Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Isnin, Julai 11, 2022

MAJLIS APRESIASI PELAJAR CEMERLANG SPM 2021 PORT DICKSON DAN PENYERAHAN KOMPUTER RIBA SERTA BANTUAN SARA HIDUP MAHASISWA ANAK NEGERI SEMBILAN B40

Assalamualaikum dan salam sejahtera. ~ Salutasi ~ Tuan tuan, puan-puan dan anak-anak sekalian, Marilah kita sama-sama merafa’kan rasa tasyakkur dan tahmid kepada Allah Taala atas keizinanNya dapat kita menjayakan Majlis yang sangat penting bagi meraikan pelajar cemerlang SPM 2021 dan penyerahan komputer riba serta bantuan sara hidup mahasiswa anak Negeri Sembilan. Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan salam Pengarah Yayasan Negeri Sembilan (YNS), Y.Bhg Tuan Haji Muhammad Nazri bin Kassim yang sedang berada di luar negara menghadiri majlis konvokesyen anakanda beliau dan akan pulang sehari dua ini InsyaAllah. Bagi pihak Yayasan, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Ahli Parlimen Port Dickson, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson, Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson dan Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson atas kerjasama menjayakan majlis bagi mengiktiraf pencapaian akademik anak-anak Port Dickson dan membantu mereka untuk terus belajar secara selesa dan fokus untuk berjaya. Tuan tuan, puan-puan dan anak-anak sekalian, Sudah menjadi tanggungjawab pihak Yayasan untuk menyokong segala usaha berkaitan pendidikan untuk anak negeri sebegini bersesuaian dengan mandat Yayasan menjalankan aktiviti sosial dan ekonomi terutama dalam aktiviti menaja dan memajukan peluang mendapat pendidikan di kalangan rakyat Negeri Sembilan melalui pinjaman pendidikan, biasiswa dan bantuan kewangan. Yayasan sangat komited dengan usaha mendokong agenda pendidikan kerana ianya merupakan agenda pencerdasan anak bangsa dan menjadikan anak-anak Negeri Sembilan sebagai insan adabi di mana insan adabi menurut Profesor Syed Muhammad Naqib al-Attas ialah insan yang memahami tujuan kewujudannya sebagai hamba Allah, memahami dan menjalankan tanggungjawab dan menegakkan keadilan terhadap diri dan masyarakat dan sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi insan adabi. Pengertian dan tujuan sebenar pendidikan adalah bukannya hanya untuk mengejar segulung ijazah tetapi untuk menjadi Hamba Allah yang bertaqwa, warganegara yang efektif, pemimpin yang adil di semua peringkat dan paling penting menyumbang semula ilmu dan kemahiran mereka ke dalam masyarakat. Justeru, Yayasan ingin menasihati kepada para ibu bapa dan anak-anak semua agar menjadikan pendidikan sebagai agenda penting dan agenda sepanjang hayat dalam keluarga dan masyarakat demi masa depan yang lebih baik kerana menurut Malcom X, “Education is the passport to the future, for tomorrow belongs to those who prepare for it today”. Dan ini juga saya percaya apa yang diyakini oleh YB Ahli Parlimen sewaktu menjadi aktivis ketika mengasaskan Yayasan Anda di Kuala Lumpur dan beberapa institusi pendidikan informal di beberapa buah negeri. Tuan tuan, puan-puan dan anak-anak sekalian, Di peringkat Yayasan, pihak kami akan terus mendokong usaha ini dengan beberapa bantuan, peruntukan dan inisiatif Yayasan Negeri untuk 2022 untuk pendidikan anak Negeri Sembilan: 1.) Bantuan laptop peruntukan keseluruhan mencecah RM 1.4 juta. Sebahagian telah diagih dan sebahagian lagi akan terus diagih sebagaimana yang dapat disaksikan hari ini; 2.) Bantuan Sara Hidup (BSH) Mahasiswa sebulan RM 100.00 untuk seorang mahasiswa, peruntukan mencecah RM 2.4 juta. Telah diluluskan dan sedang diagihkan kepada Mahasiswa sebagai meringankan beban kos sara hidup; 3.) Bantuan aktiviti untuk Sekretariat Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (PERMANIS) di seluruh 20 universiti awam di Malaysia, peruntukan mencecah RM 350,000.00; 4.) Peruntukkan Program Khidmat Masyarakat Siswa di 36 DUN mencecahkan RM 250 000.00 dan telah dilancar dan dimulakan dengan DUN Sikamat pada hari ini yang saya rasmikan sendiri; 5.) Peruntukkan Anugerah Pelajar Cemerlang tahun 2022 untuk 400 pelajar cemerlang ijazah kepujian kelas pertama di universiti dengan setiap seorang mendapat RM 5000.00. Peruntukan keseluruhan mencecah RM 2 juta. Dua siri anugerah telah dijalankan dan pihak Yayasan akan menjalankan dua lagi siri anugerah tahun ini termasuk yang akan berlangsung 12 Julai ini; dan 6.) Pihak Yayasan juga sedang berterusan memudahcara peluang-peluang kerjaya untuk mahasiswa dan anak Negeri Sembilan untuk bekerja dalam Negeri Sembilan termasuk dengan Seremban Engineering, Gemencheh Granite Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Seremban. Tuan tuan, puan-puan dan anak-anak sekalian, Berkat tatakelola dan pengurusan yang baik di bawah YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, pihak Yayasan telah berjaya menjana kewangan yang baik melalui aktiviti pelaburan dan segala keuntungan dipulangkan semula sebagai amanah untuk pendidikan anak-anak Negeri Sembilan. Semoga usaha kita bersama yang sedikit ini akan menjadi amal soleh kita untuk anak negeri dan semoga usaha pendidikan berterusan ini akan terus mengekalkan Negeri Sembilan sebagai negeri paling bahagia di Malaysia sebagaiman kajian Indeks Kebahagian yang dikeluarkan oleh PLANMalaysia pada 2021. Sudah tentu Port Dickson sebagai Bandar Pelancongan menyumbang ke arah pengiktirafan ini. Tuan tuan, puan-puan dan anak-anak sekalian, Pihak Yayasan ingin merakamkan ucapan syabas kepada adik-adik yang berjaya dalam SPM yang lalu. Teruskan tradisi kecemerlangan ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi yang menerima bantuan lap top, gunakan sebaiknya untuk pelajaran dan bagi penerima BSH diharapkan ia dapat meringankan sedikit beban dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin naik. Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan usaha murni pada hari ini. Terima kasih. Sekian. Anjuran : Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson, Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson & Yayasan Negeri Sembilan (YNS) Tarikh: 30 Jun 2022 KHAMIS 11 pagi Tempat: Tasik Villa Resort, Port Dickson

Ahad, Januari 24, 2021

Kata Sambutan Presiden Majlis Belia Malaysia untuk Buku " 'A Brave New World' Isu-Isu Sekitar Pemuda, Ilmu dan Pemikiran"

Kata Sambutan A Brave New World: Isu-Isu Sekitar Pemuda, Ilmu dan Pemikiran JUFITRI BIN JOHA Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) yang ke-22 بسم الله الرحمن الرحيم Apabila saudara Beta Pujangga Mukti mengusulkan kepada saya untuk menulis kata sambutan kepada karyanya ni terus saya bersetuju disebabkan maudhu’nya amat dekat dengan jiwa sementelah saya amat meminati subjek kepemudaan, pengajian belia dan pembangunan belia ditambah pula pergulatan saya dalam arena pergerakan belia nasional bersama Majlis Belia Malaysia (MBM). MBM adalah rakan serumpun dengan teman-teman di Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI). Maudhu’ atau tema buku ini juga bertepatan dengan fokus saya dan teman-teman pimpinan MBM untuk mengembalikan ruh dalam pembentukan jiwa insani dalam batang tubuh belia yang sebelum ini banyak terfokus hanya kepada pembangunan materialisme seperti ekonomi dan bakat berbanding idealisme dan jati diri. Justeru buku yang sedang saya berikan kata sambutan ini amat cocok dengan agenda semasa MBM walaupun ia banyak menyorot misalan-misalan dalam konteks KeIndonesiaan tanpa menafikan terdapat banyak contoh-contoh yang bersifat universal. Indonesia bukanlah asing dengan Malaysia kerana kita serumpun dan sebangsa bahkan senusantara dan satu ummah. Apa yang dicicip dan dinukilkan dalam buku A Brave New World ini adalah untuk mengembalikan semula kepada asas-asas kekuatan kepada pembinaan jiwa insani belia agar seimbang dan tampil menjadi pimpinan ummat bertaraf dunia. Menarik apabila penulis menyoroti bahawa tokoh tokoh pemudalah yang menjadi proklamator kemerdekaan dan apa yang diistilahkan oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi sebagai ‘tulang punggung’ (al-amud al-faqri) kepada kemerdekaan Indonesia. Para pemudalah yang sanggup bersusah payah menyingsing lengang untuk menuntut dan mengisi kemerdekaan watan. Untuk menulis dan mencetak pemuda pemudi ummat ini, maka pemegang taruh utama seperti KNPI, MBM, KBS (Kementerian Belia dan Sukan Malaysia) dan KEMENPORA (Kementerian Pemuda dan Olahraga Indonesia) harus menilai semula dasar, pelan, modul dan silibus pembangunan belia agar benar-benar diyakini melahirkan para belia yang berkualiti. Dalam konteks Dasar Belia Malaysia (DBM) ‘outcome’ yang mahu dilahirkan oleh Negara ialah belia yang mempunyai kualiti 8 C – Penyanyang (Caring), Cekap (Compentent), Perwatakan (Character), Keyakinan (Confident), Kerjasama (Cooperation), Bertimbang Rasa (Considerate), Kompetitif (Competitive) dan Sumbangan (Contribution). Terlebih penting lagi adalah misi besar untuk melahirkan belia menjadi ‘Insan Adabi’ dan ‘Insan Seimbang’ seperti diistilahkan oleh pemuka ilmu seperti Profeser Syed Naquib al-Attas dan Profesor Dzulkifli Abdul Razak. Justeru sebagai sektor pendidikan informal, pembangunan belia dan pergerakan belia menjadi ‘feeder’ yang amat penting kepada sektor pendidikan formal seperti sekolah, kolej, institut kemahiran dan universiti untuk memanusiakan manusia. Inilah tujuan umum pendidikan bukan semata-mata melahirkan ‘robot’ untuk mencari kerja dan mengisi tembolok di kala manusia semakin hilang sifat manusiawinya dan tidak membudayakan ilmu. Sukacita saya mengambil kesempatan ini untuk membuat cetusan awal kepada gagasan dan wawasan (wagas) baru dalam dunia pembangunan belia dengan menggagaskan kepentingan wagas ‘Falsafah Pengislahan Belia’ (FPB) agar pemegang taruh pembangunan belia benar-benar jelas dan fokus untuk melahirkan insan dalam kerja amal mereka seharian khususnya teman-teman dalam pergerakan belia. Saya menggunakan terma pengislahan dan bukannya pembangunan kerana saya tertarik dengan idea Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud dalam lewat karyanya Pembangunan Di Malaysia (2005) di mana istilah islah lebih holistik di mana ia merangkumi aspek membangun kebaikan dan meruntuhkan kerosakan. Falsafah bukan sekadar mainan istilah untuk nampak lebih ‘jargon’ dan cerdik tetapi sebagai wagas futuristik atau pernyataan misi dan visi besar bagi memandu sebuah kebangkitan dan perjuangan yang jelas sekaligus membuahkan hasil yang didambakan. FPB wajar dibaca dan dirujuk bersekali dengan DBM dan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 / Akta 668 bagi memandu segala jenis perancangan pembangunan belia Negara. Buku karya saudara Beta ini wajar dijadikan sebahagian rujukan asas bagi memandu dan mengisi wagas FPB ini serta diwacanakan secara meluas oleh pendokong pembangunan belia agar dihadami dan difahami bagi menghasilkan tindakan berimpak dan ‘end product’ yang betul. Selain Dialog Pemuda Indonesia – Malaysia (MALINDO) yang sedia terjalin di antara KNPI dan MBM dan juga kolaborasi melalui OIC Youth Forum (ICYF), saya berharap karya ini juga mampu menjambatani hubungan silaturahmi belia Malaysia dan pemuda Indonesia agar bangkit berkolaborasi menjadi anak muda serumpun yang kuat untuk masa depan ummah. Syabas saudara Beta Pujangga Mukti! Nilai 25 Oktober 2020 / 8 Rabiulawaal 1442 H

Selasa, Jun 16, 2020

MENANGANI ISU PERWAKILAN BELIA DI PARLIMEN



Oleh: JUFITRI JOHA
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)


Semalam 16 Jun 2020, seramai 5 tokoh politik senior mengangkat sumpah jawatan senator di Dewan Negara. Namun sedikit mengecewakan apabila tokoh-tokoh politik senior tersebut tidak diimbangi dengan perlantikan tokoh-tokoh politik anak muda berpengalaman. Saya yakin sekurang-kurangnya jika seorang tokoh belia pun yang dilantik daripada 5 kekosongan untuk batch ini semalam sudah memadai dan mengubati hasrat dan aspirasi belia untuk melihat lebih ramai belia mengimbangi golongan senior di Dewan Negara.

Saya yakin Bersatu, Umno, PAS, GPS dan beberapa parti yang bergabung di bawah Perikatan Nasional (PN) tidak ketandusan tokoh-tokoh pemuda profesional dan berpengalaman. Saya kenal ramai dalam kalangan pemuda mereka yang berkaliber dan berpengalaman. Saya yakin tokoh muda yang lebih segar seperti Shahril Hamdan Naib Ketua Pemuda UMNO dan Ir.Khairil Nizam Ketua Pemuda PAS layak mengisi kuota tersebut atau paling kurang pada lantikan seterusnya. Armada masih dalam mode perang pemilihan dan terbelah dua, saya masih belum mampu menamakan sesiapa khuatir dikatakan memihak kem-kem tertentu. Memang kita ada Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang kemudian dilantik ke jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan namun ia masih tidak memadai untuk memberikan refleksi sebenar kepada komposisi populasi belia di Malaysia yang berjumlah sekitar 14.7 juta. Sementelah Kabinet PN jika diteliti hanya mempunyai 3 wakil belia iaitu YB Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Ekonomi dan YB Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan selain YB Senator Wan Fayhsal. Ini sudah tentu tidak memadai.

Di Dewan Rakyat kita hanya ada sekitar lebih kurang 28-29 ahli parlimen muda termasuk YB Vivian Wong, Ahli Parlimen Sandakan yang menang dalam pilihanraya kecil (PRK) tahun lepas. Saya difahamkan takrifan umur ahli parlimen muda adalah mereka yang di bawah umur 45 tahun menurut The World Bank. Mungkin ada ramai calon belia yang bertanding dalam pilihanraya umum (PRU) lepas tetapi tidak menang. Majlis Belia Malaysia (MBM) mahu lihat lebih ramai belia diberikan peluang dan ruang dalam PRU akan datang oleh parti-parti yang bertanding. Sekurang-kurangnya MBM ingin melihat 80 ahli parlimen muda dalam Parlimen sesi depan bersesuaian dengan 40% jumlah populasi belia di Malaysia. United Nations (UN) telah mengadaptasi kempen Not Too Young To Run (NTYTR) yang berasal daripada Afrika bagi menggalakkan penyertaan perwakilan belia dalam platform utama pembuatan dasar negara. MBM turut menggerakkan kempen NTYTR pada PRU yang lepas.

Di Dewan Negara pula sekarang melalui pemerhatian saya, kita hanya ada sekurang-kurangnya 6 ahli Dewan Negara di bawah umur 45 tahun. Kita ada Senator Alan Ling (37 tahun - DAP), Senator Adrian Lasimbang (42 Tahun - DAP), Senator Liew Chin Tong (43 Tahun - DAP), Senator Khairul Azwan Dato' Ir Haji Harun (44 tahun - UMNO), Senator Wan Ahmad Fayhsal (33 tahun - BERSATU) dan Senator Yusmadi Yusoff (45 Tahun - PKR). Artikel 47 (a) Perlembagaan Malaysia jelas mensyaratkan kelayakan ahli Dewan Negara mesti tidak kurang daripada 30 tahun. Terdapat juga usaha kelompok belia seperti gerakan #Undi18 dan #Senate18 yang memperjuangkan untuk merendahkan had umur senator kepada 18 tahun selaras dengan penurunan had umur mengundi dan bertanding kepada 18 tahun pada tahun lepas. Perkara ini masih terbuka untuk diperdebatkan memandangkan Dewan Negara dikonsepkan untuk tokoh-tokoh berpengalaman di bidang masing-masing sebagai semak dan imbang kepada Dewan Negara selaras dengan Artikel 45 (2) Perlembagaan Malaysia. Mungkin di kesempatan lain saya akan menulis tentang perkara ini.

Saya sendiri berpandangan keutamaan sekarang ialah memperbanyakkan senator-senator dalam kalangan umur 30-45 tahun bagi mewakili idea dan suara yang lebih segar kepada Dewan Negara selaras dengan agenda Kaukus Reformasi Dewan Negara yang diterajui Senator Yusmadi. Ia juga selaras dengan pindaan had umur belia Akta 668 (2019) yang mendefinisikan semula belia kepada 15-30 tahun sekaligus memberikan lonjakkan segera kepada kelompok umur 30-40 tahun untuk berada di arus perdana termasuk di Dewan Negara. Bak kata orang Penang, “hangpa suruh kami kosongkan di bawah tapi hangpa tak kosongkan di atas, jadi lagu mana kami nak naik mengisi di atas?”.

Kita juga tidak menafikan pada masa depan keperluan untuk senator dalam kalangan kelompok umur 20-30 tahun namun ia harus bersesuaian dengan konsep dan fungsi Dewan Negara. Saya yakin Kerajaan boleh mempertimbangkan lebih ramai senator di kelompok umur 30-45 tahun yang berpengalaman dan berkredibilti berdasarkan merit. Jika kita ada sekitar 70 jawatan senator, sekurang-kurangnya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sekali-sekala menghantar calon muda ke Dewan Negara. Mungkin kita perlukan sekurang-kurangnya 20 senator muda bagi mengimbangi senator-senator senior. Saya fikir angka ini atau mewakili 29% munasabah berbanding keseluruhan jawatan senator.

MBM sendiri secara konsisten dan spesifik semenjak dulu memperjuangkan sekurang-kurangnya seorang senator mewakili pergerakan belia bagi menjadi semak dan imbang kepada Menteri Belia dan Sukan dan polisi pembangunan belia di dewan. Dalam konteks semasa wajar kita tambah 2 sehingga 3 wakil belia. Kita hampir mempunyai senator khusus mewakili belia tahun lepas sebagaimana yang diumumkan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam sambutan Hari Belia Negara 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) namun ia masih belum terealisasi. Mantan Menteri Belia YB Syed Saddiq juga antara yang lantang memperjuangkan isu ini dan isu perwakilan belia dalam pembuatan keputusan dan polisi di semua peringkat termasuk GLC.

Kita tidak pernah menafikan keperluan senator-senator dalam kalangan 45 tahun ke atas bahkan kita memerlukan mereka kerana pengalaman, buah idea dan hikmah untuk membangunkan negara cuma kita perlu perimbangan kelompok umur. Untuk membina Negara kita perlukan gabungan, formulasi dan kombinasi mantap antara golongan tua dan muda tidak terkecuali Dewan Negara. Ia juga bersesuaian dengan konsep kerja belia profesional seperti yang termaktub dalam Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015-2035 di mana kombinasi tua dan muda penting untuk membangunkan belia dan Negara. Kedua-dua kelompok sama penting dan ada peranan masing-masing.

Stockemer dan Sundstrom (2018) dalam satu artikel kajian ilmiah bertajuk “Age representation in parliaments: Can institutions pave the way for the young” memberikan hujahan dan tujahan menarik tentang keperluan perwakilan belia dalam parlimen. Mereka berdua berpendapat kelompok belia wajar diwakili di dalam parlimen berdasarkan hujah normatif mahupun hujah daripada perspektif polisi. Apabila berhadapan dengan pembuatan dasar dan polisi setiap kelompok umur mempunyai pandangan dan keperluan berbeza terhadap sesuatu dasar dan polisi. Hujahan yang kedua iaitu kelompok tertentu di dalam masyarakat kurang berkemampuan untuk mewakili keperluan kelompok lain. Hanya kelompok belia benar-benar ‘expert’ memahami keperluan kelompok mereka sendiri namun kelompok belia dianggap ‘excluded majority’ yang kurang diwakili dalam proses legislatif.

Stockemer dan Sundstrom juga mendedahkan kelompok umur 35 tahun hanya diwakili purata 10% sahaja (2017) dalam arena legislatif di seluruh dunia sedangkan jumlah penduduk kelompok umur 18-35 tahun lebih tiga kali ganda besar daripada penduduk kelompok umur 60 tahun ke atas (Sumber : United Nations, Department of Economic and Social Affairs, Population Division 2015). Justeru topik dan agenda perwakilan belia ini memerlukan perhatian serius dan dalam konteks Malaysia ia memerlukan perhatian pihak Kerajaan dan desakan berterusan oleh pertubuhan masyarakat madani seperti MBM yang mewakili kepentingan kelompok belia.

Kelompok belia merupakan kelompok pengundi terbesar bahkan bakal menjadi ‘king maker pada PRU ke-15 maka wajarlah mereka diwakili oleh lebih ramai belia yang memahami aspirasi kelompok mereka sendiri. Berilah mereka peluang dan ruang jika tidak kita akan menjangkakan kemeruduman yang lebih teruk untuk skor Domain Sosialisasi Politik Indeks Belia Malaysia (IBM).

Wahai para senior (terutamanya yang dah banyak kali merasa) kasi chancelah!

Selasa, Mei 12, 2020

SURAT TERBUKA KEPADA KEPIMPINAN POLITIK NEGARA : MBM SERU REKONSILIASI NASIONAL



Kenyataan Media Majlis Belia Malaysia (MBM)
12 MEI 2020 / 19 RAMADHAN 1441 H


SURAT TERBUKA KEPADA KEPIMPINAN POLITIK NEGARA : MBM SERU REKONSILIASI NASIONAL

Majlis Belia Malaysia (MBM) ingin berkongsi kegusaran dan kebimbangan dengan senario politik yang berterusan tidak menentu dan bergolak tatkala belia dan rakyat sedang berhempas pulas berhadapan dengan perjuangan hidup khususnya mendepani cabaran wabak Covid-19 yang disifatkan oleh Antonio Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai paling mencabar semenjak penubuhan PBB.

Belia dan rakyat berdebar menanti liku-liku detik 18 Mei di mana Parlimen bakal bersidang buat kali pertama selepas penubuhan Kerajaan baharu dengan pelbagai tanda tanya tentang kestabilan Kerajaan dek ura-ura usul tidak percaya kepada Perdana Menteri. Kegoncangan politik sudah pun kelihatan di satu dua buah negeri dengan antaranya kekecohan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sehingga kelihatan menjengkelkan.

Sesetengah ahli politik dan pihak berkepentingan mungkin mempunyai alasan yang kuat untuk berbuat demikian namun bagi belia dan rakyat terbanyak berasa kebingungan bahkan tidak ada masa pun memikirkan alasan tersebut dek kerana berhempas pulas memikirkan periuk nasi mereka yang perlu dipanaskan setiap hari. Ahli politik berkata mereka prihatin dengan masalah rakyat namun terjemahan kepada tindakan amat menghampakan. Pertelingkahan dan perseteruan sesama ahli politik termasuk sesama blok nampaknya bukan lagi suam-suam kuku tetapi sudah hampir mencapai takat didih.

Pertelingkahan politik yang tajam ini jujurnya masih didominasi oleh tokoh-tokoh senior sehinggakan ahli politik generasi baharu juga mula turut rasa jelik dan jengkel sehingga ada yang tegas mencadangkan agar sebuah parti politik generasi baharu ditubuhkan bagi memberikan ‘signal’ yang jelas kepada pihak-pihak tersebut untuk segera berhenti bercakaran sebaliknya menumpukan kepada agenda menstabilkan negara dan merawat ekonomi negara yang meleset atau jika tidak maka generasi baharu terpaksa melakukan gerakan mengambil alih kepimpinan politik Negara.

Pertelingkahan yang tidak menguntungkan ini turut memberikan mesej teladan yang buruk kepada majoriti generasi muda sekaligus mengagalkan usaha mendekatkan mereka dengan partisipasi politik dan demokrasi yang sihat dan progresif. Ia juga turut serba sedikit mencacatkan usaha dan tumpuan pembinaan karakter dan potensi belia untuk masa depan Negara selaras dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) apabila ada ahli politik tidak mempamerkan contoh teladan yang baik dan ketinggian akal budi dengan carutan-carutan dan makian-makian secara terang-terangan yang sudah pun tular di media sosial.

Akibat pertelingkahan ini juga, turut merenjatkan fokus dan tumpuan utama untuk menangani isu pekerjaan dan pengangguran yang dijangka mencecah 2.4 juta dan paling penting kita semua tidak sempat pun menyusun strategi memikirkan masa depan negara apatah lagi berperanan lebih besar di pentas global apabila politik negara masih berlegar-legar dengan soal pertelingkahan sesama sendiri, soal remeh-temeh dan senario politik lapuk. Malaysia masih jauh untuk bangkit menjadi Harimau Asia semula.

Selaku majlis yang menaungi belia merentas kaum, agama, geografi, gender, fahaman politik dan aliran pemikiran yang sudah tentu ada dalam kalangan mereka yang sugul, sedih, marah, kecewa dan meluat dengan senario semasa politik Negara maka MBM berasa amat bertanggungjawab, penuh rasa insaf dan terpanggil untuk menggesa dan merayu kepada semua ahli politik sama ada di blok Kerajaan dan mahupun di blok pembangkang membuat gencatan senjata serta-merta dan segera menjalankan rekonsiliasi nasional buat sementara waktu bagi mengerah kudrat membantu belia, rakyat dan Negara berhadapan dengan situasi yang amat sukar ini.

Walaupun masing-masing mempunyai hujah dan alasan tersendiri, belia dan rakyat tidak langsung punyai masa buat masa ini untuk memahaminya kerana tumpuan mereka hanya kepada survival kehidupan dan ekonomi bahkan mereka menganggap ahli politik hanya mementingkan diri sendiri dan hanya memikirkan agenda politik peribadi mereka sahaja.

MBM menyeru agar ahli politik berjiwa besar dengan mengenepikan buat sementara waktu titik bengit, sakit hati dan rasa tidak puas hati tersebut demi belia dan rakyat yang sedang menderita bagi membentuk kerjasama dwi-partisan sekaligus menstabilkan semula negara dan ekonomi dalam tempoh setahun dua ini. Selepas ekonomi pulih sedikit masa nanti, wajarlah parti-parti politik all-out membuat persiapan rapi bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 yang tidak pun sampai dua tahun setengah lagi. Perlu diingat generasi muda akan menjadi king maker pada PRU ke-15 dan mereka sedang memerhatikan gelagat anda. Jika anda semua sudi menjayakan rekonsiliasi nasional ini di semua peringkat maka belia dan rakyat akan mengenang jiwa besar anda ini dalam lipatan sejarah Negara.

MBM juga menyeru agar pihak media turut sama memainkan peranan rekonsiliasi nasional ini dan bukannnya turut sama menyimbah minyak menyemarakkan api pertelingkahan.

Bagi MBM, kami akan terus berkerja keras bagi menumpukan kudrat membantu ekonomi belia. Kami bersuara ini adalah semata-mata ingin melihat Malaysia lebih aman, sejahtera, stabil, makmur dan menjadi kuasa besar dunia pada masa depan.

MBM menyeru semua belia dan rakyat sama-sama berganding bahu mendokong gesaan ini.

#Rekonsiliasi Nasional

JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)

WEBINAR IYC PASCA COVID (SOSIAL EKONOMI)



Nota Percakapan
YBrs. En. Jufitri B. Joha
Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM) merangkap
Ahli Lembaga Yayasan Pusat Belia Antarabangsa


1. Terima kasih kepada IYC yang menganjurkan sesi Webinar ini. Saya difahamkan ini merupakan Webinar yang julung kali dilaksanakan oleh IYC. Saya ucapkan tahniah dan syabas.

2. Dalam era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, beberapa program yang lazimnya dijalankan oleh IYC turut terkesan dan tidak dapat dilaksanakan secara bersemuka. Sebagai kelangsungan program, IYC turut mengambil inisiatif melaksanakan program atas talian yang menjadi trend masa kini. Oleh itu, pelaksanaan sesi webinar ini akan menyentuh mengenai isu–isu semasa yang melingkari situasi anak muda, masyarakat dan negara dalam situasi pandemik virus Covid-19.

3. Webinar IYC : Pasca Covid-19 ini akan dijalankan secara bersiri. Ianya bertujuan untuk membentangkan input – input, topik yang berkaitan serta mampu memberi maklumat dan manfaat kepada golongan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung ketika pelaksanaan PKP dalam konteks pembangunan belia negara.

4. Bagi sesi pertama ini yang membawa isu sosial dan ekonomi, ianya mengenengahkan 3 orang pembentang yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing iaitu Keusahawanan Sosial, Kemampanan Industri Pelancongan dan GIG Ekonomi.

Pengenalan Topik


5. Kesan daripada pandemik Covid-19 perlu dilihat dalam pelbagai sudut terutamanya dalam merangka pelan pembangunan belia secara menyeluruh. Ianya telah menguji kerajaan dan rakyat Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu mengurus krisis walaupun bukan sebagai sebuah negara maju.

6. Ianya telah membuka minda perihal kepentingan pembangunan secara lestari terutama dalam mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama pada tahun 2030.


7. IYC mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mendepani isu-isu berkaitan SDG khususnya kepada belia supaya lebih berdaya saing dalam cabaran sosial dan ekonomi yang lebih hebat dan terbuka

Topik Keusahawanan Sosial

1. Usahawan sosial merupakan satu inisiatif dalam melaksanakan dasar matlamat pembangunan lestari.

2. Belia perlu dilatih menjadi seorang usahawan dan bukan lagi sebagai seorang pekerja atau makan gaji. Secara tidak langsung, ianya dapat membantu mengurang isu pengangguran di kalangan para belia.

3. Usahawan sosial adalah individu yang mempunyai penyelesaian inovatif atau innovative solution kepada masalah sosial yang sedang dihadapi oleh masyarakatnya

4. Usahawan sosial mampu menjadi agen perubahan kepada komuniti yang berada di persekitarannya

5. Usahawan sosial akan mencari kaedah baru atau strategi terkini dalam merangsang kemajuan ekonomi


Kemampanan Industri Pelancongan


1. Industri pelancongan antara yang paling teruk terkesan dengan pandemik covid-19

2. Perancangan Tahun Melawat Malaysia 2020 terpaksa ditangguhkan, banyak hotel dan premis penginapan terpaksa ditutup

3. Pelancongan alternatif perlu dirancang segera khususnya berkait dengan pelancongan belia
4. Premis penginapan perlu mempunyai tarikan tersendiri di samping menyediakan beberapa pakej yang istimewa supaya sentiasa dikunjungi

5. Rantaian ekonomi berkaitan industri pelancongan perlu dihidupkan balik

Topik Gig Ekonomi


1. Gig Ekonomi bukan cara baru dalam kepelbagaian ekonomi yang melibatkan golongan pekerja atau bukan pekerja dengan melakukan aktiviti ekonomi secara separuh masa

2. Pendapatan perlu diwujudkan secara bebas dan bekerja sendiri seperti mahasiswa dan penganggur. Namun begitu, sejauh manakah gig ekonomi mampu menjadi bersifat tetap.

3. Pekerjaan yang diwujudkan dalam jangka masa tertentu, bersifat sementara dan bebas

4. Peluang yang ada banyak dijalankan secara atas talian seperti grab car yang mana pengasasnya memulakan industri grab car ini ekoran kesukaran beliau mendapatkan teksi, lalu tercetus idea grab car.

5. Banyak kegiatan gig ekonomi diwujudkan semasa pengurusan krisis seperti dalam tempoh PKP yang sedang dilaksanakan.

Penutup

1. Perhubungan yang mudah melalui kemahiran teknologi dan kreativiti para belia mampu meningkatkan sosio ekonomi
2. Pematuhan undang-undang perlu dipatuhi supaya rantaian ekonomi dapat berkembang dengan baik.

Jumaat, Mei 01, 2020

Cabaran dan Strategi Ekonomi Pasca Pandemik Covid



Oleh: JUFITRI JOHA
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)


9 April 2020 lepas Majlis Belia Malaysia (MBM) telah dijemput oleh Profesor Dr. Noor Azlan Ghazali, Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara untuk menghadiri Mesyuarat Penyediaan Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19, Kumpulan Kerja Inklusiviti dan Kebajikan Sosial.

Isu utama yang dibincangkan adalah strategi untuk berhadapan dengan kemelesetan ekonomi dan pengangguran yang dijangka lebih teruk daripada Krisis Kewangan Asia 1997 dan Krisis Ekonomi Global 2008. Seluruh penduduk dunia merasakan kesusahan sewaktu wabak Covid-19 dan jangkaan bertambah perit seusai wabak Covid-19 untuk tempoh beberapa bulan mendatang.
Bank Negara Malaysia mengunjurkan pangangguran di Malaysia tahun 2020 mencecah 4.0%. Wabak Covid-19 sudah tentu memburukkan lagi keadaan ini apabila pengangguran semakin bertambah. Menurut sumber Malaysian Institute Of Economic Research (MIER), angka pengangguran mencecah 2.4 juta jiwa di Malaysia. Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) sebagai penyumbang utama pasaran buruh Negara turut terkesan dengan keadaan yang mencabar ini.

Terlalu banyak PKS terpaksa bergantung kepada Geran khas PRIHATIN yang diumukan oleh Kerajaan baru-baru ini. Kerajaan menyediakan RM3,000 kepada setiap PKS mikro. Jumlah keseluruhan geran mencecah RM 2.1 bilion dengan memberikan kelegaan kepada 700,000 PKS yang berdaftar dengan LHDN. Jika tidak mereka terpaksa gulung tikar lalu ramai akan hilang pekerjaan. Keadaan ini juga mendedahkan fakta bahawa rata-rata pekerja di sektor PKS tidak mempunyai perlindungan sosial seperti KWSP kerana majikan tidak mencarum walaupun wajib. Sesuatu perlu dilakukan untuk melindungi mereka di masa hadapan.

Belia yang banyak terkesan juga adalah yang berniaga sendiri, penjaja kecil, pendapatan berdasarkan ‘job’, berpendapatan harian dan anak-anak seni. Ini adalah dapatan berdasarkan aduan yang diterima oleh Pusat Aduan MBM. MBM turut menerima aduan daripada jurulatih Taekwando yang terjejas pendapatan akibat kelas-kelas latihan yang terpaksa ditangguhkan. Pokoknya terdapat ramai kelompok belia yang terkesan dan terjejas akibat Covid-19. Segala aduan dan rintihan golongan ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah pun MBM bawa ke peringkat tertinggi kepimpinan Negara khususnya melalui Menteri Belia dan Sukan. Sebahagiannya telah ditangani sebaiknya oleh pihak Kerajaan.

Wabak Covid-19 juga menyaksikan banyak juga industri terkesan teruk seperti industri penerbangan, pelancongan, pembinaan dan automatif yang sudah tentu sedikit sebanyak menyumbang kepada pembuangan pekerjaan. Namun begitu terdapat juga industri yang menjana manfaat jangka pendek daripada keadaan sukar ini seperti industri E-dagang, makanan, pertanian dan perkhidmatan kesihatan.

Ini bermakna di sebalik kesusahan pastinya ada peluang-peluang baru yang timbul. Keadaan kebiasaan baharu (new normal) yang dipaksakan ini pasti menelurkan peluang peluang baharu dan tindakan-tindakan yang sebelum ini sukar untuk dijayakan secara serius seperti bisnes dalam talian, bekerja dari rumah, agenda kedaulatan makanan dan urusan transaksi dalam talian.

Namun apa yang penting adalah strategi praktikal bagi berhadapan bulan-bulan mendatang yang sukar. MBM harus sama-sama memerah otak dan menggembling tenaga bagi membela nasib belia menangani isu pekerjaan dan pengangguran. Tambah mencabar apabila diunjurkan oleh laporan Khazanah Research Institute (KRI) bahawa seramai 286 800 pelajar akan bergraduasi pada tahun ini. Sebahagian besarnya akan memasuki pasaran buruh dan hanya sekitar 15 % akan meneruskan pengajian. Graduan baharu terpaksa terus bersaing sengit dengan penganggur-penganggur sedia ada dan penganggur-penganggur semasa dan pasca Covid-19. Ini tugasan yang bukan mudah kerana jika ianya tidak ditangani sebaiknya maka ia akan menjadi bom jangka yang akan meletup bila-bila masa.

Untuk jangka masa segera ini, MBM telah mencadangkan kepada pihak Kerajaan dan para belia akan fokus menceburi beberapa sektor penting bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan. Inilah masanya untuk fokus kepada pertanian pintar bagi menjayakan agenda kedaulatan makanan. Dana Jamin Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Ransangan Ekonomi adalah menifestasi kepada kerisauan yang wajib ditangani. Para belia harus nekad menceburi bidang ini namun dengan menggunakan teknologi terkini dalam bidang pertanian selaras dengan revolusi industri keempat.

Selain itu fokus harus diberikan kepada ekonomi lejang (gig economy), keusahawan sosial (start-up), free agent, keusahawanan PKS, ekonomi digital dan perkhidmatan penjagaan dan khidmat kebajikan kepada golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit.

Di peringkat MBM melalui jawatankuasa pertaniannya, agenda kedaulatan makanan akan digerakkan bersungguh-sungguh bagi memastikan para belia memilih bidang pertanian sebagai bidang utama pekerjaan. Kerajaan wajib mempermudahkan proses kelulusan geran di bawah unit agropreneur muda yang pada hari ini dilihat sukar oleh usahawan muda. Skim mikro kredit kepada usahawan tani bermula RM5000.00 hingga RM10,000.00 untuk belia memulakan projek pertanian di kawasan rumah dan kawasan bersesuaian. Kerajaan juga perlu mengenalpasti sumber makanan utama untuk diusahakan oleh golongan usahawan belia tani khususnya apabila sekiranya 9 pintu sempadan Malaysia-Thailand yang ditutup menjejas sumber bekalan makanan negara seperti kes yang berlaku ketika PKP ini. Rakyat Malaysia juga digalakkan menanam sayur-sayuran di keliling rumah atau urban farming dalam konteks kependudukan padat di kotaraya.

MBM juga melalui JK Keusahawan akan menggalakkan usaha ekonomi digital dan baru-baru ini MBM telah memulakan Bengkel Pemasaran Digital iaitu belajar secara dalam talian dari rumah. Agenda ekonomi digital juga akan terus diperluaskan kepada usahawan belia PKS memandangkan masih banyak PKS Malaysia yang belum betul-betul menerokai bidang platform ini.

Untuk jangka masa panjang MBM telah menggerakkan agenda #MalaysiaKerja khususnya Graduan@Kerja. MBM telah membantu Kerajaan khususnya KWSP untuk mendapatkan dapatan-dapatan daripada belia akar umbi bagi menjayakan agenda #MalaysiaKerja yang menangani graduan yang menganggur lebih setahun. Selain itu Program Kemahiran Insaniah (PROKEN) digerakkan MBM bersama HSBC Malaysia bagi memperlengkapkan belia dengan kemahiran insaniah bagi memasuki alam pekerjaan. Pelatih juga akan diusahakan untuk mendapatkan peluang pekerjaan sejurus tamat latihan dengan bantuan beberapa pemain industri.

MBM juga menceburi dan meneroka dunia sukan elektronik atau ESport yang secara zahirnya bukannya hanya mampu memberikan pendapatan kepada pemain dan pengomentar (streamer) tetapi peluang-peluang industri hiliran yang mendokong ESport. Peluang ini harus cekap diterokai dan direbut oleh generasi muda. MBM telah pun bersama-sama menubuhkan ESport Medica bagi mempromosikan penjagaan kesihatan dan kerjaya dalam bidang ini.

Perjalanan masih jauh dan beranjau, MBM akan berganding bahu dan sendi dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia untuk terus mencari formula-formula baharu bagi membantu para belia boleh terus survive dengan pekerjaan yang berkualiti dengan gaji bermaruah, peluang perniagaan dan pendapatan yang pelbagai dan kemahiran-kemahiran yang berguna. Dalam era revolusi industri keempat pastinya lebih banyak peluang-peluang pekerjaan baharu yang bakal timbul. Kita tunggu, lihat dan eksplorasi.

Rabu, April 29, 2020

Catatan Dr. Maza



Semalam ada anak didik saya melakukan 'tag' di Facebook nama saya di artikel terbaru tulisan SS. Dr. Maza, Mufti Perlis bertajuk 𝐊𝐄𝐌𝐀𝐓𝐈𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐈𝐍𝐆𝐀𝐓𝐊𝐀𝐍 𝐊𝐈𝐓𝐀 𝐏𝐀𝐃𝐀 𝐏𝐄𝐑𝐉𝐀𝐋𝐀𝐍𝐀𝐍 𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏 di mana ada diabadikan nama saya selaku salah seorang aktivis yang membantu perjuangan ilmu beliau di 'The Garden of Virtue and Knowledge' UIAM Gombak. Ya, walaupun tidak 'subscribe' sepenuhnya idea pemikiran beliau tetapi saya tidak menafikan saya amat terkesan dengan keilmuan, fikiran kritis, kepimpinan dan ketajaman beliau. Beliau pernah mendidik kami cara menyampaikan ilmu agama dengan mendedahkan kami sebagai panelis forum di salah sebuah masjid di Pulau Pinang. Beliau juga mendedahkan saya kepada dunia penulisan dengan membuka ruang menulis di Majalah Tamadun di mana beliau turut menjadi kolumnis di situ.

Saya juga terkesan dengan beberapa pemikiran beliau sebagai contoh beliau mengajar saya agar cintakan ilmu, bersikap kritis terhadap sumber-sumber agama, bercakap berlandaskan fakta dan sumber yang sahih dan tidak taksub terhadap tokoh atau jamaah. Banyak yang saya terhutang budi kepada beliau dan saya ucap terima kasih atas pengiktirafan beliau terhadap saya.

Sedutan daripada tulisan beliau:

𝗔𝗸𝘁𝗶𝘃𝗶𝘀 𝗣𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿
Kami membuat banyak program pengajian. Banyak siri ceramah saya dibuat atas usaha dan bantuan pelajar. Ratusan pelajar menghadiri kuliah saya. Ia rentas aliran politik dan kumpulan. Satu arus baru ketika itu. Isu-isu hadis menjadi tajuk saya. Ramai pelajar aktif membantu saya. Kami begitu rapat. Semasa Ramadan begitu meriah berbuka bersama. Antara aktivis program ketika itu Dr. Irwan Ariffin, Ustaz Abdul Razak Mutalib, Mohd Khairil Anwar (IJN), Saudara Amin Idris, Ustaz Malik Isa, Ustaz Yusof Arbain, Saudara Jufitri Joha, Ustaz Husnin bin Ahmad, Saudara Ruzaini dan ramai lagi. Ramai yang menjadi tokoh-tokoh penting di tempat mereka. Sehingga hari ini ramai juga sahabat-sahabat itu masih berhubungan baik dengan saya. Ramai mereka terus membantu saya sehingga kini alhamdulillah. Antara siswi yang aktif membantu aktiviti kami ialah Ustazah Rabiatul Adawiyah Hj. Ahmad, Saudari Haslina, Ustazah Sakinah dan ramai lagi.


Artikel penuh beliau boleh dibaca di pautan: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10158438870167990&id=279290772989

Jumaat, April 24, 2020

WARKAH TERBUKA BUAT PEMIMPIN PERGERAKAN BELIA NEGARA



WARKAH TERBUKA BUAT PEMIMPIN PERGERAKAN BELIA

Oleh:
JUFITRI JOHA
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)


22 April 2020 bertepatan 28 Syaaban 1431 H mencatat sejarah tersendiri dalam sejarah pergerakan belia Negara apabila Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Reezal Merican menyerahkan bantuan pentadbiran sejumlah 2 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) dan 19 badan induk belia kebangsaan yang bernaung di bawah MBM untuk mendayaupayakan fungsi dan peranan sebagai penggerak pembangunan belia. Ini merupakan kali pertama seumpamanya semenjak Oktober 2018 ketika kepimpinan MBM sesi 2018-2020 mengambil alih kepimpinan MBM. Latarbelakang Dato’ Sri Reezal atau mesra dengan jolokan nama "abang Jai" sebagai mantan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS / Sesi 2006 - 2009) dan kemahiran mengurus pemegang taruh utama menjadikan proses ini mudah dan lancar.

1 juta akan diagihkan segera kepada 19 badan induk utama belia kebangsaan pelbagai kaum dan agama seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (GEPIMA), Junior Chamber International (JCI) Malaysia, Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) dan Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO). Pastinya bantuan pentadbiran serba sedikit melegakan mereka kerana ada yang sebelum ini terpaksa menutup pejabat, menggunakan duit poket sendiri membayar sewa pejabat, memecahkan tabung ayam, memberhentikan staf, berhutang keliling pinggang dan juga dikejar surat peguam untuk tuntutan hutang. Pusingan kedua bantuan pentadbiran akan diusahakan kepada Majlis Belia Negeri (MBN), Majlis Belia Daerah (MBD) dan Badan Uniform.

Bantuan pentadbiran ini jika diuruskan dengan baik, penuh integriti dan cekap, maka ia boleh membantu pergerakan belia untuk mengumpul aset, membuat tabungan, membuat sedikit pelaburan dan dijadikan modal untuk menjana pendapatan sendiri. Selepas 2 tahun yang sukar, maka agenda kemandirian pergerakan belia wajar menjadi keutamaan. Mengambil mithal Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) yang sudah pun memiliki bangunan dan aset tersendiri, sedikit sebanyak membantu kemandirian apatah lagi ketika berlaku keputusan bantuan pentadbiran. Idealisme dan material penting untuk sama-sama dibangun dan dibugarkan.

Bagi MBM yang patut sudah lama mandiri (nanti kita cerita waktu lain topik ini), bantuan pentadbiran ini wajar digunakan secara berhemah dan diuruskan secara bijak. Selain bagi menampung kos pentadbiran dan menjana pendapatan, bantuan ini sangat membantu untuk MBM menjalankan fungsi secara berkesan sebagai badan induk pergerakan belia dan suara rasmi belia Malaysia. Tugasan MBM amat mencabar untuk mewakili 14.7 juta jiwa muda yang rencam dan berkelompok dengan membawa suara dan aspirasi kepada pihak pembuat keputusan dan polisi. MBM juga harus memenangi hati mereka dan menjadikan merasa MBM adalah organisasi yang sentiasa membela nasib mereka dan bukannya syok sendiri, berebut jawatan dan memikirkan keuntungan diri sendiri. Kritikan terhadap MBM sebelum ini tidak harus dipandang enteng bahkan pimpinan MBM wajib bermuhasabah sementelah bantuan pentadbiran ini adalah amanah wang rakyat dan pembayar cukai supaya MBM benar-benar menjadi jurubicara belia dan rakyat kebanyakan. Secara jujur, sepanjang tempoh sesi ini, MBM belum benar-benar mampu memainkan fungsi secara efisyen dan smart disebabkan tumpuan terpaksa diberikan kepada soal survival bulanan dan pergeseran yang sengit dengan kepimpinan politik lama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang banyak membuang masa.

Dengan dana yang mencukupi, MBM boleh fokus kepada soal yang lebih besar seperti Pembudayaan Ilmu; Pengkaderan pemimpin muda bertaraf global; Penyerlahan potensi belia di bidang keusahawanan, kemahiran, pendidikan dan kesukarelawanan; Pengantarabangsaan belia; Penggubalan dan rekomendasi polisi-polisi Negara yang berkaitan dengan kepentingan belia; Advokasi dan melobi isu-isu belia di Parlimen; Menggerakkan MBM Holdings bagi menjana dana kemandirian; Membantu membentuk negara bangsa melalui perpaduan kaum dan integrasi nasional; dan Mewujudkan pasukan ‘think do tank’ belia yang mampu menghasilkan idea-idea besar untuk belia dan Negara.

Bantuan pentadbiran ini benar-benar mengdayaupayakan pergerakan belia negara selaras dengan hasrat dan citra YB Menteri Belia untuk ‘empower’ MBM sebagai induk belia kebangsaan dan terus berperanan sebagaimana yang disifatkan oleh YB Menteri sebagai ‘confidence builder’ dalam lubuk masyarakat. Dalam konteks ini, apa yang difahami ialah pertubuhan masyarakat madani (CSO) belia seperti MBM dan badan gabungannya mampu menjadi jenama dipercayai masyarakat sekaligus menjadi jambatan kukuh antara Kerajaan dengan belia serta rakyat. Mengambil contoh bagaimana aktifnya Relawan MBM (RM) dan badan gabungan MBM membantu belia dan rakyat yang terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bantuan RM 100 000 yang diumumkan oleh YB Menteri Belia telah disalurkan secara langsung kepada penerima yang layak.

Sewaktu awal tempoh PKP, Relawan MBM (RM) bersama Majlis Belia Sabah, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) antara yang terkehadapan membantu para mahasiwa yang keputusan bekalan makanan. Inilah apa yang disifatkan oleh Alvin & Heidi Tofler dalam Revolutionary Wealth bahawa CSO mempunyai kelajuan (speed) yang tersendiri. Kombinasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di pihak Kerajaan dengar sumber dananya dan MBM di pihak CSO dengan kekuatan kelajuannya adalah model yang terbaik mendepani dan menangani isu belia dan rakyat. Tindakan YB Menteri Belia meletakkan MBM di perbatasan hadapan dengan sokongan dana yang kuat adalah tepat dalam menjayakan bantaun Covid-19 semasa PKP. Tindakan ini wajar diteruskan pada masa-masa mendatang. Sebagai CSO belia, MBM akan kekal secara kolektif non-partisan tetapi tiada masalah untuk mendokong Kerajaan semasa atau ‘government of the day’ selama mana agenda utamanya adalah untuk kepentingan belia dan rakyat. MBM yakin dengan peranan ini dan tidaklah berhasrat menjadi seperti Nashi Youth Movement di Rusia. MBM yakin jika Kerajaan baik, bagus dan kurang politiking maka belia dan rakyat akan dokong. MBM akan terus menjadi 'check and balance' dan menawarkan constructive criticism kepada pihak Kerajaan without fear or favour. Budaya bodek dan jilat adalah budaya lama yang wajib ditinggalkan jika ingin melihatkan belia, rakyat, Kerajaan dan Negara terus maju ke hadapan.

Dengan kekuatan akar umbi dan menyeluruh merangkum 40 badan gabungan, 104 majlis belia daerah (termasuk yang terbaru Majlis Belia Daerah Kuala Nerus), 6 gabungan belia kawasan besar di Sabah, 74 cawangan pertubuhan Saberkas di Sarawak dan 8924 pertubuhan belia yang berdaftar dan aktif jika digembeling dengan sebaiknya maka pergerakan belia mampu memainkan peranan yang berkesan. Gerakan Belia 4b Malaysia sahaja dengan kekuatan 1908 cawangan yang aktif di 145 kawasan parlimen mampu menjadi ‘foot soldier’ yang berkesan di akar umbi.

Bantuan pentadbiran memberikan semangat baru kepada pergerakan belia untuk fokus membantu belia dan rakyat berhadapan dengan cabaran semasa PKP dan cabaran pasca Covid-19 yang dijangka lebih mencabar khususnya yang terkait dengan ekonomi dan pengangguran. Pengakap Kelana dan Majlis Belia India Malaysia (MIYC) antara yang terus bersemangat terkehadapan membantu rakyat pelbagai kaum yang terkesan dengan PKP. ABIM tak payah ceritalah sebab mereka telah lama terkehadapan dalam bab-bab sebegini bahkan telah menginstitusikan bantuan kemanusiaan dan bencana menjadi Global Peace Mission (GPM) Malaysia. Jelas, peranan pemimpin belia adalah crucial sebagai penyelesai masalah. Ini juga bertepatan dengan kajian yang dilakukan oleh Siti Raba’ah Hamzah (2005) bahawa terdapat 6 peranan utama pemimpin belia sebagai agen perubahan iaitu sebagai:

1) pengurus; 2) pembantu proses; 3) perunding; 4) penggerak; 5) penyelesai masalah; dan 6) penghubung sumber.

Pemimpin belia juga boleh menjadi pembantu proses kepada tawaran Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan sempena PKP bagi memudahkan belia dan rakyat memohon. Pakej tersebut bakal dan sedang memanfaatkan 3.8 juta belia namun persoalannya mungkin ada yang tidak menyedarinya dan tidak tahu bagaimana memohonnya. Di situ datangnya peranan pemimpin belia. Ketika bertemu dan bersembang Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Bentong, saya dapati selepas Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) membuat penaziran dan pengauditan kepada MBD Bentong, barulah beliau menyedari bahawa peranan utama pemimpin MBD ialah bukanlah menunggu dana-dana besar dan menganjurkan program keramaian yang tidak mempunyai impak tinggi tetapi yang lebih penting pemimpin MBD perlu menjadi pemudahcara belia. Dalam contoh spesifik, bagaimana pemimpin MBD boleh menjadi pemudahcara kepada para belia untuk memasarkan produk mereka melalui Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE).

Pemimpin belia juga harus berperanan aktif menjadi penghubung sumber tentang bagaimana membantu usahawan belia PKS memanfaatkan Pakej Rangsangan Ekonomi (Tambahan PKS). Secara ringkas pemimpin belia harus memerah otak untuk menangani isu pekerjaan dan pengangguran. Sudah sampai masanya juga pemimpin belia melakukan inovasi sosial untuk mengembangkan pergerakan belia sebagai sumber peluang pekerjaan sekaligus mencipta peluang pekerjaan. Ini sudah terbukti apabila ada antara pemenang utama Anugerah Belia Negara Kategori Pertubuhan Belia yang menang saban tahun telah pun berperanan dengan jayanya menjadi sumber peluang pekerjaan di mana mereka menyelesaikan masalah sosial sekaligus menjana pendapatan dan pekerjaan untuk ahli mereka. Ini adalah semangat keusahawanan sosial. Model-model kejayaan seperti ini wajar diangkat sebagai hero tidak didendang dan di replicate. Selain itu dunia pembangunan belia juga harus bergerak serius ke arah profesionalisme kerja belia dengan mewujudkan sektor baharu iaitu pekerja belia sebagai satu bidang profesyen membangun belia secara sepenuh masa dan profesional. MBM sudah mula mengorak langkah ke arah ini dengan menubuhkan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) pada 2017 dan membantu KBS menyiapkan National Occupational Skills Standard (NOSS) untuk kerja belia. MBM ingin melihatkan seluruh staf MBM, MBN dan MBD menjadi pekerja belia profesional dengan gaji standard, ada persijilan, ada peningkatan kemahiran profesional dan peluang kerjaya yang cerah. Bagi pemimpin belia yang tidak ke arena politik boleh terus menyumbang dalam pembangunan belia (walaupun sudah habis umur belia) secara profesional sama ada separuh masa atau sepenuh masa.

Model lain seperti Persatuan Belia Buddhist Malaysia (YBAM) sebagai contoh dalam kalangan belia Buddhist wajar diuar-uarkan di media. Persatuan belia ini sebagai contoh telah mempunyai bangunan pejabat sendiri yang hiasan dalamannya bercirikan hipster di samping mempunyai konti radio sendiri dan pusat kaunseling yang aktif. Model-model yang baik seperti ini memberikan justifikasi kuat agar Kerajaan khususnya KBS terus membantu pendayaupayaan pergerakan belia.

Seperkara lagi yang penting, dengan bantuan pentadbiran ini diharap akan merangsang lebih banyak kelompok belia berbasiskan minat (interest) dan belia indie di luar sana untuk terlibat secara aktif dalam pergerakan belia Negara sama ada menyertai mana-mana pertubuhan belia yang sedia ada atau menubuhkan persatuan belia sendiri. MBM yakin ini merupakan bentuk baru partisipasi politik anak muda di mana tidak semestinya mereka aktif dalam politik kepartian tetapi mereka juga boleh menyumbang kepada sfera demokrasi dengan menggerakkan CSO seperti persatuan belia. MBM juga berharap badan gabungan MBM khususnya Majlis Belia Negeri (MBN) dan Majlis Belia Daerah (MBD) boleh merangsang belia dengan menaja lebih banyak penubuhan persatuan belia sekaligus mengajak mereka bergabung. Dengan ini, MBM mampu mengkoordinasi lebih banyak kelompok belia sekaligus mengekalkan relevensi MBM. Dengan menggalakkan belia berpersatuan sebagai medium pembangunan belia positif atau positive youth development (PYD) akan menggilap lebih ramai bakat anak muda dalam masa yang sama menghindari mereka daripada gejala sosial dan menjimatkan wang negara.

Di peringkat kebangsaan, MBM sedang membidani kelahiran Majlis Belia OKU dan Majlis Belia Tahfiz di samping mendayaupayakan semula pertubuhan belia minoriti seperti Persatuan Belia Sikh dan Majlis Belia Orang Asli (MBOA). MBM juga mengalu-alukan mana-mana kelompok belia untuk bergabung kekuatan dengan MBM. Pertubuhan belia era baharu yang berjaya menarik segmen baru anak muda seperti Youth Power Club (YPC) dan Angkatan Belia MFLS (ABM) amat dialu-alukan. MBM adalah payung untuk semua belia dan wajar berwatak inklusif. MBM adalah ‘melting pot’ untuk semua belia tanpa mengira kaum, agama, gender, kedudukan geografi, fahaman politik dan aliran pemikiran.

Dengan peranan yang berkesan yang telah, sedang dan bakal dimainkan maka MBM dan seluruh pergerakan belia akan dipandang benar-benar berwibawa dan masyarakat tidak akan sekali-kali mempertikaikan jumlah bantuan pentadbiran yang diterima bahkan ia merupakan pelaburan Kerajaan yang sangat berbaloi.

Dana ini datang dengan tanggungjawab besar bukan untuk "bergumbira" semata-mata!.

Ayuh pemimpin belia, masa untuk khidmat Negara!



Nilai - 4.08 pm 1 Ramadahn 1441 H

Selasa, April 21, 2020

Malcolm X di Alam Melayu



Ketika merayau meninjau carian nama Jufitri, saya terjumpa artikel yang amat baik oleh guru saya Profesor Khairudin Aljunied tentang Malcolm X. Beliau membuat analisas tentang pengaruh perjuangan Malcolm X di alam Melayu. Profesor Khairudin ada memetik artikel saya berkaitan ulasan program resensi buku 'Malcolm X Talks to Young People' di mana ianya merupakan himpunan ucapan-ucapan bertenaga Malcolm X kepada anak muda di Amerika, Britain dan Afrika. Artikel saya boleh diakses di https://belia.org.my/wp/2016/04/19/kupasan-buku-malcolm-x-talks-to-young-people/.

Saya mula mengenali Malcolm X melalui ABIM. ABIM pernah memperkenalkan pejuang hak-hak sivil Amerika ini suatu ketika dahulu. Artikel Profesor Khairudin boleh diakses di : https://yaqeeninstitute.org/khairudin-aljunied/the-mythicization-and-mobilization-of-malcolm-x-in-the-malay-world/

Kenangan di SMAP Kajang



Beberapa hari lepas ada seorang senior saya di sekolah mengirimkan gambar di atas. Ketika beliau membelek album lamanya lalu beliau terperasan gambar ini lalu menghantarnya ke whatsapp saya. Saya teruja dengan gambar ini kerana ianya diambil di sekolah menengah saya, seingat saya sama ada tingkatan 1 atau tingkatan 2 sekitar tahun 1991 atau 1992. Lalu saya kongsikan petikan tulisan pengalaman saya di sekolah menengah yang dimuatkan dalam buku Tokoh Belia Negara yang saya tulis sendiri.

INKUBATOR 2: SEKOLAH MENENGAH AGAMA PERSEKUTUAN KAJANG (SMAP KAJANG)

Selepas cemerlang di Sekolah Kebangsaan Khir Johari Perai dengan keputusan 4 A UPSR pada tahun 1990, saya menerima perhargaan daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Menteri Pendidikan Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada ketika itu. Hadiah disampaikan oleh Tan Sri Khalil Yaakob (sekarang Yang Dipertua Negeri Melaka) yang ketika turut berada dalam Kabinet Malaysia atas jemputan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saya masih ingat hadiah RM 50 yang diterima merupakan jumlah yang ketika itu bagi saya terlalu besar dan amat berharga.

Saya diterima masuk ke sekolah idaman Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang yang baru sahaja dibuka. Ketika itu, Pengetuanya adalah Ustaz Saim Ithnin. Saya menjadi batch peneroka yang kedua menghuni sekolah yang tandus dan gersang kerana ketiadaan pokok-pokok. Kolej Islam Kelang (KIK) dan SMAP Labu merupakan adik beradik SMAP Kajang dan sering menjadi rival dalam menjadi sekolah terbaik Malaysia bagi kategori sekolah agama berasrama penuh. SMAPK ketika itu menjadi sekolah yang menjadi dambaan ibubapa yang mahu lihat anak mereka masuk dan berjaya di situ. Saya antara yang terpilih dan dipilih Allah di mana sekali saya membanggakan ayahbonda atas kejayaan ini. Saat ini saya mengharap adik-adik SMAP Kajang terus menjaga reputasi dan imej cemerlang SMAP Kajang untuk terus mendominasi sebagai antara sekolah terbaik Negara melahirkan cerdik pandai dan pimpinan Negara.

Walaupun tadika dan Sekolah Khir Johari telah banyak mencetak perjalanan kejayaan awal saya namun SMAPK merupakan inkubator kedua terpenting yang merintis kejayaan hingga ke puncak. SMAPK juga melahirkan ramai tokoh – tokoh hebat yang bermanfaat dalam masyarakat seperti Ustaz Nazri Chik (Pengurus Besar di Bank Islam), Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman (Ustaz Selebriti), Muhammad Hisyamuddin (YDP ABIM Pahang), Dr. Muhamad Razak Idris (Mantan Presiden ABIM), Syuhaida Abdul Wahab Zen (Timbalan Setiausaha Bahagian Kementerian Dalam Negeri), Norisman Sulaiman (Ketua Operasi Global Nimez Petroleum Group), Ustaz Syed Abdul Kader (Exco Pemuda PAS), Suffian Amrin (DJ IKIM) dan Dr. Mohd Izwan Md Yusof (Penolong Pengarah Unit ‘Ilaj wa Shifa’ Juvana, Pengguna Dadah dan Alkohol JAKIM).

5 tahun merupakan masa yang terlalu singkat, saya bukan sahaja mendapat pelajaran tetapi pendidikan daripada guru-guru terbaik dan komited. Ustaz Ismail Che Ku, Ustazah Shamsiah dan Ustaz Bakru Rozi antara yang mempunyai saham yang besar terhadap saya. Di sekolah kami diajar dengan menjaga solat, mathurat, qiyamullail, menjadi imam dan khatib serta dalam masa yang sama untuk cemerlang dalam bidang akademik. Banyak hafalan al-Quran saya tersemat kukuh sehingga kini adalah usaha berterusan semenjak zaman persekolahan yang kerap ditekankan dan digalakkan oleh Ustaz Ismail Che Ku.

Bagi saya, komitmen guru-guru yang kasih dan komited kepada anak muridnya merupakan ramuan kejayaan kepada para pelajar. Seingat saya ketika berada 5 Neptune (aliran agama), guru-guru menjadi ibubapa kami di kala berjauhan dengan keluarga dan mereka amat penyayang dan prihatin terhadap pelajaran kami. Antara kata-kata yang terkesan di jiwa saya apabila Ustazah Mumtamah, guru subjek al-Quran dan as-Sunnah kami mengingatkan agar tidak belajar kerana untuk mendapatkan kerjaya sebaliknya mendidik kami belajar kerana untuk mendapat redho Allah dan keluar daripada belenggu kejahilan. Akibat belajar kerana keduniaan maka neraka akibatnya. Kata-kata hikmah yang keluar daripada seorang guru yang ikhlas mengajar menjadi obor pembakar semangat kepada para pelajar seperti saya. Semoga Allah merahmati guru-guru kami.

4 dan 5 Neptune menjadi kelas lagenda apabila kami dianggap sebagai kelas terbaik yang mempunyai kejelikitan yang padu antara guru-guru dan pelajarnya. Walaupun cita-cita menjadi pengawas tidak kesampaian namun bakat kepimpinan diasuh apabila saya terpilih menjadi pustakawan dan projek imam-bilal di Surau Al-Ehsan SMAPK. Namun begitu, saya merupakan ima pelatih lapisan kedua yang tidak berpeluang menyampaikan khutbah ketika solat Jumaat di sekolah. Saya sering naik sebagai imam solat dan mengasah bakat berpidato dengan menyampaikan tazkirah berkaitan dunia Islam. Di situ keyakinan meningkat dan perasan malu sebagai introvert dikikis. Namun sedikit latihan tersebut ketika menjadi imam pelatih, membantu membina keyakinan diri untuk menjadi iman dan berkhutbah selepas tamat alam persekolahan. Saya memang pemalu khususnya kepada budak perempuan tapi saya suka kacau budak perempuan balik sekolah kerana asrama saya di blok D memang bertentangan dengan susur gajah pelajar perempuan untuk balik ke asrama dari sekolah. Apabila kembali semula ke sekolah untuk berforum sempena Sambutan Jubli Perak sekolah baru baru ini (September 2015), Ustaz Bakru Rozi terkejut dengan kepetahan saya berbicara kerana saya dikenali dulunya sebagai seorang yang amat pemalu dan skema. Syukur pengalaman telah merubah penampilan saya. Membaca buku-buku self-help juga boleh membantu membina keyakinan diri.

Dua perkara saya terkilan tidak mendapat peluang sewaktu di sekolah ialah menyertai Kelas Khas Kemahiran al-Quran (KKKQ) atau yang kami gelarkan sebagai kelas KeKaQ di mana ilmu tajwid, qiraat dan taranum diajar secara advance oleh para ustaz dan ustazah yang berkemahiran. Saya cemburu melihat rakan-rakan lain terpilih namun saya gagal dalam ujian saringan dan pemilihan masuk ke kelas KeKaQ. Saya juga terkilan kerana batch kami tidak terpilih untuk belajar bahasa Perancis. Kelas Perancis menjadi subjek wajib kepada junior batch setahun di bawah saya. Saya terasa rugi kerana tidak berpeluang mempelajarinya kerana ia merupakan salah satu bahasa daripada 6 bahasa yang digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain Mandarin, Arab, Inggeris, Sepanyol dan Rusia.

Walaupun menjadi Mat Masjid yang sering mendidik adik-adik junior tapi saya turut membuktikan hebat dalam pelajaran dan mewakili sekolah sebagai killer pertama sekolah dalam sepaktakraw. Walaupun fizikal yang rendah dan tubuh yang kecil namun lipatan saya mampu menggerunkan musuh dengan lipatan pacak. Rakan-rakan seperti Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman (Panelis Tanyalah Ustaz di Tv9) sering menjadi sparring killer untuk menunjukkan kehebatan melipat dan melibas. Seingat saya saya menjadi star takraw dan berjaya membawa sekolah ke peringkat separuh akhir kejohanan peringkat mukim bersama rakan sepasukan seperti Ale, Rizal, Fitri, Jigo, Hezri dan Hidayat. Jurulatih kami waktu itu ialah Ustaz Wan Akasyah Wan Abdul Hamid yang akhirnya menjadi personaliti Semanis Kurma Tv9 bersama isterinya Dato’ Siti Norbahyah. Turut aktif bermain sebagai penyerang dalam pertandingan bola sepak dalam liga domestik sekolah. Acara tahunan merentas desa walaupun tidak mendapat top 3 tapi acapkali saya menamatkannya di kedudukan 10 terbaik. Apa yang cuba dibuktikan kepada pelajar-pelajar lain ialah untuk berjaya, maka kejayaan harus diseimbangkan antara akademik, agama dan sukan.

Saya sering dikenali mat skema. Selalu mematuhi arahan sekolah dan tidak pernah dalam ingatan saya terlibat “fly” (keluar sekolah tanpa izin). Fly merupakan amalan biasa kepada pelajar asrama bahkan ilmu fly diturunkan oleh senior di tahun akhir kepada junior agar ilmu itu tidak lenyap dan diwarisi turun temurun. Terkadang warden terpaksa buat roll-call untuk memastikan tiada pelajar yang fly pada waktu malam. Saya rasa curfew dan larangan fly yang dikenakan terhadap pelajar asrama baik untuk mendidik kita akan erti kesabaran daripada godaan dunia dan rayuan nafsu. Ia latihan terbaik untuk fokus terhadap pelajaran dan ibadah manakala peluang outing dua minggu sekali harus digunakan sebaiknya untuk membeli barang dan berjalan-jalan. Guntingan rambut saya sering kali dijadikan contoh oleh warden Ustaz Wan Akasyah sebagai potongan rambut contoh di perhimpunan sekolah. Mungkin sebab saya rendah (paling rendah dalam batch saya) dan selalu berada di barisan hadapan ketika perhimpunan, maka Ustaz Wan Akasyah selalu ternampak saya untuk dijadikan contoh. Saya tak teringat berapa cm tinggi saya tapi saya memang rendah. Saya tidak pernah merokok kerana ingat pesanan bonda yang melarang menghisap rokok. Seperkara lagi yang bonda pesan yang masih diingati ialah jangan masuk silat takut salah guna ilmu. Disebabkan itu saya tidak pernah sekali-kali terlibat mempelajari seni mempertahankan diri seperti silat kerana takut salah guna. Pernah saya berkongsi dorm di blok D bersama-sama senior-senior yang suka ponteng solat jemaah di surau, merokok dan suka mendengar lagu-lagu metal seperti Gun n Roses dan Metallica, namun ianya tidak sedikit mempengaruhi saya dengan izin Allah. Terkadang saya terhafal dan boleh menyanyikan satu dua bait lagu-lagu Gun n Roses. Dengan izin Allah, saya tetap istiqamah sambil melakukan dakwah bil hal dengan harapan agar abang-abang tersebut berubah. Jadi saya menjadi pendakwah cilik seumpama ikan yang tidak masin dek masinnya air laut!....

Bacaan selanjutnya boleh diakses di buku ini:



Buku ini boleh dibeli di ABIM Press : https://www.facebook.com/abimpressmy/

Khamis, Januari 02, 2020

Catatan & Minda Presiden MBM

Minda Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)
Oleh: JUFITRI BIN JOHA



Belia adalah golongan yang akan menentukan corak dan perkembangan sesebuah negara, bukan sahaja kerana jumlah para belia yang merupakan majoriti penduduk yang membentuk 14 juta individu, tetapi kerana golongan belia inilah yang akan mengisi dan mencorakkan gaya hidup serta idealisme yang amat diperlukan terutamanya dalam pembentukan sesebuah Negara bangsa seperti Malaysia. Sehingga kini Malaysia masih belum mempunyai jati diri dan bangsa Malaysia yang utuh.

Semua harapan baik yang kita sandarkan kepada golongan belia ini tidak akan menjadi kenyataan sekiranya masalah belia hari ini seperti pedofilia, pengguguran kandungan secara haram, pembuangan bayi, seks bawah umur, pengaruh LGBTIQ (lesbian, gay, biseksual, transgender, interseksual dan queer), penagihan dadah, alkohol, aplikasi telefon bimbit, permainan atas talian, penggunaan laman sosial, ejen carian di Internet, pengaruh rakan, komik, majalah, filem, drama televisyen, semuanya banyak mendedahkan golongan belia ini kepada unsur yang boleh merosak dan melemahkan jatidiri mereka, dan sekiranya masalah sosial di kalangan belia ini tidak dirawat dan dikawal dengan sempurna, kita sudah boleh menggambarkan bagaimana bentuk kehidupan masa hadapan generasi ini kelak.

Menyedari hakikat bahawa golongan belia adalah juga penyumbang idea yang akan mencorakkan masa depan negara seperti kata pujangga "Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara" maka segala usaha untuk mendekati golongan ini perlu dipertingkatkan dengan mengenal pasti kaedah-kaedah yang sesuai dengan keperluan semasa mereka di zaman kini. Terdapat pelbagai kaedah atau mekanisme mendekati dan mendidik belia seperti penyertaan di dalam persatuan belia, kegiatan kesenian dan kebudayaan dan seni mempertahankan diri seperti silat dan taekwando.

27 Disember lepas saya berkesempatan melawat satu tapak gelanggang silat bersama Pengerusi Majlis Belia Daerah Rembau, saudara Rafi Murad dan Pengerusi Youth Power Club (YPC) Rembau, saudara Luqman. Saya telah melawat Gelanggang Panji Hitam al-Husna yang telah mengorak langkah, mengambil pendekatan untuk menarik golongan belia dengan kaedah pengajian seni silat. Gelanggang ini terletak di Pedas, Negeri Sembilan dan dikendalikan oleh tenaga pengajar Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia

Pengajaran dan pembelajaran silat yang diterapkan di dalam dunia persilatan amat besar sumbangannya dari aspek pembinaan jasmani dan rohani atau pembentukan ilmu dan kehidupan dunia dan akhirat.
Sejarah telah membuktikan bahawa silat telah berhasil membentuk masyarakat Melayu tradisional yang serba kekurangan dapat mempertahankan nilai diri, budaya dan agamanya dari pengaruh penjajah yang silih berganti. Pendidikan cara hidup pendekar silat yang seimbang daripada aspek ilmu, amal dan kemahiran silat dapat membentuk kesempurnaan hidup atau insan. Menurut Profesor Dr. Supyan Hussin daripada Institut Tamadun Alam Melayu (ATMA), seni silat Melayu merupakan satu perlambangan akal budi Melayu yang di dalamnya mencerminkan falsafah, pemikiran, perlakuan, emosi dan gaya hidup orang Melayu di rantau Nusantara ini. Ini bermakna silat bukan sekadar ritual aktiviti tetapi sarat terkandung falsafah tinggi yang mampu membentuk jatidiri dan watak belia.

Pendidikan silat menumpukan kepada pembangunan manusia dari luaran dan dalaman yang dapat membentuk masyarakat berdisiplin, berakhlak, kendiri, ikhsan, patriotisme, satria, jati diri dan kewarganegaraan yang boleh menyumbang kepada pembangunan pemikiran dan tenaga bangsa, agama dan negara.

Sukacita untuk dipertegaskan semula bahawa Gelanggang Panji Hitam al-Husna ini matlamat utamanya adalah untuk melahirkan generasi muda khususnya mempunyai jati diri yang mantap, kekuatan jasmani, kekuatan emosi, kekuatan rohani, kekuatan intelektual dan pemantapan sahsiah.


Selain itu ianya dapat mengisi masa senggang dengan aktiviti berfaedah dan juga dapat mencungkil dan menggilap bakat dan kemahiran seni tempur khususnya ilmu persilatan kepada golongan muda. Bintang ini akan digilap dengan menyertai pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Ia juga selaras dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha kemenjadian murid yakni bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi dalam bidang jasmani, koko, persatuan dan kelab melalui PAJSK atau Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum.

Selain itu silat juga boleh dijadikan salah satu model penting pembentukan bakat belia dalam pembangunan belia dan pertubuhan belia bertepatan dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) yang berteraskan Pembangunan Belia Positif (PYD).

Dengan bimbingan jurulatih silat yang betul dan berhikmah (youth-adult partnership), ianya juga diyakini dapat melahirkan golongan belia yang jitu dan berketrampilan sahsiahnya dan sekaligus dapat membantu pihak berkuasa dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh dan menjauhkan diri belia daripada sebarang gejala sosial dan jenayah.

Gelanggang ini juga antara satu-satunyanya gelanggang silat dalam dearah Rembau yang mendapat kebenaran atau permit daripada pihak polis. Gelanggang ini beraktiviti setiap Jumaat malam Sabtu. Sesi pertama wanita dan kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dari jam 08.00 malam - 10.00 malam manakala golongan belia dan dewasa berumur 15 tahun dan ke atas bermula dari jam 10.00 malam - 12.00 tengah malam.

Saya syorkan lebih banyak gelanggang-gelanggang silat yang akan tampil bekerjasama dengan pergerakan belia bagi sama-sama menjayakan agenda pembangunan belia melalui seni mempertahankan diri sebagaimana kerjasama Majlis Belia Daerah Rembau dan Gelanggang Panji Hitam al-Husna

Khamis, November 29, 2018

Persidangan Komanwel kali ke-3 Mengenai Kerja Belia / 3rd Commonwealth Conference on Youth Work

JUFITRI BIN JOHA
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) / Ahli Lembaga Commonwealth Alliance of Youth Workers’ Associations (CAYWA)



Saudara Jufitri Joha telah menghadiri Persidangan Komanwel kali ke-3 Mengenai Kerja Belia yang berlangsung di Malta pada 5 – 8 November 2018 yang telah dihoskan oleh National Youth Agency of Malta atau Agenzija Zghazagh dan CAYWA. Kehadiran saudara Jufitri adalah atas kapasiti sebagai Ahli Lembaga CAYWA dan Pengerusi Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) Malaysia.

Menariknya pada persidangan ketiga ini ialah ia menghimpunkan pembuat dasar, ahli akademik dan pengamal kerja belia daripada Negara Eropah dan Komanwel. Uniknya lagi ialah Malta sebuah Negara kepulauan terletak bersilang di dalam Negara Eropah dan Komanwel menyebabkan mereka memilih tema yang bertajuk “Crosscurrents – steering a course for youth work as a growth profession in the Commonwealth and in Europe”.

Ini merupakan wadah dwi tahunan terbaik bagi menghimpun pemegang taruh kerja belia bagi memperkukuhkan iltizam terhadap kerja belia dan mencari solusi bersama, it is a meeting of minds coming together to find a shared solution. Ia juga bertepatan dengan iltizam yang dimuktamadkan di Mesyuarat Menteri Belia Komanwel di Kampala, Uganda untuk mempromosikan kerja belia sebagai profesyen kerjaya merentas sektor yang bekerja dengan belia dan memperluas Commonwealth Higher Education Consortium for Youth Work. Iltizam ini juga mendapat dokongan Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel sewaktu mesyuarat mereka di London 2018.


Persidangan dikendalikan secara unik oleh penganjur bagi menggalakkan penghasilan idea kreatif dengan mengenengahkan konsep Creators not Consumers, Co-production, Dialogue and Dialectic dan The Open Space. Secara amnya konsep-konsep ini diadaptasi bagi mewujudkan rasa kepunyaan dan partisipasi aktif bagi mencari solusi bersama. Co-production bermaksud melangkau sekadar partisipasi di mana participation means being consulted while co-production means being equal partners and co-creators.

Dialog juga merupakan proses penting dalam pendidikan seperti yang diamalkan pekerja belia dalam berinterkasi dengan belia seperti kata tokoh pendidik Brazil Paolo Freire dialog adalah memanusiakan dan pendidikan tanpa dialog akana tinggal sebagai sekadar objektif (tidak praktikal), menindas dan bersifat indoktrinasi. Peserta di dalam wahana dialog akan dapat belajar sesama sendiri, tidak bersifat memaksakan idea sendiri ke atas individu lain dan berdebat secara sihat. Persidangan juga mempromosikan kaedah dialectic di mana berlaku keadaan thesis bertembung dengan antithesis yang akan menghasilkan perubahan yang bersifat synthesis. Ini semua merupakan kaedah praktikal yang diamalkan oleh pekerja belia atau pendidik informal ketika berhadapan dengan belia. Ia bersifat mencerdaskan jiwa dan pemikiran anak muda.

Persidangan menampilkan beberapa tokoh-tokoh pembentang hebat yang memberikan idea-idea segar seperti Profesor Howard Williamson, University South Wales; Dana Fusco, University of New York; dan Tomi Kiilakoski, Finnish Youth Research Network. Presiden CAYWA Profesor Robyn Broadbent turut mengambil peluang memperkenalkan CAYWA kepada khalayak.



Profesor Howard menyebutkan bahawa peranan penting pekerja belia dalam menjadi pemudahcara kepada masa hadapan belia dengan menyebut, “We sit in the shade of a tree we did not plant and we plant a tree in whose shade we will not sit”. Bertepatan dengan tajuk yang dibentangkan Sailing in the Same Direction, Profesor Howard juga menyeru agar pekerja belia di Eropah dan Komanwel bersatu hati memperjuangkan agenda yang sama demi kebaikan belia dan dunia sejagat.

Antara perbincangan perkara menarik yang penulis sertai di dalam salah satu bengkel bertemakan Ethics and Young People’s Welfare ialah berkenaan penghakupayaan belia atau youth empowerment dan penulis memetik,

“Youth work is explicitly interested in youth empowerment through facilitating and / or enabling young people’s participation, voice and choice”.

Penghakupyaan belia adalah teras di dalam pembangunan belia dan kerja belia bagi membolehkan belia terus diserlahkan potensi mereka dan membolehkan mempunyai peluang dan ruang bagi sama-sama membangunkan Negara.

Sekretariat Komanwel telah menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi hos atau tuan rumah Persidangan Komanwel kali ke-4 Mengenai Kerja Belia yang dijangka pada dua tahun lagi. Ini memandangkan Malaysia adalaha Negara terkehadapan dalam pembangunan dan pergerakan belia di samping usaha berterusan pihak Kerajaan merealisasikan ekosistem kerja belia profesional dan kejayaan mewujudkan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB). Ini merupakan satu peluang keemasan untuk Malaysia dan wajar disambut sebaiknya sebagai suatu usaha mempromosikan Malaysia sebagai hub kerja belia profesional terpenting di rantau Asia Tenggara.




Selasa, Oktober 02, 2018

Catatan Manifesto Calon Presiden MBM 2018-2020

Majlis Belia Malaysia (MBM) bakal mengadakan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) kali ke 67 minggu ini di Sepang. Turut bakal berlangsung ialah pemilihan kepimpinan baru MBM bagi sesi 2018-2020 yang bakal menyaksikan pendekatan baru yang bakal diambil bagi mendakapi suasana era Malaysia baharu pasca Pilihanraya Umum (PRU) ke-14. Sudah tentu MPAT kali teramat penting bagi mencorak arah dan strategi baharu bagi memastikan relevensi MBM untuk terus menjadi suara rasmi belia Malaysia, pembuat dasar dan rakan strategik pembangunan Negara.

MBM sebagai pergerakan yang sentiasa menjadi suara dan denyut nadi belia dan masyarakat semenjak 1948 memerlukan lonjakan dan pendekatan baru bagi memacu pembangunan belia negara dengan mengambil kira beberapa premis penting semasa seperti change is certain, era Malaysia baharu dan aspirasi generasi muda terkini.

Bagi merealisasikan lonjakan tersebut beberapa manifesto perubahan perlu difikir dan ditawarkan berasaskan motto yang sentiasa malar bagi MBM iaitu bertindak demi keadilan dan kebenaran. Pemimpin baharu yang bakal mengemudi MBM wajar memahami fungsi dan tugas sebenar sebagai pemimpin majlis selaras dengan Perlembagaan MBM. Mereka bukan hanya sekadar memimpin badan gabungan yang mereka wakili, namun mereka diamanahkan untuk memimpin dan mengkoordinasi 39 badan gabungan pertubuhan belia merentas agama, bangsa dan fahaman politik. Selain itu, MBM memikul amanah besar mewakili sebahagian besar 70 peratus suara kelompok belia akar umbi yang tidak menyertai pergerakan belia namun lebih bersifat interest base seperti kelompok belia bagpackers, peminat drone dan skateboard. MBM Untuk Semua (MUS).

MBM seperti yang disarankan oleh mantan Presidennya iaitu YB Dato’ Shamsul Anuar Nasarah bersempena temuramah 7 Dekad MBM wajar memikirkan mengembangkan keahlian badan gabungan baru sama ada ahli penuh mahupun bersekutu seperti Guru Muda Malaysia (GMM) dan pertubuhan belia berkemahiran memandangkan MBM konsisten memperjuangkan isu pendidikan dan TVET serta mendekati golongan rentan seperti pertubuhan belia kerdil dan belia kelainan upaya (OKU). Suatu ketika dahulu, MBM juga menaungi dan sinonim dengan persatuan-persatuan mahasiswa yang berbasiskan universiti seperti Persatuan Mahasiswa UKM dan Persatuan Mahasiswa UM kerana mahasiswa juga sebahagian komponen terpenting belia di menara gading. Naungan sebegini harus direjunevasi bahkan diperluaskan sehingga persatuan pelajar di luar Negara yang dikategorikan sebagai Belia Malaysia Antarabangsa. MBM sudah pun mengorak langkah dengan mendekati para pemimpin mahasiswa di universiti dan mendekati para pelajar di luar Negara dengan menghadiri Bosphorus Summit di Istanbul yang turut dihadiri oleh persatuan pelajar di lebih 10 buah Negara.

Dengan keterangkuman yang bersifat inklusif ini memungkinkan MBM mendapatkan mandat dan legitimasi secukupnya mewakili seramai mungkin suara kelompok belia akar umbi untuk dibawa ke wahana perundingan dan pembuatan dasar Negara seperti Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), Majlis Konsultasi Bajet Negara, Majlis Sosial Negara dan JK Kabinet Pembangunan Belia. Dengan mandat besar ini, MBM harus terus melobi dan mengadvokasi isu-isu belia dengan berada di semua wahana dan medium pembuatan dasar Negara. Pemimpin-pemimpin belia wajar ditempatkan di lembaga-lembaga atau board agensi-agensi Kerajaan dan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) bagi memberi peluang mereka menimba ilmu dan pengalaman serta terlibat dalam proses pembuatan dasar. Mengambil contoh terkini perlantikan Lembaga Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di mana Kerajaan wajar mempertimbangkan pada masa hadapan wakil pemimpin belia di dalam lembaga tersebut.

Kerajaan harus memandangkan MBM sebagai rakan utama pembuatan dasar agar partisipasi belia mencapai tahap adult-youth decision making. Ini juga semangat yang terkandung dalam pendekatan berkesan pembangunan belia yang dikenali sebagai Youth-Adult Partnership (Y-AP) dan bagi memastikan penghasilan inclusive policy untuk semua lapisan kelompok belia. Pendekatan menyantuni semua lapisan strata belia ini mengambil semangat no one left behind seperti yang digariskan Sustainable Development Goal (SDG). Untuk memenangi hati Kerajaan agar tidak sekadar terpaksa melantik wakil belia memenuhi kuota, maka MBM dan pemimpinnya harus kelihatan berkretampilan dan smart agar wakil belia yang dicadangkan untuk dilantik benar-benar mempunyai kelayakan dan dihormati oleh Kerajaan dan masyarakat umum.

Sebagai pergerakan belia yang inklusif, MBM mampu menjadi melting pot yang menjadi platform penyatu kepada semua kelompok belia pelbagai ideologi politik. MBM memang terkenal melahirkan pemimpin pelapis Negara sama ada akhirnya berada dalam Kerajaan, pembangkang mahupun institusi-instusi masyarakat yang penting. Sebagai wahana penyatuan belia, maka MBM harus mengambil pendekatan kolektif yang bersifat non-partisan dan hanya berpihak kepada kebenaran dan keadilan. Walaupun begitu, MBM meraikan dan menghormati pendirian politik ahli-ahlinya selama mana ia dibina berasakan idealisme yang benar. MBM menjadi medan latihan berkesan untuk bakal pemimpin Negara namun tidak wajar dijadikan hanya semata-mata stepping stone untuk memenuhi cita-cita peribadi politik, Inilah kritikan yang acapkali diterima oleh MBM kerana sering dijadikan batu locatan oleh pemimpin belia untuk mendaki tangga politik. Tidak salah punyai cita-cita politik namun MBM merupakan medan terbaik untuk mereka melatih dan mengasah bakat kepimpinan dan pengurusan dengan penuh rasa tanggungjawab dan meletakkan maslahah belia dan Negara didepan. Jika pemimpin MBM yang dilatih sebaiknya dengan penanaman idealisme dan pemasakan keikhlasan dan integriti yang jitu maka tidak mustahil MBM akan terus menjadi kilang utama yang didambakan bagi menghasilkan pemimpin Negara bahkan MBM manjadi pembekal utama kepimpinan pelapis yang berkualiti kepada parti-parti politik dan pertubuhan masyarakat madani yang sedia ada mewarnai kanvas demokrasi Negara.

Penanaman idealisme atau prinsip perjuangan yang jitu menjadi keutamaan Presiden MBM ke-21 saudara Mua’amar Ghadafi Jamal dalam siri ucapan dasar beliau dan juga agenda yang sering dilaung-laungkan oleh mantan Presiden MBM, YB Dato’ Saifuddin Abdullah yang kini merupakan Menteri Luar. Tanpa idealisme maka belia dan masyarakat menjadi statik dan beku menurut pemikir Algeria Malek Bennabi. Idealisme pemimpin MBM yang mantap memandu hala tuju dan prinsip perjuangan yang mengutamakan kepentingan belia dan Negara mengatasi kepentingan perbadi. Idealisme juga mampu menjadikan pemimpin belia menjadi penggerak keihklasan yang sentiasa cakna dan prihatin kepada isu dan permasalahan belia dan Negara. Selain daripada rujukan umum daripada agama, Rukun Negara dan nilai-nilai Asia, idealisme pemimpin belia tidak lari daripada asas-asas utama seperti yang terkandung di dalam dokumen falsafah pembangunan belia Negara iaitu Dasar Belia Malaysia 2015 – 2035.

Dengan keterangkuman dan ramuan-ramuan di atas mampu menjadikan MBM sebagai grup pendesak, pressure group yang berkesan untuk mengimbangi tindak tanduk dan polisi Kerajaan mahupun pembangkang. Hasrat ini juga yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia (TPM) Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika merasmikan sambutan 7 Dekad MBM di Bangi pada 23 Julai 2018. MBM akan terus mampu menjadi the conscience of the society meneruskan tradisi membela nasib belia dan rakyat untuk kekal releven sebagai pemegang taruh pembangunan belia dan Negara.
Untuk menjayakan kepimpinan yang berkesan, MBM juga harus melahirkan lebih ramai kepimpinan beliawanis yang sama-sama menjadi tiang seri dan tonggak MBM dalam menggerakkan agenda pembangunan belia dan Negara. Beliawanis juga wajar diberikan tempat dalam saf kepimpinan baharu bersesuaian dengan polisi Kerajaan dan hasrat TPM yang mahu melihat penglibatan kepimpinan wanita di semua peringkat pembuat dasar dan organisasi tidak terkecuali MBM.

Seperkara lagi ialah bagi mendepani cabaran generasi muda ekstrem pada masa hadapan, MBM berdepan dengan cabaran besar menyediakan future smart youth dan bukannya future frustrated youth. MBM wajar fokus mencari punca utama dan menyelesaikan masalah-masalah dan isu-isu yang membelenggu belia seperti dadah, muflis, gangguan mental dan pengukuhan ekonomi. Untuk mempersiapkan belia menjadi future smart youth, fokus harus ditumpukan kepada pembudayaan ilmu yang kukuh, penganjuran siri-siri latihan pembinaan kapasiti (capacity building) dan pembentukan dasar pengantarabangsaan belia yang jelas untuk memperlengkapkan belia dengan ilmu dan kemahiran insaniah agar mereka terus mampu bersaing dan bersedia dengan masa depan yang mencabar.

Bagi benar-benar mengembalikan jiwa keinsanan dan melahirkan aset Negara yang seimbang maka MBM wajar terus memperjuangakan profesionalisme kerja belia yang sama-sama turut dijayakan bersama Kementerian Belia dan Sukan semenjak 2015. Profesionalisme kerja belia seperti yang termaktub sebagai bidang keutamaan belia di dalam Dasar Belia Malaysia 2015-2035, mampu melahirkan profesyen baru iaitu pekerja belia profesional yang terlatih yang mampu memberikan sepenuh perhatian untuk mendidik dan membangunkan bakat generasi muda Malaysia. Sesungguhnya aset yang paling berharga di dalam sesuatu Negara adalah generasi mudanya dan generasi muda akan membesar secara baik di tangan-tangan pekerja belia profesional yang dedikasi dan mempunyai nyalarasa yang tinggi untuk melihat generasi muda berjaya di dunia dan akhirat.

Seperkara lagi ialah fokus kepada kemandirian dan penghakupayaan MBM dan persatuan belia harus dititiberatkan. Ia bagi memastikan untuk mengurangkan kebergantungan kepada dana Kerajaan sekaligus mempunyai idea-idea kreatif bagi memastikan kemandirian ekonomi dan menjana pendapatan yang sustain untuk menampung belanja pentadbiran dan aktiviti.

Sesungguhnya kepimpinan MBM era Malaysia baharu mempunyai amanah dan tanggungjawab yang lebih berat dan mencabar ditambah dengan keadaan senario politik dan ekonomi yang tidak menentu. Kepimpinan bukanlah suatu kemuliaan semata-mata bahkan ianya adalah bebanan taklif untuk dipikul dan perkara yang akan dikesali di akhirat kelak. MBM memerlukan pemimpin credible, capable dan available yang mampu memimpin sebuah platform yang majmuk dari segi agama, budaya, bangsa dan etnik.

Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Penyayang, rasa rendah hati dan penuh keinsafan, kami menawarkan diri untuk menerajui kepimpinan MBM sesi 2018 – 2020 sebagai Presiden MBM yang ke-21 bersesuaian dengan kata-kata Pendeta Zaaba, “Kiranya Kabul Allah memberi, dirimu jadi pemulih negeri”.

Rakaman ucapan penghargaan kepada kepimpinan Presiden MBM ke-20, saudara Mua'amar Ghadafi Jamal bersama gandingannya saudara Mohd Zaidi Aziz, saudara Ahmad Saparudin Yusup dan saudara Mohd Rizan Hassan serta barisan Exco MBM 2016-2018. Selamat Maju Jaya.

Memantau Pilihanraya Cambodia 2018


29 Julai 2018 lepas, penulis dijemput menjadi pemerhati antarabangsa Pilihanraya Cambodia bersama hampir 70 pemerhati antarabangsa. Ini merupakan kali ke-6 Cambodia melalui pilihanraya umum bagi memilih 125 ahli parlimen atau lebih dikenali sebagai ahli himpunan nasional (NEC).

Cambodia merupakan negara di wilayah Cambodia-Myanmar-Laos-Vietnam (CMLV) yang agak terbuka selain Vietnam dan ibu negaranya pesat membangun hasil pelaburan asing (FDI) khususnya daripada negara China.


Sejak perjanjian damai Paris 1991 yang menamatkan konflik bersenjata, Cambodia menikmati peralihan yang aman dan rakyat dapat terus berpartisipasi dalam ruang demokrasi sebagai ahli parti politik dan pengundi. Umat Islam yang membentuk 1.6 peratus daripada jumlah penduduk Cambodia atau sekitar 236 000 jiwa turut menikmati demokrasi yang aman serta tiada perbalahan agama dengan majoriti penduduk yang beragama Buddha. Ia adalah mungkin daripada segi sejarah umat Islam dilindungi oleh Cambodia ketika Vietnam menjajah wilayah Champa dan umat Islam turut berhadapan masalah yang sama iaitu menangani regim Pol Pot yang membunuh hampir 3 juta rakyat Cambodia termasuk umat Islam yang dikategorikan sebagai cerdik dan berpelajaran sekitar 1975 sehingga 1979. Pol pot membunuh golongan dianggap terpelajar bagi memudahkan menyebarkan fahaman komunis pada anggapan beliau.

Myanmar mungkin boleh mempelajari model kehidupan harmoni di antara majoriti Buddha sebagai pemerintah dengan minoriti umat Islam yang sama-sama membangunkan Negara tercinta. Hun Sen yang telah berkuasa sebagai Perdana Menteri semenjak 1985 pada umur 33 tahun bahkan telah memberikan tempat dan ruang kepada pemimpin politik Islam untuk berada di dalam Kabinetnya bagi sama-sama memerintah dan membangunkan negara. Umat Islam hidup aman, berpartisipasi di dalam amalan demokrasi bahkan boleh menjawat beberapa jawatan penting di dalam jabatan kerajaan dan menjalankan perniagaan.


Di sebalik pemerintahan tiga dekad Hun Sen, beliau telah melalui pelbagai ranjau dan karenah politik bahkan kritikan antarabangsa terhadap tindakan politik yang dilakukan untuk terus berkuasa.

Dalam pilihanraya umum terbaru 2018 parti Hun Sen iaitu Cambodian People’s Party (CPP) telah menyapu bersih kesemua 125 kursi parlimen dengan peratusan yang keluar mengundi tinggi sekitar 82.89% daripada 8 380 217 pengundi berdaftar. Ini merupakan mesej pengundi yang mahukan kestabilan dan keamanan di bawah pemerintahan CPP. Hanya parti berbasiskan keluarga diraja iaitu Parti Funcinpec mampu menjadi pencabar namun undi popular yang diraih hanya sekitar 5.88% berbanding CPP 76.78%. 18 parti lain yang menyertai pilihanraya pada kali dilihat tidak berdaya dan hanya layak digelar parti nyamuk yang tidak berupaya memberikan tentangan kepada CPP dan mendapat sokongan rakyat.


Ini merupakan perkembangan yang sangat tidak sihat kepada Cambodia apabila tidak terdapat seorang pun pembangkang wujud di Parlimen untuk menjadi pihak yang melakukan semak dan imbang kepada Kerajaan pimpinan Hun Sen. Dengan kemenangan ini meneruskan hasrat Hun Sen untuk berkuasa sekurang-kurangnya 10 tahun lagi apabila beliau mengambil teladan Perdana Menteri Malaysia yang kembali berkuasa pada umur 92 tahun.

Parti yang menjadi pencabar terkuat pada 2013 iaitu Cambodia National Rescue Party (CNRP) pimpinan seteru politik Hun Sen iaitu Sam Rainsy telah dilemahkan dengan waran tangkap dikeluarkan terhadap Sam Rainsy dan beberapa pimpinan CNRP atas dakwaan menjadi pengkhianat negara. CNRP akhirnya telah diisytiharkan haram oleh Mahkamah Agung Cambodia.


Penulis sempat bertemu orang kanan kepercayaan Hun Sen iaitu anaknya sendiri Hun Many bagi memberikan beberapa cadangan dan pandangan selepas sehari kemenangan besar CPP bagi memastikan demokrasi terus subur di Cambodia. Di sebalik ketiadaan pembangkang di Parlimen, CPP harus terus menghakupayakan rakyat dengan mengadakan lebih banyak sesi pendengaran suara rakyat akar umbi. Dengan menyediakan platform pendengaran suara rakyat akan menjadi mekanisme semak imbang terhadap Kerajaan CPP.

Ternyata rakyat mengundi untuk kestabilan dan keamanan Cambodia. Mereka sudah tidak mahu kembali ke zaman Pol Pot mahupun zaman rampasan kuasa. Meraka mahu hidup secara aman dan damai bersama penganut agama Buddha dan Islam untuk membina Negara dan masa depan yang lebih baik.


Hun Many juga merupakan Presiden Union Youth Federations of Cambodia (UYFC) merupakan anak Hun Sen yang pintar dan menjadi pemimpin muda harapan kepada Cambodia. Beliau kelihatan berminat dengan cadangan penulis dan berusaha melaksanakan pembaharuan demokrasi demi kebaikan masa hadapan Cambodia.

Pengalaman tiga hari sebagai pemantau pilihanraya antarabangsa menyaksikan proses demokrasi Cambodia berjalan dengan baik. Rakyat Cambodia tanpa mengira agama dan bangsa diberikan peluang melaksanakan amanah mengundi dengan bebas dan aman. Di sebalik tohmahan terhadapa rekod hak asasi dan politik Hun Sen, Cambodia terus maju dan paling penting umat Islam Cambodia boleh terus hidup aman mengamalkan agama mereka. Di samping itu juga Kerajaan Hun Sen tidak pernah menghalang bantuan terus masuk ke Cambodia melalui Ngo-Ngo Islam Malaysia kepada umat Islam Champa. Semoga Cambodia terus maju menjadi negara yang meraikan kemajmukan.