creative achievement that adds value to the quality of work and product (National Youth Agency).

Inovasi sosial dalam pertubuhan belia dan kerja belia diperlukan bagi berhadapan karakter semasa belia khususnya generasi Y, Z dan Alpha yang sedang muncul. Ini adalah kerana mereka berperwatakan smart, cerdik, minda terbuka dan independent (Greenberg & Weber, 2008). Di samping itu inovasi sosial merupakan konsep yang berkesan untuk pertubuhan belia menghasilkan idea praktikal yang menyelesaikan permasalahan dan isu belia secara kreatif dan membawa nilai ekonomi. Untuk idea yang lebih jelas tentang inovasi sosial, The Centre for Social Innovation Toronto telah mendefinisikan sebagai,

“..new ideas that resolve existing social, cultural, economic and environmental challenges for the benefit of people and planet. A true social innovation is system-changing – it permanently alters the perceptions, behaviours and structures that previously gave rise to these challenges” (Garabaghi, 2013).
Konsep inovasi sosial telah diterjemahkan dalam bentuk yang lebih praktikal iaitu startup. Startup merupakan konsep perniagaan kecil atau keusahawanan sosial yang menyelesaikan masalah belia dan masyarakat dalam masa yang sama mendatangkan pulangan kewangan untuk boleh terus sustain. Di Malaysia, Kerajaan telah menubuhkan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) bagi mendokong ekosistem keusahawanan dengan mewujud dan membantu kemunculan startup yang bakal memberikan kesan positif kepada belia dan negara.

Adaptasi inovasi juga berlaku dalam kerja belia agar terus kekal releven mendekati dan mendidik belia. Zeldon, Camino dan Mook (2005) telah membincangkan cabaran mengadaptasi inovasi dalam pertubuhan khususnya memperkenalkan model inovasi seperti Youth-adult Partnership (Y-APSs) lanjutan dari model Positive Youth Development (PYD).


MBM DAN INKUBATOR INOVASI BELIA

MBM tidak ketinggalan bersama-sama mengadaptasi konsep inovasi sosial yang telah diintegrasikan dalam agenda MBM in Business (MIB). Dalam Majlis Perundingan Belia Negara Sidang 1 Penggal ke-30 2015-2016 pada 30 Mac 2015 yang lepas, MBM telah membentangkan Agenda Belia ASEAN Pasca 2015 dengan menampilkan cadangan Pusat Inovasi Belia (PIB).

PIB merupakan eksperimen inovasi sosial MBM, pertubuhan belia dan pekerja belia bagi menyelesaikan masalah dan isu belia serta kelesuan pertubuhan belia. PIB akan bertindak sebagai:

a.) Pusat inovasi dan bakat belia;
b.) Pusat pembelajaran tidak formal;
c.) Pusat penghakupayaan komuniti;
d.) Menjana ekonomi belia, persatuan dan PIN;
e.) Pusat pembentukan akhlak dan syakhsiyyah belia dan;
f.) Tempat Hang-out untuk belia.

PIB juga menggabungkan konsep kerja belia dan inovasi sosial di mana pekerja belia yang ditempatkan untuk menguruskan PIB dan membimbing belia ini mempunyai kelulusan dan latihan kerja belia yang profesional serta memahami idea dan operasi inovasi sosial. PIB dijangka memberikan impak yang positif daripada segi ekonomi dan sosial.

Daripada segi ekonomi ia akan menjana ekonomi belia dan persatuan belia melalui konsep startup atau perniagaan kecil yang dimulakan berdasarkan minat dan bakat belia sehingga sampai ke suatu tahap PIB akan boleh beroperasi secara mandiri di mana kos operasi ditanggung oleh belia yang menyertai startup ini. Ia juga akan mengelakkan belia luar bandar berhijrah ke bandar sekaligus salah satu solusi kepada penyelesaian isu pengangguran.
Daripada segi impak sosial, PIB akan mengenal pasti bakat dan minat belia untuk dibimbing, diraikan dan disalurkan ke arah yang positif di samping menyelesaikan masalah-masalah setempat melalui konsep keusahawanan sosial.

PIB yang digerakkan ke seluruh Malaysia oleh MBM, Majlis Belia Negeri (MBN) dan Majlis Belia Daerah (MBD) akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri, Pertubuhan Belia Terbaik Negara, MAGIC, Foresight Young Innovator Studios dan Yayasan Inovasi Malaysia bagi menggandakan impak dan menggalakkan Strategi Lautan Biru (NBOS). PIB juga boleh dikembangkan ke negara ASEAN yang lain melalui The Committee of Asean Youth Cooperation (CAYC).

PENUTUP

Pertubuhan belia perlukan nafas baru. Idea inovasi sosial wajar dipraktikkan dan diadaptasi oleh pertubuhan belia agar kekal relevan dan mampu menarik minat belia yang sinonim sebagai the net generation. MBM akan meneruskan agenda MIB dan inovasi sosial ini dan siri gerak kerja telah dan akan diaturkan bagi merealisasikan agenda yang penting ini termasuk mewujudkan PIB di setiap negeri dan daerah. Perubahan yang didambakan adalah adalah yang memandu ke arah kebaikan yang mencipta dan mengekalkan nilai-nilai unggul dan universal di kalangan belia dan masyarakat.

RUJUKAN

1. Azim Pawanchik & Suraya Sulaiman (2010) Leading Innovasian, Embedding Innovation Culture in Malaysian Organizations, Kuala Lumpur: Alpha Catalyst Consulting.
2. Azimi Hamzah & Turiman Suandi (1997), Budaya Cemerlang Dalam Pertubuhan Belia. (Kertas Kerja dibentangkan di Seminar Pembangunan Ngo Kuala Lumpur anjuran Jabatan Belia dan Wilayah Persekutuan).
3. Azimi Hamzah, Turiman Suandi & Ezhar Taman (2002) Persatuan Belia di Malaysia, Perkembangan & Penyerlahan Potensi, Serdang: UPM.
4. Fawzi Mohd Basri (1980) Pergerakan Belia di Malaysia, Kuala Lumpur: MBM.
5. Gharabaghi, K. (2013) Social Innovation and Entrepreneurship: Implications for the Field of Child and Youth Care Practice, Relational Child and Youth Care Practice, Vol. 26, No.3, pp. 42-51.
6. Greenberg, E. & Weber, K. (2008) Generation We, California: Pachatusan.
7. Haslinda Abdullah, Siti Maryam Md Nor, Dzulhailmi Dahalan, Azimi Hamzah, Steven Eric Krauss, Ismi Arif, Ezhar Tamam, Turiman Suandi, Nobaya Ahmad & Sarjit 8. Singh (2013) The Function of MYC in Youth Development in Malaysia, International Conference on Youth (ICYOUTH 2013), Serdang: IPSAS.
9. National Youth Agency. ‘So, What’s New?’ Innovation in Youth Work, Leicester: National Youth Agency.
10. Zeldin, S., Camino, L., Mook, C. (2005) The Adoption of Innovation in Youth Organizations: Creating the Conditions for Youth-Adult Partnerships, Journal of Community Psychology, Vol. 33, No.1, pp. 121-135.



Program KEM SAKTI Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) 2015




Sila layari: http://gptd.blogspot.com/

Jufitri Joha Hadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Belia Kelantan (MBK)


9 Jun 2015 / 21 Sya'ban 1436 H, Kota Bharu - Majlis Belia Kelantan (MBK) berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-54 beserta Majlis Makan Malam meraikan perwakilan. Ini merupakan AGM pertama di bawah kepimpinan baru saudara Mohd Syahbuddin bin Hashim selepas peralihan kepimpinan pada tahun lepas. AGM telah berjalan lancar termasuk perwakilan sepakat menerima masuk Majlis Belia Felda Wilayah Gua Musang untuk bergabung dengan MBK. Dalam ucapan aluan, Presiden MBM saudara Syahbuddin telah menghimbau kejayaan MBK melaksanakan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan pada 15-16 Mei yang lepas. Saudara Syahbuddin turut menyentuh perancangan masa hadapan untuk usaha rebranding MBK termasuk memastikan setiap pimpinan utama Belia Jajahan mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya diploma. Untuk tujuan tersebut, MBK telah mengorak langkah membuat kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi program Diploma Pengurusan Organisasi Belia.

MBM diwakili oleh saudara Jufitri bin Joha, Naib Presiden MBM di mana di kesempatan penggulungan beliau menyebut tentang agenda MBM in Business (MIB) dan menyarankan agar MBK turut melakukan proses rebranding bagi memastikan relevensi MBK dalam kalangan generasi muda. Beliau turut menjelaskan isu yang hangat berkaitan had umur baru belia seperti termaktub dalam edisi semakan Dasar Belia Malaysia. Saudara Jufitri turut mempertegaskan peranan pertubuhan belia sebagai “the conscience of the society” atau degup nadi belia dan masyarakat dalam membela isu-isu berkaitan dengan mereka. Turut hadir dalam majlis perasmian AGM dan makan malam ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan Dato’ Makhtar Mustapha dan Jabatan Belia dan Sukan Kelantan Encik Md Sulji Zakaria.

Selasa, Jun 09, 2015

Analisis Wacana Terus Terang MBM Siri 3 : Menelusuri Dasar Belia Malaysia Relevankah Definisi Umur 15-30 tahun?

Oleh: Jufitri bin Joha
Naib Presiden MBM


Wacana pada kali menampilkan Profesor Madya Dr. Azizan Bahari, Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) yang juga merangkap mantan Setiausaha Kerja MBM tahun 70an yang luas pengalamannya. Beliau bukan sahaja akademia yang hanya beraksi di bilik-bilik kuliah tapi seorang aktivis belia dan komuniti yang menyantuni rakyat di akar umbi. Tentulah beliau merupakan orang yang paling cocok untuk membahaskan Dasar Belia Malaysia ((DBM) semakan 2015) kerana beliau merupakan antara kumpulan penulis Dasar Belia yang pertama dan kedua ketika bersama MBM. Malaysia antara negara terawal mempunyai dasar belia yang tersendiri bahkan lebih awal daripada sesetengah negara-negara maju yang dijadikan penanda aras oleh pihak-pihak tertentu. Malahan ada juga negara-negara yang tidak mempunyai polisi belia tersendiri.

DBM sepatutnya disemak setiap 5 tahun sekali namun usaha terkini wajar diberikan kredit kerana DBM kali terakhir disemak ialah pada 1997 yang pada ketika itu dikenali sebagai Dasar Pembangunan Belia Negara (DPBN) setelah kali pertama dijelmakan pada 1985. Semakan berkala 5 tahun sekali perlu bagi memastikan dasar tersebut sentiasa releven dengan kehendak dan perubahan semasa. Di Negeri Sembilan, belia di sana mempunyai dasar belia yang disemak setiap 5 tahun sekali yang dinamakan Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan (RPBNNS) bagi memastikan relevensinya. DBM yang disemak kali ini kelihatan lebih komprehensif dan zoom in berbanding DBM sebelum ini yang lebih bersifat umum. Secara umum DBM Pindaan 2015 bermatlamatkan mendidik belia sebagai warganegara yang efektif; penyerlahan potensi belia; dan memperluaskan akses kepada bidang keutamaan serta inisiatif pembangunan belia untuk dimanfaatkan oleh kesemua kumpulan sasaran.

Walaupun DBM mempunyai banyak elemen-elemen yang wajar diperdebatkan seperti cabaran belia, konsep DBM, kumpulan sasaran belia dan bidang keutamaan belia namun isu definisi baru umur belia iaitu 15 sehingga 30 tahun menjadi topik hangat yang mengundang keresahan dan perdebatan pemimpin belia di semua peringkat. MBM secara umumnya bersetuju dengan apa yang termaktub dalam DBM kerana majoriti kandungannya baik kecuali pada definisi umur belia kerana mengambil kira realiti yang berlaku pada pertubuhan belia di akar umbi. Namun MBM tetap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk mempersiapkan 300 pemimpin muda di bawah 30 tahun bahkan di bawah 25 tahun menjelang penguatkuasaan umur di bawah 30 tahun menjelang 2018 di bawah Agenda MBM in Business (MIB). Selain itu MBM dilihat sudah bersedia mencadangkan pelbagai soft landing untuk pemimpin MBM dan pertubuhan belia yang melepas 30 tahun pada tahun 2018 dengan menggerakkan agenda kerja belia profesionalisme seperti yang termaktub dalam DBM.

Dr. Azizan memulakan wacana dengan melontarkan persoalan definisi umur belia ini sama ada mengikut definisi Kerajaan atau mengikut kehendak majoriti belia di lapangan sedangkan salah satu daripada 3 teras DBM jelas menyebutkan “Dari Belia untuk Belia”. Justeru aspirasi DBM harus dipunyai secara keseluruhan oleh belia dan MBM dan bukannya yang dipaksakan oleh Kerajaan. Definisi baru umur beliau harus tidak kelihatan memenuhi kehendak dan kepentingan Kerajaan tetapi ianya harus dating daripada aspirasi dan kehendak belia. Dengan tidak menafikan keperluan perlaksanaan definisi 15 sehingga 30 tahun dikuatkuasakan tetapi biarlah diberikan masa yang lebih panjang iaitu dalam jangka masa 10 tahun agar transisi berlaku secara beransur-ansur (incremental) dan licin tanpa unsur-unsur yang dipaksakan secara pantas. Apa yang menarik definisi umur belia dan dasar belia sebelum ini banyak dilihat daripada kacamata Kerajaan yang lebih memenuhi aspek dan kehendak ekonomi negara sebagai mana yang diungkapkan oleh Dr. Asnarulkhadi Abu Samah (2009) dalam makalahnya Kelompangan Dasar Belia Negara,

“Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan, dasar belia ini seperti dasar sosial lain yang diperkenalkan boleh dianggap sebagai satu instrumen penting kerajaan bagi menyokong dasar ekonomi yang sedia ada untuk memacu tenaga manusia muda ke arah menjana pertumbuhan ekonomi agar matlamat pembangunan dapat dicapai”.
Definisi umur belia juga wajar dilihat daripada kacamata pelbagai sama ada daripada sudut undang-undang, psikologi, biologi dan sosio budaya masyarakat setempat. Definisi umur baru belia harus disandarkan pada hujah-hujah yang kuat dan bukan sekadar menjadikan amalan antarabangsa terbaik sebagai hujah paling utama kerana ia kelihatan sebagai hujah simplistik. Hanya kerana Australia menempati ranking pertama Indeks Pembangunan Belia di peringkat Dunia dan Komanwel pada 2013 maka Malaysia wajar menjadikan ia sebagai the best practice sedangkan Malaysia sebetulnya wajar mencari the big practice yang beracuankan realiti dan uruf (budaya) setempat di Malaysia. Ia juga menggambarkan keyakinan diri Malaysia dalam mendefinisikan takrifan umur belianya yang tersendiri tanpa menyandarkannya daripada amalan antarabangsa. Kita tidak menafikan kepentingan merujuk kepada amalan antarabangsa namun ianya bukanlah menjadi dalil pertama kepada takrifan baru umur belia tersebut.

DBM merupakan domain MBM seperti yang ditegaskan oleh Dr. Azizan namun kelihatan DBM masih bersifat top down. Sewajarnya proses semakan DBM mendapat rundingan dan konsultasi belia yang lebih luas khususnya melalui sesi town hall di setiap negeri. Pada masa hadapan MBM wajar diberikan lebih autonomi untuk mengendalikan proses semakan DBM dengan difasilitasi oleh Kementerian Belia agar DBM benar-benar mewakili hasrat belia di semua peringkat dan lapisan.
Untuk proses perubahan takrifan umur yang beransur-ansur dan diterima maka definisi 15 sehingga 35 tahun adalah yang terbaik dengan mengambil masa 7 tahun masa yang stabil selepas umur 28 tahun. Selepas stabil dengan perkahwinan, kerjaya dan pembinaan hidup maka seseorang pemimpin belia mempunyai masa 5 ke 7 tahun untuk membina karisma dan mengasah bakat kepimpinan dengan mengemudi pertubuhan belia untuk berkhidmat kepada belia dan masyarakat. Selepas 5 ke 10 tahun maka barulah percubaan definisi baru umur 15 sehingga 30 tahun boleh dilaksanakan sebelum takrifan yang lebih menepati definisi PBB iaitu di bawah 24 tahun. Sunnah perubahan beransur-ansur harus diraikan agar perubahan berlaku secara baik dan lancer. MBM harus terus komited mencungkil bakat-bakat muda untuk ditonjolkan manakala pemimpin belia senior yang baik adalah yang tahu bila mereka wajar berhenti dan menyerahkan baton pada yang muda.

Sumber: http://belia.org.my/wp/?p=7867

Isnin, Jun 08, 2015

Catatan daripada Mesyuarat Tahunan Pegawai Tertinggi Kerajaan Berkenaan Belia (SOMY) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Belia ASEAN (AMMY)



Oleh: JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden MBM


Association of Southeast Asian Nation (ASEAN) merupakan sebuah kerjasama serantau yang sedang menyinar dan meningkat naik. Ini menarik minat dunia khususnya negera-negara maju seperti Amerika Syarikat, Rusia, India, China, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan belia.

Dengan kekuatan 630 juta penduduk yang kaya dengan pelbagai bahasa, budaya, etnik, agama dan warisan merupakan keunikan ASEAN dan ditambah pula lebih separuh penduduknya merupakan generasi muda atau dalam erti kata lain sumber tenaga kerja yang berharga.

Tahun 2015 merupakan tahun permulaan ke arah merealisasikan Komuniti ASEAN dan Malaysia hadir pada waktu yang signifikan sebagai Pengerusi ASEAN mengikut giliran alphabet. Idea Komuniti ASEAN secara umum adalah untuk mewujudkan sebuah rantau yang bersatu, aman, makmur dan stabil berasaskan tema Asean Berpaksikan Rakyat. Idea ini nampak mudah tapi daripada segi perlaksanaan ia terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan dan sensitiviti serta memerlukan masa yang agak panjang untuk memastikan kejayaannya. Isu Pelarian Rohingya dan pemerdagangan manusia merupakan antara cabaran besar yang menguji keutuhan Komuniti ASEAN 2015 serta semangat setiakawan dalam kalangan pemimpin ASEAN. Namun begitu, harapan kejayaan Komuniti ASEAN amat bergantung kepada generasi muda sebagai pemacunya.

Oleh itu, ASEAN telah menjadikan pembangunan belia sebagai antara agenda utama ASEAN. Ini adalah kerana belia ASEAN menjadi teras dan kunci kejayaan kepada Komuniti ASEAN pasca 2015 kerana corak pemikiran mereka yang lebih terbuka dan bersedia berbincang tentang perkara-perkara sensitif yang berlaku dalam rantau Asia Tenggara.

Perbincangan rasmi ASEAN tentang pembangunan belia direalisasikan dalam Mesyuarat Tahunan Pegawai Tertinggi Kerajaan Berkenaan Belia (SOMY) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Belia ASEAN (AMMY) secara dwi tahunan. Dua mesyuarat penting ini dihadiri oleh pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan ASEAN, Menteri-Menteri Belia, Pegawai Sekretariat ASEAN dan juga wakil rasmi Belia ASEAN iaitu The Cooperation of ASEAN Youth Committee (CAYC). Pelbagai tema dan projek pembangunan belia dibincangkan dalam medium ini merangkumi kepimpinan, kesukarelawanan, tabung bantuan kewangan, kebudayaan, keusahawanan sosial dan kemahiran. Pada mesyuarat SOMY dan AMMY kali ini yang berlangsung di Siem Riep, Cambodia, bukan sahaja perancangan pembangunan belia jangka pendek malahan perancangan jangka panjang 2016-2020 turut diperbincangkan bagi memastikan aset ASEAN yang paling berharga ini dibangunkan bagi memastikan masa hadapan Komuniti ASEAN yang lebih utuh. Ia juga selaras dengan tema AMMY iaitu “Young People – Buidling ASEAN Community” untuk menghakupayakan Belia ASEAN bahawa mereka adalah “change maker” yang membina identiti, jati diri dan nilai penghuni Asia Tenggara. Perancangan ini juga bagi memastikan elemen ‘youth connectivity’ sesama generasi muda ASEAN dapat dipertingkatkan sebagai kunci kepada pemupukan persefahaman, kebersamaan dan ‘mutual respect’ yang menyumbangkan ke arah Komuniti ASEAN. Malaysia kali ini diwakili oleh Menteri Belia dan Sukan Y.B. Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara Dato’ Hajjah Hatipah Ibrahim.

Generasi lama ASEAN khususnya di Negara Cambodia, Myanmar, Laos dan Vietnam (CMLV) masih diselebungi pelbagai isu sensitiviti yang membuatkan mereka tidak bersedia untuk keterbukaan atau ‘open-minded’ namun generasi muda muda CMLV boleh dipupuk dalam jangka masa panjang agar ASEAN lebih bersedia berbincang dan menyelesaikan isu-isu sensitif seperti demokrasi, ‘non-intervention policy’, pelarian dan ‘conflict resolution’ kerana ianya merupakan elemen terpenting dalam mengwujudkan rantau Asia Tenggara yang lebih stabil. Cabaran terbesarnya ialah sejauh mana Negara ASEAN yang lebih terbuka seperti Malaysia untuk meyakinkan rakan-rakan CMLV agar bersedia mendedah dan mempersiapkan belia mereka agar lebih terbuka dan berbincang isu-isu sensitif yang menghalang kepada Asia Tenggara yang lebih adil dan aman.

Kehadiran kali pertama saya dan Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) saudara Ahmad Saparudin Yusup mewakili Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam dua mesyuarat penting banyak membuka mata dan mempelajari seni diplomasi dan lobi bagi mendapatkan konsensus negara ASEAN terhadap sesuatu isu dan projek yang berkaitan. ASEAN terbina atas paksi konsensus bersama dan untuk mendapatkannya tidak semudah yang disangka.

Segala perbincangan dan peluang-peluang pembangunan belia diperingkat ASEAN wajar dikongsi kepada belia Malaysia di akar umbi agar mereka mendapat manfaat dan peluang yang setara dan sama rata. Dengan penyertaan menyeluruh daripada belia Malaysia dalam program-program pembangunan Belia ASEAN akan meningkatkan lagi ‘youth connectivity’ dan ‘competency’ untuk berkolaborasi dan bersaing secara sihat di pentas Asia Tenggara. MBM harus terus bekerja dan menerang bagi memastikan Belia Malaysia benar-benar memahami aspirasi Komuniti ASEAN dan bukar sekadar hanya mengaitkan ASEAN dengan Piala AFF Suzuki, SEA Games dan Air Asia.

Berdasarkan kajian oleh ASEAN Foudation (2014) merumuskan bahawa “Generally, Malaysian youth is positive toward ASEAN with some ambivalence”. Kajian ini turut disentuh oleh Presiden MBM, saudara Muam’mar Ghadafi Jamal Jamaluddin semasa ucapan sulung beliau pada Hari Belia Negara 2015 di Everly Putrajaya. Ini bermakna Belia Malaysia mempunyai sikap yang positif terhadap kewujudan ASEAN cuma mereka tidak tahu lebih mendalam tentang ASEAN dan kepentingannya serta
cara untuk memanfaatkan peluang yang tersedia. Tugasa inilah yang harus terus digalas oleh MBM badan gabungannya untuk membuat penerangan secara lebih intensif.

Belia ASEAN yang ‘cool’ dan ‘sporting’ akan memastikan kejayaan Komuniti ASEAN dalam jangkauan 10 tahun akan datang. Apabila ASEAN menjadi ‘role model’ kepada dunia sebagai rantau kerjasama yang paling berjaya maka Belia ASEAN mampu untuk ‘reach out’ untuk mengeksplorasi lebih banyak kerjasama serantau di peringkat belia dengan rantau-rantau lain seperti Afrika Barat, Asia Barat, Amerika Latin dan Oceania.

Siem Riep, Cambodia
3 Jun 2015, 2.37 petang.


Sumber: http://belia.org.my/wp/?p=7851

Jumaat, Mei 29, 2015

Pertemuan Tertutup Grup Ilmuwan Muda ABIM Bersama Dr Jasser Auda 23 Mei 2015 / 5 Syaaban 1436H



Catatan oleh: Arif Alwan

Tajuk : “Ke Arah Membentuk Sarjana Muda Masa Hadapan”
Tempat : Bilik Syura, Kolej Dar Al-Hikmah
Masa : 900pm – 1100pm


Dr Jasser Auda (Ahli Pengasas Kesatuan Ulama Sedunia) memecahkan perbincangan pada menjawab tiga persoalan asas iaitu apa itu sarjana,kenapa ingin menjada sarjana dan bagaimana membentuk sarjana ini.

Apa Itu Sarjana ?

Sarjana yang ingin dihasilkan ini haruslah sarjana yang hatinya terisi dengan ilmu bukan menjadi sarjana jadian-jadian pada pakaian sahaja. Kita boleh dilihat seperti sarjana dengan berpakaian dan bergaya persis sarjana tetapi yang kita ingin hasilkan adalah sarjana berilmu. Sarjana ini juga bukan sarjana yang kepakarannnya pada ilmu syariah dan fiqh sahaja, sarjana itu harus mempunyai kepakaran dalam ilmu yang pelbagai kepakarannya. Kita ingin menghasilkan sarjana Islam yang bermaksud punya kepakaran mehamami Islam secara seluruhnya dan bukan pada ilmu syariah sahaja. Seorang sarjana ini akan cuba mengubah masyarakat dan dunia dengan ilmunya.




Kenapa Ingin Menjadi Sarjana ?

Keinginan menjadi sarjana itu pula harus hadir dengan niat yang betul. Niatnya harus tulus untuk mendapat keredhaan Allah. Kita ingin menjadi manusia yang baik yang memanfaatkan nikmat akal dan ilmu yang dikurniakan Allah itu untuk ke jalan kebaikan. Tidak semua orang diberi kemudahan oleh Allah untuk menjadi sarjana ini, jika niat sudah betul, menjadi seorang ahli professional juga sudah cukup. Sebagai contoh ialah dengan menjadi seorang doctor yang baik, yang bermanfaat pada masyarakat.

Selain itu, tujuan menjadi sarjana ini harus bukan berteraskan untuk mendapat kuasa. Slogan, ‘knowledge is power’ ini memang benar. Ilmu ini akan menjadikan seorang itu berkuasa. Gagal memandu hati kita akan membuatkan kita terjerumus dalam lembah perebutan kuasa ini. Begitu juga, tujuan menuntut ilmu untuk kaya. Hasil kekuasaan yang kita dapat tadi, akan membuatkan pintu-pintu mengaut keuntungan terbuka luas. Akhirnya, niat asal menuntut ilmu untuk mendapat keredhaan Allah akan luput ditenggelami nafsu-nafsu kuasa dan mewah.

Di samping itu, menjadi sarjana ini, harus kita mengasingkan diri kita pada politik. Dunia politik kini adalah dunia politik kepartian. Menyertai politik bermakna kita sedang berpihak pada parti kita. Pada ketika ini, kepentingan politik sering kali akan mengganggu pandangan seorang sarjana itu kerana setiap ijtihad dan keputusan mereka ini sama ada akan mengikut kepentingan arus parti yang disokongnya atau walaupun mengikut garis panduan ilmu akan tetap dipandang berkepentingan. Oleh itu, dalam memberikan manfaat terbanyak kepada masyarakat dengan ilmu yang dimilik sarjana ini harus mengasingkan diri dari permainan politik.

Kita harus punya garis beza antara seorang (ketua) amir dan seorang alim. Benar, seorang ketua itu memerlukan ilmu, kerana menuntut ilmu wajib bagi semua orang, terutama bagi seorang ketua yang memimpin, tetapi seorang alim itu lebih lagi ilmunya, dan mereka ini tidak memerlukan mereka memimpin pun untuk mengatur masyarakat, cukup sentiasa menjadi penasihat dan penegur setia kepada seorang ketua. Seorang ketua, dengan ilmunya tadi harus tahu tempat duduk seorang alim dalam memberi ruang kepada nasihat dan teguran oleh si alim tadi.


Selain itu, seorang sarjana bukan seorang nasionalis. Seorang sarjana tidak harus punya sempadan kenegerian. Nasihat dan pandangan seorang sarjana merentas garis kenegaraan. Seorang sarjana itu tidak bersifat kenegerian yakni sama ada memihak pada negeri mereka sahaja atau gagal memberi pandangan di luar isu negerinya. Seorang sarjana juga tidak pula bersikap kebangsaan. Memihak pada bangsanya sahaja dan melupakan bangsa lain. Seorang sarjana itu dengan ilmu yang dimilikinya akan meletakkan matlamat akhirat sebagai matlamat akhir dalam setiap tindak tanduknya.

Bagaimana Menjadi Sarjana ?

Seorang sarjana itu harus punya disiplin ilmu yang pelbagai. Pakar dalam satu bidang tidak menjadikan kita sarjana. Mereka ini harus belajar segalanya tentang tradisi ilmu Islam. Di dalam ilmu fiqh, harus memahami semua mazhab dan mehamai sejarah mazhab dan fiqh ini. Dalam ilmu bahasa pula, bahasa arab adalah bahasa yang wajib fasih.

Seorang sarjana juga harus mendalami ilmu sejarah. Ilmu sejarah ini merangkumi sejarah keintelektualan dan tradisi ilmu Islam dan bukan sahaja sejarah politik Islam. Mendalami semua buku-buku sejarah yang muktabar seperti Asfahani, Al-Jahir dan Muqaddimah.

Di samping itu, sarjana juga harus mehami falsafah. Falsafah ini merangkumi falsafah Islam dan faslafah bukan islam. Dalam mendalami ilmu falsafah ini, sudah tentu ilmu kalam adalah ilmu yang wajib ditekuni. Memahami falsafah ini memerlukan seorang sarjana itu punya penaakulan falsafah sendiri.

Ilmu tasauf juga tidak harus dikesampingkan. Menekuni ilmu tasauf ini tidak cukup dengan memahami teori-teorinya tetapi juga mengamalkannya. Jangan terperangkap dengan politik salafi yang menolak ilmu tasauf ini. Ilmu tasauf ini adalah tradisi keilmuan Islam. Seorang sarjana harus menggunakan ilmu tasaauf ini untuk menyucikan hati kerana fitnah-fitnah ilmu ini terlalu besar. Seorang sarjana juga harus punya keupayaan membezakan antara tasauf dan khurafat.


Selain itu, seorang sarjana itu wajib punya kepakaran pada ilmu hadith dan tafsir. Mereka juga harus mengetahui ilmu-ilmu zaman moden ini seperti muzik, seni dan kesusasteraan. Ilmu-ilmu sains juga tidak harus dikesampingkan, seperti ilmu perubatan dan dapat mengetahui ilmu perubatan konvensional dan tidak konvensional.

Untuk menjadi seorang sarjana, beliau harus menjadi penuntut ilmu yang sebenar. Seorang penuntut ilmu itu wajib punya pembacaan yang luas. Seorang penuntut ilmu harus mendekatkan diri dengan ramai ulamak. Mereka harus menjadikan ulamak-ulamak ini sebagai mentor dalam perjalanan keilmuan mereka ini. Para masyaikh-masyaikh ini, selain kita ingin mengutip ilmu-ilmu mereka, kita juga ingin belajar bagaimana mereka hidup dengan ilmu mereka ini. Maksudnya kita harus belajar akhlak dan adab seharian mereka yang tepantul dari keluasan ilmu mereka.

Selain itu, seorang penuntut ilmu itu harus merantau dan mengembara. Penuntut ilmu tidak boleh duduk setempat. Mereka harus bergerak mencari guru-guru atau ulamak-ulamak. Mereka harus mengembara mencari pengalaman di tempat lain. Mereka harus merantau melihat peradaban negara orang.

Sepeti manusia lain, seorang sarjana harus melunaskan fitrah asas seorang manusia. Mereka harus punya kehidupan yang baik. Baik secara fizikal yakni kekal sihat dan cergas, juga baik punya kehidupan sosial yang baik, yakni berkahwin dan berkeluarga.

Selain itu, seorang sarjana juga harus mendalami ilmu pengurusan strategik. Ilmu pengrusan strategic ini merangkumi ilmu pengurusan media, komunikasi, lobi dan sebagainya. Ilmu pengurusan ini dipelajari selain untuk kegunaan peribadi juga sebagai pendinding dari terperangkap dari permaian strategic kumpulan musuh. Kita percaya bagaimana begitu licik dan strategiknya zionis dalam memerangkap kita dalam permainan strategi ini. Seorang sarjana harus tahu bagaimana menguruskan media. Menjadi sarjana tidak terlepas dari menjadi buruan pihak media dan harus seorang sarjana ini menjadikan diri mereka kekal relevan oleh kumpulan media ini. Relevensi ini diukur dengan komunikasi yang berkesan antara media dan sarjana. Bagaimana berkomunikasi dalam masa singkat, lama, melalui telefon, sidang media dan sebagainya.

Akhir sekali, sebelum membuka ruang pertanyaan kepada hadirin yang hadir, Dr Jasser berpesan bahawa anda harus punya minat dengan apa yang sedang anda lakukan. Buat sesuatu yang diminati dan disukai. Jangan buat kerana terpaksa.


Nakba: 67 Tahun Palestin Menderita, Iktibar Buat Belia Malaysia


Oleh: JUFITRI BIN JOHA,
Naib Presiden MBM &
Pengerusi JK Pendidikan MBM


15 Mei yang lepas genap 67 tahun, Palestin dicerobohi dan dijajah oleh Rejim Zionis. Bagi kita, 15 Mei adalah hari bergembira buat belia Malaysia kerana belia diraikan oleh Kerajaan Malaysia bagi mengangkat generasi muda serta meraikan bakat dan kepentingan kelompok aset terpenting negara ini. Di Palestin lain pula ceritanya kerana belia dan warga Palestin terus menderita di bawah cengkaman kuku besi pemerintahan zalim Zionis. Mereka masih terus terkial-kial mencari kemerdekaan hakiki namun yang dipuji semangat juang mereka yang tinggi melawan ketidakadilan dan kekejaman. Belia Malaysia bertuah kerana hidup di Negara yang aman namun keamanan yang tidak disertai dengan penghayatan kemerdekaan dikhuatiri akan membuaikan lagu kealpaan yang membawa Negara dijajah semula oleh penjajahan bentuk baru. Artikel ini bertujuan mengingatkan Belia Malaysia tentang peristiwa duka ini dikala kita bergumbira dengan Hari Belia Negara dan Festival Belia Putrajaya. Biarlah kita raikannya dengan penuh keinsafan bahawa ketika kita bergembira ada juga yang berduka di sana.

Yahudi berfahaman ekstremis akan terus mendakwa bahawa sejarah 3000 tahun yang lampau membuktikan bahawa mereka adalah penduduk asal Palestin dan satu-satunya kaum yang layak tinggal di bumi bertuah itu tanpa meraikan kepelbagian. Tanpa menafikan Yahudi yang berfahaman sederhana yang meraikan kepelbagaian seperti Miko Peled, anak kepada Jeneral Israel sendiri namun pentadbiran Tel Aviv akan terus didominasi oleh parti yang beraliran ekstrem seperti Netanyahu yang mahu rakyat Palestin terus lenyap dari muka bumi Palestin. Ramai Yahudi di seluruh dunia termasuk dari Amerika yang berhijrah ke bumi yang disebut sebagai “promising land” ini kerana mahu tinggal dekat dengan syurga di dunia.

15 Mei 1948 disebut sebagai Hari Malapetaka atau Nakba Day bagi rakyat Palestin di mana Zionis melancarkan pembersihan etnik terhadap 750 000 orang Palestin iaitu tiga perempat populasi rakyat Palestin. Nakba merupakan rentetan berdarah daripada peristiwa Kampung Deir Yassin di mana komando Zionis yang diketuai Menachem Begin menyerang dan merampas Kampung Deir Yassin ini yang dihuni oleh 750 orang rakyat Palestin pada 9 April 1948.

Rejim Zionis pernah satu ketika melalui wakilnya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membantah penggunaan perkataan Nakba yang digunakan oleh Ban Ki Moon Sekjen PBB dalam kenyataan rasminya pada ketika itu. Danny Carmon Timbalan Duta Israel ke PBB mendakwa penggunaan Nakba adalah alat propaganda Arab untuk meremehkan dan menafikan keabsahan kewujudan Rejim Tel Aviv, oleh itu PBB tidak patut menggunakan istilah tersebut.

Ini merupakan sindrom kedegilan Rejim Zionis yang berterusan membuli rakyat Palestin di arena antarabangsa. Tidak cukup di arena antarabangsa Zionis terus membuli rakyat Palestin dengan meluaskan penempatan haram yang mengikis sedikit demi sedikit tanahair rakyat Palestin. Kedegilan dan kekejaman Zionis ini telah membuka mata dan simpati dunia terhadap rakyat Palestin ini. Kemuncak kepada kemarahan masyarakat dunia apabila Komando Zionis mengepung dan menyerang rombongan kapal kemanusiaan Mavi Marmara yang mahu memecahkan sekatan bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke dalam Gaza pada 2010. Kejadian itu menyebabkan 9 sukarelawan Turki terbunuh dan Syahid, beberapa aktivis tercedera dan mereka ditangkap. Sikap biadab ini terus menyerlahkan warna sebenar Rejim Zionis di mata dunia.

Pengiktirafan Palestin sebagai sebuah Negara terus mendapat sokongan dan dokongan dunia termasuk majoriti besar Negara-Negara di Kesatuan Eropah dan Amerika Latin. Malaysia juga antara Negara yang konsisten mendokong perjuangan Palestin dan peluang sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB diyakini akan digunakan sebaiknya untuk terus membela nasib Rakyat Palestin. Usaha Kerajaan mengiktiraf kewujudan Pergerakan Resistance Palestin (HAMAS) sebagai pemerintah sah di Gaza dan Kedutaan tidak rasminya di Kuala Lumpur iaitu Palestine Cultural Organization Malaysia (PCOM) merupakan langkah terpuji dan harus dipertahankan.

Di Peringkat Majlis Belia Malaysia (MBM), usaha merapatkan hubungan antara Belia Malaysia dengan Belia Palestin wajar diperkukuhkan sebagai usaha solidariti mendokong perjuangan rakyat Palestin yang tertindas. Palestin bukan hanya isu belia Islam tapi ia merupakan isu kemanusiaan sejagat yang memerlukan dokongan perhatian belia Malaysia merentas kaum dan agama. Di Palestin juga ada belia Kristian yang hidup tertindas dan mereka bangun melawan kezaliman Zionis. Di Palestin juga ada belia Yahudi yang tidak setuju dengan polisi jahat Zionis yang bangun melawan ketidakadilan ini. Justeru isu Palestin adalah isu untuk semua Belia Malaysia bahkan belia dunia.

Kerjasama MBM lebih erat dengan Kedutaan Palestin di Malaysia dan PCOM dipercayai boleh memberikan sokongan moral kepada Belia Palestin khususnya yang belajar dan bekerja di Malaysia. MBM juga yakin bahawa isu Palestin merupakan isu yang penting untuk dijadikan iktibar oleh Belia Malaysia bahawa bernilainya nikmat keamanan dan betapa penting peranan Belia dan Rakyat Malaysia berperanan bagi menamatkan konflik berdarah Palestin-Israel kerana keamanan dunia secara keseluruhannya bergantung kepada keamanan di Asia Barat ini. Jika aman Asia Barat maka sebahagian besar dunia akan menikmati keamanan sejati. Belia Malaysia mahu menjadi penyumbang kepada keamanan dunia dan bukan hanya sebagai pemerhati.

Selasa, Mei 26, 2015

Hari Belia Negara 2015 & Peluncuran Dasar Belia Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua dari kanan) ditemani Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (kiri), Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Muam'mar Ghadafi Jamal Jamaludin (kanan)menunjukkan buku Dasar Belia Malaysia selepas melancarkan Dasar Belia Malaysia sempena sambutan Hari Belia Negara 2015.

PUTRAJAYA – “Generasi muda perlu memiliki pontensi diri sehingga ke tahap tertinggi dalam memastikan negara terus maju dan kekal hebat di mata dunia,” jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara dan Pelancaran Dasar Belia Malaysia sempena Sambutan Hari Belia 2015, disini.

Dasar Belia Malaysia akan dilaksanakan pada tahun 2018 bagi menggantikan Dasar Pembangunan Belia Negara 1997 itu dengan menukar had umur belia dari 15 tahun hingga 40 ke 15 tahun hingga 30 tahun sahaja...

Bacaan Lanjut di : http://myputrajayanews.com/najib-lancar-dasar-belia-malaysia-baharu/

Fenomena Kepemudaan dan Kebangkitan Islam


Oleh: Jufitri bin Joha (Youth Reader)

Fenomena Ahmad Ammar bukan sekadar berkongsi kisah keperibadian dan kehebatan peribadi, tetapi ia adalah simbol dan manifestasi kebangkitan kepemudaan dan Islam yang sinonim semenjak permulaan Nubuwwah ar Rasul S.A.W.

Ia juga merupakan kisah anak muda yang memilih jalan ‘extra ordinary’ yang jarang-jarang dilalui oleh anak-anak muda yang lain. Beliau mengulangi watak-watak kepemudaan dalam lembaran sejarah. Benar kata-kata Pak Hamka ketika beliau ditanya oleh anakandanya sama ada sejarah mengulangi dirinya, lantas Hamka menjawab tidak bahkan perangai dan perilaku manusia di setiap zaman akan menentukan. Namun perangai dan perilaku di sini ialah perangai dan perilaku baik yang menjadi teladan dan qudwah sepanjang zaman. Golongan muda yang membuat perubahan dan revolusi iman seperti yang dipuji oleh Allah Ta’ala dalam ayat surah Kahfi adalah sedikit. Dr. Rumaizuddin Ghazali, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyebut bahawa ayat ini menggunakan terma ‘jam;ul qillah’ yang menggambarkan betapa sedikitnya golongan pemuda yang berani dan mempunyai iltizam yang tinggi untuk melakukan perubahan. Dr. Mahmud Rushdan, pengasas International Institute of Islamic Thought (IIIT) pula meletakkan kepercayaan kepada bilangan yang sedikit dan berkualiti untuk melakukan reformasi sosial.

Justeru tidak hairanlah pemuda seperti Ammar tidak ramai namun dengan kematiannya yang menghidupkan ini berjaya meniupkan obor semangat dan kesedaran kepada lebih ramai pemuda-pemudi dan masyarakat luar tentang tujuan, hakikat serta makna kehidupan yang singkat ini. Mereka tersentak daripada lamunan panjang lagi melalaikan dan bermula berfikir adakah penciptaan mereka ini hanya sia-sia tanpa tujuan utama. Tugasan sebagai hamba, khalifah dan pembangun masyarakat harus digalas sebagai suatu amanah berat yang akan dipertanggungjawab kelak.

Ammar seorang anak muda yang telah diprogram dan diagendakan oleh ayahanda yang berwawasan tinggi dan yang lebih mengkagumkan ketaatan dan kesabaran central processing unit (CPU) Ammar untuk menerima program dan agenda demi kebaikan masa depan beliau secara khususnya dan ummah secara amnya. Tidak mudah membentuk anak muda sepanjang zaman kerana zaman remaja adalah zaman mencabar seperti kata Stanley Hall, ‘storm and stress’.

Pada fasa perubahan dan transisi ke alam dewasa ini, remaja sedang berhadapan dengan cabaran dan tekanan sekitar identiti, seksualiti, religiosity dan lain-lain. Para ahli sosiologi mendapati the word ‘youth’ has become problematic in that its definition appears to be negative, applying to a phase of life that is neither childhood nor adulthood. Ditambah pula dengan label negatif diletakkan oleh masyarakat dan pihak media yang rakus mengaut keuntungan kepada belia dan remaja menyebabkan terhasilnya tembok sosial yang memisahkan mereka dengan masyarakat yang akhirnya mereka memberontak dan memprotes dengan melakukan perkara-perkara dan terlibat dalam gejala haram dan maksiat. Golongan remaja dan belia akan sentiasa berasa tertekan berhadapan dengan situasi dan keadaan sekeliling yang tidak menentu. Keadaan akan bertambah buruk jika panduan dan sokongan sewajarnya tidak diberikan oleh keluarga, golongan dewasa dan masyarakat.

Di usia mencecah 20an, Ammar berjaya menghadapi fasa ini dengan baik dan beliau beruntung mempunyai ibubapa dan keluarga perjuangan yang sentiasa menyuntik agenda dan semangat perjuangan. Paling signifikan apabila modul membangunkan Ammar ini dirumuskan oleh ayahandanya seperti berikut:

1. Nama yang terpuji;
2. Penerapan wawasan ummatik;
3. Pendidikan adab;
4. Penghayatan Al-Quran;
5. Kekuatan mendirikan solat tahajud;
6. Penguasaan ilmu srategik; dan
7. Penguasaan pelbagai bahasa.

Modul ini amat baik untuk keluarga Muslim mengaplikasikannya agar lahir lebih ramai tokoh-tokoh muda yang dipersiapkan untuk memimpin umat. Kesempatan bertemu dan berbincang dengan ayahandanya Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman yang juga merupakan mentor saya amat mengujakan dan menyegarkan. Beliau menyebut agenda pembangunan Ammar bukan agenda kecil-kecil anak kerana cita-cita beliau ialah untuk melahirkan pemimpin Islam bertaraf dunia dan lima bintang.

Beliau mengambil contoh perjalanan hidup Presiden Republik Turki Dr. Ahmad Davutoglu yang kini menjadi pemimpin dunia Islam yang ‘smart’ dan bertaqwa. Beliau dikenali sebagai arkitek dasar luar Turki terbaik ketika menjadi Menteri Luar Turki. Beliau yang saya ingat amat sinonim dengan dasar luar ‘zero problem with neighbours’ yang menjadikan Turki makmur dan menjadi ‘role player’ terpenting di rantau Asia Barat dan Dunia Islam. Pernah mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum berpencak di pentas politik Turki dan Antarabangsa sebagai ahli politik yang bijak dan berkarisma tinggi.

Tuan Haji Azam banyak terinspirasi dengan Erdogan, Abdullah Gul, Davutoglu, Sultan Muhammad al-Fateh serta Empayar Turki Uthmaniyyah yang pernah memimpin dua pertiga dunia dan membawa keamanan dan kemakmuran sejagat. Tidak hairanlah Ammar dihantar ke Turki bagi menyambung pelajaran dan mengasah kepimpinan ummatik.
Takdir Allah telah mendahului segalanya, kematian Ammar membuka ruang yang lebih besar buat Tuan Haji Azam untuk merangka ‘roadmap’ dan ‘grand design’ untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang memimpin dunia. Tuan Haji Azam sedar bahawa inilah hikmah sebuah kematian dan kehilangan yang merintis jalan yang lebih besar buat dirinya menyumbang untuk umat. Remaja, belia dan masyarakat mendapat tempias manfaat daripadanya melalui ‘roadshow’ dan terbaru projek latihan Kem Ammar Al-Fatih.

Umat dan generasi muda kemarau dengan teladan. Kematian Ammar membuka mata masyarakat bahawa masih wujud anak muda yang baik dan berwawasan di sebalik imej negatif belia. Mesej kematian Ammar amat jelas bagi mendidik belia dan masyarakat bahawa hidup ini terlalu singkat maka berbuatlah amal dengan meninggalkan legasi dan kesan abadi buat umat seperti idea Bapak Tenas Effendy dari Riau ketika berbicara soal jatidiri dan nilai-nilai luhur belia dalam tamadun Melayu menyebut tentang Sifat Dua Puluh Lima yang perlu ada pada belia. Antara lain beliau menyebutkan “Sifat tahu hidup meningalkan, tahu mati mewariskan”.
Pak Tenas mensyarahkan pepatah dan pepitih tersebut sebagai,

“Yakni sifat yang menyadarkan orang untuk berkarya, berbuat kebajikan, berbuat budi dan jasa selama hidupnya, serta mewariskan nilai-nilai luhur agama dan budaya, mewariskan karya dan jasa, mewariskan nama baik, memberi faedah dan manfaat yang sebesar-besarnya bagi masyarakat bangsa dan negaranya. Ungkapan menyebutkan,

“yang disebut hidup meninggalkan
meninggalkan syarak tempat berpijak
meninggalkan adat tempat menempat
meninggalkan lembaga tempat berjaga
meninggalkan budi yang terpuji
meninggalkan contoh yang senonoh
meninggalkan teladan yang sepadan
meninggalkan nama yang mulia
meninggalkan petuah yang berfaedah
meninggalkan kaji yang berisi
meninggalkan pusaka yang berhargai
meninggalkan anak yang dipinak
meninggalkan harta yang berguna
meninggalkan dengan bekalnya.


Semoga sebuah kematian ini akan terus memberikan inspirasi kepada umat melahirkan lebih ramai pemimpin muda berkarisma yang akan meneruskan perjuangan anak-anak muda yang mendokongi Sayyiduna Muhammad al-Musatafa seperti Mus’ab ibn Umair, As’ad ibn Zurarah, Saad Ibn Muadz dan lain-lain yang sentiasa ‘evergreen’ dan fenomena kebangkitan Islam sepanjang zaman. Ianya bukan segala-galanya tentang Ahmad Ammar tetapi ‘concern’ kita adalah pada pembinaan generasi masa depan yang bakal kita wariskan adalah generasi yang seharusnya kuat untuk manfaat umat. Firman Allah Ta’ala,


“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar”. (An Nisaa’, 4:9)

Wallahua’lam.

Nilai, 1.36 tenghari
18 Februari 2015 / 28 Rabiulakhir 1436 H







Catatan: Mumtazah Sanusi

~ "New world order" muncul atas banyak faktor:-
1) Kemerosotan kuasa besar Amerika
2) Peperangan Ukraine vs Rusia
3) Krisis di Arakan ( Rohingya )
4) 'The aging society' di Eropah dll

~ Dalam kerangka Islam, Islam dilihat sebagai kuasa yang memenuhi new world order - bukan sebagai penjajah tetapi meraikan kepelbagaian seperti istilah pada buku 'Kepelbagaian & Khilaf dalam Bingkai Kesatuan'....
~ Menaikkan Islam sebagai 'the only solution/alternative' kepada sistem kapatalis yang semakin bobrok adalah agenda utama kita...
2108- masa Islam akan bangkit. Bagaimana kita mahu mempersiapkan anak muda ke arah kebangkitan tersebut? --> Anak muda perlu berada di tengah tapi radikal!
~ Kekeliruan pada IS - adakah ia mewakili dunia Islam atau tidak?. Kajian dibuat & mendapati khilafah yang diperjuangkan IS adalah dakwaan batil! Keseluruhan kelompok utama yang ada di tengah menolak! Idea 'new khawarij' pada IS yang mengkafirkan bukan ideologi kita! IS menenggelamkan hero sebenar iaitu para mujahidin (majoriti rakyat Syria)
~ Rakyat Malaysia tidak perlu ke sana. Memperkukuhkan ekonomi, teknologi & semua bidang perlu dibuat. Ia proses jangka panjang & tidak melulu melalui jalan pintas seperti yang berlaku sekarang. Strategic action penting untuk mempersiapkan anak muda dengan kepakaran ilmu agar mampu menjadi kuasa besar di tengah.
Contoh:-
Buku Dr Majid Irsan - alQuds dibebaskan oleh madrasah ilmu & madrasah rohaniah --> ini adalah proses puluhan tahun sebelumnya...
~ Apa yang perlu?
# ILMU
# KEMAHIRAN termasuk:
(1) Contemporary thinking
(2) Futuristic thinking
(3) Critical thinking
# MENTOR
(membangunkan anak muda perlu ada belia & orang dewasa yang memimpin belia)
Sdra. Jufitri Bin Joha - Forum Anak Muda "Orde Baru Ummah: Benarkah Dunia Islam Menolak Ekstrimisme & Isis"
— at Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam.

Khamis, Mei 21, 2015

Forum 27 April 2015 / 8 Rejab 1436 H @ Kolej Kediaman ke-8 UM

Jufitri Joha @ Analisis Awani: Inovasi Sosial Teras Kelangsungan Pembangunan Belia 11 Mei 2015 / 22 Rejab 1436 H

TERUS TERANG MBM



Kuala lumpur, 29 April 2015: Forum “Terus Terang- Jangan Sembang Kosong, Terus Selesaikan” siri dua berjalan dengan lancarnya. Bertempat di Bilik Seminar, Tingkat 2 Wisma Majlis Belia Malaysia. Sebuah inisiatif Jawatankuasa Penerangan MBM sebagai pendedahan dan percambahan ilmu kepada golongan belia.
Forum pada kali ini telah membincangkan topik berkenaan “Akta Pencegahan Keganasan (POTA) Suatu Penindasan?

Panel pada kali ini ialah Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman. Beliau adalah Mantan Majistret, Presiden Mahkamah Seksyen, Penasihat Pesekutuan dan Pembantu Pendraf Undang-undang parlimen dan beliau telah bersara dari perkhidmatan kerajaan sebagai Pegawai Undang-undang MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) ketika zaman Darurat pada tahun 1969. Beliau adalah seorang yang sangat berpengaruh dalam hal dan bidang undang-undang.
Antara isu yang dibincangkan adalah seperti perkaitan dengan undang-undang lama iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan sebelum ini, kredibiliti Akta POTA, kredibiliti penguatkuasaan, perbezaan POTA dan ISA dan lain-lain.

Saudara Hasnul Hanif Harun, Ahli Jawatankuasa MBM telah dipertanggungjawabkan sebagai moderator pada forum kali ini. Antara peserta yang hadir pada forum ini seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Permuafakatan Siswa Siswi FELDA UiTM (PERSADA UiTM) dan barisan kepimpina Majlis Belia Malaysia antaranya saudara Zaidi Aziz, Timbalan Presiden MBM, saudara Khairul Annuar Mansor, Naib Presiden MBM, saudara Ahmad Saparudin Yusof, Setiausaha Agung MBM, Mohammad Rizan Hassan, Ketua Penerangan MBM, dan exco Majlis Belia Malaysia saudara Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz dan saudara Thai Ming Yeow.

Forum ini telah diakhiri dengan penyerahan cenderamata kepada panel dan sesi bergambar bersama para peserta yang hadir.
Nantikan Siri Terus Terang yang berikutnya, “Jangan Sembang Kosong, Terus Selesaikan”.

NARA SUMBER: http://belia.org.my/wp/?p=7367

Ucapan Aluan di Seminar Pemikiran Sheikh Muhammad Abduh




Dalam ucapan aluan saya menekankan peranan guru sebagai reformis masyarakat dengan mengambil semangat pemikiran pendidikan Sheikh Abduh. Peranan guru amat besar dalam membuat perubahan kerana pendidikan adalah elemen yang ampuh untuk mencapai tujuan ini. Pelajar yang mahu dilahirkan adalan insan yang seimbang yang berilmu, beradab dan berpendidikan. Saya secara peribadi semakin kuat kepercayaan bahawa pendidikan adalah cara terbaik untuk membuat perubahan dalam masyarakat. Lebih spesifik saya semakin yakin pendidikan tidak formal melalui pertubuhan belia lebih besar kesannya daripada pendidikan formal walaupun tidak menafikan kepentingan pendidikan formal. Menurut Gibb dalam Modern Trends in Islam, menjelaskan empat agenda pembaharuan pendidikan menurut Sheikh Abduh iaitu:

a.) Pemurniaan ajaran Islam dan kehidupan umat Islam daripada bid'ah dan khuafat;
b.) Mereformasi pendidikan tinggi universiti dengan integrasi antara pendidikan tradisi dan moden dan fardhu ain dan fardhu kifayah;
c.) Mempertahan jati diri Islam dan menolak ideologi yang merosakkan umat dan ini terjelma dalam Risalah Tauhidnya; dan
d.) Membuka semula pintu ijtihad bagi melenyapkan kejumudan dan membangkitkan kekuatan daya fikir.

Sheikh Abduh jelas mahukan perubahan yang seimbang antara hati dan akal. Akal yang cerdas dan hati yang bersih. Jika agenda ini yang dibawa oleh para guru maka saya meyakini kesan perubahan yang besar akan berlaku di dasar bawah strata masyarakat.

JUFITRI JOHA
Pengerusi AIM




Golongan Belia Adalah "Aset" Yang Paling Berharga Di Dunia:- Jufitri Joha



25 April 2015;- Golongan Belia Adalah "Aset" Yang Paling Berharga Di Dunia! Begitulah penegasan yang dikemukakan Jufitri Joha, Naib Presiden ABIM, ketika menjadi perantara salah satu slot Youth Awards, Convention & Exhibition (YOuth Ace) 2015, Di Dewan PKKSSAS, Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini diketengahkan berdasarkan idea yang dikemukakan oleh Saudara Numan Saadan, bekas brainstormer LangitIlahi, yang kini sedang menyambung pengajian di luar negara. Youth Ace adalah penjenamaan semula dari Teen ACE yang dianjurkan pada tahun 2013.

Selaku moderator, Jufitri telah mengetengahkan hakikat dan realiti masa kini bahawa banyak graduan yang dilahirkan tetapi tidak berilmu, perlu diatasi kerana belia mempunyai potensi untuk mengangkat serta mencorak gagasan ketamadunan yang lebih segar untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Beliau merupakan merupakan merupakan moderator kepada slot yang membariskan Saudara Muhammad Zahid, Dr Wan Amani, serta Saudara Wan Ahmad Faysal sebagai panelisnya. Youth Ace dianjurkan secara bersama oleh Langit Illahi, K-Fiqh, ABIM, SPKB, dan Projek Ahad.

Sumber Laporan: http://www.abim.org.my/berita-program/abim-pusat/item/685-youth-ace.html

Rabu, Mei 20, 2015



Saya sebutkan di hadapan Belia Perlis bahawa Belia Pewaris Sunnah ada 3 ciri:

1.) Ma'rifah Sunnah (Mempelajari dan Memahami Sunnah)
2.) Mahabbah Sunnah (Cinta Sunnah)
3.) Ta'dhiyyah Sunnah (Bekorban untuk laksanakan Sunnah)

Kuliah Maghrib @ Masjid Teras Jernang



KULIAH MAGHRIB
Tajuk: Konsep Jihad dalam Islam & Pencerahan Isu IS
Penceramah: Sdr Jufitri Bin Joha, Naib Presiden ABIM
29 April 2015, Masjid Teras Jernang, Bangi


CATATAN

* IS (Islamic State) telah memburukkan imej Islam.
* Islam membawa misi: merubah, membebaskan dan memberikan pencerahan.
* Ramai yang mengikut IS adalah atas rasa simpati dan semangat yang tidak terkawal, melangkaui nilai ilmu.
* Mereka salah faham berkenaan konsep jihad yang sebenar. Mereka berpegang dan salah tafsiran terhadap hadith "panji hitam".
* Jumhur ulama telah membuat keputusan bahawa tindakan IS adalah batil, menyalahi konsep Islam yang sebenar.
* Dr Yusof al-Qaradhawi telah menyatakan bahawa mengistiharkan daulah Islamiah iaitu khilafah Islam adalah hak ummah, bukannya hak mana-mana kumpulan.
* IS bersedia membunuh sesiapa saja hatta orang Islam sendiri yang tidak sehaluan dengan pemikiran mereka. Ini merupakan pemahaman keras kumpulan khawarij di alaf baru.
* Abu Bakar Al-Baghdadi, pemimpin IS telah mengisyiharkan dirinya sebagai khalifah pada tahun 2014.
* Beliau pernah ditindas, dipenjarakan banyak tahun oleh tentera Amerika di Afghanistan.
* Dasar luar Amerika melaksanakan penindasan ke atas umat Islam di seluruh dunia merupakan antara faktor penyumbang kepada kekasaran yang berlaku dalam IS.
* IS ini asalnya daripada kumpulan Al-Qaeda yang kemudiannya mufarakah, iaitu keluar daripada Al-Qaeda dengan membuat kumpulan sendiri.
* IS ramai foreign fighters. Dari UK sahaja hampir 600 orang anak muda menyertai IS. Ini sebagai protes terhadap UK yang bersengkongkol dengan Amerika menindas umat Islam.
* Anak-anak muda ini bertindak secara emosional, bukan secara rasional dan bukan dengan ilmu.
* Ikutlah ulama yang ada 2 ciri berikut:
1) Ulama yang muktabar - yang diiktiraf, sebagai tempat kita merujuk.
2) Ulama yang mengambil pendekatan wasatiyah, yang berfikiran sederhana.
* Malangnya aktivis IS menolak ulama-ulama muktabar ini.
* Kisah Salahuddin Al-Ayyubi membebaskan Baitul Muqaddis setelah membuat persiapan selama hampir 20 tahun. Tiada jalan pintas! Begitulah beliau menyiapkan anak muda yang berjihad di jalan Allah.
* Formula mencapai kejayaan dengan adanya ciri-ciri berikut:
1) Pendekatan Imam Al-Ghazali dengan kekuatan ilmu.
2) Pendekatan Abdul Kadir Jalani dengan kekuatan kerohanian.
3) Kekuatan sains dan teknologi.
* Kesan daripada kesalahan perjuangan IS, menyebabkan salah faham terhadap Islam makin meningkat. Mereka di dalam IS dengan mudah mengkafirkan orang dan sanggup menyembelih umat Islam yang tidak sehaluan dengan mereka.
* Kesatuan Ulama menyatakan bahawa mengangkat senjata merupakan pilihan yang terakhir dalam konsep jihad.
* Di Syria ketika ini, keadaan makin tidak terkawal, pertempuran antara 3 puak: Tentera Bashar, Kumpulan IS dan Kumpulan Mujahidin.
* Kini lebih daripada 8 juta penduduk Syria telah menjadi pelarian di dalam negara dan di luar negara.
* ABIM telah menubuhkan Life Line for Syria untuk membantu pelarian ini.
* Tidak perlu pemuda-pemuda Malaysia datang ke bumi Syria untuk berperang tetapi lebih utama ialah memberi bantuan kemanusiaan kepada warga Syam.
* Malah HAMAS sendiri memprotes IS kerana IS telah membunuh pelarian-pelarian Palestin di Kem Yarmouk baru-baru ini.
* Pembangunan sesuatu generasi: semangat anak muda yang digabungkan dengan ilmu hikmah orang tua.
* Mustahil agama Islam akan terpadam, namun kekuatiran kita ialah anak-anak muda bangkit semata-mata dengan semangat tanpa ilmu. Ibu bapa yang membenarkan anak muda mereka untuk menyertai IS juga amat merunsingkan. Inilah salah faham atas kejahilan umat yang berlaku.
* Darul Ifta' Mesir: Menyertai kumpulan Da'ish atau ISIL atau IS adalah haram pada hukum Islam.
* Majlis Fatwa Kebangsaan pada 21 - 22 Oktober 2014: Perjuangan IS adalah bertentangan dengan syarak.

KESIMPULAN:
* Dr Wahbah Al-Zuhayli: Jihad adalah salah satu wasilah atau jalan untuk mencapai maqasid (objektif). Jika maqasid boleh dicapai tanpa menumpahkan darah wajarlah ia menjadi keutamaan.
* Jihad yang utama dalam konteks isu di Syria dan Iraq ialah berjihad melalui bantuan kemanusiaan dengan memberikan bantuan makanan dan ubat-ubatan kepada masyarakat di negara-negara bergolak tersebut.
* Umat Islam di Malaysia harus menghindarkan diri daripada terlibat dalam konflik pelbagai puak dan pertempuran berlaku sesama sendiri di negara-negara bergolak tersebut.
* Umat Islam hendaklah menimba ilmu dan menguasai diri dalam pelbagai bidang dan cabangan ilmu bagi menyelesaikan isu kecelaruan pemikiran.

Dicatat oleh: Shirajuddin Sirat (+6019-233 6611; shirajuddin@gmail.com)

Forum Mengurus Perkauman di Karpal Singh Learning Centre Penang 19 Mei 2015 / 1 Syaaban 1436 H



Jufitri Joha @ Channel 8 Documentary Singapore

Can be watched here : http://www.channel8news.sg/news8/ca/focus/episodes/20150423-fotx/1804118.html

Asean People Forum 2015 @ Kuala Lumpur

NGAUMAN EKONOMI TURKI: DARI CHP KE AKP



Oleh: JUFITRI BIN JOHA

Ekonomi Turki kelihatan lesu ketika puluhan tahun Parti Sekular CHP memerintah Turki dengan membawa legasi sekularisme Kamal Ataturk. Semasa awal dekad 1990an keadaan politik yang tidak stabil di Turki meninggalkan kesan negatif yang teruk kepada hutang awam dan asing disebabkan inflasi yang tinggi, defisit belanjawan dan akaun semasa yang tinggi. Kerajaan campuran pada ketika itu gagal menanganinya sehingga Turki mengalami kemunduran dan kelembapan ekonomi sehingga datang fajar Turki Baru atau New Turkey yang dipelopori Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) membawa satu dimensi dan perspektif baru dalam politik, ekonomi dan dasar luar negara.

Kerajaan AKP pimpinan Erdogan menekankan disiplin fiskal, transformasi struktur dan penswastaan. Dalam tempoh fajar baru ini, Turki berjaya keluar daripada era kelembapan ekonomi bahkan mencapai pertumbuhan ekonomi yang stabil. Turki juga survive dalam krisis kewangan global pada 2008 dengan kesan kemusnahan yang minimum. Kerajaan AKP yang berbasiskan aliran konservatif demokrat yang dipimpin oleh gandingan Democrat Islamist Erdogan-Davutoglu-Gul berjaya membuktikan kualiti kepimpinan dunia Islam dalam membangunkan sebuah negara iaitu professional (al-qawiyy) dan amanah (al-amin) sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Qasas ayat 28,

“Salah seorang daripada kedua-duanya berkata: “ Wahai ayah, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat, lagi amanah”.

Masalah yang membelenggu dunia Islam selain daripada kekeliruan ilmu ialah kelemahan kepimpinan daripada sudut penegakan demokrasi, tata kelola atau governan yang lemah, rasuah dan hak asasi manusia namun Turki berjaya keluar daripada persepsi buruk ini bahkan memberikan imej yang baik kepada dunia Islam. Kepimpinan AKP yang cerdas mengambil strategi mengenyangkan perut rakyat dahulu atau memperkukuhkan ekonomi negara sebelum menerapkan dan mengembalikan semula nilai-nilai dan ajaran Islam setelah puluhan tahun ajaran sekularisme mendominasi jiwa dan pemikiran rakyat Turki. Kepimpinan AKP berjaya mendapat kepercayaan majoriti rakyat dengan membuktikan kecekapan mentadbir negara dan ekonomi sebelum secara perlahan-lahan atau tadarruj mengembalikan pengamalan Islam ke dalam nurani rakyat Turki.


Pelajar sarjana di Universiti Necmeetin Erbakan iaitu saudara Syafiq Shafii menulis,

“Keputusan pilihan raya tempatan pada 30 April telah berpihak ErdoÄŸan dan partinya. AKP telah memenangi pilihanraya dengan 46% berbanding hanya 39% pada pilihanraya 2008. Semenjak 1950, belum ada satu parti yang mampu mencapai jumlah 40% daripada undi kecuali AKP yang telah memenangi 49 bandar daripada 81 bandar yang ada di Turkey. Jumlah keluar mengundi juga mencatat satu angka yang tinggi iaitu 80% atau 52 Juta penduduk. Dengan kemenangan besar ini, sekali lagi membuka pintu kepada ErdoÄŸan bersama kerajaannya untuk terus berkhidmat membangunkan negaranya”.

Kemenangan dan kepercayaan ini melonjakkan keyakinan lagi Erdogan dan AKP untuk meneruskan agenda Islamisasi selepas ekonomi ditambah pula dengan kekuatan 52 peratus undi Pilihanraya Presiden 2014 yang lalu, Erdogan sudah mula menzahirkan usaha-usaha Islamisasi dan Ottomanisasi setelah beberapa tahun bersabar dengan suasana sekularisme yang mencengkam kuat dan membangun ekonomi Turki yang bermula dengan defisit dan inflasi yang tinggi. Paling membanggakan ialah yang terbaru Erdogan telah menggantikan gambar rasmi kebanggaan Kerajaan Turki selama puluhan tahun iaitu wajah Kamal Attaturk kepada wajah Sultan Muhammad al-Fatih. Erdogan mula memulihara semula tinggalan Ottoman yang terbiar selama ini termasuk merenovasi Masjid yang menempatkan maqam Sultan Muhammad al-Fatih.
Dunia kagum dengan pencapaian Turki. Penganalis politik Turki seperti Vildan Serin dan Filiz Kadi (2013) menulis satu makalah yang baik bertajuk An Analysis of The Emerging Economies in the Global Governance: A Case Study of Turkey menganalisis kemakmuran, formula dan strategi Turki membangun ekonomi khususnya di bawah AKP.

Serin dan Kadi menyebut strategi politik Turki yang mengutamakan kebebasan dan patisipasi politik, dasar ekonomi yang mampan serta dasar luar yang proaktif dan peace oriented menjadi formula kepada kejayaan ekonomi Turki. Turki mempromosikan pasaran bebas dan mengintegrasikan ekonomi ke dalam pasaran dunia. Turki turut menukar strategi yang hanya banyak mengimport kepada industri eksport dan kesannya nilai eksport Turki telah melonjak daripada 2.3 bilion dollar pada 1979 kepada 134.9 bilion pada 2011. Jumlah negara yang mempunyai nilai eskport dari Turki melebihi 1 bilion dollar meningkat daripada 5 negara pada tahun 2000 kepada 30 negara pada 2008.

Ekonomi Turki telah mencapai pertumbuhan ekonomi yang kuat dengan 11 peratus pada suku tahun yang pertama 2011menjadikan ianya antara negara yang paling kompetetif dalam ranking dunia. Turki turut mempunyai sistem perbankan yang kukuh dengan beberapa usaha reformasi selama beberapa tahun sehingga Turki menjadi satu-satunya negara anggota OECD yang tidak campur tangan dalam sector perbankan ketika krisis ekonomi melanda pada tahun 2008.

Dasar luar Turki yang diterajui arkitek genius Dr. Ahmed Davutoglu memperkukuhkan lagi kedudukan ekonomi Turki. Davutoglu yang pernah menjadi pensyarah UIAM Gombak, telah memformulasikan dasar mesra Barat dan polisi “zero problem with neighbours” khususnya dengan negara-negara jiran di rantau Asia Barat.

Turki telah memanfaatkan hubungan mesra dengan Barat khususnya dengan Kesatuan Eropah (EU) untuk meningkatkan pasaran eksport ke sana. Eksport Turki ke EU meningkat pantas daripada import sehingga ratio eskport-import Turki meningkat daripada 66 peratus pada 1995 kepada 77 peratus pada 2003. Laporan Parlimen Eropah menyebut bahawa hubungan dagang EU dengan Turki pada tahap yang advance. Laporan tersebut turut mencadangkan agar hubungan dagang yang sedia terjalin ini dipertingkatkan untuk mengatasi kesan krisis ekonomi, kedudukan geo-strategik Turki serta Turki sebagai sebuah populasi muda yang berpotensi dalam pembangunan ekonomi. Di mata EU, Turki merupakan sebuah negara Islam yang tidak dapat dielakkan bahkan mereka terpaksa akur dengan kehandalan ekonomi Turki sehingga menempati kuasa ekonomi keenam terbesar di Eropah dan kelima belas di pentas global. Turki menjadi rakan dagang EU ketujuh terbesar dan EU menjadi rakan dagang terpenting Turki. Kedua-duanya saling perlu memerlukan.

Bagi penulis ini merupakan suatu dakwah dan jihad ekonomi Turki bagi menawan dan merobohkan keangkuhan EU-Centric yang lama mendominasi ekonomi dunia. Ketika krisis ekonomi melanda, EU terpaksa berhempas pulas di mana beberapa negara anggotanya termasuk dalam senarai muflis atau hampir muflis seperti Greece, Sepanyol dan Ireland.

Dengan kestabilan politik yang ada, Turki terus melebarkan sayap dagangannya ke rantau Asia Barat, Iran dan Rusia. Rusia sebagai contoh menjadi pasaran eksport ketiga terbesar selepas Jerman dan Amerika Syarikat. Hubungan dagangan yang baik dengan Rusia turut menyumbang peningkatan kemasukan pelancong Rusia ke Turki sebanyak 3.1 juta pada tahun 2010.

Turki telah mengaum dan menampakkan suatu pencapaian yang membanggakan dunia Islam. Ini merupakan ‘dakwah’ sebuah negara Islam kepada dunia bahawa Turki yang dipimpin oleh pimpinan yang komited dengan Islam kelihatan kompeten dan cekap dalam mentadbir negara dan menguruskan kemakmuran ekonomi untuk 73.7 juta rakyatnya. Sebagai anggota grup ekonomi G-20, Turki sebagai ‘middle power’ diharap dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam memimpin mencorakkan masa depan sistem kewangan antarabangsa yang lebih baik serta membawa keluar dunia Islam daripada kemelut kemunduran dan kemiskinan. Dengan kestabilan politik dan ekonomi, Turki mempunyai kekuatan untuk terus membantu mengembalikan dunia Islam seperti mana zaman kegemilangan Ottoman memimpin dunia pada suatu ketika dahulu.

Sabtu, April 18, 2015

Diskusi Meja Bulat: Belia dan Sakit Mental

Saya akan mempengerusikan Diskusi Meja Bulat: Belia dan Sakit Mental ini. Jemput hadir dan sebarkan.

Anugerah Pendakwah Muda


Sebulan telah berlalu, baru sempat mencoret berkenaan Anugerah yang telah diinisiatifkan oleh Kerajaan melalui Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Saya dimaklumkan nama saya dicalonkan oleh sebuah Jabatan Agama. Namun melihat calon-calonnya saya berasa sedikit kurang selesa apabila tersenarai bersama selebriti-selebriti yang mana mereka mempunyai dunia dakwah mereka yang tersendiri. Atas nasihat beberapa senior saya terus berada dalam senarai calon dan saya menghormati serta mengucapkan terima kasih atas pencalonan. InsyaAllah saya berazam untuk terus melakukan kerja-kerja dakwah. Tahniah Imam Muda Asyraf!