Rayuan untuk Syria

Rayuan untuk Syria

Rabu, Oktober 28, 2009

Khabar Gembira (Mubassyirat)


Saya mempunyai beberapa khabar gembira yang ingin dikongsi. Khabar Pertama : Saya mendapat kurnia anak kedua (bayi perempuan) seberat 3.13 kilogram pada 28 Oktober 2009 / 9 Zulkaedah 1430 H (Rabu) 5.15 pagi. Saya nak namakannya pada hari ke-7 InsyaAllah dengan Khadijah Attohirah (Khadijah yang Suci). Terima kasih kepada "A Simple Woman with a Big Heart" kerana sanggup berkorban dan mendokong perjuangan suaminya serta melahirkan anak kami yang kedua. Tiada apa yang dapat dibalas melainkan doa kebahagiaan dan kesetiaan! Khabar ini menaikkan lagi semangat saya untuk terus belajar dan berjuang di lapangan.

Khabar Kedua : Saya mendapat komen assignment yang baik dari pensyarah subjek "Youth Policy and Practice" saya Ms. Jean Spence antara lain berbunyi : " You have written about the content of the article quite well, although I have corrected your English where appropriate " he he biasa la tu English saya memang tak berapa baik, datang UK pun niatnya nak gilapkan English.

Khabar Ketiga : Kawan baik sekelas saya dari Afrika Selatan memohon saya untuk mendapatkan terjemahan al-Quran kerana beliau berminat mendalami Islam. Subhanallah saya amat gembira. "Don't worry Elvis I will give you translation of Quran for free!, janji saya sementara menunggu pesanan Pizza dan Kebab saya siap. Elvis merupakan bekas pimpinan pelajar yang saya rasakan akan jadi 'somebody' di masa hadapan di Afrika Selatan. Beliau pernah menyatakan pada saya bahawa beliau hampir-hampir dilantik menjadi Presiden Pelajar Benua Afrika!. Saya mendoakan agar beliau mendapat hidayah dari Allah dan saya yakin beliau sudah mengenali Islam berdasarkan penerangan beliau mengenai Islam pada saya di kedai Pizza (Halal) tempoh hari. Saya beli pizza dan kebab dapat percuma satu pizza lain kerana nilai pembelian melebihi 10 pound. 2 pizza dan 1 kebab boleh tahan untuk 5 hari bekalan makanan saya, jimat !

Khabar Keempat : "Youth Workers are teacher but not school teacher", kata Mr. Tony Jeff, pensyarah "Professional and Personal Dvelopment". Ini bermakna saya adalah pendidik informal yang bekerja mendidik belia. Saya gembira dengan status itu. Minat saya terhadap kursus semakin meningkat. Saya sudah membanyakkan pembacaan, memupuk minat membuat tugasa (assingment) dan kerja lapangan (field work) dan menghadiri seminar berkaitan kerja belia untuk mendapat ilmu tambahan dan jaringan. Saya juga sudah memulakan kajian saya untuk menubuhkan Akademi Latihan Belia! Ms Jean Spence banyak membantu. Pensyarah-pensyarah saya merupakan orang kuat Youth Work dan banyak menulis buku dan makalah berkaitan.

Khabar Kelima : Universiti Durham telah dianugerahkan sebagai Outstanding Support for Early Career Researchers oleh Times Higher Education UK (http://www.timeshighereducation.co.uk/hybrid.asp?typeCode=365&pubCode=1&navcode=142) . Saya bertuah belajar di Durham dan Allah memilih saya berada di Durham yang terkenal dengan bandar bersejarah di UK!

Khabar-khabar gembira inilah yang menjadi sebahagian motivasi saya apabila berseorangan di sini. Semoga tips ini berguna kepada para pelajar Malaysia di perantauan.

Isnin, Oktober 26, 2009

Catatan Musim Luruh


Sekarang merupakan musim luruh tapi suhu semakin sejuk, ini belum lagi musim sejuk! Daun-daun kekuningan dan berguguran mencantikkan suasana sekeliling. Semalam (Ahad), merupakan hari UK menukar waktu jam dan dinamakan istilahnya sebagai day light saving. Jam di UK dilewatkan sejam ke belakang. Ini bermakna selepas waktu dilewatkan sejam, maka UK lewat 8 jam dari Malaysia. (sebelum tukar waktu, UK lewat 7 jam sahaja dari Malaysia). Saya pun masih tak faham kenapa ia berlaku dan bulan Mac tahun depan jam UK akan dicepatkan semula sejam kehadapan. Mungkin dah lama-lama faham kot.

Hari ini Milo 3 in 1 saya habis, tapi kat UK takde Milo, saya mula mencari alternatif minuman yang boleh melegakan tegak dan perut. Setakat tak makan nasi saya dah boleh menyesuaikan diri tapi minuman kena ada juga yang panas sama ada Milo atau Nescafe. Tapi saya dah mula berhenti minum Nescafe kerana bahaya 'kafin'nya dulu kat Malaysia memang sehari 2 kali apatah lagi jika ada yang membuatnya (isteri). Tabiat makan pun dah berubah, saya lebih banyak makan buah-buahan dan susu putih segar. Tabiat bersukan pun berjalan baik hari Sabtu saya main takraw dan Ahad main bola sepak. Sabtu lepas saya berjaya mengembalikan skil melipat (killer) dan mendapat tepukan hadirin sekililing, saya rasa seronok kerana berjaya 'release tension' membuat assignment dengan melipat bola takraw sekuat hati sehingga tajam masuk ke gelanggang lawan. Ini dah cukup melepaskan tekanan di samping mendengar lagu "Tentang Dia" nyanyian Melly Goeslow dan Evan he he, sekali-sekala layan juga. Yang pastinya apa lagu yang saya minat, isteri saya takkan minat! Semenjak Isyak masuk 6.37 petang saya dah boleh tidur awal untuk menghadapi kelas esok. Subuh lewat jam 4.58 pagi, Zohor - 11.51 pagi, Asar - 2.12 petang dan Mahgrib - 4.45 petang. Hari ini juga saya terpaksa jamakkan solat Zohor dan Asar kerana ianya terlalu rapat dan kelas saya berlangsung antara 2.15 sehingga 4.15 petang.

Kalau di Malaysia sukar untuk dapat tidur awal, bersukan dan membaca. Kini saya mendapat nikmat tersebut di sini untuk hanya setahun! Jumaat malam, pasti InsyaAllah saya luangkan masa menghadiri usrah dan kelas agama anjuran DurhamMy (komuniti Malaysia di Durham).

Sekarang saya sibuk menyiapkan bahan merakamkan pengisian Sembang Belia dalam radio internet Seri FM (http://www.yhserifm.blogspot.com/) yang dikelolakan oleh sahabat saya Pak Ya dari Jempol, Negeri Sembilan. Menarik inisiatif ini, sekarang radio boleh diusahakan secara swasta melalui internet. "Pak Ya, ini ada ruang yang baik untuk saya sampaikan ilmu dan dakwah", sapaan saya pada Pak Ya ketika beliau menawarkan ruang untuk sampaikan tazkirah. Nantikan pengisian saya!

Khamis, Oktober 22, 2009

Mujahadah (Bersungguh-sungguh)


Imam Ghazali mengasingkan diri selama 10 tahun mencari makna dan haqiqat diri manakala Imam Nawawi tidur secara duduk selama dua tahun menghasilkan karya feqah monumentalnya iaitu ‘Majmuk’. Ini merupakan sebahagian mujahdah (usaha melawan hawa nafsu) Imam Ghazali dan Imam Nawawi dalam kerangka mereka untuk menjadi hebat dan menghasilkan sesuatu yang hebat. Ini merupakan inti motivasi bagi saya untuk bertapa di UK berjauhan dari keluarga dan anak isteri. Saya perlu sentiasa bermotivasi dan bersemangat untuk terus kekal di sini sehingga September 2010.

Antara perkara yang perlu saya buat terus menumpukan perhatian kepada pelajaran dan budaya ilmu. Ilmu dan buku menjadi teman saya di sini. Hari-hari yang saya lalui saya terus bersemangat dan bertenaga apabila menyibukkan diri dengan ilmu. Kadang – kadang terasa kerdil dengan luasnya ilmu Allah. Ketika 2007, saya melawat pameran buku di San’aa, Yaman saya terasa kagum dengan banyaknya buku yang yang dipamerkan dan dijual menggambarkan betapa luasnya ilmu Allah yang sudah tentu saya tak mampu dan sempat selami sepanjang hayat.

Dulu di Malaysia jika hati tak tenang, cara mengubatinya saya akan ke kedai buku atau menuntut ilmu. Selepas itu, hati saya akan jadi tenang. Begitu juga tadi, bila saya rasa kurang tenang saya ke kedai buku Universiti Durham dan saya beli buku ‘Power Play’ dan ‘The first Crusade and The Idea of Crusading’. Hati saya berbunga dan bersemangat. Saya cuba membaiki penguasaan membaca dengan menjadikan tradisi membaca buku barat dalam bahasa Inggeris dan buku dunia Islam dalam bahasa arab. Kedua-dua ilmu harus diselarikan dan dikuasai. Bahasa Inggeris saya agak lemah dan saya sedang memperbaikinya dengan banyak membaca dan juga mempraktikkan bahasa Arab saya apabila bercakap dalam bahasa Arab dengan jiran sebelah bilik saya yang berasal dari Kuwait dan beberapa rakan Arab lain terutamanya daripada Libya yang menuntut di Universiti Durham. Dan juga saya mengambil masa untuk mempraktikkan bahasa Sepanyol dan saya sedang cuba mencari komuniti pelajar Sepanyol di sini. Juga hajat saya untuk menambah satu lagi bahasa asing. Ini juga intipati perjuangan yang ditekankan dalam GPTD.

Selain itu tradisi menuntut dengan ulama dan cendekiawan Islam harus diteruskan. Saya rasa gembira bila sempat menuntut dengan beberapa cendekiawan terkenal di Malaysia dulu iaitu dengan Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki (sejak 1998), Dr. Asri Zainul Abidin (sejak 2001), Prof. Dr Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki (Arab Saudi), Sheikh Sayyid Mamduh (Mesir), Sheikh Jinting al-Langkati (Indonesia), Sheikh Nuruddin al-Banjari (Indonesia), Sheikh Ahmad Fahmi Zam-Zam, Ustaz Rumaizi, Ustaz Pazli dan ramai lagi. Juga mentor yang menunjuk jalan seperti Encik Ahmad Azam Abdul Rahman dan Puan Inon Muhammad yang banyak menunjuk jalan dan member ilmu. Kalau dulu di UIA, saya akan habiskan masa rehat 1-2 petang dengan membuka kitab seperti Syarhu Waraqat karangan Imam Juwaini dan lain-lain kitab dan berguru dengan Dr. Abdurrahman Haqqi, Ustaz Borhan, Dr. Zulkifli Muda, Ustaz Zainuddin Ismail dan Ustaz Naim.

Sebelah malam pula saya akan pastikan saya lepak di surau menuntut ilmu dengan pelbagai ustaz-ustaz di sana antara yang saya minat adalah Ustaz Shukri Najib, Ustaz Salehuddin Nasir, Ustaz Halim Nasir dan lain-lain. Tengah malam panjat pula bilik Ustaz Asri (Bekas Mufti Perlis) ketika itu buat PhD di UIA lalu berlaga lutut dengan beliau membuka kitab Mustolah Hadis (Ilmu Disiplin Hadis). Saya rasa sungguh bahagia dan kenyang serta terasa makin kurangnya ilmu diri. Kini di Durham saya akan teruskan usaha mengaji ini dengan meneruskan menghadiri kuliah hadis pimpinan Ustaz Maszlee yang akan diadakan di 38, Steavenson Street, Bowburn, Durham. Kita kena terus belajar dan belajar...

Rabu, Oktober 21, 2009

Budaya Ilmu dan Kampung Buku


Antara sebab saya bertapa di UK ini adalah untuk meningkatkan kesaktian ilmu kembali. Ketika di Malaysia, saya amat sibuk dengan urusan teknikal dan program, namun alhamdulillah saya mempunyai banyak masa menimba ilmu dan membaca buku di sini. Pada zaman keemasan Islam di Sepanyol, Cordoba menjadi pusat pengembangan ilmu sehingga orang bukan Islam berpusu-pusu datang ke Andalus untuk menimba ilmu. Sehingga satu ketika Andalus menjadi "Centre of Jewish Intellectual Endeavours". Kini UK mengambil alih peranan tersebut dan tidak mustahil Malaysia akan merampas peranan tersebut berdasarkan senario semasa.

Dalam suasana keilmuan di sini, saya berusaha meningkatkan dan mengasah kapasiti keintelektualan saya dengan membanyakkan membaca, menghadiri wacana intelektual dan menyertai perbincangan ilmiah. Saya juga bersyukur kerana kelas sarjana (Master) saya juga banyak slot perbincangan krtitis. Saya juga memperuntukkan sebahagian besar wang biasiswa (Chevening) untuk membeli buku sebagaimana yang saya buat ketika berada di UIA dahulu dengan duit PTPTN. Banyak laman web di UK menjual buku secara online seperti www.amazon.co.uk, www.barterbooks.co.uk/ (ilhat gambar di bawah: stesen keretapi lama dijadikan kedai buku second hand antara terbesar di UK), kitaabun.com/shopping3/ dan lain-lain. Sudah tentu saya akan menjadi salah seorang pelawat setia laman tersebut untuk membeli belah.

Satu lagi di Wales (UK) ada kampung buku terbesar di dunia iaitu www.hay-on-wye.co.uk/bookshops/default.asp di mana kemudiannya Tan Sri Sanusi Junid ketika menjadi Menteri Besar Kedah membina kampung buku di Langkawi mengikut jejak langkah Wales. Saya berharap dapat menjejaki ke Wales iaitu ke Kampung Buku Hay-on-Wye, kat Wales pun ada kawan untuk diziarahi..."Chinon, nanti aku nak ziarah kau kat Wales boleh?" begitulah ayat facebook saya pada Nizam Shapie (rakan ex SMAP Kajang) di Wales.

Chinon pun jawab, "hahaha - sini sejuk... ko nak datang time ni ker ? :) even time ni pun tangan aku dah kebas kat dalam bilik ni.. kalau ko nak datang bagi jer message :) Dengan besar hati dipersilakan..."

Selasa, Oktober 20, 2009

Kuliah Umum Jufitri Joha, Isu Semasa & Aktivis Belia di Sheffield, UK Sempena Pertemuan Eidulfitri MISG ABIM UK


Rakaman Kuliah Umum Jufitri Joha, Isu Semasa & Aktivis Belia di Sheffield, UK Sempena Pertemuan Eidulfitri MISG ABIM UK pada 27 Syawal 1430 H / 17 Oktober 2009 seperti di 'link' berikut :
http://www.ustream.tv/recorded/2371260

Interpreting Spanish Colonialism


Saya sempat menjengah ke perpustakaan Universiti Durham minggu lepas dan meminjam beberapa buah buku. Dalam kehidupan sebagai seorang pelajar sarjana (Master), perpustakaan harus dikunjungi dalam skala yang agak kerap kerana ia merupakan sumber kajian, ilmu dan maklumat di samping jurusan saya (Master in Community and Youth Work) mensyaratkan saya membuat 'field work' untuk bekerja bersama belia di lapangan dan mengumpul data dan maklumat sebagai seorang pekerja belia. Apa yang menggembirakan saya, jurusan saya ini tidak ada peperiksaan dan kelas hanya akan berlangsung selama hanya 5 bulan dan selebihnya adalah 'assignment', field work' dan 'research'.



Universiti Durham terletak dalam bandar. Fakulti dan bangunan universiti yang lain terletak berselerak dalam bandar Durham dan tidak terletak secara terkumpul seperti mana UIA (tempat saya belajar dulu) dan mana-mana universiti-universiti lain di Malaysia. Konsep Universiti Durham sama seperti Universiti Oxford di mana saya sempat melawatnya pada 2007. Universiti Durham merupakan universiti tertua selepas Oxford dan Cambridge dan saya bertuah sekolah saya (jabatan) merupakan sekolah yang antara terbaik menawarkan Master in Community and Youth Work di seluruh England. Teringat saya Universiti Cordoba yang diasaskan di Sepanyol oleh umat Islam adalah antara tertua di dunia yang tercatat padanya :

'Justice of the Great' - Keadilan pemimpin yang hebat
‘Wisdom of the Wise '– Hikmah ulama yang bijaksana
‘Valor of the Brave '- Keberanian sang pejuang
‘Prayer of the Righteous '– Doa orang yang saleh

Ia merupakan formula kepada Sebuah negara yang kuat amat bergantung kepada empat kekuatan di atas sebagaimana yang dinukilkan oleh para pemimpin Andalusia yang menguasai Sepanyol selama lebih 6 abad



Di perpustakaan tadi, selain meminjam buku berkaitan pelajaran, saya sempat meminjam buku Interpreting Spanish Colonialism himpunan makalah yang diedit oleh Christopher Schmidt-Nowara dan John M. Nieto-Phillips. Buku ini menceritakan sejarah penjajahan Sepanyol khususnya di Amerika Latin dan kesannya sehingga kini. Buku ini juga menceritakan bagaimana Sepanyol dan bekas koloninya di Amerika Latin dikategorikan sebagai negara mundur berbanding negara Eropah lain dan Amerika Syarikat. Ini sebahagian telaah saya terhadap Sepanyol dan Andalusia yang masih saya teruskan sehingga kini dalam kerangka projek GPTD Sepanyol-Amerika Latin. InsyaAllah negara Amerika Latin masih terus diburu oleh GPTD untuk diterokai.

Ahad, Oktober 18, 2009

Memandu?


Hari ini saya berasa cukup gumbira kerana berjaya memenuhi masa hujung minggu dengan menghadiri Pertemuan dan Jamuan Hari Raya Malaysian Islamic Study Group (MISG) ABIM UK & Eire di Sheffield. Sheffield dikategorikan sebagai kawasan tengah England. Durham terletak di Utara Timur dan memakan masa 3 jam perjalanan.

Apa yang menarik, saya mengambil kesempatan untuk memandu kereta kepunyaan abang Ipin (Setiausaha MISG ABIM UK) yang kami tumpang selepas hampir sebulan tidak memandu. Di UK guna lesen Malaysia adalah sah untuk kita memandu tapi cuma laku untuk setahun. Semasa sebelum berlepas ke UK dulu saya turut membawa lesen antarabangsa saya yang saya buat pada tahun 2005 khususnya untuk projek GPTD ke Sepanyol masa tu. Stereng sebelah kanan sama macam Malaysia, jadi takde la masalah. Cuma apa yang mengkagumkan, mereka memandu dengan penuh berhemah dan mematuhi had laju, apa taknya kamera perangkap bersepah he he..tapi mereka memang berhemah pun dan jarang kedengaran mereka hon kereta.. tak macam di Kemboja dan Indonesia...pon..pon. Itulah kepelbagaian budaya dan telatah yang kita dapat bandingkan terutamanya bila mengembara ke negara orang. Ini juga yang kita nak aktivis GPTD pelajari kepelbagaian budaya di negara orang apabila mereka keluar negara untuk menjalankan projek. Mereka kena dalami Do and Dont sesebuah negara agar aktivis GPTD sentiasa memahami dan menghormati budaya orang lain.

"Anta kena beri signal bila tukar lane!", tegur Safwan, co pilot saya. Memang kena bawa elok-elok kereta di sini. "Berapa kalau kena saman Safwan?", "Dalam 100 pound kot!". Wow itu dalam RM 500 tu mahal! Saya pun mula memperlahankan Pigeout hijau kepunyaan abang Ipin yang enak beradu di belakang bersama anak dan isteri.

Satu lagi sini jalan takde tol dan jalan cantik. Sampai di kawasan rehat Costa (R n R) saya nak buang air..tapi biasala tandas mana ada paip, jadi kenalah bawa botol mineral. Mana-mana tandas kat UK ni pun sama aja. Saya teringat kisah 3 orang pelajar universiti di UK nak buang air. Seorang pelajar Oxford, seorang lagi Cambridge dan seorang lagi Newcastle. Masing-masing lepas buang air berkongsi pengalaman 'membuang air'. Kata pelajar Universiti Oxford, " Ooo saya lepas buang air akan basuh tangan dengan sebersih-bersihnya". Dengan riyak, pelajar Universiti Cambridge pula menyampuk, " OO saya lagi hebat, lepas buang air saya akan basuh tangan dengan air ditambah dengan sabun secukupnya." Manakala pelajar Universiti Newcastle menjawab dengan penuh keyakinan,"Ooo saya tak basuh tangan sebab mak saya tak ajar kencing atas tapak tangan!".

Itulah kisah lucu yang saya ingat, tapi jika ada sambungan saya akan tambah..macam ni...tiba-tiba masuk seorang pelajar Universiti Durham namanya Jufitri Joha.." OO saya lepas buang air saya akan basuh toot..basuh tangan siap dengan sabun lagi.." Kelakar tak? Gelak la sikit...Cerita ini membuatkan saya sampai ke destinasi kami di Sheffield dan kami berjumpa dengan ramai ahli MISG dari Manchester, Sheffield, Newcastle, Glasgow, Hull dan lain-lain. Turut hadir saudara Suhaib Hamidi (Presiden Persatuan Melayu UK) dan saudarai Addawaiyah Salim (Koresponden GPTD di UK). Saya sempat membuat sedikit pengisian berkenaan buku Generasi Salahuddin al-Ayyubi.

Jumaat, Oktober 16, 2009

Memasak?


Walaupun hostel saya dilengkapi kemudahan dapur yang canggih (meliputi peti ais, ketuhar mikrovave, dapur, cerek, mesin basuh dan almari menyimpan barangan makanan) ia belum membuka selera dan minat saya untuk memasak, apatah memasak nasi dan membuat nescafe. Jika di Malaysia dua tugasan rutin ini dibuat oleh isteri saya kerana saya berasa senang dan bahagia apabila boleh menikmati hasil tangan isteri memasak nasi dan lauk serta menikmati secawan nescafe.

Namun di sini semua itu adalah mimpi belaka. Saya terpaksa uruskan semua keperluan makanan harian saya sendiri. Namun kesempatan petang tadi menjengah ke rumah abg Zul (di mana saya berjiran dengannya) untuk memasukkan perisian microsoft word dalam lap top saya, saya berharap tuan rumah mempelawa makan tengahari. Ternyata abang Zul dan kak Zila (Pelajar PhD Islamic Finance di Universiti Durham dan Pensyarah UPSI) mempelawa makan nasi..pergh best. Bak orang lapar disorongkan nasi eh silap bak orang ngantuk disorong bantal. Saya sapu habis. Rupanya yang masak tu abang Zul bukan sangat kak Zila. Saya fikir kalau abang Zul boleh pandai masak kenapa aku tidak?

BICARA BELIA : Pekerja Belia, Pengajian dan Kerja Belia.


Profesor Dr. Turiman Suandi, Pensyarah Unit Pengajian Belia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu bengkel kepimpinan belia anjuran Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan (MBNNS) pernah menyarankan agar pemimpin belia mesti rajin menulis di dada-dada akhbar untuk menyampaikan idea dan pandangan atau ‘nazrah’ generasi muda terhadap sesuatu isu. Justeru saya amat terpanggil untuk memulakan semula tradisi menulis di kalangan aktivis dan pemimpin belia.

Saya sekarang berada di Universiti Durham, United Kingdom (UK) menyambung pelajaran di peringkat Sarjana (Master) di bidang Community and Youth Work selepas bergelumang selama 7 tahun sebagai pekerja belia di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Jawatan terakhir saya adalah sebagai Pengarah Sekretariat ABIM Pusat dan dalam masa yang sama saya merupakan Exco Hubungan Antarabangsa ABIM. Tidak ramai generasi muda menyedari wujudnya peluang pekerjaan di sektor keempat. Sektor pertama adalah sektor kerajaan, kedua;sektor swasta, ketiga;sektor keusahawan dan keempat;sektor pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu dalam pertubuhan sukarela, kebajikan dan belia. Apabila saya memperkenalkan diri dan memberitahu saya bekerja sepenuh masa dengan pertubuhan belia, rata-rata terkejut dan tidak menyangka rupanya ada peluang pekerjaan di sektor keempat ini. Jika di barat, sektor ini juga amat popular dan sudah lama berkembang sebagai satu kerjaya profesional yang mantap. Sektor ini kurang popular di Malaysia mungkin kerana dikaitkan dengan pelbagai faktor seperti gaji, skim yang tidak menarik, jaminan masa depan dan ‘glamor’. Bekerja di sektor NGO ini mungkin tidak semashyur jawatan sebagai seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) atau profesyen yang sewaktu dengannya. Namun bagi pandangan dan hemat peribadi saya ia merupakan satu kerjaya yang menarik, memberikan banyak ilmu dan pengalaman baru, meningkatkan kreativiti, ruang berkarya yang luas, ruang berbakti yang amat besar kepada masyarakat dan kepuasan diri. Malah sektor ini boleh dipopularkan di Malaysia pada suatu hari nanti sebagai satu kerjaya yang stabil, profesional dan berdaya saing.

Antara lain sebab saya menekuni bidang Community and Youth Work ini juga sebagai salah satu strategi untuk menjadikan diri saya sebagai pekerja belia profesional di samping menjadi pemimpin belia yang berilmu dan berkredibiliti. Bidang dan disiplin pengajian kerja belia ini juga amat baru dan amat jarang diajar di universiti-universiti di Malaysia kecuali hanya ada di Universiti Putra Malaysia (UPM). Itupun sebagai satu unit kecil di bawah Fakulti Pengajian Pendidikan UPM. Namun menurut Profesor Dr. Azimi Hamzah, Ketua Unit Pengajian Belia UPM, bidang pengajian ini sedang diperjuangkan untuk dikembangkan menjadi selangkah kehadapan lagi mungkin ke tahap menjadi jabatan bagi melatih dan mendidik masyarakat Malaysia khususnya para aktivis dan pemimpin belia mempunyai ilmu profesional dalam bidang ini. Jika dibandingkan di UK bidang pengajian ini amat establish dan ditawarkan di beberapa buah universiti seperti Universiti Brunel, Universiti Huddersfield, Universiti Lancaster dan termasuk Universiti Durham di mana saya sedang berada sekarang. Pengajian ini diiktiraf oleh National Youth Agency (NYA) UK (http://www.nya.org.uk/). NYA merupakan sebuah agensi khusus memperbaiki dan mengembangkan perkhidmatan dan kerja belia di UK.

Antara lain tujuan saya menyambung pelajaran dalam bidang ini adalah untuk mempopularkan bidang pengajian ini di Malaysia. Perkara yang sama juga saya tegaskan ketika ditemuduga untuk anugerah biasiswa British Chevening Scholarship di Kedutaan Britain Kuala Lumpur bagi membiayai pengajian master ini. Jika ada rezeki, saya akan panjangkan langkah ini dengan menyambung pengajian di peringkat PhD di bidang yang sama. Dengan ilmu dan kepakaran yang ada serta bantuan dan kerjasama dari Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Belia Malaysia (MBM), Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras dan Unit Pengajian Belia UPM sebuah Akademi Latihan Belia boleh ditubuhkan untuk melatih, memberikan ilmu serta skil dan memperakukan (certify) para aktivis dan pimpinan belia sebagai mereka yang terlatih dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Jika peguam ada latihan dalam kamar dan Majlis Peguamnya (BAR Council) mengapa tidak para aktivis dan pimpinan belia. Semoga usaha ini menjadi kenyataan.

Sesungguhnya ilmu dan kemahiran kepada para aktivis dan pemimpin belia amat perlu bagi menstruktur gerak kerja mereka dan merancang secara strategik aktiviti yang menarik, segar dan berkesan dalam menarik generasi muda menyertai perkara yang berfaedah dan terhindar daripada gejala negatif. Cabaran para aktivis dan pemimpin belia dewasa ini amat mencabar kerana mereka berhadapan dengan generasi muda yang berstatus Y. Menurut Prof. Dr. Azimi Hamzah, generasi muda sekarang ini dijangkiti dengan 5L iaitu Love and Lust, Loafing, Leaving Home, Living in Prison dan Loaded with Money. Justeru, para aktivis dan pemimpin belia harus menyajikan sesuatu yang boleh menyayingi cabaran 5L ini dan tampil dengan pelbagai pendekatan baru dan menarik generasi muda menyertai pertubuhan belia yang sedia ada sebagai satu platform mereka terlibat dengan kerja-kerja bermanfaat.

Ini merupakan tugasan besar kita dalam memastikan aset negara yang amat bernilai ini terus dibangunkan, dipandu, difasilitasi, dibimbing dan dihakupayakan (meminjam istilah yang dipopularkan Y.B. Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) ke arah yang diredhoi dan dipuji oleh Allah taala seperti mana Allah memuji 7 Pemuda Ashabulkahfi dalam surah al-Kahfi 13. Tugasan ini merupakan misi besar yang harus didasari kepada ilmu dan digerakkan oleh para aktivis, pekerja dan pemimpin belia yang ikhlas untuk melihat masa depan Agama, Bangsa dan Negara terjamin di bawah generasi muda yang teguh keimanannya. Benarlah kata-kata John F. Kennedy, mantan Presiden Amerika, “We cannot always build the future for the youth but we can always build the youth for the future”.

Khamis, Oktober 15, 2009

Meninggalkan Kesenangan


Bukan senang meninggalkan kesenangan di Malaysia untuk keluar negara merantau mencari ilmu di bumi UK (gambar atas : kediaman saya di Brackenbury). Begitu juga Tariq bin Zaid ketika memimpin pasukan tentera Islam membuka Andalusia dan membina hidup baru sambil meninggalkan kehidupan yang selesa di Timur.

Untuk berjaya perjuangan harus diteruskan dengan segala kesukaran. Hari ini saya bersyukur dapat menyempurnakan puasa Syawal selama 6 hari. Selain itu meneruskan pembelajaran seperti biasa dengan menyelami beberapa tajuk menarik seperti 'Concept of Youth', 'Ethical Conduct in Youth Work', 'Management in Community Setting' dan Governance in Voluntary Work'. Balik dari perpustakaan tadi saya bertemu dengan tutor saya Ms Jean Spence tentang misi saya untuk menubuhkan Akademi Belia di Malaysia apabila pulang nanti. Beliau dengan senang hati bersetuju membantu saya dengan cuba memperkenalkan dengan National Youth Agency UK (http://www.nya.org.uk) dan beberapa kenalan beliau di Ireland yang sedang urus untuk tubuhkan badan penyelaras belia. Saya harus bekerja ke arah itu...itu cita-cita saya untuk mewujudkan Akademi Latihan Belia untuk memberikan pengiktirafan dalam persijilan kepada pekerja dan pemimpin belia..menarik tu..saya akan realisasikannya

Isnin, Oktober 12, 2009

"Shadows of the Pomegranate Tree"


Kadang kala kita rasa keseorangan dan kadang - kadang kita rasa 'vibrant' atau bersemangat walaupun kita rasa keseorangan. Apatah lagi apabila kita berada di perantauan lebih-lebih lagi rasa sunyi melanda tanpa kehadiran insan teristimewa di sisi. Kalau di Malaysia ada isteri menemani dan memberi semangat, ada Aishsh Humaira, ada ibubapa, saudara mara, adik beradik, kawan-kawan rapat dan persatuan tapi di sini tidak lengkap. Kini saya dapat menyelami perasaan dan erti kesunyian sebenar bagi sukarelawan sepenuh masa GPTD seperti saudara Noryzal di Australia (3 tahun) dan sekarang ini saudara Suhail Ahmad di Guonghzou, China

Tapi bila saya teringat kata-kata Profesor Azimi (referee Master saya) yang menasihatkan saya agar jangan lupa solat tahajud apatah lagi kepada pendakwah macam kita semua, barulah saya sedar bahawa yang sentiasa menemani saya di mana juga saya berada adalah Allah. Jadi teman sebenar saya adalah Allah dan Rasulullah di samping saya ditemani dengan solat tahajud, puasa sunat, kawan-kawan baru komuniti Durham My, sahabat lama saya yang melanjutkan PhD di sini iaitu saudara Ahmad Yunus dan juga buku-buku. Buku terbaru yang menemani saya adalah "Shadows of the Pomegranate Tree" nukilan Tariq Ali. Sinopsis buku berupa novel ini adalah seperti berikut:

Tariq Ali tells us the story of the aftermath of the fall of Granada (Andalus) by narrating a family saga of those who tried to survive after the collapse of their
world. Particularly deft at evoking what life must have been like for those doomed inhabitants, besieged on all sides by an intolerant Christiandom. This is a novel that has something to say, and says it well.


Dan Durham merupakan tempat Perang Salib dirancang dan dilancarkan!. Selain itu saya juga ditemani lagu Asma Allah, Sami Yusuf dan You Are Not Alone!, Michael Jackson.(tapi isteri saya tak suka lagu nih)


Sabtu, Oktober 10, 2009

Sukan, Berpersatuan, Kelab Gay dan Kelab Politik!


Masa sibuk bekerja dulu jarang dapat bermain, tapi sekarang memang ada banyak peluang bermain dan bersukan. Ahad lepas saya main bola di bawah 10 darjah celcius, tak berpeluh pun! Tapi sebab jadi penjaga gol, ada luka-luka sikit la macam waktu sekolah rendah dulu main bola di Penang. Takraw pun rupanya ada, diorang kata bagus la dah ada saya killer baru daripada Rembau, Negeri Sembilan. Esok ada main takraw katanya tengahari.

Baru ni juga ada gerai – gerai persatuan untuk mencari ahli baru. Saya sudah awal-awal disunting oleh Ustaz Maszlee untuk menyertai Islamic Society di sini bahkan sejak bulan 7 yang lalu semasa berfacebook dengan beliau. “Anta nak mencabar, nah ambik risalah Islam dan sebar pada Mat Salleh”, kata Ustaz Maszlee sambil menyerahkan 10 naskhah risalah karangan Dr. Maurice Bucaille yang bertajuk The Qur’an and Modern Science. Orang lain edar risalah mengarut dan ada juga yang edar kondom percuma tapi saya edar risalah kebenaran. Satu pengalaman menarik dan usaha menambahkan saham akhirat!.

Saya rasa seronok bila tengok pelbagai gerai mempromosi persatuan masing-masing rancak mencari ahli baru. Tapi yang paling menggemparkan saya adalah Kelab LGBTA! Apa tu? Itulah Lesbian, Gay, Bisexual and Trans Association (http://durhamlgbta.org.uk). Universiti di sini merupakan ruang medium yang amat terbuka untuk semua aliran dan pemikiran di sini. Universiti dianggap tempat yang amat liberal dan terbuka apatah lagi jauh dari sekatan AUKU seperti Malaysia. Tapi kebebasan ada had dan sempadannya yang didasari agama dan undang-undang pemerintah. Jika di Malaysia, AUKU atau nama panjangnya Akta Universiti dan Kolej Universiti baru sahaja dipinda bagi memberikan sedikit kebebasan kepada para mahasiswa berhubung dengan Ngo di luar. Majlis Belia Malaysia (MBM) juga dalam beberapa perjumpaannya menyarankan agar badan gabungannya melebarkan sayap di kampus-kampus seluruh Malaysia. Ini satu permulaan yang baik.

Di Universiti Durham bukan Kelab LGBTA sahaja dibenarkan beroperasi, persatuan berbentuk parti politik dibenarkan bergerak seperti Durham University Labour Club (mewakili Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri British, Gordan Brown), Durham University Conservative Association (mewakili Parti Konservatif pimpina David Cameron) dan Durham University Liberal Democrats Youth (mewakili Parti Liberal Democrats pimpinan Nick Cleeg). Bersediakah universiti di Malaysia ke tahap ini?

Khamis, Oktober 08, 2009

Perjalanan Harian


Ketika saya ditanya semasa ice breaking induksi kursus Master oleh Profesor Sarah Banks, “What will you do if you are not here?” Saya lantas menjawab “If I’m not here I will be busy attending my wife who is expected to give birth for my second child”!. Hadirin yang ada ketawa dan gembira dengan jawapan saya kerana saya menjawab dengan intonasi berseloroh dan bersahaja. Saya teringat kata-kata Ustaz Shamsul Azhar Yahya, Yang Dipertua ABIM Negeri Sembilan, “…tanda kita hebat bahasa seseorang itu, jika kita Berjaya membuatkan penuturnya tertawa..”. hmm…Namun itulah hakikatnya, isteri saya bakal melahirkan anak kedua, saya mendoakan agar a simple women with a big heart ini diberikan kekuatan melahirkan dan membesarkan anak kedua kami dengan cemerlang tanpa suami di sisi selama setahun..amin

Tentang soal makan, saya tak perlu risau kerana sudah ada kedai halal (bahan mentah) di Neville Street, takpun jika sekali sekala ke Newcastle saya akan mengambil peluang membeli belah bahan mentah halal di sebuah kedai milik orang Pakistan di sana. Rakan saya dari Afrika yang belajar separuh masa di sekolah saya pun tawar diri untuk tunjukkan kedai halal di Sunderland, “If you want halai food, I can bring you to Sunderland”. Seronok bila Peace (nama panggilannya) menyebut perkataan ‘Halai’, ada slang utara sikit he he. Sunderland tak jauh Cuma 20 minit dari Durham. Saya ni malas masak sikit, kadang-kadang bila pizza simpan dalam peti ais kemudian panaskan bila nak makan. Tapi bila duduk hostel ni, hobi saya membasuh baju dapat dipraktikkan semula. Saya memang minat membasuh baju semenjak zaman SMAP Kajang dulu. Satu pizza boleh tahan tiga hari untuk saya, jadi boleh jimat kos. Saya juga membiasakan diri makan roti dan makan nasi sekali-sekala aje, terbukti perut saya ni ada nilai antarabangsa kerana boleh tahan tak makan nasi…alhamdulillah…


Nak solat pun saya tak risau kerana sekolah saya dekat dengan Masjid Durham (http://www.islamicfinder.org/getitWorld.php?id=47105) tapi dalam bangunan khas tidak seperti bentuk masjid di Malaysia dan paling mencabar, masjid tersebut terletak di belakang Dun Cow Pub!. Jadi sebelum masuk masjid lalu dulu pub, separuh ‘jemaah’ melencong ke pub dan jemaah sebetulnya terus ke masjid. Solat Jumaat pun didirikan di situ mankala dekat Brackenbury (hostel saya) pun ada didirikan solat Jumaat tapi tempoh hari saya tak jumpa tempat solat Jumaat, jadi Solat Jumaat den burn hari tu! Cuma kadang-kadang rindu solat berjemaah dengan isteri.

Di UK gereja semakin hilang serinya, orang Kristian sudah mula meminggirkan gereja. Gereja terbiar dan akhirnya terpaksa di lelong. Saya teringat lagi bila berada di Scotland tahun 2005, rupanya kami berprogram di masjid yang asalnya gereja. Bentuk gereja masih dikekalkan kerana undang-undang tidak membenarkan pengubahsuaian walaupun selepas dibeli oleh umat Islam untuk dijadikan masjid. Tapi undang-undang sekarang melarang gereja yang hendak dilelong dibeli untuk dijadilan masjid tapi jika untuk kegunaan pusat kebajikan takpe dibenarkan. Rupanya mereka pun malu apabila gereja terbiar dibeli oleh umat Islam untuk dijadikan tempat sembahan Allah yang Maha Esa.

Soal ke tempat kuliah pun takde masalah, saya biasa memilih untuk berjalan kaki yang memakan masa 25 minit dari hostel. Dah lama tak exercise! Dulu kat Malaysia selesa dengan berkereta. Asalnya saya nak beli basikal, tapi senior di sini kata “Kau jalan kaki je, senang!”. Betul juga jalan kaki lagi best. Kalau penat naik bas awam X1 atau X2, tunjuk kad pelajar boleh naik percuma! Cuma kalau hujan sejuk juga nak berjalan, payung tak beli lagi. Nak kena beli payung ni. Cuaca 10 darjah celcius, sejuk dan nyaman tapi ni belum salji lagi dah sejuk, sekarang musim gugur nak masuk winter!.


Pasal perbelanjaan seharian pun saya tak risau kerana sponsor utama saya Chevening British Council beri 767 pound UK sebulan atau RM 4000.00 sebulan manakala gaji yang diberikan oleh ABIM saya serahkan kepada ibubapa dan isteri saya. Nak kerja di sini boleh tapi saya risau tak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran dan aktiviti dakwah. Yang berminat nak mohon biasiswa Chevening British Council untuk Master boleh lihat http://www.britishcouncil.org/malaysia. Alamak tarikh tutup dan nak hampir 9 Oktober. Namun anda terpaksa bersaingan dengan ribuan pemohon dan hanya terpilih belasan orang sahaja. Batch saya 2009/2010 hanya 15 orang terpilih dan kata pegawai di British Council pada saya bilangan penerima Chevening akan dikurangkan dari tahun ke tahun kerana Malaysia sudah dikira negara yang agak membangun. Apapun tipsnya anda mesti menunjukkan anda adalah somebody in the future! Jika tak jelas boleh email saya di jufitri1979@yahoo.com, satu tips 10 pound he he.

Kelas, saya hanya ada pada hari Isnin dan Selasa bermula 10 pagi sehingga 4.15 petang Cuma yang tinggal lagi saya harus belajar bersungguh-sungguh kerana saya bakal melalui jalan yang sukar dalam tempoh setahun. Cuti Krismas 3 minggu nak balik Malaysia ke tak? Tengok bajet dulu…

Rabu, Oktober 07, 2009

Sarjana Kerja Komuniti dan Belia @ Master in Community and Youth Work.


Hari ini merupakan hari induksi untuk saya. Saya berasa amat bersemangat kerana selepas 7 tahun, saya bergelar semula sebagai mahasiswa sarjana. Namun kali sudah tentu saya mengalami jalan yang sukar kerana banyak tugasan-tugasan yang saya harus siapkan dalam bentuk tulisan.

Saya dikumpulkan dalam bulatan 20 pelajar baru sepenuh masa dan separuh masa mewakili pelbagai latarbelakang menarik dan negara. Ada yang datang dari Scotland, Afrika Selatan, Zimbabwe, England, Amerika Syarikat, Singapura dan saya sendiri Malaysia. Namun kami mempunyai satu latarbelakang yang sama iaitu kami semua adalah aktivis belia dan kerja komuniti!

Saya mengambil keputusan terlibat aktif sejak daripada awal perbincangan yang dikendalikan oleh Ms Jean Spence dan rakan-rakan bagi membina tahap keyakinan dalam diri saya terutamanya dalam bahasa Inggeris yang dilatari slanga British!. Ini juga yang saya sebut bila ditanya oleh Profesor Sarah Banks ‘What is your anxiety towards our course”? jadi saya dengan penuh keselambaan menjawab Slang!. Saya menzahirkan kebimbingan saya tentang penggunaan bahasa Inggeris berslanga British yang amat sukar untuk pelajar Malaysia macam saya untuk faham. Lagipun masa ujian kelayakan IELTS tempoh hari di Malaysia bagi melayakkan saya masuk Universiti Durham cukup-cukup makan mee goreng sahaja iaitu skor keseluruhan 6.5. Walaupun skor ‘Listening’ ok, itupun puas nak kesan kalimah-kalimah yang digunakan sepanjang induksi berlangsung. What’ s up duck!.

Namun penemuan (ala-ala discovery channel) dan pertemuan yang paling menarik untuk hari ini ialah saya berkenalan dengan Dino dari Amerika Syarikat. Beliau merupakan Filipino yang sudah lama menetap di Amerika Syarikat. Apa yang menarik beliau pernah terpilih dan terlibat dalam Peace Corps America (http://www.peacecorps.gov) di mana beliau memperuntukkan dua tahun membuat kerja khidmat sosial di Surinam. Do you know Surinam?, tanya Dino, lantas saya menjawab dengan penuh lancar..Yes, Paramaribo…the capital for Surinam. How did you that?, tanya Dino penuh minat. Well, I did build up networking with Malays diasporas from all over the world including Malaysi in UK, Cape Town, Denmark and Surinam…., I do hope you bridge me with the Malays community overthere”.

Apa yang menggembirakan saya ialah Peace Corps America merupakan salah satu model daripada Amerika di mana Grup Penjejak Muda Tamadun Dunia (GPTD) mengambilnya sebagai satu bentuk konsep khidmat sosial yang berkesan di kalangan generasi muda di Amerika. Kerja-kerja menghantar anak-anak muda membuat kerja-kerja khidmat sosial di pentas antrabangsa sudah lama diimplementasi di negara Barat cuma GPTD di Malaysia baru mengorak langkah 8 tahun yang lepas. “If you need an assistant, you just call me”, begitulah pelawaan Dino selepas menghantar saya dengan keretanya di Brackenbury di mana saya menginap.

Ahad, Oktober 04, 2009

Thuq al-Hamamah


Saya memenuhi seminggu di Durham ini dengan mula membaca buku Sabda Cinta dari Andalusia atau dalam bahasa Arabnya Thuq al-Hamamah karangan ulama terkenal Ibnu Hazm al-Andalusi. Dalam versi Inggeris dikenali sebagai The Ring of the Dove. Saya baru membaca bab pertama tentang Haqiqat Cinta. Perbincangannya amat menarik dan bahasa yang digunakan oleh ulama bermazhab Zohiri ini amat puitis. Tidak hairanlah ulama-ulama dahulu mereka bukan sahaja sarjana dalam bidang mereka bahkan mereka adalah orang seni yang mampu mengupas sesuatu topik dengan penuh madah keasyikan. Menurut Ortega Gasette, Sejarawan Sepanyol, “Buku ini telah mengilhami puluhan bahkan mungkin ratusan filosof cinta dan para pendeta di seluruh dunia untuk memaknai cinta dari pelbagai segi, salah satunya adalah pendeta-filisof; Fernando de Rojaz (1453-1541 M) yang tertuang dalam bukunya La Calestina”. Buku ini akan saya kupas apabila selesai membaca kelak.

Saya berazam untuk menguatkan tabiat membaca dan berazam menambah koleksi khutub khanah yang bakal saya beli dari http://www.amazon.co.uk/ apabila siap membuka buku akaun kelak. Budaya ilmu inilah yang saya diajar sejak menyertai ABIM dan diteruskan dalam budaya GPTD dan terbaru bersama Himpunan Keilmuwan Muda (HAKIM) yang kepala kejobosnya adalah Dr. Mohd Farid Shahran (ISTACIAN).

Selain itu, sementara menunggu kelas bermula saya mengambil kesempatan mengisi hujung minggu saya mengekori Ustaz Maszlee Malek ke Newcastle mengisi kuliah Fiqh Luar Negara kepada para pelajar baru (undergraduate) di Newcastle. Saya fikir takkan nak duduk di hostel seorang sahaja. Jadi saya bercadang meneruskan hobi saya ketika di Malaysia dulu dengan menyertai program-program keilmuan seperti ini. Perjalanan daripada Durham ke Newcastle hanya mengambil masa 20 minit sahaja. Newcastle merupakan sebuah bandar besar di utara England berbanding Durham. Di Newcastle ramai pelajar undergraduate. Di Newcastle juga ada stadium bola kebanggaan orang di sana iaitu St. James Park. Tapi malangnya Newcastle sudah diturunkan ke Divisyen Satu. Namun ketika saya melalui kawasan stadium, orang ramai berpusu-pusu ke stadium, rupanya ada perlawanan bola. Bolasepak di UK sudah menjadi tuhan sembahan mereka. Jadi mereka mendambakan diri untuk bola. Musuh tradisi Newcastle adalah Sunderland, jiran bersebelahan. Saya diberitahu abang Zul, “ Jufitri, ada penyokong pasukan Sunderland bersumpah tak mahu jejak ke Newcastle”. Lihat betapa fanatiknya mereka dengan bolasepak!

Perbincangan dalam kuliah terlalu menarik kerana ia menyentuh fiqh yang kita akan pakai di luar negara. Seringkali persoalan seperti ambil wuduk ketika musim salji, menyapu air wuduk di atas stoking, berkongsi pinggan yang digunakan untuk meletak daging babi, solat jamak ketika waktu Zohor dan Asar terlalu hampir ketika berlangsungnya kuliah, solat Jumaat kurang dari bilangan 40 orang dan pelbagai lagi persoalan fiqh berkaitan kehidupan harian pelajar Malaysia di perantauan diperbahaskan. Ketika kuliah saya teringat yang saya menyimpan nasi dalam satu peti ais dengan di tingkat bawahnya ‘ham’ (lihat gambar di atas) . Kalau ikut kamus ‘ham’ ini adalah daging babi yang disalai!. Jadi apa hukumnya ye?.

Saya terasa teruja dan segar bila mendengar ilmu-ilmu fiqh baru dan pengalaman rakan-rakan pelajar menghadapi rintangan menjaga agama di perantauan. Namun di akhir kuliah kami berkesimpulan bahawa Islam itu agama yang memudahkan penganutnya dan ini juga bertepatan apa yang disabdakan oleh Nabi sallallahualaihiwasallam. Islam itu amat luas, dan hukum berubah mengikut suasana dan tempat. “Taghayurul ahkam bi taghayurul azman wan amkan”, begitulah bunyi qaidah fiqh yang saya belajar bermaksud “Hukum berubah dengan berubahnya masa dan tempat”. Kemudian saya meneruskan perjalanan ke Middlesborough

Jumaat, Oktober 02, 2009

Daripada Ulu Klawang (UK) ke United Kingdom (UK)


Pemergian saya daripada Ulu Klawang ke United Kingdom diiringi kesedihan dan kegembiraan. Kesedihan kerana terpaksa meninggalkan Ibubapa yang menjadi tanggungjawab saya sebagai anak lelaki, Aishah Humaira’, anak kesayangan dan sudah tentu penyokong kuat saya ‘La’.

Kegembiraan kerana selepas 7 tahun bergelumang sebagai pekerja belia sepenuh masa, saya berpeluang menyambung pelajaran di peringkat Master dalam ‘Community and Youth Work’. Bidang ini amat baru di Malaysia dan ia bersesuaian dengan jiwa saya yang suka menjadi “be the first” untuk menyelami bidang ini. Menjadi pengasas dan mencuba perkara baru adalah sentiasa menjadi sasaran hidup saya semenjak mengasaskan Intellectual Youth Club (IYC) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) semasa di ABIM. Selepas 3 hari di Durham saya dapat rasakan suasana belajar yang amat kondusif merangsang saya untuk meneruskan pelajaran di peringkat PhD juga di bidang belia sekaligus menjadi pakar rujuk belia.

“Ju, anta patut sambung terus PhD”, begitulah kata-kata semangat Ustaz Maszlee, (maszleemalik.blogspot.com) salah seorang kenalan lama yang membuat PhD di Durham. Saya terasa terangsang untuk terus menyambung PhD, teringat pulak tempat Prof. Turiman melengkapkan PhDnya dalam bidang belia di Amerika!. “Tak mustahil, lepas aku dapat biasiswa Chevening Kerajaan British untuk master aku cuba biasiswa Fullbright Kerajaan Amerika pula untuk PhD, desis hati aku sambil memikir masa depan. “Takpun Prof Azimi di UPM dah tawar aku sertai kumpulan pengajian belianya di UPM, mesti ada peluang buat PhD, kalau tak di US di Malaysia pun apa kurangnya. Bayang Prof. Dr. Jufitri Bin Joha, amin. Itulah senjata paling ampuh yang kita ada iaitu menetapkan matlamat (meminjam istilah Azizi Ali, jutawan senyap).

Apa-apa pun niat saya belajar ini adalah kerana Allah, buka kerana nak dapat jawatan atau naik gaji mahupun nak kejar gelaran Dr. Sebelum terbang tempoh hari, saya sempatkan sematkan beberapa pernyataan misi atau ‘mission statement’, antara lain memperolehi Master in Community and Youth Work, menghafal al-Quran, menulis buku, menelaah buku, membina jaringan antarabangsa (bersesuaian dengan portfolio sebagai Exco ABIM) khusunya di Eropah, menulis di Utusan Malaysia, kuasa bahasa Inggeris, Sepanyol dan lain-lain dan menuntut ilmu sebanyak mungkin terutama dari cendiakawan terkenal seperti Sheikh M. Afifi al-Akiti, Sheikh Abdul Aziz Federick, Dr, Hisham Helliar, Dr.Akram Nadwi dan ramai lagi, wah lazatnya.

Selain itu juga saya ditugaskan menubuhkan GPTD di UK dan berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Penuntut Pelajar Malaysia (MSD) di London. Ini adalah misi besar! Belum panas punggung, saya dah jumpa seorang anak muda berhasrat menyertai GPTD untuk duduk di Bosnia! MasyaAllah satu pertemuan bermanfaat ketika saya jumpa di Open House Raya salah seorang sahabat di Durham. Semua ini menjadikan saya terus bersemangat untuk meneruskan perjuangan saya selama setahun di sini iaitu di Durham, hometown kepafa Tony Blair dan Mr. Bean!. InsyaAllah saya akan kongsikan lagi…dan perjalanan menjadi semakin cerah.